MUSANG
Darat kembali bangkit dan menyerang Gelora. Kali ini serangannya
lebih pantas membuatkan si tua berhempas pulas mempertahankan diri.
Walaupun begitu, medan pencak lebih berpihak kepadanya. Berbekalkan
pengalaman seumur hidupnya, Musang Darat masih belum dapat
menandinginya.
Setiap
serangan Musang Darat dapat dipatahkan. Dua orang penceroboh yang
mengikutnya hanya memerhati, menunggu peluang yang mungkin muncul.
Gelora Singara Jata mengambil kesempatan menjeling mereka apabila
Musang Darat berhenti seketika menyusun langkah. Tetapi, yang tinggal
cuma si kurus manakala seorang lagi berbadan gempal tidak lagi
kelihatan.
“Si
gemuk sudah turut serta tetapi di mana?” Dia tertanya-tanya.
Peraduan
pencak diteruskan lagi. Dalam menyusun langkah, Gelora berhati-hati
takut diserang dari belakang.
“Tumpukan
perhatianmu, orang tua!
Lawanmu sekarang, hamba!” Musang Darat menyedari Gelora mula
curiga.
“Kamu
yang sepatutnya menumpukan perhatian, wahai orang muda. Seronokkah
asyik dipukul?” Gelora masih sempat mengejek.
Musang
Darat mengetap geraham, geram! Tidak sangka orang tua itu masih lagi
handal dalam pertempuran walaupun kudratnya sudah terbatas. “Tuan
hamba asyik risaukan belakang tuan hamba. Tuan hamba yakin akan
diserang dari belakang?”
Umpanan
Musang Darat ditelan mentah orang tua itu. Segera Gelora menoleh ke
sisi. Tiada apa-apa. Tiba-tiba dia merasakan kakinya dipegang dengan
kuat. Dia menunduk dan tersentak melihat sepasang tangan terhulur
dari dalam tanah mencengkam pergelangan kakinya. Lantas, tangan itu
menariknya ke bawah dan menyebabkannya terbenam hingga
ke paras pinggang. Gelora meronta-ronta cuba untuk keluar tetapi
bahagian bawah tubuhnya bagaikan dibelenggu.
“Tentu
tuan hamba tidak menyangka akan diserang daripada bawah,
bukan? Usahlah meronta. Tiada siapa dapat melepaskan diri daripada
jurus Pasung Tanah Tikus Bumi ini!” Dan berdekah-dekah
Musang Darat ketawa. Puas hati kerana rancangannya berjaya. Tanah di
hadapannya tiba-tiba berlubang dan terhambur ke atas. Susuk si lelaki
gempal yang digelar Tikus Bumi oleh Musang Darat melompat keluar dari
dalam tanah.
“Keji!”
Gelora membentak.
“Bukankah
dalam perebutan nyawa ini tidak diambil kira?” Musang Darat
tersenyum. Senang hatinya dapat menjinakkan harimau tua itu.
Gelora
Singara Jata hanya mampu menghela nafas lemah. Baru tengah hari tadi
dia mengajar cucunya tentang main kotor dalam pertempuran. Kini
kata-kata yang dilontar untuk mendidik cucunya, menempelaknya
kembali.
“Orang
tua! Hamba masih ada lagi buah tangan untuk tuan hamba!” Musang
Darat masih lagi tersenyum. Dia yakin orang tua di hadapannya ini
sudah kehausan tenaga. Lantas dirapatkan kedua-dua telapak tangannya,
umpama mengangkat sembah lagaknya. Dengan mata dipejam, Musang Darat
membaca mantera,
“Dari
dalam menjalar sulur,
memaut
batu pecah berderai,
dari
dalam geraknya menggembur,
memaut
tubuh julang menggapai!”
Gelora
sedar dia mesti mempertahankan dirinya. Jurus Musang Darat tentu
bukan sembarangan. Dipejamkan matanya, tangan kanannya menggenggam
penumbuk dan ditumbuk pada tapak tangan kirinya. Mulutnya juga
kumat-kamit melafaz mantera. Suasana menjadi hening. Cuma gema
mantera selembut bisikan kedua-dua pendekar bercampur-baur.
“Panas
ditempa pahatan waja,
sejuk
membeku sedingin embun,
tidak
tunduk menghadap raja,
teguh
berdiri tidak diampun!”
Seluruh
tubuh Gelora menjadi kemerah-merahan apabila selesai melafazkan
ayat-ayatnya. Dia kini hanya boleh bertawakal. Ilmu Dirah Waja
yang dilaksanakan mampu menahan segala jenis serangan jasmani. Malah
senjata tajam pun tidak dapat melukai tubuhnya. Tetapi, dengan kudrat
dan tenaga dalamannya yang terbatas, kesan hikmatnya pasti banyak
berkurangan.
Bersama-sama
perkataan terakhir menteranya, Musang Darat membuka mata dan lantas
menepuk tanah dengan kedua-dua telapak tangannya. “Julangan
Panglima!”
Bumi
bergegar tatkala ia menyentuh bumi. Tanah di sekeliling Gelora
Singara Jata mula merekah. Lantas meletus dan terhambur ke atas
bersama-sama tubuhnya. Dia terhumban tinggi ke udara, bagaikan batuan
lahar yang dimuntahkan gunung berapi.
Gelora
merasa sakit di seluruh badan dan tidak dapat bergerak. Hanya ilmu
Dirah Waja menjadi benteng perlindungannya terakhir. Dalam
keadaan terawang-awangan, badannya dipeluk dengan kuat dari belakang.
Dia menoleh dan mendapati si lelaki kurus itu ada di belakangnya.
Pelukannya menyesakkan bagaikan belitan sang sawa biarpun tubuhnya
cuma ada tulang dan kulit. Si tua cuba meronta tetapi tubuhnya tidak
mahu bergerak. Anggotanya seakan lumpuh.
“Biar
hamba lihat, dapatkah ilmu Dirah Waja melindungi dirimu
daripada serangan penamat Helang Langit!” Musang Darat menempik
dari bawah.
Mereka
berdua bagaikan terapung-apung di udara. Kelebihan yang ada pada ilmu
si lelaki kurus digelar Helang Langit, dapat berlengah-lengah di
udara untuk beberapa ketika, sesuai dengan gelarannya.
“Tanah
di bawah sedang memanggil.” Helang Langit membisik ke telinga
Gelora. Dia membalikkan badan mereka sehingga kepala masing-masing
menghala ke bawah, bagaikan tergantung kaki pada awan. Perlahan-lahan
mereka berputar. Semakin lama semakin ligat dan tubuh mereka jatuh
ke bawah disebabkan tarikan bumi. Halaman pondok buruk itu dilanda
angin kencang yang berpusar-pusar. Daun-daun kering berserakan lantas
berterbangan ke atas disedut putaran ligat ilmu tempur Helang Langit.
Gelora
menjadi pening dan tidak dapat berbuat apa-apa. Dia memejamkan
matanya dan kenangan-kenangan hidupnya terlintas di fikiran. Wajah
cucunya, Bayu memenuhi ruang ingatan. Saat-saat gembira mereka
bersama, daripada kali pertama tangannya menimang bayi lelaki bernama
Bayu Adi Jata. Dibelai dan dijaganya. Diajarnya mengaji dan segala
ilmu yang dirinya ada. Sehinggalah sudah belia, menjadi pendekar yang
diibaratkan keris yang tersarung. Inilah detik terakhir hidupnya.
Permukaan tanah semakin hampir. Penamatnya semakin hampir...
***
BAYU
terperanjat apabila mendapati halaman pondoknya berlubang-lubang dan
ada kesan pergelutan. Jantungnya kencang berdebar-debar. Matanya
meliar mencari datuknya, tetapi tidak kelihatan. Pengat pisang masih
dia atas di atas serambi. Tiba-tiba batukan kecil terlontar dari
balik tiang serambi. Suara yang dikenalinya.
“Atuk,
apa terjadi? Siapa yang jadikan atuk sampai begini?” Bayu bagaikan
tidak percaya melihat keadaan orang tua itu yang tersandar di tiang.
Darah mengalir dari mulut, hidung, telinga dan matanya. Hatinya
begitu sebak, air mata mengalir membasah pipi. Tidak disangka ada
orang tergamak melakukan seorang tua begini kejam. Dia memangku
atuknya. Tambah pilu hatinya
apabila mendapati semua tulang empat kerat orang tua itu patah-patah
bak ranting kering dimakan anai-anai.
“Bayu,
perjalanan atuk sudah tamat. Mereka mengambil Takluk Jagat.” Gelora
memberitahu dengan nafas yang tersekat-sekat.
“Siapa
punya angkara, atuk?” Bayu bertanya dengan sedu-sedan. Turun naik
dadanya bergemulung nafas.
“Bawah
pondok… tiang tengah....” Datuknya cuba menyampaikan sesuatu,
tetapi tidak lagi mampu menghabiskan katanya. Bayu mengerti, dia
terpaksa merelakan. Bibirnya yang terketar-ketar mendekati telinga
Gelora Singara Jata lalu membisikkan kalimah syahadah.
***
MALAM
itu, bulan penuh tepat di atas kepala. Cahayanya seterang-terang
pelita alam tatkala tidak dilindungi tompokan-tompokan awan berarak.
Dan cahaya itu menerusi celah-celah rumpunan buluh menimpa seorang
pemuda yang kemurungan. Cahaya putih lembut itu seakan memujuk Bayu
Adi Jata yang sedang bersila di sisi pusara datuknya.
Suaranya
yang beralun melafazkan ayat-ayat surah Yasin mengisi hening malam.
Walau hatinya berkecamuk pilu, namun ayat-ayat suci yang dilafaznya
dan malam yang ditakdirkan ALLAH dingin menjadi penenangnya. Dan di
sebelah persemadian itulah Bayu melelapkan matanya malam itu.
***
PAGI
itu, sesudah menyempurnakan solat subuh, Bayu duduk di atas tangga
serambi memikirkan kejadian yang menimpa. Siapakah pembunuh itu?
Mengapa Takluk Jagat dirampas? Apakah kerana keris itu atuk dibunuh?
Apakah keistimewaannya sehingga menyebabkan pertumpahan darah?
Mungkinkah atuk hilang nyawa kerana mempertahankannya? Tetapi
mustahil! Selama ini atuk hanya menjadikan keris itu sebagai
penyendal pintu pondok buruk ini sahaja. Mengapa perlu bersabung
nyawa mempertahankan penyendal pintu itu?
Bayu
akui Takluk Jagat sebilah keris panjang yang cantik. Ukiran hulu dan
sarungnya sangat halus dihiasi saduran perak berukir
tumbuhan-tumbuhan yang menjalar. Dia pernah cuba menghunuskan keris
itu ketika masih kecil, tetapi sekuat mana pun usahanya, keris itu
tidak berjaya dicabut. Datuknya hanya ketawa melihat gelagatnya.
Lama-kelamaan Bayu hilang minat terhadap keris itu dan tidak pernah
mengusiknya lagi. Dia tidak pernah menganggap keris itu barang
berharga kerana atuknya
tidak mempedulikannya sangat.
Buntu
Bayu memikirkan tentang Takluk Jagat. Tiba-tiba dia teringatkan
peristiwa semasa kecil. Dia pernah teruk dimarahi datuknya kerana
bermain dengan keris itu di halaman. Datuk pernah mengingatkannya
supaya tidak membawa keris itu keluar dari pondok. Mungkin datuknya
cuba menyembunyikan keris itu dari dunia luar. Tetapi kenapa datuknya
tidak menyembunyikannya di tempat yang sulit? Sebaliknya hanya
membiarkan keris itu di atas lantai. Dan jika keris itu tiada apa-apa
keistimewaan, mengapa ia
dinamakan. Mungkinkah ada rahsia di sebalik namanya?
Bayu
merenung pusara datuknya. Peristiwa petang semalam masih terbayang di
fikiran. Dia menyalahkan dirinya sendiri. Sekiranya dia tidak terlupa
pesan datuk, tentu kejadian ini tidak akan berlaku. Walaupun sedar
segalanya takdir, dirinya masih diselubung kesal.
Bayu
bangun dan melangkah masuk ke dalam pondok, mundar-mandir dalam
pondok kecil itu. Jiwanya terasa kosong. Dirinya kini sebatang kara.
Siapa yang melakukan perbuatan keji ini? Setahunya, datuk tiada
musuh. Mereka pula tidak pernah menerima tetamu selama tinggal di
dalam hutan ini. Darahnya mendidih memikirkan pembunuh kejam itu.
Dalam
hatinya bertekad mencari pembunuh itu. Tetapi di mana? Dengan geram
Bayu menumbuk tiang tengah pondok itu. Bergegar pondok usang itu
dibuatnya. Bayu cepat-cepat memeluk tiang itu supaya pondoknya tidak
bergegar lagi. Tiba-tiba Bayu teringatkan sesuatu. Sebelum datuknya
menghembuskan nafas terakhir, dia ada menyebut tentang tiang itu.
Bayu bergegas turun ke bawah dan merangkak ke bawah pondok.
‘Tentu
ada sesuatu tertanam di sini,’ ujarnya di dalam hati. Dia segera
mengorek tanah di sekeliling tiang tengah.
Tidak
berapa lama mengorek, Bayu menjumpai sebuah peti kayu kecil tertanam
menghala ke arah kiblat dari tiang itu. Segera dia membawa peti itu
naik ke serambi. Digosok-gosok peti itu bagi menanggalkan tanah yang
melekat. Terserlah warna peti itu yang kemerah-merahan. Bayu mengagak
peti itu tentu sudah lama tertanam memandangkan warnanya yang agak
pudar. Tetapi kayunya masih utuh dan tidak reput.
Bayu
membuka peti itu. Terdapat sebuah bungkusan kain baldu merah yang
kusam diikat dengan seutas rotan halus. Dia mengeluarkan bungkusan
itu dan membuka ikatannya. Di dalamnya terdapat seikat akar kayu yang
sudah kering dan sebuah pelindung lengan yang diperbuat daripada
logam putih berkilau seakan-akan perak dan didasari belulang.
Bayu
mengambil pelindung lengan itu dan ditelitinya. Buatannya memang
halus dan cantik. Kilauan logam masih memancar biarpun lama tidak
terjaga. Pada logam itu terdapat calar-calar bekas pernah dimakan
senjata. Bayu hairan melihat ukiran pada pelindung lengan itu adalah
serupa dengan ukiran sarung dan hulu Takluk Jagat.
“Apakah
kedua-dua barang ini saling berkait?” dia tertanya-tanya. Setelah
dibelek-belek, dia mendapati terdapat sehelai kain kuning terselit
pada pengikat pelindung lengan itu. Diambilnya kain kuning itu dan
didapati terdapat tulisan tangan Gelora di atasnya:
“Ini
Indera Bumi, pasangan kepada Takluk Jagat. Lengkapkanlah ia di
lenganmu. Cari Takluk Jagat. Jangan biar ia disalah guna. Indera Bumi
akan membawa kamu kepadanya. Berhati-hatilah cucundaku Bayu Adi
Jata.”
“Rupa-rupanya,
atuk telah mengagak keadaan ini akan berlaku. Tapi kenapa atuk tidak
pernah menceritakan hal Takluk Jagat kepadaku? Apakah dia tidak
sempat?” Bayu sedar jawapannya tidak mungkin akan diperolehnya
ketika ini ataupun mungkin sampai bila-bila.
Bayu
Adi Jata mengenakan Indera Bumi pada lengan kanannya. Terasa begitu
selesa sekali dan dapat dirasakan darah dan tenaga dalamannya
mengalir dengan lebih lancar. Nyata ia bukan kelengkapan sembarangan.
Disimpannya kain kuning itu tadi di dalam uncang yang terikat di
pinggangnya dan akar kayu yang terdapat bersama-sama Indera Bumi di
dalam peti dibungkusnya kembali.
Walaupun
Bayu tidak tahu akan gunanya akar kayu itu tapi dia sedar ia tentu
penting. Dia perlu segera meninggalkan tempat itu. Sekiranya perampas
itu sedar Takluk Jagat ada pasangannya, tentu mereka akan kembali.
Daripada kesan pertarungan yang ditinggalkan, Bayu sedar mereka
bertiga. Malah dia tidak mampu menewaskan mereka dengan keupayaan
yang dirinya ada sekarang.
Setelah
membasahkan tubuh dan menyiapkan diri, Bayu menutup semua jendela dan
pintu pondok buruk itu. Pakaiannya yang cuma beberapa pasang itu
dibungkuskan bersama di dalam sehelai kain sarung. Dia mengambil peti
merah tadi semula dan mengeluarkan akar kayu kering yang ditinggalkan
datuknya. Lalu, akar kayu kering yang diikat bersama itu disumbat ke
dalam bungkusan pakaiannya. Indera Bumi dikenakannya kembali setelah
ditanggalkan sebelum mandi tadi.
Dia
tidak tahu berapa lama akan pergi. Mungkin juga tidak akan kembali.
Perasaan sayu mendakap hatinya tatkala berdiri di samping pusara
datuknya yang disayangi. Seumur hidupnya tidak pernah berpisah dengan
orang tua itu dan meninggalkan pondok buruknya. Kini dia perlu
mengembara tanpa arah yang pasti. Terasa begitu berat kaki ingin
melangkah. Namun, amanat perlu dilaksanakan.
“Atuk,
saya bersumpah akan mencari Takluk Jagat. Saya tidak akan membalas
dendam kerana atuk pernah mengajar, dendam akan membawa lebih banyak
dendam, bertali arus dan tiada pengakhiran. Tetapi, saya akan
pastikan mereka tidak lagi menganiayai orang lain.” Bayu duduk
melutut di sisi pusara. Seruling usang atuknya dicacakkan di atas
pusara. Dia mengambil nafas dalam-dalam lalu berdiri kembali.
Matanya
berkaca dan hatinya sebak. Kakinya bagaikan terpaku ke bumi. Tetapi
dia perlu melangkah. Bayu merenung ke langit memohon kepada ALLAH
supaya ditunjukkan jalan. Dengan lafaz bismillah, dia memulakan
langkah.
Setelah
langkah kesepuluh, dia berhenti dan berpusing ke belakang merenung
pondok dan pusara datuknya buat kali terakhir. Bayu menarik nafas
panjang, berpusing kembali dan melaksanakan jurus Langkah Lipat
Bumi. Semoga ada petunjuk di Kampung Peruwa.