Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,943
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 12

SETELAH membersihkan diri dan menyalin pakaian yang disediakan Puteri Ariasha, Bayu segera mendapatkan Raja Madisar Duli Castra, ratunya Falshiha Rindu Gemawan dan Puteri Ariasha Cinta Castra lalu duduk bersama mereka di ruang tengah istana. Bayu membelek-belek pakaian baharunya, sama seperti lelaki Bunian lain di kampung itu. Dia tersenyum sendiri.

Takluk Jagat adalah sebilah keris yang sangat berkuasa dan susah dikekang. Ia mampu mengucar-ngacirkan dunia manusia dan Bunian,” Raja Madisar memulakan cerita.

Apa yang mampu dilakukannya? Bagaimana dunia Bunian yang tersembunyi ini turut tergugat?”

Barang siapa mampu menundukkan keris itu, maka gerbang alam Bunian yang sama seperti anakanda lalui tadi akan terbuka untuknya melangkah. Tidak perlulah kami gusar jika penunduknya itu putih jernih hatinya. Tetapi, malangnya hanya orang yang tamak sahaja mengidam kuasanya,” jelas Raja Madisar. Wajahnya kelihatan runsing apabila menyebutnya.

Jika ia mendatangkan ancaman kepada alam Bunian, mengapa orang Bunian sendiri tidak cuba mendapatkannya dan sembunyikannya sahaja di alam ini? Pasti sukar untuk manusia-manusia tamak itu mendapatkannya lagi.” Bayu cuba memberi cadangan. Namun, pada masa yang sama dia juga tertanya-tanya, tidak mungkin kaum Bunian tidak dapat memikirkan penyelesaian semudah itu!

Kelihatannya dalam soal ini, kami bagai mementingkan diri. Alam Bunian sudah begitu aman tanpa sengketa. Kami tidak akan membenarkan apa yang melambangkan ketamakan dan kekejaman berada di dalam lingkungan gerbang Bunian. Tetapi pada masa yang sama, keadaan ini yang melindungi Tanah Ini daripada kerosakan yang lebih teruk. Jika ada dari kaum Bunian yang tergoda dengan Takluk Jagat, petaka yang dibawanya jauh lebih teruk daripada manusia luar!”

Bayu terdiam mendengar penjelasan Raja Madisar. Pertanyaannya tadi sudah terjawab. Hanya satu kesimpulan terlintas di fikirannya, kaum Bunian lebih takutkan diri sendiri!

Atas kerana ini, Takluk Jagat juga digelar sebagai Lambang Kekejaman.”

Bayu resah mendengar nama timangan keris panjang itu. Bagi nama yang sebegitu menggerunkan, dia tidak nampak sesuatu yang baik yang ada pada keris itu. Terlintas di fikirannya, mungkinkah atas sebab itu datuk menjadikan keris panjang itu hanya sebagai penyendal pintu? Bagi mengekang kekejaman itu dengan merendahkan martabatnya?

Tuanku tahu siapa yang mengambilnya?”

Tiga orang penyamun. Sekarang, mereka berada di kota Silabida.”

Hamba perlu segera mencari mereka! Jauhkah kota Silabida dari sini?” Bayu seperti tidak dapat bersabar lagi. Dia khuatir keris itu makin jauh dilarikan sehingga tidak dapat dijejak lagi.

Sabar, anakanda. Mereka tidak akan terlepas. Mereka sentiasa diperhatikan. Puteri hamba dapat menghantar tuan dengan pantas ke sana. Cuma tuan perlu lebih bersiap sedia. Halangan yang mendatang tentu bukan mudah.”

Bayu menjeling Puteri Ariasha yang duduk bersimpuh di sebelah ayahandanya. Sebagai balasan, dia dihadiahi dengan senyuman; segar bak kuntuman mawar mekar yang mengharum di hatinya.

Jika ia begitu merbahaya, kenapa datuk tidak membuangnya ketika masih dalam simpanannya dahulu?” Bayu tertanya-tanya. Dia hairan kenapa datuk hanya membiarkan sahaja tanpa memusnahkannya. Apakah datuk sayangkan keris itu?

Bukan Pendekar Gelora Singara Jata tidak mahu membuangnya, tetapi tidak sanggup. Kalau dijumpai orang lain yang busuk hati, pasti akan mendatangkan bencana.” Raja Madisar memberi penjelasan. Matanya kemudian dialihkan kepada pembantu istana yang masuk menatang dulang. Perlahan-lahan dulang itu diletakkan dan pembantu istana itu menghidangkan tiga gelas susu dan semangkuk buah rambutan.

Tuanku kenal datuk hamba?” Dari nada Raja Madisar menyebut tentang datuknya, raja itu seolah-olah mengenalinya. Bayu rasa inilah peluang dia mengenali leluhurnya.

Ah! Hamba cuma mendengar ceritanya sahaja. Gelora Singara Jata seorang pendekar yang hebat suatu ketika dahulu. Itulah sebabnya dia diamanahkan menjaga Takluk Jagat. Tetapi hamba tidak tahu dia mempunyai keturunan. Sehinggalah baru-baru ini, selepas kemunculan Indera Bumi dan Takluk Jagat, membawa tuan ke mari.” Raja Madisar tersenyum dan menghirup susu yang dihidangkan.

Nampaknya, tidaklah hamba dapat tahu kisah asal keturunan hamba.” Bayu mengeluh dan berasa terkilan.

Dia tidak pernah menceritakan apa-apa?” Raja Madisar berubah wajah dan berkerut.

Pasti dia ada sebabnya.” Ratu Falshiha bersuara. Mudah benar hatinya tersentuh apabila melihat wajah pendekar muda itu bermuram.

Mungkin...” Bayu menjawab dengan suara yang mendatar. Entah mengapa, Bayu dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan Raja Madisar. Tetapi, dia tidak boleh terus bertanya sesuatu yang raja itu cuba selindungi. Walaupun masih banyak yang ingin diketahuinya. Tentang hubungan datuk, Takluk Jagat dan Indera Bumi. Siapa yang mengamanahkannya kepada datuk? Dia tidak mahu dianggap biadap. Pasti dia akan mempunyai peluang lain untuk mengorek rahsia leluhurnya.

Anakanda Ariasha Cinta, temankanlah Pendekar Bayu berbual. Ayahanda dan bonda ada urusan di dalam. Hamba minta diri sebentar.” Raja Madisar bangun dan melangkah masuk ke bahagian dalam istana meninggalkan Bayu bersama-sama dengan puterinya sendirian.

Mereka berdua saling memandang. Bayu cuma tersenyum dan senyumannya lebih lebar apabila sang puteri Bunian menghulurkan gelas susu kepadanya.


***

KANDA, perlukah kita merahsiakannya daripada dia?” tanya Ratu Falshiha Rindu Gemawan tatkala suaminya menghampiri.

Kanda tidak sanggup mematahkan harapannya. Selanjutnya biarlah dia mengetahuinya dari mulut orang yang sepatutnya tentang asal-usulnya.” Raja Madisar bersuara separuh berbisik.

Orang yang sepatutnya? Apakah kanda maksudkan ‘dia’? ‘Dia’ sudah tidak seperti dahulu lagi. ‘Dia’ yang dahulu sudah tiada! Mungkin ‘dia’ sudah mati.” Air mata mula menitis membasahi pipi Permaisuri Falsiha. Hatinya begitu sedih kerana terkenangkan peristiwa lampau. Seakan-akan baru semalam segalanya berlaku.

Sabarlah. Kanda yakin ‘dia’ akan muncul semula. ‘Dia’ seorang yang sentiasa berpegang pada janji. Walaupun masa telah lama berlalu. Biar apapun, kanda tidak akan membiarkan anakanda Bayu berseorangan menempuh perjalanan ini.” Raja Madisar cuba menenangkan permaisurinya. Walaupun hatinya ragu-ragu dengan kebenaran ucapannya sendiri.

Ratu Falshiha terdiam mendengar kata-kata suaminya. Dia merenung jauh ke dalam mata suaminya itu. “Apakah kanda mahu?”

Selamilah ke dalam hatinya dan adinda akan tahu hanya itu yang dimahunya. Perkara yang sama tidak akan berulang.” Segera Raja Madisar memintas pertanyaan ratu.

Tetapi kanda...” Permaisuri kelihatan semakin risau.

Itu adalah takdirnya. Kita tiada kuasa mengawal.” Raja Madisar bertegas. “Ia tidak akan berulang!” Digenggamnya erat jari-jemari sang ratu.


***

BAYU menuruti Puteri Ariasha ke anak sungai yang menjadi tempat pertemuan pertama mereka petang tadi. Ada beberapa orang Bunian yang turut berada di situ menegurnya. Ingin menikmati suasana malam kata mereka.

Terasa nyaman suasana di sekitar. Air yang mengalir bagaikan permukaan kaca, memantul sinar cahaya bulan yang memancar menerangi malam.

Mereka meniti batu-batu yang timbul di permukaan anak sungai. Puteri Ariasha menuju ke arah batu hampar lalu duduk bertimpuh di atasnya. Batu yang sama tempat dirinya menunggu kemunculan pendekar muda itu siang tadi. Manakala Bayu pula duduk berjuntai kaki di atas sebuah batu lonjong tidak jauh di hadapan sang puteri Bunian.

Pasti tiada kerunsingan hidup di sini. Segala-galanya begitu indah.” Bayu terasa begitu damai hatinya. Keindahan sekeliling di perkampungan ini bagaikan mimpi. Terasa hidupnya di alam khayalan. Mungkin benar dia berada di alam khayalan. Kerana bagi sesetengah orang, alam Bunian cuma khayalan.

Tetapi segalanya akan musnah jika keganasan Takluk Jagat dilepaskan.” Puteri Ariasha membalas perlahan dengan nada bimbang yang bersarang di dada. Sebagaimana kebimbangan yang sama di hati ayahanda dan bondanya, juga kaum Bunian yang lain.

Bayu memandang sang puteri. Tersentuh hatinya melihat wajah jelita itu kemurungan. Baginya, kecantikan seperti itu tidak layak dihimpit derita.

Hamba akan cuba sedaya hamba menghalangnya dan menunaikan wasiat datuk.” Bayu memberi janji. Juga ingatan terhadap dirinya sendiri. Tangan yang salah menghunus Takluk Jagat akan mengundang petaka. Itu yang dia tahu. Dan dia yakin cerita yang melintasi telinganya itu bukan satu dongengan.

Ia bukan mudah. Mungkin tuan pendekar perlu membayar dengan harga yang besar. Nyawa tuan pendekar mungkin jadi taruhan!” Si puteri mengingatkannya.

Bayu dapat merasakan seperti sang puteri mengambil berat akannya biarpun mereka baru sahaja bertemu. Namun, mungkin juga puteri Bunian itu hanya mengambil berat mengenai kaumnya sahaja. Tanpa dirinya, mungkin keris itu dapat dicapai oleh tangan-tangan yang tamak.

Tugas ini bukan mudah, itu pasti! Sedangkan hamba sendiri belum mengerti sepenuhnya tanggungjawab hamba dan kuasa yang ditakdirkan ALLAH yang ada pada keris itu. Tetapi, setiap kali hamba mempertaruhkan nyawa, akan hamba pastikan ia tidak tergadai. Kerana hamba belum puas menatap wajah tuan puteri.” Bayu tersenyum simpul.

Puteri Ariasha menunduk malu apabila mengetahui Bayu cuba memikatnya. Hati pendekar muda ini sudah diselaminya. Kebolehan istimewa kurniaan TUHAN yang ada pada kaum Bunian.

Puteri, tadi Raja Madisar mengatakan, tiga orang penyamun itu sentiasa diperhatikan. Apakah kaum Bunian mempunyai pengintip?”

Di segenap tempat. Selagi ada hutan merimbun, di situlah ada mereka. Kaum kami menggelar mereka sebagai Pemantau. Sentiasa terlindung dari pandangan mata manusia luar.” Puteri Ariasha menjelaskan.

Jika begitu, kenapa mereka tidak sendiri merampasnya semula? Dan serahkan kepada hamba? Mudahlah kerja kita!” Bayu tersengih.

Mereka cuma pengintip. Mata dan telinga Bunian di rimba. Tiada mampu bertarung. Mereka tak boleh keluar menunjukkan diri. Jika tak, pasti alam Bunian akan terdedah.”

Jika begitu, sekurang-kurangnya bolehlah tahu siapa tiga orang pencuri itu.” Bayu mengandaikan.

Mereka digelar Mergastua Bertiga!” Tiba-tiba sahaja, Raja Madisar muncul di tebing sungai tanpa disedari.

Bayu terperanjat kerana suara kuat Raja Bunian itu seolah-olah menyergahnya. Tanpa sengaja, sebelah capalnya tercabut dan jatuh ke dalam air. Terkial-kial dia cuba mendapatkannya kembali dengan menghulurkan kakinya. Disebabkan batu lonjong itu licin, Bayu tergelincir dan terjatuh ke dalam air.

Beberapa orang Bunian yang berada berhampiran tertinjau-tinjau apabila terdengar bunyi kuat kocakan air.

Bayu timbul di permukaan air dengan menjulang capalnya. “Dapat!” jeritnya.

Sang puteri Bunian tertawa melihat gelagatnya. Bayu segera memanjat batu lonjong dan duduk mencangkung di atasnya. Tubuhnya menggigil kesejukan dihembus angin malam. Dia tersengih dengan bunyi giginya berlaga-laga. Mereka berdua sama-sama tertawa.

Raja Madisar tersenyum melihat kedua-dua mereka. Suratan takdir yang sudah menjadi ketentuan TUHAN, tiada siapa dapat mengawalnya. Dia sudah menyelami hati puterinya, begitu juga dengan pendekar muda ini. Ini ketentuan-NYA. Adakah peristiwa 19 tahun dahulu akan berulang?

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.