Home Novel Cinta Cinta Yakuza
Cinta Yakuza
Adeeba Eryna
9/4/2015 13:38:02
29,559
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4: Comel

                                                                        BAB 4


    Setelah selesai menunaikan solat maghrib, Aisya Hana mengalunkan kembali ayat-ayat suci Al-Quran. Memandangkan tiada azan yang kedengaran di sini, Aisya Hana hanya mengagak waktu solat berdasarkan jam dan keadaan mentari di luar biliknya. Bagaimanakah keadaan Kak Safiyya? Pasti dia risau akan aku yan tidak pulang-pulang ke rumah. Mungkin juga laporan polis telah di buat. Bagaimana jika berita ini sampai ke pengetahuan keluarganya di Malaysia? Sudahlah ibunya menghidap penyakit jantung.

    'Aku tak boleh berputus asa! Aku kena mencari jalan keluar dari sini dengan segera!' Baru sahaja dia bersemangat ingin mencari jalan keluar, tiba-tiba tubuhnya merasa lemah. Mungkinkah sebab tidak makan selama dua hari? Akhirnya, Aisya Hana terbaring lemah di tikar sejadah.

    "Obaasan, macam mana dengan perempuan tu?"soal Kyou Takumi ketika sedang menyantap makan malam di meja utama.

    Walaupun dia hanya seorang diri di meja yang mampu memuatkan hampir 15 orang, meja makan itu dipenuhi makanan pelbagai jenis lauk. Sudah menjadi tradisi kumpulannya, ketua akan makan terlebih dahulu kemudian barulah anak-anak buahnya boleh menjamu selera.

    "Dia baik-baik saja. Tapi sampai sekarang dia tidak mahu makan kerana katanya makanan tidak halal. Obaasan pun tak jelas sebab dia tak pandai berbahasa Jepun," balas Obaasan dengan tenang.

    "Apa?! Dia tak makan? Dah dua hari dia tidak makan. Dia boleh jatuh sakit!" marah Kyou Takumi.

    Lantas dia bangun dari kerusi dan melangkah ke tingkat dua rumah agamnya itu. Pintu bilik Aisya Hana diketuk beberapa kali. Tanpa menunggu jawapan, dia menerjah masuk. Terperanjat dia melihat sekujur tubuh berwarna putih yang terbaring di lantai. Terhenti langkahnya seketika. Perlahan-lahan dia mengurut dadanya dek kerana terkejut yang amat. Nasib baik tiada yang melihat, kalau tidak habis karisma yang dia jaga selama ini.

    "Ano onna nani shiteruno? Bikkuri shita(Apa yang perempuan tu buat? Terkejut aku) ," marah Kyou Takumi secara berbisik, tidak mahu Aisya Hana terganggu.

    Perlahan-lahan dia mendekati Aisya Hana yang berbaring di tikar sejadah sambil memeluk Al-Quran tafsir. Dia mengambil dan melihat kandungan Al-Quran, satu perkataan pun dia tidak faham. Apa yang dia tahu kitab itu berbahasa Arab dan juga tulisan roman. Puas membelek, dia meletakkan Al-Quran itu ke tepi. Raut wajah Aisya Hana yang lemah dan pucat menerbitkan perasaan kasihan di jiwanya. Apa yang dia boleh lakukan? Mana dia nak cari makanan halal di sini? Dia betul-betul tidak faham akan agama gadis ini. Lain dan pelik daripada agama yang dianutinya.


    "Kenichi, ikut aku," arah Kyou Takumi.

    "Baik boss," jawab Kenichi dengan patuh.

    Mereka keluar menaiki kereta mewah milik Kyou Takumi. Kenichi sebagai pemandu manakala Kyou Takumi berada di tempat duduk belakang.

    "Boss, kita hendak ke mana?"soal Kenichi ingin tahu.

    "Kau tahu apa-apa pasal makanan halal tak?"

    Dahi Kenichi berkerut mendengar soalan itu. Pertama kali dia mendengar tentang hal itu.

    "Tak pernah boss. Saya minta maaf,"jawab Kenichi berhati-hati.

    Bimbang bakal menimbulkan kemarahan bossnya itu.

    "Kita ke Sapporo," arah Kyou Takumi.

    Dia mengerling ke arah jam tangan yang menunjukkan pukul sembilan malam. Sempatkah dia?


    Ahmad mengemaskan pinggan mangkuk yang telah ditinggalkan di meja makan setelah pelanggannya meninggalkan restorannya. Restoran miliknya menyediakan makanan halal namun lebih kepada makanan arab kerana dia sendiri berasal dari Turki. Dia telah menyambung pelajaran di Jepun dan mengambil keputusan untuk membuka restoran di sini selepas tamat pengajiannya .Memandangkan tidak banyak kedai makanan halal di Sapporo ini, kedainya sering menjadi tumpuan pelajar-pelajar dan juga pelancong-pelancong luar.

    Sedang dia ralit mengemaskan meja, pintu restorannya dibuka kasar. Dia memandang ke arah pintu masuk. Alangkah terperanjatnya dia apabila melihat dua orang lelaki berpakaian hitam melangkah masuk. Salah seorang darinya mempunyai parut yang memenuhi muka manakala seorang lagi kelihatan kemas dan kacak namun aura lelaki itu sangat menakutkan.

    "Bo...boleh saya bantu?"tegur Ahmad dengan ramah biarpun pandangan mereka amat menakutkan.

    "Tutup kedai ni sekarang!" arah Kenichi dalam bahasa Jepun.

    "Tapi..,"

    Baru sahaja Ahmad hendak membantah, dia melihat Kenichi mengeluarkan sepucuk pistol dan digengam kemas di dalam tangan kanannya. Pantas dia mengarahkan pekerja-pekerjanya menutup kedai. Nasib baik ketika itu tiada pelanggan yang sedang menjamu selera. Ada sekumpulan pelajar yang ingin melangkah masuk ke restorannya, namun segera dihalang. Bimbang mereka akan terlibat dengan kedua-dua lelaki ini.

    Kenichi menarik kerusi untuk Kyou Takumi melabuhkan punggungnya. Ahmad dan pekerja-pekerja yang lain tidak berkutik walaupun seinchi, bimbang akan diapa-apakan. Dari pandangan Ahmad kemungkinan besar lelaki-lelaki itu yakuza namun dia hairan kenapa hanya berdua? Jika mereka ingin meminta pampasan, pasti ramai yang menyerbu.

    "Duduk!" arah Kyou Takumi kepada Ahmad.

    Dia menurut tanpa bantahan. Akhirnya mereka duduk saling bertentang antara satu sama lain. Kyou Takumi mengeluarkan sebuah buku nota dan sebatang pen.

    "Jelaskan apa itu makanan halal," arah Kyou Takumi sambil dia bersedia untuk menyalin nota.

    Ahmad terkesima. Biar betul dia ni. Tidak mungkin yakuza tu ke mari semata-mata untuk mengetahui apa itu makanan halal. Ahmad menggaru kepalanya yang tidak gatal perlahan-lahan.

    "Why do you want to know?" soal Ahmad dengan berani.

    Kyou Takumi membalas pandangan Ahmad dengan tajam.

    "Just answer my question," dengan suara yang rendah dan tegas dia membalas.

    Pandangan matanya sudah mampu membuatkan lelaki berbangsa Turki itu kecut perut. Sememangnya, Kyou Takumi mempunyai satu pandangan yang tajam dan mampu membunuh jiwa musuhnya. Hal itu turut diakui anak buahnya kerana mereka sendiri tidak berani bertentang mata dengan boss mereka, sangat menakutkan!

    Dengan penuh tekun Kyou Takumi menyalin segala info yang diberitahu Ahmad. Dari cara penyembelihan hinggalah ke jenis-jenis makanan yang halal dan haram. Sedikit sebanyak Kyou Takumi telah belajar tentang Islam. Walaupun aneh namun menarik pada pandangannya.

    "Mulai dari hari ini, anak buah aku akan mengambil makanan setiap petang dan malam. Sekarang bungkuskan aku dua bungkus makanan," arah Kyou Takumi.

    Setelah membayar segala harga makanan, Kyou Takumi dan Kenichi segera beredar dari restoran itu. Ahmad dan pekerja-pekerjanya terpinga-pinga buat seketika.

    "Hmm...jadi, yakuza tu datang sini sebab nak tempah makanan ke?"soal salah seorang dari pekerjanya.

    Sekali lagi Ahmad menggaru-garu kepalanya. Mungkinkah yakuza itu membawa maksud lain bersama? Sungguh aneh lelaki yang telah menyoalnya pelbagai soalan tentang makanan halal itu. Auranya sangat menakutkan namun bila diberitahu tentang Islam, dia seakan-akan berminat.


    Aisya Hana tersedar dari tidur lantas dia segera bangun dari tikar sejadah dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat Isyak. Usai menunaikan solat dia memakai tudung dan membaringkan badan di katil. Tubuhnya dirasakan makin lemah. Kalau dihintung, entah keberapa ratus kali dia meneguk air kosong untuk menghilangkan rasa lapar yang bersarang diperutnya.

    Baru sahaja dia ingin melelapkan mata, tiba-tiba pintu dibuka dari luar. Pantas dia terbangun dari katil. Kyou Takumi melangkah masuk dengan dua bungkusan makanan yang dibeli dari kedai Ahmad tadi. Bau nasi arab menyelinap ke rongga hidung Aisya Hana, perutnya kembali berkeroncong hebat.

    "These foods are yours and don't worry, its halal," Kyou Takumi menyerahkan makanan kepada Aisya Hana.

    Sengaja dia membeli dua bungkus nasi arab kerana dia tahu pasti tidak cukup untuk perempuan itu. Huluran makanan segera disambut oleh Aisya Hana, dia segera turun ke lantai dan membuka bungkusan makanan itu dengan rakus.

    Dibuka bungkusan makanan itu dan disuap dengan gelojoh. Tidak sempat dikunyah suapan pertama, suapan kedua ditambah ke dalam mulut. Ayam juga digigit dengan penuh lapar. Kyou Takumi terpegun melihat situasi itu. Kebulur benar perempuan itu nampaknya. Secara tidak sedar dia tersenyum melihat gelagat Aisya Hana.

    Baru sahaja Aisya Hana menyuapkan nasi untuk kali ke lima, dia tersedak. Tangannya tergapai-gapai meminta air, senyuman Kyou Takumi mati serta merta. Kelam kabut dia mencari air untuk gadis itu. Aisya Hana mencapai air huluran Kyou Takumi dan diteguk dengan rakus. Tanpa sedar air matanya menitis jatuh ke bumi. Sungguh terseksa dirasakan hidup sebagai tahanan. Setiap saat dia bimbang akan dicederakan, dia juga bimbang tidak akan bertemu dengan keluarganya lagi.

    Kyou Takumi mencangkung di hadapan Aisya Hana, gadis itu seakan-akan lupa kehadirannya di situ dan bagai hidup dalam dunia sendiri. Namun, yang paling menghairankan, gadis itu menangis sambil menyuapkan makanan ke mulut sendiri.

    Kenapa dia menangis? Bukankah dia sudah mendapatkan makanan yang dia inginkan? Apa lagi yang gadis itu mahukan? Ingin ditanya takut gadis itu akan terasa, buntu fikirannya. Beberapa kali dia meraup rambut hadapannya yang hampir menutup mata itu ke belakang. Sungguh aneh insan yang bernama perempuan ini, fikirnya.

    'Teringat pula dekat makanan yang ibu masak. Ibu, Aisya nak balik Malaysia. Ibu, waaa',

    Tangisan Aisya Hana semakin menjadi-jadi. Teresak-esak dia menahan tangis, namun makanan masih disuapkan ke mulut kerana perutnya teramat lapar.Semakin bertambah suapan, semakin lebat air matanya mengalir dan Kyou Takumi panik melihat keadaan itu.

    "Oi onna, stop crying," arah Kyou Takumi dengan tegas, walhal dia sebenarnya ingin melegakan hati gadis itu.

    Arahan Kyou Takumi mengejutkan Aisya Hana. Serta-merta suapannya terhenti.

    'Bila masa pulak dia ada di sini?'

     Bulat matanya memandang lelaki yang berada dihadapannya. Sedikit demi sedikit dia mengesot ke belakang, bungkusan makanan juga diheret bersama, dia takut lelaki itu akan mengapa-ngapakannya.

    Satu persatu tindak tanduk Aisya Hana dipandang, ingin sahaja dia tersenyum melihat gelagat gadis itu yang cuba menjauhkan diri darinya dan dalam masa yang sama, makanan turut dibawa bersama. Sungguh comel!

"Ehem,"

     Dia cuba mengawal rasa dan senyuman yang hampir tercetus di hujung bibirnya.

    "From now on, you can always eat your halal food so don't cry. Tomorrow, you will have your new clothes," dengan tegas dia berkata.

    Kemudian dia melangkah keluar tanpa menantikan jawapan dari gadis itu. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia terus berada disitu namun apakan daya, masih banyak kerja yang harus diselesaikan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna