Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,806
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 5

MALAM itu, sesudah solat maghrib berjemaah bersama penduduk kampung di dalam madrasah, Bayu dihampiri oleh imam kampung itu setelah disedarinya terdapat jemaah asing.

Anak muda ini dari mana? Apa hajat ke kampung ini atau semata-mata singgah? Boleh Tok tahu?” tanya imam itu dengan lembut selepas mengucapkan salam.

Waalaikumussalam warrahmatullah. Hamba dari Kampung Peruwa. Nama hamba, Bayu Adi Jata. Singgah bermalam untuk melepaskan lelah, itu pun jika diizinkan orang di sini,” balas Bayu penuh bersopan.

Tidak mengapa. Orang di sini baik-baik. Anak silalah ke rumah Tok nanti. Kampung Peruwa walau agak jauh, namun tetap jiran kami. Apa salahnya berbuat baik sesama jiran. Digalakkan agama.” Imam itu tersenyum sambil melurut-lurut janggut putihnya yang jarang-jarang separas dada.

Hamba sangat menghargainya. Tok, boleh hamba tahu siapa nama tok dan nama kampung ini?” tanya Bayu. Kurang sopan rasanya jika tidak mengetahui nama orang tua yang baik hati ini dan tanah yang ditumpangnya.

Oh ya! Terlupa pula tok memperkenalkan diri. Panggil saja Tok Putih. Tok juga ketua di sini. Kampung ini dipanggil Kampung Bendang Keliling. Sempena sawah bendang yang mengelilingi kampung ini,” jelas Tok Putih.

Tok, kenapa tiada makmum wanita di dalam madrasah ini? Apakah mereka tidak dibenarkan berjemaah sekali?” Bayu kehairanan setelah didapatinya semua jemaah di dalam madrasah itu adalah lelaki.

Tok Putih kelihatan muram mendengar pertanyaan Bayu membuatnya serba salah. Risau jika pertanyaannya itu menyinggung perasaan imam tua itu.

Maafkan hamba, Tok Putih. Hamba tidak bermaksud hendak...”

Tidak. Anak tidak menyinggung siapa-siapa. Wanita bukanlah tidak dibenarkan berjemaah bersama-sama. Cuma, mereka takut hendak meninggalkan rumah pada malam hari.” Tok Putih memintas percakapan Bayu untuk menjelaskan perkara yang sebenar.

Kenapa Tok Putih? Hamba lihat kampung ini aman damai tiada sebarang kekacauan. Kenapa perlu takut?” Bayu dapat merasakan sesuatu yang aneh sedang berlaku di perkampungan itu.

Begini, sejak beberapa malam lepas, wanita di kampung ini telah diculik pada waktu malam oleh sesuatu yang kami tidak tahu. Benda itu memecahkan rumah dan melarikan mangsanya dengan pantas ke dalam hutan berhampiran. Kami langsung tidak terdaya mengejarnya. Akhirnya, cuma mangsa yang ditemui, tetapi sudah terlambat,” terang Tok Putih dengan wajah yang sugul.

Kini, Bayu faham mengapa orang kampung memandangnya dengan curiga ketika dia melangkah ke kampung ini tadi. Sebagai orang asing yang tiba-tiba muncul, dia pasti disyaki. Namun, mereka segera berubah sikap melihatnya memasuki madrasah. Kejahatan tidak akan menjejakkan kaki ke tempat suci.

Adakah pernah hutan itu digeledah? Mungkin benda itu tinggal di dalamnya.” Bayu membuat andaian.

Sudah. Tiada apa-apa dijumpai. Tiada sebarang kesan. Hmm... Baiklah, nanti tok ceritakan lagi. Sekarang, tok perlu menyampaikan tazkirah kepada jemaah sementara menunggu masuk waktu. Anak dengarlah bersama, ya?” Tok Putih meminta diri dan bergerak ke ruang tengah madrasah.

Kemudian, para jemaah mendekati dan mengelilinginya untuk mendengar tazkirah yang akan disampaikan. Bayu pun turut menyertai mereka dengan bersila di belakang para jemaah yang menghadap Tok Putih.

Sesudah tazkirah, mereka mengerjakan solat isyak berjemaah dan disudahi dengan bacaan surah Yasin untuk memohon petunjuk dan perlindungan. Kemudiannya, mereka saling bersalam-salaman sebelum meninggalkan madrasah itu.

Bayu berasa cukup senang dengan penduduk kampung itu yang masing-masingnya peramah dan murah dengan senyuman walaupun sedang dihimpit kejadian yang menakutkan. Berbeza dengan keadaannya semasa mula-mula melangkah masuk ke kampung ini tadi.

Sedang dia menunggu Tok Putih di luar madrasah, Indera Bumi di tangannya tiba-tiba bergetar perlahan dan berdengung-dengung. Bayu terkejut kerana dia tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Benarkah Indera Bumi itu yang berdengung atau tangannya yang menggeletar kerana keletihan? Digenggamnya Indera Bumi dengan tangan kiri, sah! Indera Bumi yang berdengung! Tetapi, kenapa? Apa yang ingin disampaikan? Bayu memerhati sekeliling. Tiada benda yang aneh.

Mari Bayu, ke rumah tok. Selang tiga buah rumah sahaja dari sini,” sapa Tok Putih dari belakang.

Bayu segera menyembunyikan perasaannya. Dia tidak mahu Tok Putih menganggapnya berperangai pelik. Dia mengikut sahaja Tok Putih berjalan. Seketika kemudian, Indera Bumi kembali diam.

***


RUMAH Tok Putih tampak sederhana, seperti rumah-rumah lain di dalam kampung itu. Ada rumah ibu, selang dan rumah dapur tetapi tiada serambi. Tingkapnya banyak. Di muka hadapan sahaja sudah ada enam buah tingkap dan pintu terletak di antaranya. Halamannya luas dan bersih. Pokok bunga kertas pelbagai warna dan juga bunga balung ayam ditanam menghiasi sisi tangga dan juga sekeliling halaman.

Bayu mendapati suasana di halaman setiap rumah terang benderang dengan lampu pelita dan jamung. Mungkin itu adalah resam di kampung ini ataupun ekoran daripada kejadian yang berlaku.

Apabila tiba di hadapan tangga, mereka disambut oleh isteri Tok Putih, digelar Tok Yah dan seorang pemuda yang umurnya lingkungan sebaya Bayu bernama Masiran. Tok Putih memperkenalkan Bayu dan menceritakan hasratnya untuk menumpang seketika di situ. Syukur hasratnya tidak ditolak oleh keluarga itu.

Tok tinggal di rumah ini berempat. Seorang lagi anak tok yang bongsu, Maisirah, 16 tahun umurnya. Mungkin sudah tidur di dalam bilik. Anak tidak berjumpa dengan Masiran di madrasah tadi kerana tok suruh dia tinggal di rumah menjaga Maisirah dan ibunya.”

Bayu mengangguk-angguk sambil memandang keadaan di dalam rumah itu. Lebih besar berbanding rumah Pak Mali dan tentunya berkali-kali ganda besarnya daripada pondok buruknya! Isi rumahnya hanya sederhana. Terbentang dua helai tikar mengkuang besar yang disusun rapat-rapat di hadapan pintu memenuhi ruang hadapan.

Di tengah-tengahnya, ada dulang tembaga yang termuat bekas tepak sirih dan sebuah pelita minyak. Ada sebuah lagi pelita tergantung pada dinding dan satu di dapur.

Jemputlah duduk dulu. Kita minum kopi sambil berbual.” Tok Putih duduk bersila dan menepuk-nepuk lantai meminta Bayu bersila di sebelahnya.

Bayu hanya mendiamkan diri dan menurut sahaja permintaan Tok Putih. Terasa segan juga kerana menumpang di rumah orang yang baru dikenalinya.

Ke mana arah tujuan saudara Bayu berkelana?” tanya Masiran yang sedang menarik selak pintu.

Bayu tertarik dengan palang kayu yang digunakan pemuda itu untuk menyelaknya. Besar dan teguh.

Tentu tidak kurang daripada tenaga sepuluh orang diperlukan untuk memecahkan pintu ini setelah siap diselak,’ fikirnya.

Tok Putih mengalihkan pandangannya pada Bayu dan terangguk-angguk menantikan jawapan. Dia juga ingin tahu arah tujuan anak muda itu.

Tujuan?” Bayu tergaru-garu kepala, “Hamba pun tidak tahu. Hanya menurut kaki sahaja. Ke mana ia melangkah, ke situlah hamba tuju,” jawabnya dengan nada ragu kerana dia sememangnya tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu.

Jawapan anak ini bagai orang yang tidak berhaluan dan putus harapan. Mengapa begini?” Resah pada pemuda ini, bagi orang yang banyak pengalaman hidup seperti Tok Putih, tentu mudah sahaja dapat dihidu.

Masiran datang duduk di hadapan mereka dan merenung wajah Bayu dengan hairan. Fikirnya, tentu sesuatu telah berlaku kepada pemuda ini. Umurnya jika dilihat pada raut wajah, tentu sebaya dengannya. Sekiranya ada perbezaan mungkin hanya setahun dua. Apakah musibah yang menimpanya sehingga sanggup meninggalkan kampung halaman dan merantau tanpa arah? Atau mungkin ada sesuatu yang disembunyikan?

Hamba sebenarnya mencari satu barang yang dirampas daripada keluarga hamba. Tetapi, hamba tidak tahu siapa yang merampas dan ke mana ia dilarikan. Oleh sebab itu, hamba berkelana tanpa arah. Berharap ketemu petunjuk,” ceritanya sambil tergaru-garu kepala.

Nampaknya, tiadalah dapat kami membantu. Tiada orang luar yang pernah singgah ke sini dalam seminggu dua ini. Bilakah barang saudara itu dilarikan?” tanya Masiran inginkan kepastian.

Dua malam lepas,” jawab Bayu dengan senyum tawar.

Masiran hanya menggeleng.

Hah! Nak Bayu, jemputlah minum air ni. Kopi kampung semata.” Tok Yah dari dapur datang menghidangkan kopi. Asap putih nipis kelihatan menari-nari di atas muka air hitam itu. Menyebarkan haruman kopi pekat yang menyelerakan.

Terima kasih.” Bayu mengangguk dan tersenyum. Tangan dihulur menerima kopi yang dihidangkan.

Tok Yah turut duduk bertimpuh di sebelah suaminya.

Eloklah anak berada di sini. Bolehlah membantu orang kampung menangkap jembalang yang bermaharajalela di sini,” pinta Tok Yah penuh pengharapan.

Eh, awak! Dia cuma singgah di sini. Tidaklah elok bagi kita bebaninya dengan masalah kita,” sampuk Tok Putih. Kurang senang hatinya, khuatir kata-kata isterinya meresahkan tamu muda.

Bayu tunduk mendiamkan diri. Kasihan dengan penduduk kampung ini, tetapi dirinya juga ada matlamat ingin dikejar. Semakin hari tentu semakin jauh Takluk Jagat dilarikan. Lama-kelamaan takut tidak dapat dijejaki lagi.

Tiba-tiba terdengar jeritan perempuan dari dalam bilik di penjuru belakang rumah itu. Tok Yah dan Masiran bergegas ke bilik itu. Tok Putih meninjau-ninjau dengan wajah cemas. Sebentar kemudian, Masiran menjengah dari dalam bilik sambil menggeleng-geleng. Melihatnya, Tok Putih menghela nafas kelegaan. Bayu pula terpinga-pinga.

Begitulah yang sering terjadi setiap malam sejak kejadian itu berlaku. Maisirah akan terjaga dan menjerit sebab ketakutan. Begitu juga anak-anak gadis dan wanita lain di kampung ini. Mereka tidak tenteram,” jelas Tok Putih. Riak wajahnya sugul. Bebanan berat pemimpin bergayutan di bahu tuanya.

Berderap lantai papan dipijak. Bayu memerhatikan Tok Yah memimpin seorang gadis keluar dari bilik itu. Air mata gadis itu berlinangan. Cantik wajahnya. Bujur sirih dengan rambut ikal mayang mengurai dan berkulit hitam manis. Gadis sunti itu kehairanan apabila ternampak Bayu.

Siapa orang ini, mak?” tanyanya sambil menyeka air mata dengan hujung jari.

Segera Tok Yah memperkenalkan Bayu kepada Maisirah.

Seorang kelana? Entah-entah dialah punya angkara apa yang berlaku di sini! Dulu berselindung di dalam hutan di luar sana. Kini, sudah berani masuk kampung secara terang-terangan! Ingin dihantuinya tempat ini!” Tiba-tiba, Maisirah membentak seperti hilang akal dan meronta-ronta.

Tok Yah dan Masiran segera menahan dan menenteramkannya. Bayu cuma terdiam mendengar pertuduhan itu. Perasaannya menjadi tidak enak. Tetapi, akalnya masih lagi menguasai diri. Orang yang dalam ketakutan yang amat, tentu fikirannya terganggu dan susah hendak mempercayai orang asing.

Tok Putih memandang Bayu dengan wajah yang redup, tanda rasa bersalah terhadap pertuduhan anak gadisnya. Sebaliknya, Bayu membalas dengan senyuman, tanda dirinya tidak ambil hati dan sudi membantu. Dia tidak boleh mementingkan dirinya sahaja. Dia mempunyai sedikit kelebihan, tentu boleh membantu sedikit sebanyak.

Jika ingin mengejar Takluk Jagat, dia tidak mempunyai petunjuk buat masa sekarang. Sekiranya diteruskan juga, mungkin membawanya ke jalan yang lebih jauh memisahkannya dari matlamat. Lagipun, dia perlu membuktikan dirinya tidak bersalah, sekurang-kurangnya kepada Maisirah. Melihatkan senyuman tamu mudanya, wajah Tok Putih kembali cerah.

Tiba-tiba, kedengaran seakan bunyi seperti benda berat terjatuh di halaman. Maisirah berhenti meronta. Masiran, Tok Yah dan Tok Putih saling pandang memandang dengan cemas. Bayu berasa dadanya berdebar. Nalurinya memberitahu ada sesuatu yang tidak kena. Dirinya lebih cemas tatkala Indera Bumi tiba-tiba bergetar dan berdengung!

Pintu rumah tiba-tiba terkuak dan tercabut! Berdentum bunyinya! Palang besar yang digunakan sebagai selak patah dan terpelanting ke tengah rumah. Seluruh isi rumah terkejut dan tergamam. Ada satu lembaga manusia berdiri di muka pintu yang terkopak. Berpakaian serba gelap dengan wajahnya diselindungi kegelapan walaupun suasana terang dengan cahaya pelita dan jamung. Seolah-olah, wajahnya tidak sudi dijamah cahaya!

Lembaga itu dengan pantas menyerbu dan menolak Masiran dan Tok Yah sehingga terduduk, lalu dirangkulnya Maisirah. Gadis itu yang ketakutan menjerit meminta tolong. Bayu segera bangun lalu menerkam untuk menangkap lembaga itu tetapi dapat dielak. Lembaga itu berlari ke pintu dan melompat ke halaman dan melarikan diri bersama mangsanya. Bayu dengan segera turun dari rumah dan mengejar mengikuti lembaga itu.

Masiran! Panggil orang kampung! Ikut jamung hamba ini!” Bayu melaung memberi arahan sambil mencabut sebatang jamung yang tercacak di halaman. Bayu mengikuti lembaga itu dari belakang. Nyata lembaga itu lebih pantas daripada Bayu walaupun membawa beban. Tetapi, tidak bermakna Bayu tidak dapat mengejarnya.

Lembaga itu kemudian melompat tinggi ke atas atap rumah penduduk di situ dan terus melarikan diri dengan melompat dari atap ke atap rumah yang lain. Bayu pula masih terus mengejar. Sekali pun dia tidak mengizinkan lembaga itu terlepas daripada pandangan matanya. Maisirah pula tidak berhenti menjerit. Bayu agak senang begitu. Sekurang-kurangnya, itu tanda dia masih bernafas dan orang kampung dapat mengejar mengikuti arah datangnya jeritan jika mereka tidak dapat melihat jamungnya.

Lembaga itu kemudiannya berubah arah menuju ke luar kampung. Dengan pantas, mereka berkejaran menyusuri batas bendang dan menuju ke pinggir hutan. Sampai sahaja di hutan, lembaga itu melompat menjejaki batang pokok dan berpusing menyerang Bayu dengan penumbuknya.

Bayu tidak sempat mengelak, segera dia menyilangkan tangannya untuk menahan tumbukan itu. Tumbukan itu kuat menghentak tepat kepada Indera Bumi menyebabkan Bayu terdesak ke belakang.

Tetapi, apa yang berlaku kepada lembaga itu membuatkan Bayu kehairanan. Ia terpelanting jauh ke belakang sambil menjerit-jerit. Maisirah yang dikendongnya tercampak dan berguling-guling di atas tanah. Bayu segera melangkah ke hadapan gadis sunti itu yang terlantar mengaduh kesakitan untuk melindunginya. Dilambungnya jamung yang dibawa bersamanya ke atas dahan pokok supaya dapat dilihat orang kampung. Maisirah terkial-kial bangun dan bersembunyi di belakang Bayu. Tubuhnya menggigil-gigil. Air matanya masih laju mengalir walau tiada esak tangis.

Lembaga itu bangun perlahan-lahan dengan badannya yang menggeletar. Walaupun wajahnya tidak kelihatan, namun matanya bagaikan bercahaya. Sinarnya samar-samar kelihatan.

Kau! Masih hidup! Mengganggu! Susahkan aku!” Tiba-tiba lembaga itu membentak dengan suaranya yang garau.

Masih hidup? Apa maksud lembaga ini?’ Bayu tidak mengerti. Mungkin lembaga ini hanya bercakap apa yang dimahunya. Tiada gunanya dia bersoal jawab dengan makhluk yang bagaikan binatang buas tetapi pandai berkata-kata.

Bayu menjeling ke arah kampung. Kelihatan berduyun cahaya dari api jamung orang kampung sedang menyusuri batas bendang menuju ke situ. Mereka masih jauh. Lembaga itu kemudiannya melompat-lompat bagaikan ungka. Bayu sedar lembaga itu ingin menyerangnya.

Lembaga ini kuat dan menggunakan kekerasan. Aku akan mengatasinya dengan kelembutan,’ fikir Bayu. Segera dia memainkan tari jurus permulaan Bayu Berolak yang diperturunkan datuknya.

Menurut datuk, jurus ini adalah daripada warisan keluarganya dan namanya - Bayu, juga diambil daripada nama jurus ini. Jurus yang dimainkan lembut dan gemalai tetapi keras apabila membalas seperti resmi dahan yang dibengkokkan perlahan-lahan kemudiannya melibas dengan kuat apabila dilepaskan.

Maisirah yang tadinya menggigil ketakutan kini menjadi tenang dan terpesona dengan kecantikan dan kelembutan bunga tari yang Bayu persembahkan.

Bayu sempat menyediakan dirinya apabila diserbu oleh lembaga itu. Maisirah pula mengesot berundur menjauhkan diri. Pukulan keras lembaga itu dapat Bayu menahannya, lalu menolaknya ke sisi. Lembaga itu belum menyerah, lantas sekali lagi menyerbu. Bayu sedaya upaya mempertahankan diri daripada serangan yang pantas dan berat itu. Dia ternampak ruang dalam serangan lembaga itu. Kesempatan yang ada segera diambil dengan mengunci tangan lembaga itu dan menolaknya dengan bahagian atas lengan kanannya yang dilindungi Indera Bumi.

Lantas, lembaga itu terpelanting sambil meraung-raung dan terhumban ke dalam semak. Bayu bersedia untuk menghadapi serangan seterusnya. Dia tidak meluru dan menyerang kerana jurus yang digunakannya ini dicipta hanya untuk mempertahankan diri. Jadi, dia cuma menunggu.

Setelah beberapa ketika, lembaga itu masih juga tidak memunculkan diri. Semak itu yang mulanya bergoyang-goyang, kini sepi tidak bergerak. Dia tahu lembaga itu sudah bergerak ke tempat lain. Bayu berundur perlahan-lahan mendekati Maisirah. Dia takut lembaga itu menukar rentak ‘permainannya’ dengan menyerang Maisirah.

Kanda Bayu!” Maisirah memanggilnya setelah Bayu berada hampir dengannya. Dia ingin pendekar muda itu segera membawanya pulang.

Syyy...” Bayu meletakkan jari pada mulutnya sebagai isyarat supaya Maisirah tidak bersuara. Dia ingin mengesan pergerakan lembaga itu yang mungkin sedang mengendap menunggu peluang menyerang dalam gelap.

Dia sudah pergi,” ucap Bayu setelah didapatinya tiada pergerakan di kawasan sekitar. Dia menoleh dan memandang wajah Maisirah yang masih pucat. Indera Bumi pun sudah berhenti berdengung. Serba sedikit dia sudah memahami keupayaan pelindung lengan itu.

Jembalang itu sudah mati?” tanya Maisirah.

Hamba rasa belum. Tetapi rasanya dia sudah tidak berani mengganggu kampung ini lagi.” Bayu cuba menghiburkan hati Maisirah. Sedangkan, hakikat yang akan berlaku mungkin sebaliknya.

Ayuh, kita pulang!” Dia memegang lengan gadis sunti itu dan mengangkatnya berdiri. Mereka beriring keluar daripada hutan itu.

Seketika kemudian, mereka bertemu dengan orang kampung yang berkejar menuju ke arah isyarat jamung Bayu. Bukan kepalang kegembiraan penduduk Kampung Bendang Keliling melihat anak ketua mereka berjaya diselamatkan.

Masiran segera mendapatkan Maisirah dan memeluk saudara kesayangannya. Mereka berdua menangis kegembiraan. Bayu pula diusung beramai-ramai di atas bahu penduduk kampung. Dialah penyelamat mereka. Dialah wira!


***

DARI jauh, di atas sebatang pokok di hujung kampung, ada sepasang mata sedang memerhatikan sambutan yang diterima oleh wira yang baru dijulang.

Sasarannya telah berubah. Amarahnya akan lebih dahsyat!” katanya sambil menghembus asap rokok daun berkepul-kepul. Entah memberi amaran ataupun membuat ramalan. Lelaki itu yang tidak lekang rokok daun daripada mulutnya itu, kemudiannya beredar.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.