Home Novel Cinta Ingin Mencintaimu Selayaknya
Ingin Mencintaimu Selayaknya
Selma Q
29/4/2019 03:45:46
15,684
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

"Ika, kau faham tak? Sekarang Hadif tak boleh sentuh Harith langsung! tapi Harith boleh buat apa saja yang dia nak. Tak ke itu bermaksud yang Harith ada kuasa lebih dalam syarikat?"

Jantung Mallika bagai nak tercabut. Badan yang tegak tadi terus terkulai layu, bersandar ke kerusi. Tangan Mallika menggeletar ketika dia mahu menolak rambutnya ke tepi. 

"Ika, kau okey tak ni?" Lutfi menyoal bila melihat keadaan Mallika yang masih dalam keadaan terperanjat. Mallika tidak menjawab. Mallika mula rasa gelisah. Kuku ibu jari digigit sambil memandang ke luar.

"Aku faham kalau kau tak boleh terima apa yang aku cakap tadi. Itu sebab tadi aku..."

"Apa syarat yang lain?" Mallika cepat memotong. Dia baru teringat akan sesuatu.

"Huh? Kau cakap apa tadi?"

"Kau cakap tadi syarat-syarat. Dah semestinya syarat Harith lebih dari satu. Jadi apa syarat yang lain?" Mallika diserang rasa takut.

"Aku tak tahu. Hadif tak cakap cuma dia cerita tentang syarat yang tu je dan dia pesan jangan buat hal kat ofis. Lagi satu Hadif pesan, jangan ganggu Hana lagi sebab kalau Harith dapat tahu, dia dah tak boleh tolong apa-apa. Tangan dia terikat sebab ikut syarat Harith."

"What?!" Mallika menjerit. Dia sudah tak ambil peduli dengan persekitarannya. Orang nak tengok, tengoklah! Dia tak kisah!

Mallika mengepal penumbuk lalu menghentak permukaan meja. "Habis tu? Nak biarkan je perempuan tu kerja terus kat situ?" Mallika menyambung. Api cemburu mula menyinggah ke lubuk hati.

"Itu yang aku geram tadi. Hadif boleh pulak suruh aku bersabar. Kau bayangkan, betapa tenangnya hidup si Hana sekarang ni. Kita dah tak boleh kacau dia lagi. Kalau kau nak tahu, muka si Hana berseri-seri bila Harith ada kat ofis. Senyuman dia dari telinga kanan sampai ke telinga kiri tau! tak sia-sia Hana tu diceraikan. Terlepas dari Hadif tapi sekarang rapat dengan Harith. Entah-entah Hana tu buat muka kesian, drama airmata untuk minta simpati Harith," Lutfi sengaja mereka-reka cerita untuk menghasut fikiran Mallika. Sedangkan di pejabat, Hana Sofea nampak kekok bila Sayf Harith menegurnya. 

Mallika mendengus kasar.

"Kau sengaja nak buat aku panas ke apa? Tak cukup kena sembur dengan Hadif tadi? Kau nak aku sembur kau jugak ke?" Mallika menjeling tajam. Telinganya berbisa bila mendengar cerita Hana Sofea bersama lelaki pujaan hatinya. Hana Sofea yang dia hina dulu, kini berdamping dengan lelaki sehebat Sayf Harith. Ini tidak adil!

"Aku bukan apa. Dulu Hadif  janjikan aku macam-macam. Dia cakap dia akan selalu back-up aku. Hadif pernah janji yang dia akan pastikan Harith keluar dari syarikat, jadi aku boleh gantikan tempat Harith. Sekarang dah jadi macam ni. Silap hari bulan, aku yang kena buang dan si Hana pulak yang akan ambil alih tempat aku."

Mallika menggeleng kepala. "No...No way!"

"Habis tu kita nak buat apa sekarang? Hadif macam tak nak buat apa-apa je. Takut sangat dengan Harith. Kalau aku tahu, lebih baik aku berkhidmat untuk Harith dari dulu lagi. Taklah aku susah macam sekarang ni."

"Kau ingat aku tak menyesal?  Aku sekarang bingit tahu tak? Dahlah Hadif tu bekas suami orang dan sekarang, Hadif tak ada nilai dalam syarikat? Buang masa aku je pilih si Hadif. Sakit kepala aku," Mallika memicit dahi.

"Kau masih ada perasaan kat Harith ke?" Lutfi cuba mengorek rahsia hati Mallika.

"Aku dari dulu ada hati kat Harith. Aku cuba nak pikat dia tapi Hadif selalu cakap kat aku yang Harith tak ada masa depan, yang Harith tak ada nilai dalam syarikat. Masa tu jugak, Harith pergi Dubai, kerja kat sana. Itu sebab aku percaya kata-kata Hadif. Aku mati-mati ingat yang syarikat akan jatuh ke tangan Hadif. Siapa sangka, Harith balik sini?  Menyesal betul aku bertunang dengan Hadif! Kalaulah aku lambatkan majlis pertunangan aku, mungkin bila Harith balik masa tu, aku masih ada peluang untuk pikat Harith. Sekarang dah terlambat! Dia jauhkan diri dari aku sebab aku ni bakal jadi isteri Hadif. Asal aku bodoh sangat? percaya sangat dengan kata-kata Hadif," Mallika menggaru kepala sehingga rambutnya menjadi kusut. 

"Cerita dah lepas, buat apa nak ingat lagi? Sekarang ni kita kena fikir apa kita nak buat kalau Hadif duduk diam-diam dan tak nak buat apa-apa? Tak kan nak biarkan Harith dengan Hana macam tu je?"

"Lut, aku rasa aku setuju dengan apa Hadif cakap tadi. Aku nak kau bersabar. Aku nak tengok sejauh mana Hadif akan berdiam diri. Kalau dia bodoh ikutkan je syarat Harith, kau dan aku, kita atur rancangan kita sendiri. Tanpa Hadif," Mallika senyum senget.

"Kau nak buat apa?"

"Aku macam kau jugak. Aku tak nak hidup susah. Kalau betul Harith ada kuasa dalam syarikat, aku nak kau jauhkan perempuan tu dari Harith. Hana tak layak untuk lelaki seperti Harith. Aku seorang je yang layak untuk berdamping dengan Harith."

"Kau rasa kita boleh buat ke? macam mana nak jauhkan Hana dari Harith?"  Lutfi mula rasa sangsi.

"Apa pendapat kau kalau Hana rujuk semula dengan Hadif? Aku pulak akan cari jalan untuk perangkap Harith untuk kahwin dengan aku?"

"Kau sanggup tikam Hadif dari belakang? Kau tak sayang Hadif ke?" Lutfi rasa pelik dengan Mallika yang cepat berubah hati.

"Lut, kat dunia sekarang ni, sayang mana cukup. Yang penting duit dan kuasa. Kalau ada duit, sekelip mata perasaan sayang akan wujud. Kalau tak ada duit..."

"Sekelip mata, perasaan sayang akan hilang?" Lutfi menyambung.

"Memang betul! Aku tak nak hidup susah. Kalau kau tolong aku untuk dapatkan Harith, aku boleh bantu kau untuk dapatkan jawatan apa yang kau nak," Mallika menabur janji.

Lutfi mula berbelah-bagi.

"Lut, tak kan kau tak percaya aku? Aku ni sepupu kau. Aku sanggup khianat tunang aku sendiri untuk kau."

Lutfi senyum lebar. 

"I guess we have a plan. Hana and Hadif. A loser with another loser. Memang secocok!" Lutfi akhirnya bersetuju dengan rancangan gila Mallika.

***

Hana Sofea mengira duit yang baru dikeluarkan dari mesin ATM sebentar tadi. Duit disimpan ke dalam dompet lalu resit dipandang lama. Gaji pertamanya sudah habis digunakan. Hana Sofea rasa sedih. Niat di hati untuk ketepikan sedikit wang untuk disimpan di dalam bank tidak kesampaian.Bila dia mendengar keluhan Puan Salehah pagi tadi yang sedang mempunyai masalah duit, Hana Sofea tidak sampai hati! Dia mesti bantu Puan Salehah yang banyak berjasa kepadanya. Hana Sofea menepuk dada untuk memujuk diri sendiri. Anggap ini satu ujian hidup.

Jam tangan dilirik. Pukul 1 petang dan kini destinasi seterusnya! 

Hana Sofea tidak sabar untuk pergi ke kedai baju Ah Hong untuk mengambil baju yang ditempah khas untuk Puan Salehah. Hana Sofea akan hadiakan jubah muslimah sebagai tanda penghargaan untuk ibu angkatnya. Hana Sofea mulakan perjalanan menuju ke kedai Ah Hong yang sederet dengan rumah-rumah kedai di kawasan itu.

Hana Sofea berjalan sambil mencari resit baju di dalam beg silangnya. Sedang dia sibuk menggeladah beg sendiri, Hana Sofea terdengar suara seorang wanita sedang meraung dalam kesakitan.

"Ya allah, sakitnya! Ouch..Allah."

"Mama okey tak ni? Macam mana Nia boleh cuai sangat! Sorry mama! ini semua salah Nia!"

Hana Sofea ternampak seorang wanita yang sebaya dengan Puan Salehah sedang duduk di atas anak tangga yang berhampiran dengan kedai baju Ah Hong. Wanita itu ditemani dengan seorang gadis yang dalam keadaan panik.Timbul rasa kasihan dalam diri Hana Sofea.

"Urmm..Assalamualaikum...apa dah jadi? Auntie rasa sakit kat mana?" soal Hana Sofea sambil duduk bercangkung. Mata memeriksa setiap inci tubuh wanita itu.

"Kak, tolong saya! saya dan mama saya tak berapa tahu tentang kawasan ni. Mama saya terjatuh tadi dan sekarang kaki dia mula bengkak. Ini semua salah saya! Tak sedar ada longkang! Kalaulah saya awal-awal dah nampak longkang tu, mesti mama tak jatuh," Gadis itu diserang rasa bersalah.

"Bukan salah awak. Hmmm...Auntie boleh jalan tak? Kat hujung sana ada klinik."

"Tadi auntie cuba bangun...tapi tak boleh. Kaki rasa bisa sangat," wanita itu menjawab dalam kesakitan. 

"Macam ni, saya pergi klinik kat hujung sana dan minta tolong dari staf klinik. Auntie tunggu sini sekejap ye?" Hana Sofea  pantas bangun lalu terus melangkah laju ke klinik yang ada di hujung rumah kedai itu.

Hana Sofea tarik nafas lega! Klinik masih buka dan tidak ramai pesakit pada waktu itu. Hana Sofea menerangkan situasi kepada salah satu kakitangan yang ada di kaunter klinik. Nasib baik klinik tersebut ada menyimpan kerusi roda. Bersama dua staf perempuan, Hana Sofea membantu wanita itu untuk bangun berdiri lalu berpindah ke kerusi roda.

"Terima kasih kak sebab tolong kami," Gadis itu mengangkat beg tangan milik ibunya.

"Perkara kecil je. Akak pun tak sampai hati nak biarkan mama awak macam tu. Jom kita pergi klinik. Nanti mama awak cari awak pulak."

Hana Sofea menemankan gadis itu di ruangan menunggu sementara ibunya dirawat di bilik doktor.

"Kak, mama saya okey kan? Saya risaulah!" Gadis itu berjalan ke hulu ke hilir. 

"Insya Allah. Doktor masih tengok mama awak. Kita doa kaki mama awak tak teruk sangat," Hana Sofea cuba menenangkan hati gadis itu.

"Insya Allah amin. Hmmm...nama saya Dania, nama akak?" Gadis itu memperkenalkan dirinya.

"Hana Sofea."

"Kak Hana...terima kasih tau! sebenarnya Daddy Nia ada urusan kat kawasan ni. Nia tak nak duduk dalam kereta  sebab bosan sangat. Jadi Nia ajar mama jalan-jalan tapi tulah, tak sangka mama terjatuh. Nia tadi sibuk sangat dengan handphone, tak sedar ada longkang tadi," Dania rasa menyesal.

"Jangan cakap macam tu. Perkara dah jadi. Bukan salah Nia. Jangan salahkan diri Nia lagi. Hmmm Nia umur berapa?"

"Lapan belas."

"Masih belajar?" Hana Sofea sengaja mengajak Dania berbual untuk hentikan Dania dari terus-menerus menyalahkan dirinya.

Dania angguk kepala.

"Belajar kat mana?"

"Daddy!" Dania meluru mendapatkan  seorang lelaki yang baru saja tiba di klinik.

"Mama macam mana? okey tak? Daddy dah pesankan untuk duduk dalam kereta je. Baru balik sini, mama kamu..."

Pintu bilik doktor dibuka dari dalam. Perbualan antara anak dan ayah terbantut. Dania terus mendapatkan ibunya yang sedang jalan terhincut-hincut. 

"Mama, duduk sini dulu. Daddy tengah bayar kat kaunter," Dania menyuruh ibunya duduk di bangku panjang.

"Mama, Nia kenalkan, ini kak Hana. Kak Hana, ini mama Nia. Datin Umairah." Dania berniat untuk mengusik. Senyum cuba disembunyikan. 

Hana Sofea terus mendekati wanita itu. "Kaki Datin macam mana? Doktor cakap apa?" Hana Sofea mengambil serius dengan kata-kata Dania tadi.

Wanita itu ketawa kecil lalu menarik tangan Hana Sofea untuk duduk disebelahnya. Hana Sofea sekadar menurut.

"Hana jangan dengar cakap anak auntie ni. Nia ni suka bergurau! Panggil je auntie Irah. Nia main tambah je Datin kat nama auntie sedangkan kita ni, orang biasa-biasa je. Tak ada pangkat pun."

Hana Sofea senyum malu. Tak tahu nak percaya atau tidak. Manalah tahu wanita yang peramah ini, ada pangkat Datin tapi dia mempunyai sifat yang rendah diri?

"Terima kasih sebab bantu auntie tadi," Puan Umairah menggengam kemas tangan Hana Sofea.

"Auntie tak perlu nak cakap terima kasih, Hana pun tak sampai hati nak biarkan auntie macam tu tadi."

"Uncle pun nak ucapkan terima kasih. Minta maaf sebab susahkan cik...."

"Nama dia Hana bang," Puan Umairah menyambung ayat suaminya.

"Hana nak pergi mana? Auntie suruh suami auntie hantarkan Hana dulu, sebagai tanda terima kasih."

"Eh! tak perlu. Lagi pun Hana nak patah balik ke tempat tadi. Nak ambil baju untuk ibu Hana. Lepas tu, Hana dah nak balik rumah."

"Kalau macam tu, Hana pergi ambil baju. Uncle bawa auntie masuk kereta dulu. Lagi pun uncle tengah tunggu seseorang. Dia pun nak tumpang sekali, sambil-sambil tu, kita tunggu Hana Sekali. Uncle tunggu kat depan klinik."

"Err..tak susahkan ke? nanti kereta uncle sempit pulak," Hana Sofea sengaja buat alasan. Tak kan dia nak  menumpang kereta orang yang dia baru kenal?

"Lah! Kak Hana jangan risau. Kereta muatlah untuk 7 orang." Dania cepat menjawab.

Hana Sofea senyum kaku. Nampaknya dia tidak mampu untuk menolak lagi. 

"Kalau diam tu, maksudnya Hana okeylah tu," Puan Umairah senyum manis. Hatinya gembira dapat ditemukan dengan seorang perempuan yang baik hati seperti Hana Sofea.

"Kalau macam tu, Hana pergi ambil baju dulu?" 

"Itu kereta Uncle yang warna hitam itu," Kereta Lexus RX350L ditunjukkan kepada Hana Sofea. 

Hana Sofea sekadar mengangguk kepala. Tanpa membuang masa, Hana Sofea bergegas keluar dari klinik dan berpatah balik ke tempat tadi.Dia tidak mahu membuat orang tertunggu-tunggu!

Dua puluh minit berlalu. Setelah mengambil jubah muslimah dari kedai baju Ah Hong, Hana Sofea berlari anak menuju ke klinik. Rasa bersalah kerana membuat mereka menunggu lama. Hana Sofea terdengar bunyi hon datang dari kereta yang ditunjukkan oleh suami Puan Umairah tadi. Hana Sofea terus mendekati kereta itu tetapi entah mengapa hatinya tiba-tiba berdetak laju.

Hana Sofea tarik nafas. Belum sempat tangan mencapai pintu kereta, pintu di bahagian penumpang dibuka dari dalam. Figura seorang lelaki muncul di depan mata Hana Sofea. 

Hana Sofea kaget. Badan terus menjadi kaku.

"Kak Hana, kenapa tercegat tu? Masuklah!" Kepala Dania muncul dari tempat duduk paling belakang. 

"Errm..." tekak Hana Sofea menjadi kering. Tak kan dia nak duduk sebelah lelaki ni? Walaupun ada kosong di tengah, Hana Sofea tetap tak rasa selesa! Kenapalah Dania tak duduk sekali kat situ? kenapa dia duduk di belakang, barisan yang terakhir? 

Melihat Hana Sofea yang masih tercegat di luar kereta, Dania senyum kekok. "Err..Kak Hana tak kisah kan duduk sini? Nia nak tukar tempat duduk kat depan macam leceh pulak. Hmmm...Oh ya! By the way, meet Abang Harith. Sepupu Nia."

Sayf Harith menarik cermin mata hitam ke hujung hidung untuk seketika. Mata dikenyitkan kepada Hana Sofea lalu cermin mata hitam ditolak untuk menutupi matanya. Sayf Harith berdehem kecil. Tiba-tiba dia diserbu rasa malu!  Perbuatannya tadi betul-betul diluar kawalan!

 Hana Sofea telan liuh. Makin dia nak jauhkan dirinya dari Sayf Harith, makin kuat takdir mereka bertaut. What a small world!


* Terima kasih kepada yang masih membaca IMS. Maaf jika ada kesalahan. Komen sangat dialukan-alukan. Boleh follow instagram saya untuk mengikuti perkembangan IMS.*

Instagram : selmaq1710

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Selma Q