Home Novel Cinta Ingin Mencintaimu Selayaknya
Ingin Mencintaimu Selayaknya
Selma Q
29/4/2019 03:45:46
15,617
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

Bab 23 (edited and updated)

Telefon bimbit Hana Sofea sejak tadi, asyik bergegar tanpa henti. Nasib baik silent mode, kalau tidak mungkin staf lain akan mengadu. Hana Sofea tahu siapa yang menghubunginya. Siapa lagi kalau bukan Firdaus! Berpuluh mesej WhatsApp dihantar kepadanya tetapi Hana Sofa memang sengaja tidak mahu membalas.

Hana Sofea mengemas fail yang berselerak di atas mejanya. Sudah pukul 5.15 petang tapi Sayf Harith tidak pulang ke pejabat selepas waktu makan tengahari tadi. Dia ambil cuti setengah hari ke? Agak-agaknya Luqman tahu tak apa terjadi kepada Sayf Harith?

"Hana..."

Mata Hana Sofea terbeliak bila Firdaus muncul di depannya. Firdaus dengan wajah yang tenang sedang berdiri di depan meja. Jantung Hana Sofea berdetak laju. Rasa takut mula menjengah. Janganlah dia buat perangai pelik kat sini!

"En...encik Firdaus buat ap...apa kat sini?" Hana Sofea sudah tergagap-gagap.

"I nak jumpa Harith. Dia ada?" soal Firdaus. Wajah Hana Sofea diratah tanpa berkelip. Kalau ikutkan hati, dia mahu mengheret Hana Sofea keluar dari pejabat. Dia benci bila telefon tak diangkat dan mesejnya tidak dibalas. Nampak sangat Hana Sofea mahu jauhkan diri daripadanya.

Hana Sofea menelan liuh. Tiba-tiba tekak menjadi kering. Kalau boleh dia nak hilangkan diri saat ini juga!

"Tuan...Tuan Sayf tak ada. Saya tak tahu dia pergi mana. Dia tak tinggalkan apa-apa pesan," Hana Sofea cuba berlagak tenang.

"I ada perkara nak bagi tahu dia. Tentang kerja. Boleh tak kalau I bagi tahu you je? I ada dokumen yang I perlu bagi kat Harith."

Hana Sofea bangun dari kerusi. "Kalau macam tu, saya ambil dokumen tu dan encik Firdaus boleh tinggalkan pesan."

"Ada meeting room yang available? Meja you berselerak. Susah I nak bagi dokumen I," jawab Firdaus dengan tenang. Seolah diantara mereka tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini. Hana Sofea terpaksa akur. Memandangkan ini melibatkan soal kerja, Hana Sofea tiada alasan untuk menolak.

"Okey, kita proceed to the meeting room," Hana Sofea menyetujui cadangan Firdaus lalu Firdaus dibawa ke salah satu bilik mesyuarat yang terletak di sebelah bilik Sayf Harith. Buku nota dan pena dibawa sekali.

Sebaik sahaja pintu ditutup, Hana Sofea menjemput Firdaus untuk duduk tetapi Firdaus masih setia berdiri di sebelah pintu. Hana Sofea mula rasa tidak sedap hati tetapi cuba untuk tidak hiraukan perasaan itu. Firdaus meletakkan briefcase di atas meja.

"Kenapa you jauhkan diri you dari I?" Firdaus terus menyoal. 

"Encik Firdaus, kita sepatutnya bual pasal kerja," jawab Hana Sofea dengan rasa takut.

"I bukan nak jumpa Harith. I gunakan alasan ni untuk jumpa you. I sendiri tahu yang Harith tak ada," Firdaus mendekati Hana Sofea yang berdiri tidak jauh darinya.

Hana Sofea kaget. Ini mesti kerja Lutfi! Lutfi orang pertama yang akan tahu jika Sayf Harith ada urusan di luar pejabat. 

"Kalau macam tu, saya keluar dulu. Lagi pun kita tak ada perkara yang harus dibincangkan," Belum sempat Hana Sofea membuka langkah untuk keluar dari bilik itu, Firdaus menghalang pemergian Hana Sofea dengan tubuhnya. Langkah termati apabila Firdaus bersandar ke pintu. 

"Kalau you masih berdegil nak keluar jugak, I tak teragak-agak nak buat sesuatu kat you," ugut Firdaus dengan nada yang bersahaja.

"Encik Firdaus nak buat apa?" Hana Sofea berpeluk tubuh. Benci dengan sikap Firdaus!

"I boleh buat sesuatu yang malukan you depan staf Harith. Hana...I datang cara baik tapi kenapa you ni sombong sangat?" 

"Saya sombong?" Hana Sofea tak boleh terima!

"I telefon you banyak kali, you tak angkat. I mesej, you tak balas. I ni teruk sangat ke kat mata you?"

"Saya tak bermaksud macam tu. Saya tak nak ganggu rumahtangga encik Firdaus. Lebih baik kalau kita tak berhubung lagi. Saya tak nak ada timbul fitnah pasal kita dua," Hana Sofea cuba menjelaskan dengan baik dengan harapan Firdaus akan faham.

"Fitnah apa ni? I nak kat you. Bukan you yang goda I. Buat apa nak kisah dengan apa orang cakap?" Firdaus melangkah lalu cuba menyentuh wajah Hana Sofea tetapi sempat dielak.

"Kenapa encik Firdaus tak boleh terima? Saya ulang lagi...Saya tak nak ganggu rumahtangga encik Firdaus. Saya harap encik Firdaus tak telefon atau mesej saya lagi," Hana Sofea bersuara tegas. Entah dari mana dia mendapat kekuatan untuk menjawab setegas itu. Hana Sofea perlahan-lahan berganjak ke belakang. Dia takut kalau Firdaus akan berkasar dengannya seperti di dalam kereta tempoh hari.

Firdaus menggosok bibir. Otak ligat berfikir. Dia harus menggunakan taktik lain!

"Okay fine...I minta maaf. I bukan apa…" ayat Firdaus tergantung. Kerusi di depannya ditarik lalu punggung dihenyak ke atas kerusi itu. Firdaus menggaru-garu rambutnya seolah dia sedang berhadapan dengan masalah yang besar.

"Bila I dapat tahu isteri I curang, I kecewa sangat. Bila I jumpa you pertama kali kat pejabat ni, I terpaut dengan kelembutan wajah you. Bila I dah kenal you, hati I dah jatuh suka dengan you. Sampai I terfikir kenapa isteri I tak macam you," suara Firdaus tiba-tiba berubah menjadi sayu. Hana Sofea mula rasa kasihan. Dia sendiri pernah melalui perasaan kecewa itu bila Syaiful Hadif membawa Mallika pulang ke rumah.

"Ini semua ujian dari Allah. Mungkin ujian ini akan membuat rumahtangga encik Firdaus dan isteri lebih kuat," Hana Sofea cuba memberikan kata-kata semangat. Firdaus meletakkan dahinya di atas meja. Hana Sofea hanya membiarkan Firdaus tanpa berkata apa-apa. Mungkin lelaki ini memang dibebani dengan masalah yang besar. Perlahan-lahan, Firdaus mengangkat kepala lalu menoleh ke Hana Sofea.

"I buntu," Mata Firdaus mula berkaca. Tanpa segan-silu, Firdaus mengesat matanya dengan kedua tapak tangannya. Hana Sofea menjadi serba salah. Hana Sofea bergerak ke salah satu kerusi di depan Firdaus.

"Apa kata encik Firdaus balik dulu, tenangkan fikiran. Banyakkan doa dan mengaji. Insya Allah, encik Firdaus akan jumpa jalan penyelesaian," tutur Hana Sofea dengan berhati-hati. 

"Hana, boleh tak lepas kerja, you temankan I makan? I jugak perlukan nasihat you. You kan perempuan, mesti you tahu apa yang I patut buat untuk pujuk isteri I. Setiap kali I ajak dia berbincang, kita mesti bergaduh. Isteri I akan balik sini akhir bulan ni. I janji lepas ni, I tak kacau you lagi. I nak perbaiki hubungan I dengan isteri I," Firdaus mengangkat tangan seolah sedang bersumpah.

"Er…" Hana Sofea terus buntu!

"Kita makan kat kedai tepi jalan pun, I tak kisah. I satu hari tak makan. Kita pergi ke tempat yang ada ramai orang. Kalau lepas makan, you tak nak I hantar balik, tak apa. I faham. I harap you setuju."

"Encik Firdaus...saya…" Hana Sofea cuba mencari alasan lain untuk menolak.

"Lagi pun lagi 15 minit, you dah habis kerja kan? Please Hana...Otak I betul-betul kusut. I takut je kalau I buat perkara yang bodoh."

"Astaghfirullah hal azim! Ingat Allah!"

"I minta you luangkan masa sekejap je. Satu jam pun tak apa!" Firdaus tidak henti-henti merayu.

"Atau you nak I melutut?" Firdaus terus bangun dari kerusi. Hana Sofea terperanjat! Kalau Firdaus buat betul-betul macam mana? Kalau staf nampak dah jadi bahan cerita. Dia takut kalau cerita ini sampai ke pengetahuan Sayf Harith.

"Okey!" Hana Sofea bangun dari kerusi. Dia terpaksa terima ajakan Firdaus. 

"Encik Firdaus tunggu dibawah. Nanti saya turun."

"I tunggu you! Terima kasih Hana sebab sudi tolong kawan you ni," Firdaus tersenyum lega lalu mengambil briefcase miliknya. Sesaat kemudian, Firdaus sudah pun keluar dari bilik mesyuarat itu. Hana Sofea menarik nafas dan berharap ini kali terakhir dia akan berjumpa dengan Firdaus. 

***

"Encik Firdaus, kita nak pergi mana ni? masih jauh lagi ke?" Hana Sofea mula risau. Sekarang dah pukul 6.30 petang. Sempat ke nak solat maghrib nanti? Dia sendiri tidak tahu ke mana destinati mereka sebenarnya. Kalau tempat makan tu tak ada tempat solat, macam mana? sempat ke nak balik rumah untuk solat maghrib?

"I kena pergi satu tempat sekejap untuk ambil satu dokumen. Lepas tu, kita pergi makan," jawab Firdaus dengan tenang.

"Saya risau kalau tak sempat nak balik untuk solat maghrib nanti. Apa kata kita pergi makan hari lain? Encik Firdaus turunkan saya kat mana-mana, nanti saya balik naik grab," Hana Sofea mengharap Firdaus akan menurut dengan kehendaknya.

"Nak dekat sampai pun..."

Kereta Firdaus dibelok, masuk ke satu Lorong yang sunyi. Hana Sofea mula tidak sedap hati tetapi dia cuba untuk bersangka baik. Hana Sofea mendongak ke langit. Hatinya boleh rasa mungkin hujan akan turun tidak lama lagi. Hana Sofea tarik nafas.

Kereta Firdaus berhenti di kawasan perumahan yang masih dalam proses pembinaan. Sebelah kiri penuh dengan rumput-rumput yang panjang. Tidak sampai beberapa minit. hujan mula turun. Bunyi air hujan yang jatuh di bumbung kereta membuat Hana Sofea rasa tidak keruan. Macam mana nak lari dari situasi ni dengan hujan diluar? 

Firdaus dengan bersahaja membuka lagu dari radio kereta. Saluran radio kerap ditukar beberapa kali sehingga Firdaus berpuas hati dengan lagu yang dimainkan. Rupanya genre slow ballad menjadi pilihan hati Firdaus. Hana Sofea menggosok-gosok lengannya kerana rasa terlalu sejuk.

"Kenapa? you sejuk ke?" soal Firdaus sambil merenung Hana Sofea dari atas ke bawah.

"Lama lagi ke kita kena tunggu kat sini?"

Firdaus tersenyum lebar. "Jangan risau, sekejap lagi,kawan I nak datang. Kalau you nak tahu, kawasan perumahan ni, adalah salah satu projek daddy I. Last minute I kena datang sini sebab ada perkara yang I perlu selesaikan."

"Kalau encik Firdaus sibuk, kita boleh pergi makan hari lain," Hana Sofea membalas. Dia berdoa dalam hati agar hujan cepat berhenti. Dia mahu pergi dari tempat ini. Setiap minit di dalam kereta Firdaus amat mendebarkan.

"I kan dah cakap tadi yang isteri I akan balik akhir bulan ni. I tak ada masa lain untuk jumpa you. Hari ni adalah pertemuan kita yang terakhir. Lepas ni, kita tak jumpa lagi sebab I nak tumpukan perhatian I kat isteri I." Firdaus membuka tali pinggang keledarnya sambil memandang ke kiri dan kanan. 

Hana Sofea rasa lega. Debaran hati semakin berkurang. Mungkin salah dia juga kerana bersangka buruk terhadap lelaki ini. 

"Tadi masa kat ofis, encik Firdaus cakap nak minta nasihat saya. Encik Firdaus nak tanya apa?" soalan Hana Sofea tidak dijawab. Perlahan-lahan Firdaus membuka kotnya lalu dicampak ke tempat duduk belakang.

"You rasa..." Firdaus memusing tubuhnya menghadap Hana Sofea sambil membuka butang baju kemejanya, satu per satu.

"Perempuan suka tak disentuh macam ni…" tangan Firdaus mula merayap ke pipi Hana Sofea.

"Apa ni?!" Hana Sofea menepis tangan Firdaus dengan kasar. Hatinya terus diserang dengan perasaan takut.

"I setakat nak tahu perempuan suka tak kalau dilayan macam ni…" tangan Firdaus mula merayap ke paha dan tubuh Hana Sofea. Sekuat mana pun tangan kecil itu menepis tangannya, Firdaus tidak menyerah kalah. Hatinya tiba-tiba teruja untuk melihat Hana Sofea tanpa tudungnya. 

"Jangan sentuh saya!" Hana Sofea menjerit sambil tangan kanan memukul dada Firdaus. Tangan kiri cuba sedaya upaya membuka pintu kereta. Dia perlu selamatkan dirinya. Tak kisahlah kalau dia perlu berlari dalam hujan sekalipun! Akhirnya dengan menggunakan satu tangan, pintu kereta berjaya dibuka tetapi dia masih "terikat" dengan tali pinggang keledarnya. Firdaus terus bertindak dengan pantas! Satu tangannya memegang tali pinggang keledar untuk "mengikat" Hana Sofea dan sebelah tangan menarik pintu kereta sehingga pintu kereta tertutup rapat. Hana Sofea tergaman. 

Firdaus dengan kasar menarik tudung sehingga rambut Hana Sofea menjadi tatapan mata Firdaus. " Cantik rambut kau. Kau cantik Hana Sofea. Leher kau..." suara Firdaus sudah hilang timbul. Nafsu sudah mengawal akal Firdaus sepenuhnya. Hana Sofea mula menangis. Esakan semakin kuat bila Firdaus membuang tudungnya ke tempat duduk belakang.

"Tolonglah! jangan buat saya macam ni. Apa salah saya?" Hana Sofea merayu dalam tangisan. Firdaus memegang kedua tangan Hana Sofea dengan erat. Wajah Firdaus semakin dekat ke wajah Hana Sofea.

"Apa salah kau? Masa aku baik dengan kau, kau buat bodoh dengan aku. Bila aku cakap aku suka kat kau, kau buat-buat tak dengar. Aku benci dengan perempuan sombong macam kau. Perempuan macam kau patut diajar!" suara Firdaus sudah berubah menjadi kasar.

Hana Sofea menangis tanpa henti. Dia sanggup menangis airmata darah asalkan Firdaus melepaskan dirinya.

"Saya minta maaf kalau saya sakiti hati encik Firdaus. Tolonglah jangan buat saya macam ni," Hana Sofea merayu tanpa henti. Airmata semakin deras mengalir ke pipi. Hana Sofea cuba untuk menahan tubuh Firdaus daripada menindihnya. Firdaus mencengkam leher Hana Sofea sehingga membuat Hana Sofea sukar untuk bernafas. Firdaus merapatkan bibirnya ke telinga Hana Sofea. 

"Sudah terlambat. Tak guna kau merayu kat aku. Mungkin kau kena merayu kat Harith lepas ni. Selepas aku sentuh kau, Kau rasa Harith nak kau lagi ke? Biar Harith kecewa dengan kau! Biar padan muka dia," bisikan Firdaus membuat Hana Sofea menjadi kaku. Firdaus lakukan perkara terkutuk ni sebab Sayf Harith ke?

"Seperti yang kau nak, ini kali terakhir kita akan berjumpa. Lepas ni aku tak nak kau muncul depan aku lagi! So why not we make this a memorable one?"

"TAK NAK!" Hana Sofea menjerit. Separuh badan Firdaus mula menindih di atas tubuh Hana Sofea. Firdaus menggunakan segala kekuatan yang dia ada untuk dapatkan tubuh Hana Sofea. Hana Sofea meronta sekuat hati tetapi kerana ruang kereta yang kecil itu, menyukarkan Hana Sofea untuk menolak tubuh Firdaus. 

"Jangan risau sayang, I buat perlahan-lahan okey?" Firdaus melepaskan ketawa besar. Hana Sofea benci dengan suara itu!

Firdaus terus membenamkan wajahnya ke leher Hana Sofea. Hana Sofeaa meronta-ronta. Dia akan melawan dengan kudrat yang dia ada. Dia tidak akan mengalah. Ya Allah, bantulah hambamu!

Firdaus merentap butang baju Hana Sofea tanpa rasa belas ihsan. Hana Sofea menjerit sekuat hati bila dadanya sudah terdedah.

"Jeritlah! Kau ingat ada orang ke kat sini?" Firdaus mencabar.

Perut Hana Sofea terus menjadi kecut. Dia takut dengan apa yang bakal terjadi ke atas dirinya. Mata dipejam tapi tangan masih kuat melawan. Tangan Firdaus mula merayap ke paha. Hana Sofea menangis tanpa henti. Kalau Firdaus lakukan ini kerana bencinya terhadap Sayf Harith, kenapa dia harus menjadi mangsa? Betapa sakitnya tubuh badannya bila Firdaus mula mengasarinya.

Tiba-tiba Hana Sofea rasa dirinya sudah tidak ditindih lagi. Hana Sofea takut untuk membuka matanya tapi tatkala telinga terdengar ada kekecohan diluar kereta, matanya terbuka luas. Firdaus tidak ada di dalam kereta tetapi pintu kereta di bahagian pemandu, terbuka luas. Hana Sofea dengan pantas mencapai kain tudungnya di tempat duduk belakang. Mungkin ini adalah peluang keemasan untuk larikan diri. Hana Sofea kelam-kabut memakai tudungnya. Tiba-tiba pintu kereta disebelahnya, dibuka dari luar. Hana Sofea terus menjerit tanpa memandang siapa yang sedang berdiri di luar kereta.

"Hana! Ini abang Luq!" Luqman bersuara lantang untuk mengejutkan Hana Sofea yang terjerit-jerit sejak tadi. 

"Abang Luq..." Hana Sofea seperti orang yang baru tersedar dari mimpi. Dia terus menangis lagi.

"Pakai kot abang," kata Luqman sambil menyuakan kotnya kepada Hana Sofea. Kot diambil dan terus disarungkan ke tubuhnya. Dia malu dengan keadaan dirinya yang tidak sempurna.

"Kau memang tak guna!" 

Hana Sofea terdengar jeritan seseorang di luar kereta. Hujan sudah pun berhenti dan Hana Sofea terus keluar dari kereta dan mencari suara itu.

Sayf Harith!

"Kau tak layak hidup Firdaus!" Sayf Harith menjerit sambil mencengkam kolar baju yang masih tersarung di tubuh Firdaus. 

"Harith, kalau kau berani, bunuhlah aku! Ingat aku takut mati ke?" Firdaus mencabar. Sayf Harith sudah tidak tahan lagi. Tangan terus dikepal dan bibir Firdaus akan menjadi sasarannya. Bibir itu telah mengasari wanita pujaannya!

"Harith, kau jangan kotorkan tangan kau!" Luqman menjerit. Dia perlu menghalang Sayf Harith!

Pergerakan Sayf Harith terhenti. 

"Kau tak berani kan? Ha! HA! HA! Kau memang seorang pengecut Harith!" Firdaus semakin berani. Luqman terus mendapatkan Sayf Harith lalu menarik Sayf Harith jauh daripada Firdaus. Sayf Harith melawan bila Luqman menariknya. Sayf Harith mahu mengajar Firdaus cukup-cukup!

"Harith, sekarang kita fokus kat Hana!" Luqman berteriak untuk menyedarkan Sayf Harith untuk tidak bertindak secara tidak waras. Kalau dibiarkan, dia takut kalau Sayf Harith akan membelasah Firdaus sampai mati. Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk!

Sayf Harith meraup rambutnya ke belakang lalu meludah ke arah Firdaus. Luqman berdiri di antara Firdaus dan Sayf Harith untuk pastikan tiada pergaduhan atau pertumpahan darah berlaku pada hari itu.

"Aku dah agak dah! Kau memang pengecut! Aku tahu kau takut kalau projek kerjasama dibatalkan, syarikat kau dapat malu dan perlu bayar pampasan. Kau memang lelaki tak guna Harith!" Firdaus menjerit sekuat hati. Luqman menoleh ke arah Hana Sofea yang sedang berdiri kaku di tepi kereta Firdaus.

"Hana, pergi masuk kereta Harith," Luqman bersuara lembut. Wajah Hana Sofea mempamerkan riak kosong. Airmata pun sudah kering. Hana Sofea sekadar mengikut arahan Luqman. Tubuhnya masih rasa berbisa. Hana Sofea membuka langkah satu per satu menuju ke kereta Sayf Harith yang terletak di belakang kereta Firdaus. Sayf Harith menolak tangan Luqman yang sedang menjadi orang tengah antara dirinya dan Firdaus. Sayf Harith bermundar-mandir sambil bercekak pinggang.

"Hana! Lelaki macam ni yang kau nak? Tak mampu lindungi kau sebab dia utamakan syarikat datuk dia! Kau bodoh Hana! Kau buang masa dengan lelaki yang tak mampu buat apa-apa untuk kau! Nak belasah aku pun, dia tak berani. Agaknya kalau Luqman ni tak ada, Harith akan membiarkan saja aku ratah tubuh kau tadi!" 

"Kau memang nak kena dengan aku!" Sayf Harith meluru ke arah Firdaus yang sedang bersandar ke keretanya.

"Harith! Sudah tu!" Luqman menahan Sayf Harith daripada mendekati Firdaus yang sedang ketawa besar.

"Apa masalah kau ni!" Sayf Harith menengking. Bingit bila dirinya ditahan oleh Luqman sejak dari tadi.

"Harith! dengar nasihat aku. Pergi hantar Hana balik. Ini taktik kotor Firdaus untuk hancurkan kau!" Luqman menepuk pipi Sayf Harith.

"Kesian kan Hana tu, pergi hantar dia balik."

Sayf Harith memandang ke arah Hana Sofea yang berdiri kaku disebelah keretanya.Betapa peritnya hati melihat wajah Hana Sofea yang pucat itu. 

"Hei perempuan! Kau berambuslah dengan si loser tu!" 

"Kau diam! Kau jangan ingat kita akan lupakan tentang hal ni!" Luqman berteriak sambil menuding jari ke arah Firdaus. Ugutan Luqman langsung tidak berbekas di dalam hati Firdaus. Firdaus tersenyum sinis lalu terus memboloskan diri ke dalam perut kereta.

"Hana..."

"Jangan sentuh saya!" Hana Sofea terpekik kerana terperanjat dengan kehadiran Sayf Harith disebelahnya.

"I hantar you balik," Sayf Harith membuka pintu kereta di bahagian tempat duduk belakang. Sayf Harith tahu yang Hana Sofea mesti tidak rasa selesa untuk duduk di depan selepas apa yang terjadi tadi. Hana Sofea tidak membantah. Yang dia tahu dia mahu cepat sampai ke rumah. 

"Harith,ini beg Hana." 

Beg tangan milik Hana Sofea sudah bertukar tangan. Nasib baik Luqman tidak lupa untuk mengambil beg tangan itu dari kereta Firdaus tadi.

"Terima kasih Luq," ucap Sayf Harith dengan ikhlas.

"Kau hantar Hana dulu. Pasal lelaki tak guna tu, kita bincang bila kau dah tenang."

Sayf Harith angguk kepala lalu bergerak ke tempat duduk pemandu. Luqman juga turut bergerak menuju ke keretanya yang terletak di sebelah kereta Sayf Harith. 

Sepanjang perjalanan, Hana Sofea langsung tidak membuka mulut. Sayf Harith melirik ke belakang untuk melihat keadaan Hana Sofea. Dia benar-benar risau dengan wanita itu setelah apa yang telah terjadi tadi. Nasib baik dia sampai tepat pada waktunya. Kalau dia terlambat tadi...Sayf Harith meraup muka. Dia tak boleh bayangkan apa yang akan terjadi kalau dia sampai lambat di tempat kejadian. 

"You nak pergi klinik?" Sayf Harith menyoal dengan berhati-hati. Hana Sofea menggeleng kepala.

"Atau....you nak pergi balai polis? Kita buat report."

Hana Sofea pejam mata. Kata-kata Firdaus tadi masih segar di dalam ingatannya. 

"Hana?" 

"Awak diam boleh tak?!" Hana Sofea tiba-tiba menjerit.

"I minta maaf. I risau..."

"Diamlah! Saya tak nak dengar apa-apa dari mulut awak!" Hana Sofea berteriak. Kedua-dua tangan menutup telinganya. Dia bingit! Benci dengan apa terjadi tadi. Kenapa dia bodoh sangat menerima ajakan Firdaus?

Sayf Harith menyesal. Dahi diurut lalu kedua tangan memegang stereng kereta dengan erat. Ini semua salah dia! Disebabkan mulut, kini emosi Hana Sofea menjadi kacau-bilau.

Hana Sofea telan liuh. Tekaknya menjadi perit. Perlahan-lahan tangannya bergerak ke wajah. Pipinya disentuh lalu bergerak ke mulut. Hana Sofea rasa seperti nak muntah. Tangan menekup mulut sendiri. Mata dipejam. Hana Sofea meraung sambil menekup mulutnya. Airmata sudah kering tetapi hati mahu menangis lagi sampai dia rasa puas. Seluruh tubuh Hana Sofea menggeletar. Hana Sofea  menjerit sepuas hati dengan harapan segala kesakitan yang dialami boleh terus lenyap.

Sayf Harith mengetap bibir. Hatinya perit melihat keadaan Hana Sofea yang tidak stabil. Sayf Harith menghentak stereng kereta untuk lepaskan rasa marah terhadap Firdaus. Sayf Harith menguak rambut ke belakang. Dia terus beristighfar dalam hati. Waktu begini, dia sepatutnya menjadi kuat demi Hana Sofea. 

Tangan Hana Sofea jatuh ke riba. Matanya semakin berat. Dia penat menjerit dan menangis dari tadi. Hana Sofea menjadi lesu. Kedua tangannya diangkat lalu ditenung.

"Dia ingat aku lemah ke? Aku ni tak mampu nak lawan dia? Dia ingat aku ni siapa?" Hana Sofea berbual sendiri.

"Hana, please rest," pinta Sayf Harith. Dia semakin risau dengan keadaan Hana Sofea.

"Diamlah! Saya tak nak dengar!" 

Airmata mengalir lagi. Hana Sofea menumbuk-numbuk dadanya untuk hilangkan rasa sakit.

"Hana..."

"Kenapa Allah temukan kita? Kenapa? Kalau kita tak ditemukan, Hadif tak akan muncul dalam hidup saya lagi dan semestinya tiada nama Firdaus dalam kamus hidup saya. Kenapa?" Hana Sofea menangis teresak-esak. 

"Aku sepatutnya dengar cakap Hadif dari awal lagi! Aku patut keluar dari syarikat tu. Kalau dari awal, aku keluar dari syarikat, Firdaus sudah semestinya tak wujud dalam hidup aku. Kenapa aku bodoh sangat? Kenapa aku fikir yang aku boleh hadap semua ni?" Hana Sofea mengetuk kepalanya tanpa henti.

Sayf Harith tergamam! Bibir mula terketar-ketar. Setiap kata yang keluar dari mulut Hana Sofea membuat Sayf Harith tersentap.

'Adakah ini salah aku? Kalau aku tak ambil Hana bekerja dengan aku, mungkin ini semua tak akan terjadi dan Hana mungkin lebih bahagia...tanpa aku.'

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Selma Q