Home Novel Cinta Ingin Mencintaimu Selayaknya
Ingin Mencintaimu Selayaknya
Selma Q
29/4/2019 03:45:46
15,479
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Hana Sofea mengetuk pintu bilik Puan Salehah. "Ibu dah tidur?" soal Hana Sofea diluar pintu bilik.

"Belum, Masuklah!" suara Puan Salehah kedengaran dari dalam.

Hana Sofea menguak pintu bilik dengan perlahan-lahan. Hatinya berbolak-balik. Adakah ini jalan yang terbaik untuk selesaikan masalahnya dengan Syaiful Hadif.

"Ibu tengan buat apa tu?" Hana Sofea merapati Puan Salehah yang sedang duduk di hujung katil. 

"Tak ada apa-apa. Hana masuk bilik Ibu ni, ada masalah ke?" Puan Salehah mengorak satu senyuman. Senyuman yang agak kaku di mata Hana Sofea. 

"Bukan masalah tapi...Ibu ingat tak yang kita pernah bincang pasal..." Hana Sofea menggaru kepala. Tak tahu macam mana untuk mulakan butir bicara. Dia dihantui dengan rasa malu! Akhirnya dia terpaksa meminta pertolongan dari Puan Salehah.

"Pasal apa Hana?"

"Kalau Hana nak berhenti kerja, Ibu sokong tak keputusan Hana?" 

Puan Salehah mengeluh kecil lalu mencapai kedua tangan anak angkatnya. Tangan mereka bertaut kemas.

"Ibu minta maaf sebab tak dapat nak tolong Hana. Aisyah...dia pinjam duit Ibu. Dahlah Ibu tak bekerja. Ibu harapkan duit peninggalan arwah suami untuk tanggung duit belanja harian. Nanti nak  bayar bil elektrik, duit pasar dan kalau ada kecemasan...Ibu risau nanti kita semua..."

"Ibu!" Hana Sofea memintas.

"Hana faham. Ibu tak payah terangkan kepada Hana. Hana saja-saja tanya. Kalau tak boleh, tak apa! Hana okey. Ibu tak perlu risau." Hana Sofea memeluk bahu Puan Salehah.

"Ibu...Ibu minta maaf sayang. Ibu kalau boleh nak tolong tapi Ibu tak mampu." Mata Puan Salehah mula bertakung.

"Ibu...Hana okey. Hana akan kerja kat syarikat tu dulu. Bila Hana jumpa kerja baru, Hana akan berhenti. Ibu utamakan hal dalam rumah ni. Pasal Hana...nanti Hana pandai-pandailah cari jalan sendiri. Insya Allah ada jalan." suara Hana Sofea menjadi lirih.

Airmata yang bertakung di tubir mata Puan Salehah akhirny mengalir. Puan Salehah gagal mengawal perasaan. Hana Sofea menyeka airmata yang membasahi wajah Ibu angkatnya.

"Ibu ni comel betullah! Hal kecil pun nak nangis." Hana Sofea sengaja mengusik untuk hilangkan rasa serba salah dalam diri Puan Salehah. Puan Salehah senyum tawar.

"Hana...kalau arwah mak Hana masih hidup, dia mesti bangga dengan Hana. Hana anak yang baik, penyabar dan seorang yang kuat hadapi dugaan hidup."

"Insya Allah Ibu. Ibu doakan Hana supaya terus kuat dan sabar."

***

"Hadif, agak-agak kau, Hana akan ikut cakap kita tak?"

Lutfi mengambil tempat duduk di sebelah Syaiful Hadif. Soalan yang dilontar tadi tidak dijawab. Syaiful Hadif sedang tekun menonton TV sambil menghisap rokok.

"Kau datang melepak rumah aku, tunang kau tak cari kau ke?" Lutfi menukar soalan lain.

"Ika pergi Bali dengan kawan-kawan dia. Esok balik kut. Entahlah." Syaiful Hadif membuang puntung rokok ke dalam gelas yang berisi air. 

"Pasal Hana, Aku tak kuasa nak ambil tahu. Lagi pun, perempuan tu tak ada dalam perancangan asal so...terpulang pada kau nak buat apa kat dia."

"Lut, Aku perlukan kau untuk sebarkan fake news." Syaiful Hadif meneguk air sejuk dengan rakus. Lutfi berkerut dahi mendengar permintaan Syaiful Hadif.

"Fake news? pasal apa? kau nak aku sebarkan dalam internet atau dalam ofis?" Lutfi mahukan kepastian.

"Tak perlu sampai ke internet. Aku nak kau sebarkan dalam ofis. Kau buat cerita yang aku bakal jadi CEO ARQ & CO. Biar staf-staf ingat aku yang akan gantikan tempat daddy. Aku nak orang fikir yang Harith tak ada kuasa dalam syarikat sampai orang tak pandang Harith langsung! Kau boleh buat tak?"

"Ditanggung beres! Nanti tahulah aku nak buat macam mana. Kau ni...benci betul dengan abang tiri kau kan?" Lutfi mengorek kisah silam Syaiful Hadif.

"Aku nak dia rasa apa itu derita. Hidup dia cukup selesa sejak kecil lagi. Dia tak tahu betapa sakitnya dipukul dengan bapak sendiri. Dia tak tahu apa rasanya bila kau terpaksa makan sisa makanan orang lain. Aku benci! kenapa hidup dia lebih baik dari aku? Apa bezanya aku dengan si Harith tu? Aku akan perlahan-lahan ambil alih hidup Harith dan Harith akan jadi macam aku yang selalu dipandang rendah!" Syaiful Hadif menghempas gelas kaca ke lantai. Bunyi gelas pecah berderai bergema di ruang tamu itu.

Lutfi tidak berani untuk buka mulut. Dia biarkan saja Syaiful Hadif melampiaskan amarahnya. Biar gelas pecah asalkan bukan muka dia yang pecah. Sudah masak dengan perangai Syaiful Hadif yang panas baran itu.

Syaiful Hadif mengetap bibir. 'Dulu atuk kau hina aku dan mak aku. Aku nak kau bayar setiap penghinaan yang atuk kau dah lempar kat aku!' 



Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Selma Q