Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,834
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 4

SESUDAH sehari semalam merentasi belantara dan perkampungan, Musang Darat mengarahkan rakan-rakannya untuk berhenti berehat. Mereka mencari-cari kawasan yang sesuai untuk melepaskan lelah. Akhirnya bertemu sebuah pondok tinggal di sebuah dusun di tengah hutan.

Setelah disiasat tiada orang lain berdekatan, barulah mereka masuk singgah di dalamnya. Pondok itu tentu digunakan oleh tuannya untuk menunggu buah-buahan di sekitar dusun itu. Mereka tidak perlu risau kerana sekarang bukan musim buah, jadi tentu tiada orang yang akan menghampiri kawasan itu. Usai dibersihkan dalaman pondok itu, masing-masing mengeluarkan bekal makanan dan menikmatinya.

Musang, tidakkah tuan hamba berasa pelik? Senjata keramat itu hanya dijadikan penyendal pintu dan tidak dijaga? Mungkin ia bukan yang asli.” Helang Langit menyuarakan isi hatinya yang terbungkam sejak semalam.

Yalah Musang, pelik!” sampuk Tikus Bumi sambil menyuap ayam bakar yang dibawanya.

Hamba tidak tahu. Tetapi, daripada gambaran yang diberikan Tuan, kita tidak salah,” terang Musang Darat.

Apa kata tuan hamba hunuskan keris itu. Mungkin daripada matanya dapat dipastikan sama ada ianya asli atau cuma salinan.” Helang Langit memberi cadangan.

Betul!” Sekali lagi Tikus Bumi menyampuk sambil menggigit paha ayam, tersembur-sembur tatkala dia bercakap.

Musang Darat membuka bungkusan yang menyimpan Takluk Jagat. Digosok-gosok dan dihembusnya sarung keris itu untuk membuang habuk. Dia bangun dan berdiri tegak di tengah pondok. Takluk Jagat diacungnya ke hadapan. Mulanya agak susah untuk mencabut keris itu daripada sarungnya. Setelah mengerah segenap tenaga, barulah Musang Darat berjaya menghunusnya.

Tentu sudah lama keris ini tidak pernah dihunus,” fikirnya. Ditelitinya mata keris yang hitam berkilat itu. Tulang belakang pada kedua-dua belah matanya daripada logam yang seakan perak dan berukiran seperti tumbuhan menjalar. Memang cantik.

Musang Darat berasa aneh melihat ukiran itu, begitu asing seolah-olah berasal dari daerah yang jauh. Helang Langit dan Tikus Bumi hanya memandang tanpa sepatah kata. Terpesona dengan kecantikan dan kemewahan keris itu.

Bagaimana tuan hamba berdua? Hamba fikir ini Takluk Jagat asli. Lagipun, Takluk Jagat ini sudah dilupakan. Mustahil ada orang yang akan membuat salinan terhadap barang yang mereka tidak dapat ingat,” ujar Musang Darat.

Sedang Musang Darat mengamati mata keris itu, dirasa tangannya bergetar. Keris itu yang memaksa tangannya bergetar! Getarannya semakin kuat! Kemudian, keris itu dengan sendirinya melibas ke kiri dan ke kanan. Musang Darat hanya dapat menurut sahaja pergerakan keris itu kerana dia sudah tidak dapat mengawalnya lagi. Ingin dilepaskan hulu keris itu tetapi ia bagaikan melekat di genggamannya.

Tikus, Helang! Lebih baik kalian berundur.” Musang Darat memberikan amaran kepada kedua-dua rakannya. Walaupun hatinya terkejut dan berdebar-debar, namun dia masih lagi dapat berbicara dengan tenang.

Pencak apa yang tuan hamba tunjukkan ini? Sumbang sahaja langkahnya?” usik Tikus Bumi sambil ketawa kerana disangkanya Musang Darat hanya bersenda.

Musang Darat berusaha mengekang keris itu yang melibas membabi buta sambil berusaha melepaskan hulunya. Tiba-tiba, mata keris itu laju menghala ke leher Tikus Bumi. Tikus Bumi tergamam dan menjadi kaku melihat mata keris itu yang hampir menebas kepalanya.

Helang Langit bertindak pantas merempuh Tikus Bumi menyebabkannya terlentang ke belakang dan terselamat daripada libasan Takluk Jagat. Serentak dengan itu juga, Musang Darat berjaya melepaskan hulu Takluk Jagat. Keris itu melayang dan tercacak di tiang kiri penjuru pondok.

Musang! Tuan hamba sudah gila? Hilang akal mahu membunuh sahabat sendiri?” marah Helang Langit. Dia menampar-nampar pipi Tikus Bumi yang masih lagi terlentang, tergamam dengan peha ayam masih lagi terjojol dari dalam mulut demi menyedarkannya.

Musang Darat tidak menjawab. Diurut dan dipicit-picitnya tangan kanan yang terasa kebas. Matanya terpaku menatap Takluk Jagat yang tercacak di tiang. Walaupun sudah terlepas daripada tangannya, keris itu masih lagi bergetar berdengung-dengung sehinggakan pondok itu ikut bergegar perlahan.

Melihatkan Musang Darat hanya membisu, Helang Langit memakukan matanya pada Takluk Jagat. Setelah ditelitinya barulah dia faham apa yang berlaku.

Apakah keris ini berpuaka?” tanyanya.

Musang Darat menggeleng. “Ini bukan puaka, tapi naga,” ujarnya. Biarpun wajahnya kelihatan tenang, namun nada cemasnya tidak dapat disembunyikan. Mata hitamnya tidak beranjak memerhatikan Takluk Jagat. Perjalanan masih jauh. Dia perlu berhati-hati membawa ‘naga’ itu. Dia perlu pastikan naga itu tidak terlepas lagi daripada kandangnya!

Naga?” Helang Langit mengerut dahi. Dia tidak pernah melihat Musang Darat cemas begitu.

Sewaktu mereka bertiga menerima tugasan mencari Takluk Jagat dahulu, dia sedar ia bukan sebilah keris sembarangan. Tetapi kenyataannya, kehebatan keris itu melebihi sangkaannya.

Kurungkan sajanaga itu semula.” Tikus Bumi tiba-tiba bersuara acuh tak acuh.

Musang dan Helang menoleh kepadanya. Entah bila dia sedar semula, kini sedang rancak menyambung seleranya yang tergendala. Mereka berdua tersenyum sahaja melihat kelakuannya. Nampaknya tiada apa yang dapat menghalang Tikus Bumi daripada menghabiskan habuannya yang terhidang di depan sila.

Kita perlu tunggu ia tenang dahulu,” kata Musang Darat. Dia takut keris itu ‘mengganas’ semula jika dicabutnya. Lalu dia duduk bersila menghadap bekal yang dibawanya.


***

SESUDAH selesai mengisi perut, Musang Darat bangun dan mencabut Takluk Jagat dari tiang pondok setelah didapatinya keris itu sudah berhenti berdengung. Cepat-cepat dia menusuknya kembali ke dalam sarung. Selepas itu, diikatnya Takluk Jagat kepada sarungnya ketat-ketat dengan dua helai kain dan kemudian dibungkusnya dengan kemas menggunakan dua helai kain sarung.

Kenapa sampai begitu sekali tuan hamba mengikatnya?” tanya si Tikus Bumi setelah dilihatnya Musang Darat membungkus kain itu seperti hendak menyembunyikan sejongkong emas.

Hamba khuatir. Tadi, hamba rasa hamba telah membangkitkan semula semangat keris ini dengan menghunusnya. Takut selepas ini, ia mampu bertindak sendiri. Manalah tahu.” Musang Darat tahu mustahil keris dapat menghunus dengan sendiri tanpa tangan yang mencabutnya. Tetapi dalam keadaan seperti ini, dia perlu menjangkakan yang terburuk!

Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi berdesir di atas pokok berhampiran. Segera Musang Darat mengarahkan si Helang keluar menyiasat.

Sejurus kemudian, Helang muncul semula di depan pintu. “Tiada apa-apa. Burung pungguk hinggap di dahan. Ia sudah pun terbang pergi,” kata Helang Langit lalu menguap.

Kata orang, pungguk adalah pemerhati bagi kaum Bunian. Entah benar, entahkan tidak,” cerita Musang Darat.

Bunian? Sudah banyak hutan tebal kita redah, tidak pernah sekali pun kita ketemu. Mungkin hanya cerita mulut orang tua-tua,” sampuk si Helang sambil merebahkan badan.

Ceritanya orang bunian hanya dijumpai oleh orang yang berhati mulia sahaja. Dengan kita ini, manakan mungkin dapat bersua, kan begitu Musang?” si Tikus yang sedang baring melentang menanyakan pendapat si Musang.

Musang?” Tikus Bumi mengiring ke arah Musang Darat setelah pertanyaannya tidak dijawab.

Laa... sudah tidur? Cepatnya! Baru tadi rancak bercerita. Bagaimanalah kita dapat ketua yang begini ya, Helang?” Dia mengalihkan tubuhnya menghadap Helang Langit pula.

Cis! Tidur juga! Nampaknya giliran hambalah yang mula berjaga!” Tikus Bumi bangun dan bersila untuk mengawal.

Selepas itu, dia mengejutkan Helang Langit untuk menggantikannya dan kemudian, Musang Darat bertindak mengawal tempat hingga pagi. Usai menyegarkan diri, mereka meneruskan perjalanan.

***

PADA malam yang sama, dalam hutan yang sama. Sehari perjalanan dari situ, penduduk sebuah kampung keresahan.

Ayahanda, apakah hawa yang menekan ini? Adakah ia telah bangkit semula?” tanya seorang gadis rupawan berselendang putih.

Dengan kebangkitannya, pasti menyedarkan penunggunya,” jawab orang yang ditanyanya.

Penunggu?”

Penunggu, Pengawal dan Penghalang Kebangkitan. Entah kita patut memohon perlindungan atau bersyukur. Masa telah begitu lama berlalu.”


***

SESUDAH menikmati kopi panas dengan ubi kayu bakar bersama kelapa parut, Bayu meninggalkan rumah Pak Mali untuk memulakan perjalanan. Sempat juga dia bertanya kepada lelaki itu jika ternampak beberapa orang asing pada hari kejadian. Jawapan Pak Mali nyata tidak mengecewakan.

Menurutnya, dia ada melihat tiga orang yang mencurigakan menuju arah utara pada petang itu. Jadi, Bayu membuat keputusan untuk mengikut arah yang ditunjukkan.

Bayu, jika semuanya selesai, pulanglah. Kami sentiasa menanti,” kata Pak Mali ketika Bayu bersalam dan mencium tangannya.

Insya-ALLAH. Biarpun saya tidak tahu berapa banyak cabang jalan bakal saya tempuhi selepas ini, namun saya tahu pangkalnya ada di sini.” Dia tersenyum.

Bayu, ini bekal buatmu. Mak Cah harap dapat memberi lebih pertolongan.” Isteri Pak Mali itu menghulurkan bungkusan daun pisang berisi makanan. Bicaranya tersedu menahan sebak. Bagi Bayu yang dipandangnya sebagai anak sendiri, perpisahan adalah suatu yang menyakitkan.

Mak Cah, bekal inilah bantuan yang besar bagi saya. Saya tahu di dalamnya berisi doa dan kasih Mak Cah sekeluarga. Insya-ALLAH saya akan selamat.” Bayu menerima bekal yang dihulur dan mencium tangan wanita penyayang itu.

Kanda! Ingat apa yang Syira pesan semalam,” ujar Syasyira ketika mencium tangan Bayu.

Kanda akan membawa pulang seorang puteri.” Bayu berseloroh dan mencuit hidung gadis sunti itu.

Dasyuria belum ada puteri! Puteri Bunian mungkin!” balas Syasyira. Walaupun tersenyum tetapi bibirnya terketar-ketar. Senyuman yang direka-reka.

Bayu cuma tersenyum dan mengusap kepala Syasyira.

Nantikan kepulangan kanda! Selamat tinggal Pak Mali, Mak Cah dan dindaku, Syasyira. Halalkan makan minum saya. Saya mohon diri, assalamualaikum.” Bayu menunduk tanda hormat lalu berundur melangkah pergi. Halaman rumah Pak Mali diinjak dengan langkah yang berat, diruntun hati yang berat.

Pagi itu, Bayu merasakan badannya lebih ringan daripada biasa dan tenaga dalaman tubuhnya meningkat mendadak. Mungkin disebabkan khasiat akar kayu Sira Merah yang diminumnya malam semalam. Secara tidak langsung, kelebihan ini telah meningkatkan keyakinannya untuk menghadapi sebarang dugaan dalam perjalanannya kelak.

Di sepanjang perjalanan keluar daripada kampung ini, mulutnya tidak lekang memberi dan menjawab salam. Keramahan penduduk di kampung ini mencerminkan budaya rumpunnya, orang Melayu. Ada yang datang bersalam dan bertanyakan khabar dengannya kerana aneh melihatnya mengendong bungkusan pakaian. Satu-satunya yang membuatkan dia terharu adalah kemurahan doa sejahtera daripada mereka setelah tahu niatnya dan berita atuknya.

Tetapi, Bayu merahsiakan apa yang sebenarnya terjadi. Cuma yang diceritakan atuknya meninggal kerana uzur. Tentu sekali dia tidak mahu penduduk Kampung Peruwa ini menjadi cemas mendengar adanya pembunuhan di kawasan berdekatan.

Setelah beberapa ketika melangkah, Bayu akhirnya sampai ke penghujung kampung. Dia berhenti seketika dan berpusing mengalihkan pandangannya ke belakang, melihat Kampung Peruwa yang akan ditinggalkan. Kampung kecil yang dihuni tujuh belas keluarga kelihatan begitu damai dan tenang.

Bayu tersenyum melihat telatah anak-anak kecil yang bermain tarik upih berkejar-kejaran di halaman rumah. Dia menarik nafas penuh dan dilepaskan sekali gus. Lalu, dia kembali berpusing memandang ke hadapan. Ada denai yang kiri kanannya tumbuh liar semak belukar.

Ini langkah pertama hamba untuk seribu langkah yang tidak hamba tahu ke mana haluannya. Semoga ALLAH memberkatiku.”

Baru sahaja dia mengangkat kakinya untuk melangkah, tiba-tiba tubuhnya ditolak dari belakang membuatkan Bayu hampir jatuh tersungkur.

Kenapa berhenti di tengah jalan? Menghalang perjalanan hamba!” marah seorang lelaki yang entah bila masanya berada di belakang Bayu. Lelaki itu penduduk kampung itu dan dikenalinya. Dia kemudiannya berlalu melepasi Bayu.

Maaf, hamba tidak sedar Pak Mi ada di belakang.” Bayu menunduk sedikit tanda hormat. Lelaki itu kemudiannya berhenti dan menoleh kepadanya.

Tuan hamba ingin berkelana? Ke mana tuan hamba ingin pergi seorang diri, Bayu? Tidakkah takut tuan hamba dirompak? Lainlah kalau ilmu penuh di dada! Baik tuan hamba menolong Pak Mali membelah kayu api sahaja!” Lelaki itu mengecil-ngecilkan Bayu sambil tertawa.

Lelaki itu memang terkenal di kampung dengan sikapnya yang suka memandang rendah kepada orang lain tidak kira tua, tidak kira muda. Dia hanya berasakan dirinya saja yang bijak dan kuat di kampung itu. Apatah lagi dia adalah pembantu guru silat di kampung. Tetapi, penduduk kampung tidak ambil pusing dengan perangainya. Malah, mereka menggelarnya Pak Mi Hidung Kembang kerana setiap kali dia mengetawakan orang, hidungnya akan kembang-kempis seperti kerbau berkubang.

Bayu tumpang ketawa seolah-olah kata-kata itu bukan untuknya. Tetapi, dalam fikirannya timbul rancangan nakal. Dia nekad untuk membuat Pak Mi menelan kembali kata-katanya. Mulutnya terkumat-kamit membaca mantera Langkah Lipat Bumi. Bayu kemudiannya memulakan langkah dan berlari mengelilingi lelaki itu. Laju pergerakannya bagaikan angin puyuh yang berlegar di sekeliling Pak Mi sehinggakan lelaki itu terperanjat dan tergamam.

Pak Mi, hamba pergi dulu. Doakan keselamatan hamba, ya?” Bayu berkata sambil berlegar mengelilingi Pak Mi dan kemudiannya hilang dari pandangan. Meninggalkan lelaki itu terpinga-pinga dengan mulut yang ternganga.

Setelah agak jauh, Bayu membatalkan jurusnya itu. Dia ketawa geli hati terkenangkan wajah Pak Mi yang terkejut dengan matanya yang terbelalak. Terasa puas di hatinya. Dia tidak perlu takut sekiranya rahsianya terbongkar kerana tentu tiada siapa yang akan percayakan cerita Pak Mi. Masakan seorang pemuda pencari kayu api boleh memiliki ilmu yang tinggi? Yang akan percaya pun hanya keluarga Pak Mali. Tetapi dia tahu mereka sekeluarga tentu lebih suka mendiamkan diri daripada mengiakan cerita Pak Mi itu.

Bayu memerhatikan sekeliling. Cuaca sudah mula terik. Denai itu melalui hutan kecil yang terpaksa ditempuhinya kerana tiada jalan lain. Dia tidak takut untuk menempuhi hutan kerana selama ini pun hutanlah tempat tinggalnya. Cuma, dia perlu berwaspada kerana lain hutan, lainlah penghuninya. Bak kata orang, lain padang lain belalang.

Bayu berjalan menyusuri denai itu, kadang kalanya, dia terpaksa membuka laluan sendiri untuk menembusi hutan itu. Sambil berjalan, dia mengusap-usap Indera Bumi yang terlindung di dalam lengan bajunya.

Hai, Indera Bumi! Kau bukanlah benda bernyawa. Bagaimana kau dapat menunjukkan jalan kepadaku?” keluhnya.


***

HARI sudah senja apabila Bayu tiba di sebuah perkampungan yang dikelilingi sawah bendang di pinggir rimba. Lega rasa hatinya. Dapatlah dia menumpang bermalam di rumah orang ataupun setidak-tidaknya di madrasah jika kampung itu ada memilikinya.

Perlahan-lahan Bayu berjalan meniti batas-batas sawah menuju ke kampung. Dia dapat merasa keanehan. Semua penduduk kampung memandangnya dengan curiga. Bayu berasa serba salah. Namun dia sedar, perlu beradab tatkala memasuki kampung orang. Lalu, disedekahkan mereka itu dengan senyuman dan salam tanda ikhlas. Bayu lega apabila mereka menjawab salamnya tetapi pandangan mereka masih tidak berubah. Penuh curiga.

Bayu bertanyakan arah madrasah kepada seorang penduduk kampung itu. Tanpa bicara, orang itu menuding kepada jalan kecil yang menghala ke tengah perkampungan. Kemudian, orang itu cepat-cepat berlalu pergi.

Hampir ke tengah kampung, Bayu menjumpai bangunan dengan sebuah beduk tersergam di serambinya. Dia tahu, hanya madrasah sahaja mempunyai beduk. Terus dirinya menuju ke situ dan bersalaman dengan beberapa orang kampung yang sedang menunggu waktu maghrib.

Beberapa orang kampung yang sebelum ini merenungnya dengan curiga, segera mendekatinya dan menghulurkan salam. Bayu menyambut salam dengan senyuman walaupun hatinya masih diselubungi hairan.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.