MALAM
itu, kesemua kaum wanita di kampung itu dikumpulkan bersama-sama di
dalam rumah Tok Putih atas arahan Bayu. Terpaksalah mereka
bersesak-sesak sementara. Kaum lelaki pula disuruhnya berkawal di
halaman di sekeliling rumah. Mereka sudah bersedia untuk menerima
‘tetamu malam’ itu. Sudah tentu jembalang itu tiada pilihan lain.
Dia pasti akan datang ke sini!
Sementara
menunggu, Bayu, Tok Putih dan seorang lagi penduduk kampung bernama
Walik duduk berbual di hadapan pintu depan yang sudah dibaiki.
Walaupun asyik mendengar cerita Tok Putih, namun Bayu tidak pernah
leka. Dia sentiasa menantikan Indera Bumi berdengung semula.
Penantiannya
tidak lama. Seketika kemudian, getaran Indera Bumi dapat dirasakan
dan dengungannya halus kedengaran. Jembalang itu semakin menghampiri!
“Tok,
suruh mereka bersedia.” Bayu memberikan arahan sambil memejamkan
mata untuk menumpukan perhatian kepada corak dengungan Indera Bumi.
“Lebih
baik tok dan tuan hamba Walik segera jauhkan diri daripada hamba.”
Bayu memberi amaran setelah didapatinya corak dengungan telah
berubah. Lalu, kedua-dua orang itu bangun perlahan-lahan untuk
beredar ke tempat lain.
Tiba-tiba,
atap rumbia di atas kepala Bayu runtuh dan hampir menimpa mereka
bertiga. Bayu segera melonjak dan memaut Tok Putih serta Walik, lalu
dibawanya mereka ke sudut lain yang dirasakannya selamat. Mereka
berdua pucat, nyaris-nyaris nahas. Untunglah dia sempat menyelamatkan
mereka. Manakala, kaum wanita riuh menjerit terkejut dan ketakutan.
Di
tengah-tengah runtuhan itu, kelihatan lembaga diselubungi kegelapan
itu berdiri megah. Perlahan-lahan lembaga itu tunduk mengutip
sebatang kayu daripada alang rumah yang telah patah. Dihunusnya kayu
sepanjang lebih dari satu depa itu ke arah Bayu.
“Pemusnah
Jiwa! Kau tidak akan menghalangku lagi! Kuasa itu, aku hapuskan!”
Lembaga itu membentak dengan suara kasarnya. Malam ini datangnya
bukan untuk menagih nyawa wanita. Tetapi untuk mencabut duri dalam
dagingnya! Untuk menghapuskan Bayu Adi Jata!
Bayu
tidak akan memberi peluang kepada lembaga itu. Tanpa berlengah, dia
terus meluru ke arah lembaga itu dengan mulutnya membaca lafaz
bismillahdan selawat ke atas nabi junjungan.
Lembaga
itu pantas menghayun kayu alang itu untuk menghalang Bayu. Bayu
melompat untuk mengelak dan dengan menggunakan dinding rumah sebagai
pelantar loncatan, dia melonjak ke bahagian belakang lembaga itu.
Disebabkan batang kayu yang menjadi senjatanya besar dan panjang,
pergerakan lembaga itu menjadi lambat dan terdedah kepada serangan.
Bayu mengambil peluang itu menghayunkan pukulan melintang lengan
kanannya ke pinggang lembaga itu dengan memperalatkan Indera Bumi
sebagai senjata.
Lembaga
itu meraung dan terpelanting memecahkan pintu rumah lalu terjunam
jatuh ke halaman. Daripada pertempurannya semalam, Bayu sudah faham
bahawa lembaga itu alah kepada Indera Bumi. Bayu sedar, Indera
Bumilah kuasa yang disebut-sebut lembaga itu. Sebab itulah lembaga
itu mempersenjatakan dirinya dengan kayu supaya dapat menjauhkan diri
daripada Indera Bumi.
Penduduk
kampung beramai-ramai mengepung halaman itu supaya lembaga itu tidak
dapat melarikan diri. Lembaga itu merangkak-rangkak cuba bangun. Bayu
turut terjun ke bawah dan berdiri di hadapannya.
“Kau
tak boleh menghalau aku lagi!” Lembaga itu masih berkeras walaupun
nadanya kedengaran seperti merintih.
“Cepat,
bunuh hamba!” Tiba-tiba, terdengar suara lain terbit dari mulut
lembaga itu. Suara yang lemah dan penuh kesedihan.
Orang
kampung saling pandang-memandang. Mereka kenal suara itu!
“Tidak!
Tuan hamba masih berupaya melawannya. Kuatkan semangat tuan hamba!”
Bayu berlutut dan memegang kepala lembaga itu. Telahannya ternyata
benar. Orang ini dirasuk!
Lembaga
itu mengangkat kepala dan memandang Bayu dengan matanya tajam dan
ganas. Serentak dengan itu, dia melibas kayu yang masih digenggamnya
ke arah Bayu. Bayu yang tidak bersedia tidak sempat mengelak. Dia
hanya mempertahankan dirinya dengan menahan Indera Bumi sebagai
perisai.
Bayu
terpelanting ke tepi dan disambut oleh penduduk kampung. Nyata Indera
Bumi begitu utuh. Tangan kanannya cuma terasa kebas sedikit.
Lembaga
itu dan Bayu masing-masing bangun perlahan-lahan. Pertarungan belum
berakhir. Tetapi, Bayu tidak tahu bagaimana hendak menewaskannya. Dia
tidak dapat menghapuskan lembaga itu tanpa mencederakan empunya
badan. Dia perlu menyelamatkan orang itu. Tetapi bagaimana?
Pertarungan
disambung. Lembaga itu menyerang Bayu dengan sedaya upayanya. Tetapi,
Bayu cuma mengelak dan menahan serangannya dengan Indera Bumi.
Kelam-kabut dia diperlakukan lembaga itu yang semakin menggila. Bayu
tidak sampai hati untuk menyerangnya.
“Kuasa
itu mesti musnah! Kau tak akan menyentuh aku lagi!” Lembaga itu
membentak dalam kegilaannya.
Bayu
tersentak. Dia sudah mendapat ilham. Mungkin dia dapat menghalaunya
daripada badan lelaki itu dengan Indera Bumi! Dia perlu mendekatkan
dirinya dengan lembaga itu dan menangkapnya dari belakang.
Setelah
mencuba beberapa kali untuk meloloskan diri ke belakang lembaga itu,
akhirnya Bayu berjaya memautnya dari belakang. Segera Bayu melekapkan
Indera Bumi ke belakang lembaga itu. Lantas raungan yang kuat
terlontar dan menggegarkan kampung. Lembaga itu menggelupur untuk
melepaskan diri dari pautan Bayu.
Orang-orang
kampung segera menyerbu dan memautnya beramai-ramai untuk menolong.
Tapi usaha mereka hanya sia-sia. Lembaga itu masih berupaya
mencampakkan kesemua mereka termasuk Bayu dan berjaya melepaskan
diri.
Lembaga
itu mengalihkan pandangannya kepada Bayu Adi Jata yang terlantar
mencungap di belakangnya. Kedua-dua mereka sudah kepenatan. Lembaga
itu mengangkat tinggi-tinggi kayu yang menjadi senjatanya dan
bersedia untuk menghentak Bayu dengannya. Bayu bingkas bangun untuk
mengelak tetapi dia tersungkur kembali. Dia terkejut kerana didapati
tenaga badannya bagaikan sudah luput. Tubuhnya menjadi lemah tidak
berdaya.
“Kuasa
itu menyerap tenagamu sampai kering? Mampuslah!” Lembaga itu ketawa
terbahak-bahak dan menghayunkan kayu itu dengan segenap tenaganya
yang tinggal.
Bayu
tidak dapat melarikan diri lagi. Tidak disangkanya Indera Bumi akan
menghisap tenaganya. Lain kali, dia akan berhati-hati jika
menggunakan Indera Bumi. Itu pun kalau masih ada peluang lagi.
Bayu
menyilangkan tangannya untuk menahan hentakan lembaga itu. Dengan
kayu sebesar itu, tanah di belakangnya pun turut merekah. Dia hanya
berserah. Kayu itu menuju begitu hampir dengan kepalanya dan...
tiba-tiba terpesong! Lembaga itu tercampak dan melayang.
Di
hadapan Bayu berdiri megah seorang lelaki pertengahan umur yang
berpakaian baju sarung kancing satu dan seluar serba hijau dengan
kepalanya dililit kain merah. Dibibirnya terselit sebatang rokok daun
yang sedang menyala dan berasap-asap.
“Tuan
hamba memang hebat, pendekar muda.” Lelaki itu berkata sambil
menghembuskan kepulan asap putih.
Bayu
tidak menyangka, walaupun tidak pernah melihatnya tetapi suara itu
cukup dikenali.
“Dukun
Kidam?” Terlontar nama itu daripada bibirnya. Lelaki itu tidak
menjawab dan terus merenung lembaga itu.
“Pegang
dia!” Dukun Kidam memberi arahan kepada orang di sekitar.
Masing-masing
terkejut dengan kehadiran Dukun Kidam segera menurut arahan.
Beramai-ramai memegang lembaga itu yang kelihatannya tiada lagi
upaya.
Dukun
Kidam mendekati lembaga itu dan mengeluarkan sebiji telur daripada
saku bajunya. Mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu. Sekali
sekala dia berdeham. Kemudian digosoknya telur ayam itu ke dahi
lembaga yang terkulai lemah.
Wajah
lembaga itu yang ditutupi dengan kegelapan beransur-ansur cerah
apabila bayang hitam yang menyelubunginya bergerak meresap ke dalam
telur yang dijampi. Terserlah wajah empunyanya yang sah, Sadik!
“Baringkannya.
Jangan diapa-apakan. Dosa dan hanyir darah di tangan bukan mahunya,”
arah Dukun Kidam. Dia tidak mahu orang kampung melepaskan kemarahan
mereka kepada Sadik selagi belum ada usul periksa.
“Tok
Kidam...” Bayu bangun dan menghampiri lelaki itu dengan langkah
yang tidak teratur. Tenaganya mula kembali memenuhi jasadnya secara
perlahan-lahan.
“Hulurkan
tanganmu.” Dukun Kidam meminta.
Bayu
lantas menghulurkan tangannya untuk menerima telur daripada lelaki
itu. Dukun Kidam segera menangkap tangan kanan Bayu, dilipatnya
jari-jemari seperti menggenggam penumbuk dan dipusingnya tangan itu
supaya penumbuknya di kedudukan yang betul. Bayu hanya membiarkan
sahaja tindakan dukun itu.
“Akhirkan
perkara ini.” Dukun Kidam meletakkan telur tadi betul-betul di atas
Indera Bumi yang terselindung di bawah lengan bajunya. Dia berasa
hairan. ‘Lelaki ini tahu tentang Indera Bumi!’
Telur
itu berdiri dengan sendirinya dan bergetar. Semakin lama semakin kuat
dan akhirnya, meletus! Tanpa cairan putih dan kuning telur. Cuma asap
nipis yang dibawa angin. Bayu dan orang di sekitar terpegun
melihatnya.
“Sudah
lebih seminggu ‘benda’ ini tiba di sini. Dari mana, hamba tidak
tahu. Berlegar-legar di kawasan pusara berhampiran rumah hamba ketika
siang. Memaksa hamba berkurung di rumah mengelak gangguannya,”
jelas Dukun Kidam.
“Kenapa
tok dukun tidak menangkapnya ketika itu?” Masiran tiba-tiba
mencelah di sebalik orang ramai dan tampil berhadapan dukun itu.
“Hamba
tidak mampu melemahkannya. Dan, telur tadi memerlukan masa selama
seminggu untuk disediakan.”
Dukun
Kidam memandang Bayu dan Bayu membalas pandangan itu dengan anggukan.
Dia faham renungan mata dukun itu, sebuah ucapan terima kasih. Bayu
menyedekahkan senyum kepadanya, tetapi tidak dibalas. Sebaliknya,
dukun itu mengalihkan pandangannya kepada Sadik yang sudah mulai
sedar. “Sadik?” Dukun Kidam
meminta penjelasan.
Sadik
memandang orang di sekelilingnya dengan mata yang berkaca dan mula
berbicara, “Benda itu dapat cari hamba. Tidak hamba sangka benda
itu menemui hamba di sini...” Sadik tunduk ke bumi. Hatinya begitu
berat. Tidak sanggup dia menatap wajah orang kampung lagi.
“Tuan
hamba memeliharanya sebelum ini?” tanya Masiran kepada Sadik.
“Ia
diperturunkan kepada hamba daripada ayahanda hamba dan datuk hamba.
Tetapi, hamba tidak mahu menerimanya. Itulah sebabnya hamba membawa
isteri berhijrah jauh ke kampung ini dengan harapan ia tidak menemui
hamba.”
“Dari
mana asal tuan hamba?” tanya salah seorang dari mereka.
“Negeri
Sugalimba. Ayahanda hamba seorang panglima di sana. Bekas panglima.”
Orang
ramai saling memandang dan berbisik sesama sendiri tatkala mendengar
jawapan Sadik. Bayu terpinga-pinga tidak tahu apa yang menakjubkan
semua orang.
“Jauhkah
negeri Sugalimba itu?” Bayu bertanya. Dia memang tidak pernah
mendengar tentang negeri itu.
“Kira-kira
dua belas purnama perjalanan ke barat di seberang laut. Negeri yang
terkenal dengan amalan ilmu hitam.” Masiran menjelaskan.
“Benda
itu bernama Sigorong. Pendamping digunakan dalam pertarungan. Ia
memberi kekuatan yang hebat kepada tuan yang empunyanya. Hanya yang
berilmu tinggi dapat mengekangnya. Hamba cuma insan biasa. Tiada hati
dalam jagat persilatan. Itulah sebabnya benda itu menguasai hamba.
Tiada daya hamba mengawalnya.” Sadik teresak-esak menahan hiba.
Pedih hatinya mengenangkan dirinya adalah punca keperitan orang lain,
walaupun bukan dengan mahunya.
“Tetapi,
kenapa benda itu memilih mangsa? Kenapa wanita dipilihnya?” Bayu
inginkan kepastian.
“Pencarian
dari Sugalimba telah menghauskan tenaganya. Untuk memulihkannya
kembali, Sigorong perlu menghisap semangat wanita sehingga cukup
baginya. Itulah sebabnya isteri hamba yang menjadi mangsa pertama.”
Sadik menekup mukanya dan meraung kesedihan.
Orang
ramai yang pada mulanya masih menyimpan dendam menjadi kasihan kepada
Sadik setelah mendengar kisah sebenar.
“Kenapa
jembalang tadi memanggil hamba Pemusnah Jiwa? Siapa
Pemusnah Jiwa?” Bayu melontarkan persoalan yang sedari awal
mengganggu benaknya. Dia mengandaikan jembalang itu cuma merepek.
Tetapi, manalah tahu mungkin ada rahsia di sebaliknya?
Sadik
berusaha menghentikan tangisannya. Tubuhnya masih tersentak-sentak
dan seketika kemudian, dia mengangkat kepalanya memandang Bayu.
“Ayahanda
pernah bercerita kepada hamba, lebih tiga puluh tahun dahulu, benda
itu pernah dikalahkan seorang pendekar muda digelar Pemusnah Jiwa
dalam pertarungan dengan datuk hamba. Mungkin tuan pendekar sebaya
dengan Pemusnah Jiwa ketika mereka bertarung suatu ketika dahulu.”
Bayu
masih tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Tetapi, tiada guna dia
menyoal lagi kerana Sadik telah pun menyampaikan apa yang
diketahuinya.
Sadik
secara tiba-tiba bingkas berdiri dan mendepakan tangannya.
“Wahai
teman-teman sekampungku, hamba amat berterima kasih dengan layanan
dan kemesraan kalian terhadap hamba dan arwah isteri hamba selama
menetap di sini. Tetapi, lihat bagaimana hamba membalasnya? Dengan
darah insan yang kalian kasihi! Hamba rela menerima apa sahaja
hukuman daripada kalian. Hamba tidak sanggup memikul dosa yang
membebankan ini!” katanya dalam esak sedu-sedan dan air mata yang
berlinangan.
“Sadik
dari Sugalimba!” Tok Putih tiba-tiba muncul dari celah orang ramai
berdiri di hadapan Sadik dan memandang tepat wajahnya. “Merah darah
di tanganmu tidak perlulah dibasuh kerana ia telah pun dibawa pergi
bersama bayang hitam yang menyelubungi wajahmu. Tuan hamba masih
bersih seperti dulu,” katanya sambil tersenyum.
Sadik
bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata Tok Putih. Dia memandang
orang ramai di sekelilingnya. Masing-masing tersenyum dan
menepuk-nepuk bahunya. Air matanya menitis lagi. Tetapi, kali ini
kerana kesyukuran. Rahmat TUHAN yang Maha Esa!
“Sadik!
Ada perkara masih yang belum selesai!” Tiba-tiba, mereka dikejutkan
dengan suara keras Dukun Kidam. Masing-masing memakukan mata ke
arahnya.
Sadik
tergamam. Dukun Kidam melangkah menghampiri Sadik dan memakukan mata
kepadanya. Sadik menjadi pucat melihat wajah Dukun Kidam yang
kelihatan bengis!
“Esok,
datang ke rumah hamba. Semangat tuan hamba perlu dipulihkan.”
Kata-kata Dukun Kidam itu
membuatkan orang ramai mengeluh panjang.
Bayu
tersenyum sendirian. Dukun Kidam memang baik hatinya. Tetapi,
sikapnya yang tegas dan tidak pernah senyum menyebabkan orang kampung
takut dan membuat andaian buruk terhadapnya. Sadik cuma
mengangguk-angguk.
Tugas
Dukun Kidam telah selesai. Tidak perlu lagi dia terus berada di sini
bersama orang-orang kampung yang cuma tahu membuat bising. Dia
membuka langkah untuk pulang ke rumah. Tetapi, perjalanannya terhenti
kerana ditahan oleh Masiran dan beberapa orang kampung. Masiran
memandang Dukun Kidam, kemudiannya menunduk.
“Tok
Kidam. Hamba mewakili orang kampung ingin memohon ampun kerana selama
ini kami mengesyaki tok adalah punca segala kekacauan.”
“Hmm!”
Dukun Kidam mendengus. “Jika ada isteri-isteri kamu yang pecah air
ketubannya, hamba bukanlah orangnya!” ujar Dukun Kidam dan
kemudiannya meneruskan langkah dalam kepekatan malam.
Masiran
dan orang-orang kampung saling memandang dan tersenyum. Lega Dukun
Kidam bukan jenis yang suka berdendam.
Bayu
yang berada berdekatan terus mendapatkan Masiran. “Apa maksud Tok
Kidam?” tanyanya.
“Maksudnya,
kita boleh terus mengunjungi atau memanggilnya jika ada kecemasan.
Tapi, jika ada yang hendak bersalin, dia tidak dapat tolong kerana
itu bukanlah bidangnya. Itulah cara dia berbakti kepada penduduk
kampung ini,” terang Masiran panjang lebar.
“Susahlah
jika semua orang berumur suka cakap berkias.” Bayu mengeluh.
***
PAGI
itu, penduduk kampung beramai-ramai bergotong-royong membaiki rumah
yang telah dirosakkan dalam pertempuran semalam. Mereka turut
menyediakan jamuan untuk kenduri kesyukuran dan memperingati mereka
yang terkorban.
Bayu
berasa sangat gembira kerana inilah pertama kali dia berasa
pengalaman bergotong-royong dan berkenduri. Yang berat sama dipikul,
ringan pula sama dijinjing. Walaupun penat tetapi hatinya riang.