Home Novel Cinta Cinta Yakuza
Cinta Yakuza
Adeeba Eryna
9/4/2015 13:38:02
29,553
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

                                                            PROLOG


    Suasana sunyi dan sepi di lorong jalanan itu membuatkan bulu roma Aisya Hana berdiri tegak sesekali. Namun itu tidak dihiraukannya, yang penting dia harus segera tiba di rumah. Menyesal juga dia menyewa rumah di kawasan terpencil semata-mata untuk berjimat. Walaupun agak jauh dari institusi pengajiannya, dia sanggup berjalan kaki berulang kali kerana mahu menyimpan wang dan dirasakan tidak berbaloi jika dibazirkan begitu sahaja. Kos sara hidup yang tinggi di Jepun ini membuat dia berulang kali berfikir untuk mengeluarkan duit walaupun satu yen. Biarlah orang mahu cakap dia ni kedekut, tahi hidung masin atau apa-apa sahaja, yang penting dia harus berjimat-cermat dan menghabiskan pelajarannya dengan berjaya.

    Aisya Hana menarik butang baju sejuknya hingga ke pangkal leher yang ditutupi tudungnya. Hud baju sejuk itu ditarik ke atas sehingga menutup seluruh wajahnya. Hanya sepasang mata bundarnya yang kelihatan. Sengaja dia berpakaian sedemikian kerana mahu mengelak pandangan jahat insan-insan yang tidak berhati perut. Memandangkan kawasan ini teramat sunyi, jadi dia mengambil langkah berhati-hati untuk menjaga keselamatan diri. Tambahan pula, salji yang mula turun sedikit demi sedikit di kawasan ini membuatkan dia mengigil kesejukan. Menyesal pula dia tidak membawa lebihan baju sejuknya. 'Allah, cepatlah sampai, sejuk gila ni', rungut Aisya Hana di dalam hati.

    Dia mempercepatkan langkah namun dalam masa yang sama, tubuhnya makin mengigil kesejukan. Dia masih belum biasa di dalam keadaan begini kerana tahun ini merupakan tahun pertama dia menyambungkan pelajaran di Hokkaido University di dalam bidang Media and Network Technologies.

    Langkah Aisya Hana terhenti apabila mendengar satu suara lelaki menjerit dalam suara yang tersekat-sekat. Walaupun jeritan itu tidak nyaring namun sudah cukup membuatkan dadanya bergetar hebat.'Apa yang berlaku?', perasaan ingin tahu dia menyebabkan Aisya Hana perlahan-lahan mula mencari punca suara itu. Dengan langkah yang terketar-ketar dia mendekati satu lorong kecil yang berada di hadapannya.

    'Laki bini gaduh ke ha? Tapi macam pelik pulak lelaki yang menjerit, sepatutnya perempuan', pelbagai telahan berada difikirannya.

    Matanya terbeliak apabila melihat sekumpulan lelaki sedang mengerumuni kawasan hujung lorong gelap itu. Dia pantas menyebunyikan diri di sebalik tong sampah yang tersedia dihadapannya. Aisya Hana mula kecut perut. Dia mengintai dari sebalik tong sampah itu. Kebanyakan dari mereka memegang pistol dan pisau panjang. Aisya Hana mula panik. Apa yang harus dia lakukan?

    "Wakaranai...hon..hontoni..onegai, onegai ( Saya tak tahu ...Be...betul...Tolonglah, tolonglah) ," kedengaran lemah suara dari belakang kerumunan lelaki-lelaki itu.

     Peluh dingin mula merencik keluar dari dahi Aisya Hana. Dia mula tidak tentu arah. Patutkah dia menolong ataupun melarikan diri? Situasi ini kelihatan sangat berbahaya terutamanya kepada dirinya sendiri.

    'Polis? baik aku telefon sekarang!', terlintas jalan penyelesaian itu di fikirannya.

    Perlahan-lahan dia mencapai telefon bimbit dan memaklumkan keadaan itu kepada polis. Walaupun agak susah kerana mereka tidak berapa faham akan bahasa inggeris dan dia pula masih tidak mahir berbahasa jepun. Sebaik sahaja dia mematikan talian, dia segera mengundurkan diri ke belakang secara perlahan-lahan. Tugas dia untuk menolong lelaki itu sudah selesai, sekarang dia perlu menolong diri sendiri pula. Perlahan-lahan dia mengesot kebelakang dan bersedia untuk membuka langkah melarikan diri. Namun tubuhnya bagaikan berhenti bernyawa apabila sepucuk pistol diacukan ke dahinya. Aisya Hana kaku tanpa sebarang pergerakan.' Allah!', hanya itu yang mampu diucapkannya di dalam hati.

    "Kuso yaro!(Tak guna!)," hanya itu yang didengar sebelum Aisya Hana hilang keseimbangan. Dia sempat mendengar bunyi siren yang datang ke arah mereka. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya lelaki itu terselamat. Fikirnya sebelum semuanya gelap gelita.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna