Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,803
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 1

MATAHARI sudah pun segalah di atas kepala. Rumpun buluh yang menjulang tinggi dan melentur hujungnya bagaikan menari-nari ditiup angin yang sesekali menderu. Bayangnya melindungi sebuah pondok usang yang masih kukuh berdiri daripada terik mentari.

Di atas serambi, ada seorang tua berkain sarung kelabu lusuh duduk bersila. Rambutnya sudah beruban dan jarang-jarang, tetapi panjang. Suasana redup begini begitu menyenangkan tatkala jari-jemarinya yang sudah berkedut menguliti sebatang seruling buluh. Mendayu iramanya ditiup si tua.

Bagaikan batang kail ditarik ikan, sebatang buluh daripada rumpunan yang berceracak ke langit itu melentur lebih jauh ke bawah. Ada seorang pemuda berbaju Teluk Belanga merah dan berseluar sedondon dengan berikat kain sarung di pinggang sedang berjejak di hujung pucuknya, bagaikan rajawali yang terbang dan hinggap di dahan. Rambutnya yang panjang lurus separas kepala bahu terbuai-buai ditiup angin. Wajahnya bersih dan berkulit cerah. Matanya hitam tajam merenung ke serambi pondok itu.

Bertempiaran semua unggas rimba mendengar tiupan seruling atuk.” Pemuda itu mengusik si tua yang masih asyik dengan serulingnya. Terhuyung-huyung pemuda itu mengimbangi badan apabila buluh yang dijejaknya itu dilanda angin.

Turun, nanti ada yang melihat!” marah orang tua itu.

Pemuda itu tertawa kecil, mungkin gembira dapat mengusik atuknya. Lantas dia terjun ke bawah dengan memutarkan tubuhnya dan memijak tanah dengan perlahan. Ligat umpama gasing, lembut umpama kapas melayang.

Tiada sesiapa di tengah hutan ini. Hanya kita berdua sahaja bagaikan kera sumbang hidup terpisah.” Pemuda itu membuka capalnya dan naik ke serambi mendekati atuknya dan bercangkung di belakang orang tua itu.

Bayu, kamu fikir tiada sesiapa memasuki hutan ini? Orang kampung di luar sana tidak perlu mencari kayu api? Mencari akar-akar kayu? Tidak mengidam daging pelanduk ataupun ayam hutan?” Atuknya menjeling. Bertalu-talu bicaranya mengingatkan cucunya, Bayu Adi Jata. “Janganlah sangka kita jauh dari orang bermakna kita terasing,” sambungnya lagi sebelum meletakkan semula seruling di bibir.

Sejak kecil lagi Bayu tinggal bersama atuknya, Gelora Singara Jata di tengah-tengah rimba itu. Dia tidak pernah mengenali wajah ayah dan ibunya. Orang tua itu sahajalah yang dia ada. Orang tua itulah ibu dan bapanya. Tetapi dia tidak pernah tahu mengapa mereka perlu hidup terasing di tengah rimba. Bagai ingin merahsiakan kewujudan. Malah, dia juga dilarang menunjukkan ilmu persilatan yang dipelajarinya.

Pernah juga dia bertanya sebabnya mereka mengasingkan diri. Namun, tiada jawapan yang pasti diterima. Cuma alasan ‘tidak mahu diganggu’ sahaja yang diberikan orang tua itu. Walaupun jauh di tengah rimba, sesekali dia akan keluar ke kampung berdekatan untuk membeli barang-barang keperluan dan menjual kayu api, seperti hari ini.

Bayu, di mana pengat pisang atuk pesan tadi?” tanya orang tua itu.

Seruling diletakkannya ke sisi. Seruling itu bergolek-golek lalu terhenti kerana tersekat pada celahan kepingan papan lantai serambi.

Bayu menunjukkan bungkusan daripada daun keladi yang diikat dengan tali yang dibuat daripada kulit batang pisang kering, tergantung di pinggangnya. Gelora berpusing menghadap cucunya dan menghulurkan tangan untuk mengambil bungkusan itu. Bagaimanapun sebelum tangannya menyentuh bungkusan itu, Bayu segera melompat ke belakang dan berjejak di hadapan tangga. Dia mengenakan capalnya lalu berundur ke halaman.

Kamu nak bermain?”

Atuk cubalah,” Bayu tersenyum. Dia tunduk dan mendepangkan tangan, bagaikan menanti cabaran.

Gelora turut melompat ke halaman dan berdiri menghadapi cucunya. Ketangkasannya membuktikan si tua ini bukanlah calang-calang. Usia bukan ukuran.

Begitulah kelakuan mereka. Selalunya Bayu yang merebut barang daripada atuknya, tetapi kadang-kadang apabila kelebihan memihak kepadanya, atuknya pula yang terpaksa merebut. Ada tujuannya Gelora mendidik Bayu begini. Biar cucunya tahu, bukan mudah mahu mendapat apa yang dihajati, biarpun ia jelas terpampang di hadapan mata. Ini juga caranya bagi menguji kemajuan ilmu persilatan yang diperturunkan kepada cucunya itu.

Suasana hening seketika. Gelora menarik nafas dalam-dalam, matanya merenung tepat ke mata cucunya. Mulutnya menutur lafaz bismillah. Dia melepaskan sedikit nafas dan terus menyerbu ke arah Bayu. Cucunya yang sudah pun bersedia dalam kuda-kudanya mengelak serbuan itu. Tetapi serangan atuknya bukan setakat itu sahaja. Dia bergerak pantas ke rusuk dan cuba merampas bungkusan di pinggangnya. Bayu segera berundur dan datuknya berputih mata.

Tetapi Gelora belum lagi mahu mengalah. Mereka berbalas jurus tempur tangan sebelum orang tua itu tiba-tiba merebahkan tubuhnya untuk menyerang bahagian kaki Bayu. Seolah-olah dapat membaca pergerakan datuknya, dengan pantas Bayu melompat mengelak. Disebabkan serangannya tidak menjadi, Gelora berundur bagi mengatur langkah dan nafasnya semula.

Bagus! Gerakan kakimu semakin baik,” puji Gelora.

Atuk pula semakin lambat,” Bayu mengusik atuknya lagi. Dia mengambil kesempatan itu untuk memperkemaskan kuda-kudanya dan mengawal alunan pernafasan.

Dengan bibirnya tersenyum simpul, Gelora sekali lagi menyerang cucunya. Bayu tahu makna senyuman itu. ‘Pasti atuk ada muslihat,’ fikirnya. Dia tahu, dia perlu lebih berwaspada.

Mereka meneruskan tempur jarak dekat. Kali ini Gelora langsung tidak mencuba untuk merampas bungkusan itu dan membuatkan Bayu hairan. Namun, teka-teki yang bermain di kepala terjawab sejurus kemudian apabila atuk mula membaca mantera:


Tunjang berpasak tegak berdiri,

kaki berpijak bertemu bumi,

melata urat segenap sendi,

menjalar mencengkam pasung pasak bumi!”


Seraya dengan lafaz perkataan akhir, Gelora dengan pantas berundur dan menghentak kakinya dengan kuat ke tanah.

Atuk, atuk!” Bayu menggeleng-geleng. “Apakah atuk lupa Bayu memakai capal kulit kijang putih? Atuk sendiri yang berikan kepada Bayu dulu.”

Memang atuk tahu ilmu jurus Pasung Pasak Bumi tidak dapat meresap melalui kulit kijang putih. Mana-mana ilmu paku badan tidak akan berkesan jika tubuh dan bumi di alas dengan kulit itu. Tetapi, apa benarkah kamu masih memakai capal itu?” Datuknya tersenyum sumbing.

Bayu terperanjat apabila mendapati dia hanya beralaskan daun-daun kering di bawah telapak kakinya. Bayu memandang datuknya. Dengan bersahaja datuknya menunjukkan capal kulit kijang putih yang terselit pada kain sarung di belakang pinggang.

Mana mungkin! Atuk bermain jurus Tangan Ular merampas capal saya? Atuk pernah berkata jurus itu hanya untuk pencuri. Tak patutlah atuk menggunakan jurus itu!” Dia berteriak merungut. Tubuhnya tidak lagi dapat bergerak, kecuali bahagian lehernya ke atas. Mangsa jurus Pasung Pasak Bumi hanya mampu bercakap.

Dalam perebutan nyawa semua ini tidak diambil kira. Atuk mengajar kamu dari segi tatasusila. Jika musuh berundur secara tiba-tiba, segeralah kamu periksa tubuh kamu. Mungkin dia mencuri barang ataupun melekatkan azimat ataupun tangkal pada kamu. Jangan memandang rendah pada musuh yang kelihatan lemah.” Atuknya berhujah dan Bayu pula mencemik muka.

Dia teringat kembali semasa atuknya cuba menyerang bahagian kakinya dan tiba-tiba berundur, berpura-pura hendak mengatur nafas. Itulah ketikanya atuk merampas capal dengan jurus Tangan Ular. Jurus yang mementingkan kepantasan dan kelicikan pengamalnya. Jurus yang secocok bagi pencuri.

Gelora mendekati cucunya dan menepuk-nepuk kepala. “Ingat pesan atuk.” Dia mengambil bungkusan di pinggang Bayu dan kembali naik duduk bersila di serambi.

Atuk! Batalkanlah jurus ni! Lenguhlah!”

Hukuman bagi yang tewas!” Gelora kemudiannya tertawa riang dan tidak mempedulikan cucunya itu. Dia membuka bungkusan di tangan. Raut wajahnya kemudian berubah apabila melihat isi kandungannya.

Di mana daun rokok dan tembakau atuk? Kamu terlupa lagi?”

Ada!” Bayu tersenyum nakal kerana ada peluang baginya. “Atuk bebaskan saya dahulu, nanti saya serahkan.”

Bijak kamu, ya?” Gelora menghulurkan kakinya ke tanah dan menghentakkan tumit. Jurus terbatal dan Bayu dapat bergerak semula.

Di mana kamu simpan?”

Sebenarnya, saya terlupa membelinya.” Bayu menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal. “Sekarang jugak saya belikan!”

Hisy, budak ini, pergi cepat! Ambil balik capal kamu ni!” Atuknya merungut. Capal dilemparkan ke tanah dan Bayu cepat-cepat menyarungkannya ke kaki.

Gelora Singara Jata tersenyum. Kadangnya tidak dapat difahami akan sifat cucunya itu. Ilmu persilatan dan jurus-jurus yang rumit diperturunkan semuanya dapat diingat dengan mudah. Tetapi apabila dipesan barang, pasti ada sahaja yang tertinggal.

Bayu bergegas meninggalkan halaman pondoknya. Perjalanan ke Kampung Peruwa, iaitu kampung yang paling dekat memerlukan satu petang untuk sampai jika berjalan kaki.

Atuk akan mengamuk jika rokoknya lambat sampai.” Bayu meninjau-ninjau sekeliling. “Tiada jejak orang berhampiran. Bolehlah hamba guna Langkah Lipat Bumi. Lebih cepat sampai!”

Sambil mempercepatkan langkah mengharungi hutan, Bayu membaca mantera ilmu deras langkah yang diperturunkan datuknya,


Gebar senja pemisah siang,

Larut malam bintang beribu,

Embun menitis di hujung daun,

Melangkah deras lari si kijang,

Membuka jalan arah nan satu,

Tidak tersekat hutan merimbun.”


Bagaikan melayang terasa tubuhnya apabila jurus terlaksana. Umpama anak panah dilepaskan dari busurnya. Tempat yang dituju semakin hampir...

***

SEBAHAGIAN daripada pengat pisang disimpan untuk cucunya. Gelora tunduk ke lantai dan menghela nafas panjang, lalu udara di dalam relung dadanya itu dihembuskan perlahan-lahan. Wajah tuanya diganggu keresahan.

Mentari sudah condong. Burung-burung pun sudah berlegar di sarang. Tinggal tiga ekor tikus sahaja yang masih terhendap-hendap.” Dia itu (delete itu) tiba-tiba bersuara. Sudah lama dia menyedari akan ada tamu yang tidak diundang.

Tiga susuk tubuh manusia tiba-tiba melompat keluar dari hutan belukar di penjuru belakang pondok itu. Masing-masing berpakaian serba hitam berdiri bagai menanti di halaman.

Ternyata lembing setua dan seburuk mana sekalipun, masih tetap merbahaya. Tetapi, adakah tangkai pemegangnya masih utuh ataupun sudah reput?” Orang yang di tengah bersuara. Tubuhnya sederhana tinggi namun tegap susuknya. Rambutnya bergelombang besar hitam berkilat dan panjangnya hampir mencecah bahu dibiarkan bebas. Gaya dan nadanya bersuara menunjukkan dia ketua kepada tetamu-tetamu yang tidak diundang ini.

Cukuplah jika sekadar hendak memukul tiga ekor tikus yang membuat kacau,” Gelora menyindir. Serulingnya dicapai dan digosok-gosok. Ketiga-tiga lelaki berpakaian hitam itu tidak dihiraukan.

Malangnya satwa yang mengganggumu bukan tikus. Masamu telah berlalu, orang tua!”

Jikalau bukan tikus, mengapa perlu tunggu sehingga orang tua ini keseorangan baru hendak bertindak?” Gelora berhenti menggosok serulingnya dan menjeling kepada mereka.

Seorang daripada mereka yang berbadan gempal dan berikat kain hitam menutupi kepala membuka langkah untuk mara tetapi ditahan oleh lelaki di tengah. Si gempal terpaksa akur dan berundur kembali ke sisi sebelah kiri ketuanya.

Tugas lebih mudah dilaksanakan sekiranya tidak banyak rintangan menghalang, bukan?” Lelaki yang seperti ketua mereka bertiga itu tersenyum.

Tikus-tikus ini seperti bertuan. Apa tujuan kalian sehingga sanggup meredah hutan mencari orang tua ini? Apa yang tuan kalian hajatkan?”

Sesuatu yang telah lama hilang daripada dunia luar. Sesuatu yang tuan hamba sembunyikan.” Lelaki yang berdiri di sebelah kanan sekali bersuara. Tubuhnya kurus dan tinggi lampai. Wajahnya kelihatan cengkung dengan tulang pipi tertonjol. Dia juga mengenakan ikat kepala daripada kain berwarna hitam. Sekali dilihat, mereka ini kelihatan seperti sekumpulan bajak laut yang tersesat di tengah rimba.

Bicara lelaki kurus itu membuatkan Gelora tersentak. Perkara yang paling ditakutinya sudah berlaku. Sesuatu yang disembunyikannya selama ini sudah dijumpai. Dia sanggup mengasingkan diri ke dalam hutan ini pun semata-mata untuk melindunginya.

Masih ada orang mengingatinya? Siapa tuan kalian? Siapa arahkan kalian mencarinya?” Gelora memandang tepat ke arah mereka. Seruling yang diuliti di jari-jemari diletakkan. Dia mulai resah.

Siapa yang mencarinya tidaklah perlu tuan hamba tahu. Serahkan sahaja kepada kami berserta nyawamu.” Lelaki yang di tengah melangkah ke hadapan.

Gelora tidak dapat mengelak, mereka perlu dihalang tetapi dia sedar akan ukuran kudratnya. Dia tahu, ini perjuangan terakhirnya. Darah pendekarnya yang telah lama sejuk kini mendidih semula. Walaupun harapannya yang ada bagai sinar mentari senja yang menunggu gelap malam, namun menyerah tidak sekali!

Dia bangun dan menanggalkan kain sarungnya. Tinggallah sahaja celana hijau paras betis yang dipakai. Lalu, dengan berhati-hati dia menuruni tangga menghadapi mereka bertiga.


Negeri kemarau panasnya membara,

keringlah sudah air di kali,

walau nyawa di hujung senjata,

untuk menyerah tidak sekali!”


Memang orang tua keras kepala!” Lelaki yang berada di tengah terus membuka langkah dan menyerang.

Gelora menyambut serangan dengan tenang dan berhati-hati. Semua pukulan dapat dielak dan ditepisnya. Tetapi apabila dua orang yang pada mulanya hanya memerhati turut serta dalam peraduan pencak, dia mulai kelam-kabut. Dia perlu menjarakkan diri dari penyerang-penyerangnya untuk menyusun semula langkah. Gelora menarik nafas dengan lafaz selawat ke atas nabi junjungan dan mula membaca mentera dengan suara halus bisikan,


Awan gemulung ditolak bayu,

angkasa merah dinoda darah,

berpusar angin kelilingi aku,

menghembus kencang dengan perintah!”


Gelora Singara Jata mendepangkan tangannya. Ketiga-tiga penyerang itu tercampak jauh ke belakang dihembus angin kencang yang tiba-tiba bertiup hasil daripada jurus si tua itu. Darah mengalir daripada bucu bibir dan hidung mereka, tanda ada kecederaan dalaman. Dia sendiri pula sudah mengah. Keringatnya laju bercucuran. Jurus itu terlalu banyak memakan tenaga tuanya.

Hamba tidak menyangka si tua ini masih mampu melaksanakan jurus Ribut Hembus. Namun jangan tuan hamba memandang rendah kepada kami, Mergastua Bertiga!” Lelaki yang tadinya berdiri di tengah seperti ketua, digelar Musang Darat sudah hilang sabar. Lantas dia memberi isyarat kepada rakan-rakannya untuk laksanakan serangan terakhir.

Dengan termengah-mengah, Gelora menyusun semula langkahnya. Dia sedar, inilah batasannya.

BAYU bergerak pantas mengharungi rimba. Bungkusan rokok daun pucuk nipah sudah dalam genggaman. Dia tidak mahu terlambat, pastinya datuk sudah bermasam muka menantikan tembakau dan daun rokoknya. Setiap kali selepas makan sahaja, orang tua itu pasti mahu merokok. Sudah puas dia menasihatinya supaya berhenti. Namun, orang tua itu selalu menjawab, “Atuk sudah tua, bila-bila masa boleh ‘pergi’...”

Tiba-tiba sebatang dahan tua gugur di hadapannya dan menghalang jalan. Bayu tersentak. Entah mengapa dadanya berdebar-debar, bukan kerana terkejut. Apakah ini suatu petanda? Adakah sesuatu telah terjadi? Nalurinya membisikkan suatu tidak baik akan berlaku. Hatinya bergelumang resah. Dengan segenap kudrat yang ada, mantera Langkah Lipat Bumi dibaca supaya segera tiba ke sisi datuknya.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.