Home Novel Cinta Cinta Yakuza
Cinta Yakuza
Adeeba Eryna
9/4/2015 13:38:02
29,561
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1 : Ke Jepun

                                                                        BAB 1


    Pertama kali menjejakkan langkah ke Lapangan terbang Hokodate membuatkan Aisya Hana merasa sangat kagum dengan sistem lapangan terbang yang canggih dan juga melihat sendiri orang-orang jepun berpakaian. Semuanya kelihatan sungguh aneh. Berulang kali dia menguncapkan syukur ke hadrat Illahi kerana mengizinkan dia menjejakkan kaki ke Jepun dengan selamat. Setelah mendapat tawaran biasiswa JPA untuk ke Jepun, pada mulanya dia agak ragu-ragu samada untuk menerima atau menolak. Namun dorongan keluarga menyebabkan dia menerima tawaran itu.

    "Assalamualaikum, Aisya Hana ya?" dia ditegur seorang gadis yang memakai baju kurung berwarna biru cair.

    "Waalaikumussalam. Iya saya, akak ni siapa?"

    "Akak wakil dari persatuan pelajar melayu universiti Hokkaido. Akak dengan kawan-kawan yang lain datang untuk jemput Aisya dan beberapa orang lagi pelajar dari Malaysia serta mengiringi korang ke sana. Nama akak Saffiya," terangnya dengan panjang lebar.

    Aisya mengangguk tanda faham.

    "Akak ni umur berapa ya? akak pun buat masters ke kat sini?" soal Aisya Hana ingin tahu.

    "Akak 27 tahun Akak pun buat masters, tahun ni tahun akhir akak di sini. Umur Aisya berapa pulak?" soal Saffiya kembali.

    "Saya baru 23 tahun. Lepas habis degree terus datang sini sambung masters," balas Aisya Hana dengan senyuman manis.

    "Oh ye ke? Muda lagi Aisya ni. Haa, rumah sewa pun pihak kami sudah tolong carikan tapi kalau Aisya nak pindah ke rumah lain pun boleh," tambah Saffiyya lagi.

    "Akak kalau rumah sewa yang murah-murah ada tak? Jauh pun tak apa," soal Aisya lagi tanpa segan silu bak kata pepatah malu bertanya nanti sesat jalan. Tambahan pula dia sememangnya perlu berjimat memandangkan kos sara diri di Jepun sangatlah tinggi.

    "Ada je, rumah akak pun murah, kalau Aisya nak menyewa bersama akak pun boleh. Dapat akak berjimat sikit. Tetapi jauh dari Universiti la, akak pun ke sana naik basikal," jawab Saffiya.

    Aisya menghela nafas lega. Masalah tempat tinggal kini sudah selesai. 'Alhamdulillah' ucapnya di dalam hati. Kak Saffiya juga kelihatan seperti orang yang baik-baik, pasti dia tidak menghadapi masalah jika ingin berkongsi rumah dengannya.

    Aisya Hana dan beberapa pelajar lain dibawa melawat universiti sebelum dibawa ke rumah sewa masing-masing. Beberapa orang pelajar lain memilih untuk tinggal di asrama yang disediakan oleh pihak universiti tetapi dia memilih untuk tinggal di rumah sewa kak Saffiya kerana kata Kak Saffiya rumah sewanya jauh lebih murah dari harga yang ditawarkan untuk asrama universiti itu.

    "Masuklah Aisya. Rumah ni kecil je, bukan boleh dipanggil rumah pun, lebih kepada bilik kan?"senda Safiyya.

    Aisya tersenyum puas.

    "Ni pun saya dah bersyukur kak. Saya suka, simple dan kemas," pujinya ikhlas.

    "Akak ada tilam lebih, Aisya guna je lah, tak payah beli yang baru, membazir je," tambah Safiyya lagi.

    Sungguh dia terjatuh simpati dengan Aisya. Kelihatan gadis itu seperti orang baik.

    "Terima kasih banyak-banyak akak," ucap Aisya.

    Sambil membentangkan tilam dilantai, dia mencongak akan aktiviti untuk esok harinya. Banyak hal yang dia perlu selesaikan, mendapatkan sim baru, nombor ID dan sebagainya. Tiba-tiba dia teringatkan Ibunya dan abangnya yang menetap di Shah Alam. Sihatkah mereka? Esok dia akan memaklumkan ketibaanya di Jepun dengan selamat, pasti mereka risau. Pesanan ibunya masih terngiang-ngiang di telinga.

    "Aisya belajar rajin-rajin ya. Ibu nak Aisya berjaya dekat sana dan Ibu akan doakan Aisya sentiasa selamat," bersama air mata ibunya berkata sewaktu menghantar Aisya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA).

    "InsyaAllah ibu," hanya itu yang mampu dibalas dek kerana menahan perasaan sebak.

    "Abang pun akan doakan Aisya," tambah Hairul, abang kepada Aisya Hana sambil mengusap lembut kepala adik kesayangannya itu.

    Adik beradiknya yang lain tidak dapat datang kerana mempunyai urusan masing-masing. Namun mereka telah berjumpa dengannya untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum dia bertolak ke KLIA beberapa jam yang lalu.

    Sedih hati Aisya Hana untuk berpisah dengan keluarganya , namun demi menuntut pelajaran, hatinya dipujuk perlahan-lahan. Lagipun, dia hanya berada di sana selama dua tahun tidaklah selama pelajar yang menuntut dalam bidang ijazah sarjana muda. Pejam celik pejam celik sudah tiba masa yang dia akan kembali ke Malaysia.

    'Ah, bertolak pun belum, aku dah fikir tentang balik, aku kena kuatkan semangat!' Aisya Hana cuba memujuk dirinya sendiri.

    "Maaf abang lambat datang," baru sahaja Aisya Hana ingin melangkah masuk ke balai perlepasan, satu suara yang termengah-mengah menyapa. Segera dia berpaling ke belakang. Oh, kawan baik abangnya, Haziq Syazwan.

    Haziq Syazwan sedikit termengah-mengah kerana dia tergopoh-gapah berlari sebaik sahaja tiba di sini. Hatinya cukup bimbang jika dia terlambat tiba. Melihatkan wajah Aisya Hana yang blur itu terus mencetuskan senyuman dibibir. Kedatangannya untuk menghantar Aisya Hana sememangnya menjadi rahsia antara dia dan Hairul. Hajjah Ainon dan Hairul tersenyum penuh makna.

    "Er...terima kasih abang Haziq, sudi hantar Aisya berlepas," balas Aisya Hana dengan keliru.

    Adik beradiknya yang lain pun tidak datang, pak cik ni pulak yang semangat menghantarnya berlepas ke Jepun.

    "Ni ada hadiah untuk Aisya, tanda kenangan. Abang harap Aisya belajar rajin-rajin dan cepat pulang ke Malaysia," tambahnya. Dia menghulurkan satu bungkusan dalam beg kertas kepada gadis jelita itu.

    Aisya Hana terkedu. Hadiah? Aik, pelik dia ni.

    "Eh, tak apalah abang Haziq, tak payah susah-susah. InsyaAllah, lepas tamat belajar Aisya terus pulang ke sini," tolak Aisya Hana dengan lembut.

    Sememangnya dia tidak suka menerima apa-apa pemberian dari orang yang tidak berapa dikenali. Si Haziq Syazwan ni pun dia kenal kerana selalu bertandang di rumah kerana ingin berjumpa dengan abangnya. Wajah Haziq Syazwan sedikit berubah apabila pemberiannya ditolak. Hairul segera mengambil bungkusan di tangan Haziq Syazwan dan diletakkan di tapak tangan Aisya Hana.

    "Alah, ambik je lah Aisya oi. Rezeki jangan ditolak. Tak elok", bersama senyuman sinis dia berkata kepada adiknya itu.

    "Betul tu Aisya, kesian dekat Haziq ni," Tambah Hajjah Ainon.

    Mahu tidak mahu terpaksalah Aisya Hana menerimanya.

    "Er...terima kasih abang Haziq," ucapnya sebelum bersiap sedia untuk bergerak ke balai berlepas.

    Dia memeluk Ibu dan abangnya dengan erat. Dengan hati yang berat dia melangkah pergi. Haziq Syazwan mengeluh melihat kelibat Aisya Hana semakin lama menghilang dari pandangannya. Pasti dia akan merindui kelibat gadis itu.

    "Tak payah nak buat muka monyok sangatlah. Dia pergi dua tahun je. Aku suruh ikat awal-awal tak nak. Malulah apalah. Karang dapat dek mamat Jepun sana menangis tertonggek la kau, hahaha," usik Hairul disertai tawa yang riang.

    Peluh dingin mula merencik keluar dari dahi Haziq Syazwan.

    "Weh, kau jangan cakap macam tu. Kalau masin mulut kau macam mana?" marah Haziq Syazwan.

    "Kalau masin mulut aku, aku dapat adik ipar orang Jepunlah apa lagi, hahaha," tambah Hairul dengan riang.

    Seronok dapat mengenakan sahabat karibnya itu. Wajah Haziq Syazwan mula berubah cuak.

    "Sudah-sudahla tu Hairul kesian si Haziq tu. Adik kau tak apa-apa ke dekat negara orang tu? Ibu risau sangat," mendengarkan suara ibunya yang penuh risau itu membuatkan Hairul terdiam seketika.

    Dia memandang wajah ibunya dengan penuh kasihan. Air mata masih bergenang di tubir mata wanita tua itu, maklumlah, anak bongsu yang dimanja kini hilang dari pandangan mata, pasti resah jiwa.

    "InsyaAllah, Aisya tak apa-apa Ibu. Lagipun dekat sana ramai student melayu. Aisya tu nampak je lemah lembut, tapi hati dia kuat. Ibu jangan risau ya," pujuk Hairul sambil merangkul bahu ibunya dengan erat.

    Haziq Syazwan pula memerhati dengan senyuman. Jika dia pun sangat risau akan keadaan Aisya Hana nanti, apatah lagi hati seorang ibu.

    Kini sudah seminggu berlalu, kehidupan Aisya Hana di sini sungguh padat dengan aktiviti dan kelas. Tidak menang tangan dia dibuatnya, namun, dia tetap cuba membiasakan diri dengan keadaan sekeliling. Tidak termasuk lagi dengan pembelajaran bahasa jepunnya. 'Pening aku, katakana la, hiragana la...haih,' luah hatinya sambil mengeluh.

    Hidup di Jepun ini tidak sah kalau tidak mencuba masakan Jepun. Antara makanan yang sempat Aisya Hana cuba ialah, Udon, ramen dan juga donkatsu. Itu pun atas jasa Safiyya yang membawanya ke restoran yang menyediakan masakan jepun dan juga halal.

    Dia juga sempat belajar beberapa resepi Jepun untuk dicuba sendiri kerana dia sememangnya suka memasak. Semakin hari dia semakin jatuh hati dengan bumi Jepun ini. Jika negara luar mempamerkan Jepun sebagai negara yang dikenali dengan yakuza atau samurai, dia lebih suka mengenali Jepun sebagai negara sakura. Walaupun sekarang masih dalam musim sejuk, jika musim bunga tiba pasti jalan-jalan di sini dipenuhi dengan bunga sakura. Sungguh indah!

    Berbalik kepada yakuza, Aisya Hana sebenarnya ragu-ragu dengan kewujudan yakuza di negara yang moden ini. Macam tidak logik. Lagipun penduduk di sini sangat berpendidikan tinggi, mustahi yakuza masih wujud.

    Namun, dia hairan juga kerana Kak Safiyya sering berpesan agar balik ke rumah sebelum malam. Apabila ditanya diam seribu bahasa pula. Aisya Hana beranggapan yang Kak Safiyya sememangnya seorang yang berhati-hati maklumlah dia lebih arif akan keadaan di Hokkaido ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna