Home Novel Cinta Ingin Mencintaimu Selayaknya
Ingin Mencintaimu Selayaknya
Selma Q
29/4/2019 03:45:46
13,756
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

"Abang Har, gambar ni...abang Har umur berapa?" Dania mengambil satu bingkai gambar dari meja panjang.  Sayf Harith yang sedang menonton berita lapan malam, melirik ke arah Dania untuk sesaat.

"Itu abang Har umur..tak silap sepuluh tahun? Itu gambar terakhir abang ambil dengan arwah ummi."

Bingkai gambar diletak semula tetapi mata Dania masih sibuk meneliti setiap bingkai gambar yang tersusun di atas meja panjang itu. Kondominium milik Sayf Harith banyak dihiasi dengan gambar Sharifah Aqilah, ummi Sayf Harith.

"Banyak gambar abang Har dengan arwah auntie kan? Nia tak ada kenangan dengan dia. Nia tengok muka arwah auntie, Nia rasa tenang. Mesti arwahnya orang yang baik kan?"

"Mestilah! Ummi Harith seorang adik ipar yang sangat baik," Puan Umairah menyampuk sambil perlahan-lahan bergerak ke sofa merapati anak saudaranya. Dania terus meluru menuju ke arah Puan Umairah.

"Mama ni...kaki masih sakit lagi tapi tak nak berehat dalam bilik. Daddy mana?" Dania membantu Puan Umairah yang sedang terkial-kial cuba untuk melabuhkan punggung di atas sofa panjang. Sayf Harith dengan pantas mengambil satu bantal kecil lalu diletakkan di belakang tubuh Puan Umairah. Puan Umairah tersentuh dengan layanan anak perempuan dan juga anak saudaranya.

"Kalau Nia nak tahu, arwah auntie Qilah, hati dia lembut dan suka tolong orang. Mama untung dapat adik ipar sebaik arwah auntie Qilah."

"Macam kak Hana! Betul tak mama?" Dania duduk bersila di atas lantai sambil mengurut betis Puan Umairah dengan berhati-hati. Masih belum hilang rasa bersalah terhadap ibunya. 

"Mama, kakak Hana tu macam sepadan dengan abang Har kan?" Dania mahu mengusik.

"Sejak bila Hana kerja dengan Harith? Bila auntie dapat tahu masa kita hantar Hana balik tadi, yang Hana kerja dengan Harith, Auntie rasa bahagia sangat...." Puan Umairah simpan senyum.

Sayf Harith buat-buat tak dengar. Dania memandang Sayf Harith sambil tersengih-sengih.

"Auntie macam dah jatuh hati dengan budak tu. Kalaulah auntie ada anak lelaki, mungkin malam ni jugak auntie cari rumah dia! Kalau dia jadi menantu jauh pun tak apa!" Puan Umairah mula berkias. 

"Auntie, janganlah mula..." Sayf Harith merayu. Dia memang tak berminat bila berbincang soal kahwin.

"Harith dengan Hana kat ofis macam mana?" soal Puan Umairah dengan wajah teruja.

"Apa kata Harith cakap  straight to the point! Harith dengan Hana setakat kawan kerja! Tak ada yang special pun." 

"Betul ke abang Har dengan kak Hana tak ada apa-apa yang special? Yalah, abang Har tadi boleh tahu pulak, jalan mana tuju ke rumah kak Hana. Tak ke pelik tu?" Dania menopang dagu sambil menunggu tindak balas dari Sayf Harith

"Tak ada yang pelik okey? Abang Har pernah hantar dia balik, itu sebab abang Har ingat. Itu pun nak kecoh ke?" Sayf Harith menjeling dengan ekor mata.

"Sejak bila Harith hantar perempuan balik rumah? sebelum ni ada ke? Auntie rasa Hana orang pertama yang duduk dalam kereta Harith. Betul tak?" Puan Umairah meneka.

"Sudahlah! Jangan nak usik budak tu. Nanti kalau dia merajuk macam mana? siapa nak pujuk?" Suara Syed Arshad muncul dari belakang. Syed Arshad mengambil tempat duduk di sebelah Sayf Harith.

"Kita bukan mengusik bang! Cuma nak tahu perkembangan anak saudara saya ni. Itu je," Puan Umairah menyengih.

"Harith, uncle dah dengar tentang syarat-syarat kamu letakkan kepada Hadif dan daddy kamu."

"Syarat apa ni?" Dania menyampuk.

"Nia...jangan menyampuk bila orang tua tengah berbual! Sudah...pergi masuk bilik.Berehat atau kemas beg ke...masuk sekarang," arah Puan Umairah. Dania mencebik. Arahan Puan Umairah wajiib dipatuhi. Dania dengan lambat-lambat bangun. Muka dimasamkan. Dia benci bila dirinya masih dianggap seperti anak kecil.

"Nia masuk dulu," suara Dania mendatar. Kaki dipaksa untuk melangkah masuk ke dalam bilik. 

"Harith yakin dengan apa yang Harith buat ni? memang uncle nak Harith mengalah tapi sekarang macam..."

"Uncle, Harith tahu apa Harith buat. Uncle jangan risau," Sayf Harith senyum kecil.

"Abang, saya percaya apa Harith buat mesti bersebab." Puan Umairah terus berpihak kepada Sayf Harith. Dia kenal dengan perangai Sayf Harith yang bijak mengatur hidupnya sendiri.

"Kalau macam tu, apa-apa Harith kena beritahu uncle. Satu perkara pun jangan sembunyikan. Janji dengan uncle?"

"Iya! Harith janji. Uncle dan auntielah tempat Harith meluah masalah. Harith tak ada sesiapa. Daddy pulak lebihkan anak tiri dia," Sayf Harith rasa terkilan.

"Dah! jangan nak sedih! sekarang auntie dah ada kat sini, kita enjoy as one big family dan yang paling penting, auntie nak jumpa dengan Hana lagi. Nanti kita plan makan malam kat rumah daddy Harith, kita jemput dia sekali," tutur Puan Umairah dengan girang. 

"Insya allah auntie tapi Harith tak boleh janji tau!" Sayf Harith tidak berani membuat janji. 

"Syarikat macam mana? Ada perkembangan baru?" soal Syed Arshad.

"Kita plan untuk update aplikasi kita. Kita nak bil telefon pelanggan kita lebih simple dan mudah difaham. Chat agent di lelaman syarikat pun ada perubahan sikit," Sayf Harith memberi ringkasan pendek. Syed Arshad sekadar mengangguk kepala. 

"Kadang-kadang auntie tak faham dengan daddy kamu. Harith mampu untuk kendalikan syarikat. Tengok sekarang ni, Harith tak perlu nak ambil tahu pasal syarikat tapi Harith tetap tahu perkembangan ARQ & CO. Daddy kamu nak jugak si Hadif tu jadi pengganti dia. Tak faham auntie apa yang ada dalam kepala daddy kamu tu," Puan Umairah rasa kecewa bila mendapat tahu dari suaminya tentanng pemilihan bakal CEO ARQ & CO.

"Auntie, Harith tak boleh lepas tangan. Harith kena ambil tahu jugak sebab ni syarikat atuk. Harith tak nak pergorbanan dia sia-sia macam tu je. Harith pastikan tak ada orang boleh jatuhkan syarikat kita." 

"Uncle bangga dengan kamu," Syed Arshad senyum segaris. Tidak dapat dinafikan, hatinya sebenarnya risau tentang masa depan ARQ & CO. Lebih-lebih lagi bila Syaiful Hadiif  akan ambil alih. Mampu ke dia untuk membawa tanggungjawab yang besar itu?

"Bila uncle masuk ofis?" 

"Jumaat depan atau pun lagi 2 minggu. Tengok macam mana. Uncle nak rehat dulu. Bawa auntie dan Dania jalan-jalan kat sini.Kenapa Harith tanya?"

"Harith dengar yang Firdaus nak bekerjasama dengan syarikat kita. Uncle kenalkan siapa Firdaus?"

"Firdaus...anak Datuk Hassan?" 

Sayf Harith angguk kepala laju. 

"Mungkin Datuk Hassan nak kasi peluang kat anak dia untuk tunjukkan kebolehan dia? Uncle tahu dah lama Datuk Hassan nak bekerjasama dengan kita tapi..."

"Tapi apa uncle? ada masalah ke?"

"Tak ada apa-apalah. Bila dia orang nak jumpa?" soal Syed Arshad dengan serius.

"Selasa depan."

"Cepatnya? Uncle dan daddy kamu akan jumpa  dengan pelabur baru mungkin akhir bulan ni," Syed Arshad mengurut dagu.

"Abang...kalau abang nak masuk ofis awal, saya faham. Tak apalah, Nia kan ada dengan saya. Kalau kita bosan duduk rumah, saya ajak Nia jalan-jalan," Puan Umairah senyum kecil. Dia tahu perangai suaminya. Walau macam mana pun, dia tetap mahu libatkan diri dalam hal ARQ & CO. 

Puan Umairah memandang wajah suaminya. Dia bangga mempunyai suami yang pandai berdikari. Walaupun Syed Al-Arqam memilih Datuk Ilyas sebagai penggantinya di ARQ & CO, Syed Arshad langsung tidak berkecil hati. Ini memberi peluang kepada Syed Arshad untuk menubuh syarikatnya sendiri. Sedihnya, Datuk Ilyas tidak ingat setiap jasa keluarga itu, malah dia boleh curang kepada isterinya yang sedang sakit!

"Tengoklah macam mana." suara Syed Arshad menyentak Puan Umairah yang sedang mengelamun jauh.

"Atau pun saya mintak tolong Harith temankan saya dan Nia jalan-jalan. Atau pun! Saya minta..."

Puan Umairah mengalih pandangan ke Sayf Harith yang sedang sibuk bermain di telefon pintarnya.

"Harith, auntie nak nombor telefon budak Hana tu!" 

***

Hana Sofea menyimpan semula botol air ke dalam peti sejuk. Air sejuk di gelas panjang diteguk. Telinga terdengar seseorang sedang membuka pintu gril rumah. Mata dilirik ke jam dinding. Pukul satu pagi?

Hana Sofea menjenguk ke ruang tamu. 

"Aisyah baru balik?" soal Hana Sofea.

"Hmmmm," jawab Aisyah sambil menggosok matanya.  

Hana Sofea membawa gelas ke sinki. Aisyah berjalan terhuyung-hayang menuju ke peti sejuk. Botol air dicapai lalu diteguk rakus.

"Aisyah, janganlah minum terus dari botol. Tuanglah dalam gelas dulu."

Aisyah menjeling. Telinga sengaja dipekakkan. Hana Sofea melihat Aisyah minum sampai licin.

"Hei Hana! Kau tu bukan kakak aku. Jangan sibuk nak nasihat orang boleh tak?" Aisyah letak semula botol yang kosong ke dalam peti sejuk. Kepala dipicit. Daripada dia bertikam lidah dengan Hana Sofea, lebih baik dia naik ke atas bilik dan tidur.

"Aisyah, kau okey tak ni?" 

"Hei! Kau diamlah! Jangan sibukkan diri kau dengan hal aku. Kau dengan hidup kau, aku dengan hidup aku. Kau tu setakat menumpang rumah aku je."

"Aisyah..." Hana Sofea rasa serba salah. Nak cakap atau tak?

"Hish! Apa lagi? Kau ni nak apa?" bentak Aisyah.

"Kau janganlah balik lambat sangat. Kesian Ibu...dia selalu risau pasal kau. Kemana kau pergi, dengan siapa kau kawan," Hana Sofea beranikan diri. Dia harus beritahu Aisyah apa yang membuat Puan Salehah runsing kebelakangan ini.

"Hana, dengar sini. Mak aku nak risau ke, pening kepala pasal aku ke, kau jangan nak sibuk. Penatlah mulut aku ulang benda yang sama kat kau. Boleh tak jangan sibuk pasal hal aku?!  Kalau mak aku mengadu kat kau, kau dengar jelah. Kau iyakan je.Nanti lama-lama, mulut orang tua tu akan diam jugak. Benda senang je kut! Buat apa nak susahkan hidup kau dengan hal aku...tapi ingat! ini amaran aku. Jangan sesekali kau ambil tahu pasal hidup aku! Jangan nak sibuk-sibuk nak tanya aku atau sesiapa pun! Lagi pun masa kau cerai dengan Hadif, ada aku tanya kau sebab apa kau orang bercerai? tak ada kan? jadi...apa kau dengar, kau pekakkan telinga. Apa kau nampak, kau buat-buat tak nampak. Faham?"

Hana Sofea tarik nafas dan lambat-lambat mengangguk kepala.

"Dah! aku nak naik atas berehat. Aku harap ini kali terakhir kau dan aku berbual panjang macam ni."

Aisyah dengan selamba mematikan lampu dapur, meninggalkan Hana Sofea dalam kegelapan.


*Ada kesilapan dari pihak saya. Bab 15 hanya boleh dibaca di aplikasi Portal Ilham. Terima kasih yang masih membaca. Boleh follow IG selmaq1710 tentang cerita IMS.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Selma Q