Home Novel Cinta Ingin Mencintaimu Selayaknya
Ingin Mencintaimu Selayaknya
Selma Q
29/4/2019 03:45:46
15,471
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8
"Hai, tengah sibuk ke?" soal Lutfi sambil duduk bertenggek di bucu meja.


Hana Sofea mendongak seketika lalu mengeluh. Apa lagi yang dia nak? Hana Sofea memberi perhatian semula ke kerjanya yang tergendala tadi.


"Saya tolong adam untuk failkan report-report tahun lepas." Hana Sofea menjawab tanpa pandang ke wajah lelaki itu.


"Encik Lutfi! bukan saya  yang suruh tapi si Hana yang beria-ria nak tolong." Adam menyampuk dari meja sebelah.


"Eh! tak apa. Lagi pun I belum ada tugasan untuk dia. Baguslah kalau staf baru ambil inisiatif sendiri." Lutfi meneliti  wajah Hana Sofea yang sah-sah tidak suka dengan kehadirannya di situ. Lutfi menarik jam tangannya.


"Hana, jom pergi lunch." Lutfi sengaja melembutkan suaranya.


"Eh tak apa. Saya pergi sendiri. Saya belum lapar lagi." Hana Sofea berharap Lutfi terima penolakannya. Lutfi meraup mulut. Muka cuba dimaniskan dengan mengukir senyuman. Senyuman palsu.


"Jomlah. I belanja." Lutfi masih tidak berputus asa.


"Tak apa. Saya boleh pergi sendiri. Kalau dah lapar, Apa kata ajak Adam je? Tak payah tunggu saya." Hana Sofea masih berdegil. Hana Sofea buat sibuk-sibuk di depan Lutfi. Setelah apa yang terjadi di bilik Lutfi tadi, tak mungkin dia akan terima ajakan untuk makan bersama. Lutfi mengecilkan mata. Rasa tercabar dengan kedegilan wanita itu. Hana Sofea berani melawan pun sebab ada staf lain.


"Adam!" Lutfi sengaja kuatkan suara.


"Ya Encik Lutfi?" Adam sudah terpinga-pinga.


"Kau ada tengok instagram baru-baru ni?" Lutfi kini mengalih pandangan ke arah Adam.


"Tak. Kenapa? ada cerita terbaru ke?" Adam berminat ingin tahu. Kepala Lutfi berpusing ke Hana Sofea buat sesaat. Hana Sofea sudah seperti cacing kepanasan. 


"Kau kenal Datuk Badrul kan?" Lutfi mengeluarkan telefon pintar miliknya.


"Datuk Badrul pemilik Mentari Holdings?" 


Mentari Holdings? Hana Sofea terpanar! Lutfi menyeringai melihat reaksi Hana Sofea.


"Kau tahu Datuk Badrul ada skandal dengan perempuan muda? Umur lebih kurang macam Cik Hana kita ni. Aku ada gambar perempuan tu. Kawan aku hantar kat aku. Ini kalau isteri Datuk dapat tahu ni, habislah satu keluarga perempuan tu dikerjakan." Lutfi melompat turun dari meja lalu bergerak ke meja Adam.


"Saya lapar!" Hana Sofea terpekik lalu pantas berdiri. Kepala Lutfi terpusing.


"Dah lapar?" Kening Lutfi ternaik. 


"Kau dah kenapa Hana? Lapar sangat ke sampai nak umum satu ofis?" Adam membebel.


"Tuan Lutfi cakap nak pergi makan. Kita gerak sekarang." Hana Sofea mula mengemas. 


"Good! I tunggu you kat lif. By the way, panggil I Encik Lutfi. Tak perlu nak panggil Tuan. Malu I. You ni baik sangatlah." Lutfi senyum senget. Dia sengaja nak kenakan Hana Sofea.


"Encik Lutfi! Gambar tu? kata nak tunjukkan." Adam masih ingat tentang hal itu.


"Lain kali aku tunjukkan. Jangan risau! gambar perempuan tu ada dalam telefon aku." Lutfi mengenyitkan mata sebelum meninggalkan tempat itu. Hana Sofea panjangkan leher untuk pastikan Lutfi sudah keluar dari pejabat. Ada perkara yang dia ingin tanyakan kepada Adam.


"Adam, kenapa awak nak tahu sangat pasal Datuk tu?" 


"Hana! Kau tak kenal ke dengan Datuk Badrul? Baru-baru ni, dia jadi viral sebab kahwin nombor dua. Isteri kedua pulak, seorang pelakon. Jadi kecohlah kat media sosial yang pelakon tu, dah ganggu rumahtangga Datuk. Sekarang Encik Lutfi cakap, Datuk ada skandal baru! Aku saja nak tengok gambar perempuan tu. Lagi cantik ke dari isteri kedua Datuk?"


Hana Sofea terdiam. Dia tahu yang Aisyah bekerja di Mentari Holdings sebagai Personal Assistant. Jadi, betul ke Aisyah ada hubungan dengan...


"Hana! Kenapa masih tercegat kat situ? Encik Lutfi mesti dah tunggu lama kat luar. Cepat pergi sekarang!" suara Adam yang kelam-kabut itu membuat Hana Sofea tersentak.


"Yalah! Saya pergi sekarang! Tak perlulah sampai nak halau saya!" Hana Sofea mencebik. 

***

"Encik Lutfi cakap nak pergi makan. Kita buat apa kat sini?" soal Hana Sofea dengan berasa hairan. Mereka sekarang berada di tingkat tujuh. Kafeteria kan di tingkat dua.


"Kau jangan banyak tanya boleh tak?" Lutfi berjalan ke hadapan. Sebentar lagi Hana Sofea akan tahu  mengapa dia mengajaknya datang ke situ. Hana Sofea mengekori Lutfi masuk ke dalam pejabat yang ada di tingkat tersebut. Memandangkan sekarang adalah waktu rehat, pejabat sunyi sepi! Hana Sofea mula rasa takut. 


Mereka akhirnya sampai di depan satu pintu yang berkaca. Lutfi terus masuk ke dalam tanpa mengetuk pintu. Hana Sofea teragak-agak untuk masuk ke dalam. Hana Sofea berkira-kira untuk berpatah balik tetapi dia terlambat. Tangannya sudah diheret oleh Lutfi untuk masuk ke dalam.


"Apa ni tarik-tarik saya?" Hana Sofea menarik tangannya dari cengkaman Lutfi. 


"Hai Hana." Satu suara menegur. Hana Sofea amat kenal dengan pemilik suara itu. 


"Apa awak nak?" Hana Sofea sedar yang kini dia berada di dalam pejabat Syaiful Hadif.  Lutfi bersahaja melabuhkan punggung di salah satu kerusi di depan Syaiful Hadif.


"Duduk dulu. Kita bincang elok-elok." Syaiful Hadif mengisyaratkan Hana Sofea dengan jari telunjuk untuk duduk di depannya. 


"Tak perlu. Apa awak nak cakap, cakap je. Jangan buang masa saya." Hana Sofea menegas.


"Good! Straight to business!" Syaiful Hadif mengerling ke Lutfi sebelum menyambung. "Aku dan bincang dengan Lutfi tadi..."


"Awak nak saya buat apa sebenarnya?" jantung Hana Sofea berdebar. 


Jeda.


Tiba-tiba, Syaiful Hadif ketawa besar lalu disambung dengan tawa sinis dari bibir Lutfi.


"Woah! I'm totally impressed! Lut, pandai betul kau jinakkan dia?" puji Syaiful Hadif. Lutfi sekadar mengangkat bahu dengan rasa bangga. Bangga kerana berjaya membuat Hana Sofea bersetuju untuk patuh dengan semua arahannya.


"Aku nak kau terus bekerja di bawah Harith dan dengar cakap Lutfi. Apa Lutfi suruh, kau wajib buat!"


"Buat benda apa ni?" Hana Sofea rasa tidak sedap hati. Dia dapat menghidu sesuatu yang bukan suatu perkara yang baik. Lutfi memusing menghadap Hana Sofea yang masih berdiri.


"Hadif, bekas isteri kau ni lembap betullah. Tak apa, biar aku terjemah dalam bahasa yang mudah untuk kau faham. Contohnya, kalau aku suruh kau hilangkan dokumen atau tambah dokumen, kau buat je." tutur Lutfi tanpa perasaan. Bukan ke itu kerja kotor?


"Kenapa? Hadif! Kenapa awak....awak nak sabotaj abang awak sendiri?" Jantung Hana Sofea macam nak meletup.


"Abang ke, adik ke atau kawan sekali pun! apa aku kisah!" Syaiful Hadif senyum meleret.


"Hana, Kau setakat perlu dengan arahan aku je. Macam aku cakap pagi tadi, Aku tak akan suruh kau jual badan kau cuma aku nak kau kacau sikit je kerja Harith." ujar Lutfi tanpa rasa bersalah. Hana Sofea menggeleng kepala. Dia tidak akan menyakiti orang sebaik Sayf Harith.


"Kau tak nak buat?" Syaiful Hadif rasa tercabar. Tangan mencapai sesuatu di dalam laci. Beberapa kepingan gambar dicampak ke atas meja.


"Kenal tak siapa perempuan tu?" Syaiful Hadif mengambil satu gambar lalu dikibas-kibas.


"Kalau ibu dapat tahu yang anak perempuan dia ada hubungan sulit dengan suami orang, mesti Ibu rasa sedih!" Syaiful Hadif sengaja memprovok perasaan Hana Sofea. Tangan Hana Sofea terketar-ketar bila mengambil satu keping gambar dari atas meja. Ya! Nampak sangat jelas. Aisyah bersama seorang lelaki yang ternyata tua daripadanya. Hana Sofea menekup mulut. Otak berkecamuk! Tak tahu nak rasa marah atau sedih.


"Kalau kau nak, aku ada gambar Aisyah dengan kekasih dia dalam bilik hotel. Kau nak tengok?" Syaiful Hadif membulatkan matanya. Lutfi terkulum-kulum menahan senyum.


"Hana, kau pilih. Mak angkat kesayangan kau atau Tuan Sayf?" Lutfi memberi kata dua.


"Saya akan berhenti kerja." Hana Sofea menjawab tanpa perlukan dia berfikir panjang. Dia mahu selamatkan kedua-duanya! Puan Salehah dan Sayf Harith. Syaiful Hadif bertepuk tangan bila mendengar respon itu.


"Hana...Hana...kalau kau dengar cakap aku untuk berhenti kerja seminggu yang lalu, aku akan lepaskan kau. Mungkin sekarang kau tak susah macam ni kalau kau awal-awal kau dengar cakap aku.Tapi sekarang aku dah berubah fikiran. Aku tak nak lepaskan kau. Aku perlukan kau untuk kepentingan aku."


"Hadif! Apa masalah awak sebenarnya?! Kita dah tak ada ikatan lagi. kenapa masih nak ganggu hidup saya?!" suara Hana Sofea meninggi. Dia tidak mampu bersabar lagi.


"Salahkan nasib kau yang malang tu! Tuhan temukan kita semula dan aku nak gunakan peluang ni sebaik-baiknya! Anggap ini khidmat kau yang terakhir untuk bekas suami kau yang dah banyak salurkan duit untuk keluarga kau. Kau patut bersyukur Hana Sofea! Dulu kau kahwin dengan aku, aku bukan kasi duit kat kau je tapi termasuk keluarga angkat kau jugak! Jangan lupa ihsan aku tu."


"Tapi Hadif, bekas isteri kau kalau nak berhenti, dia ada duit ke nak bayar balik? Dia kerja kat syarikat kau ni, tak sampai sebulan!" Lutfi bertanya dengan bersahaja. 


"Kalau dia ada duit, aku kalahlah! Tapi aku kenal bekas isteri aku dan keluarga angkat dia. Dia orang semua tak ada duit! Duit simpanan pun ada berapa je. Macam aku cakap tadi Lut, dia orang hidup atas ihsan duit aku. Kalau tak, hidup dah lama merempat kat tepi jalan!"


Hana Sofea diam tidak berkutik. Badan terus menjadi kejung. 


"Hana, Kau nak berhenti kerja kan? aku ada idea! macam mana nak cari duit untuk bayar pampasan kat syarikat. Nak dengar idea aku?" Lutfi tiba-tiba memberi cadangan. Hana Sofea tidak mahu ambil tahu.Dia tahu apa yang bakal dicadangkan adalah idea yang paling bodoh sekali! Dia sedar Lutfi berniat untuk mempermainkan perasaannya.


"Kau minta tolong Aisyah. Aisyah kalau minta duit berapa ribu sekali pun, mesti skandal dia akan kasi!" Lutfi tahan senyum. Sesaat kemudian, Lutfi menepuk dahi kononnya dia teringat sesuautu.


"Alamak! Aku lupa yang kau dengan Aisyah tak rapat pun! Aisyah kan tak suka kat kau. Nampaknya...kau tak ada pilihan lain. Terpaksalah kau berbakti dengan kita." Mata Lutfi bertembung dengan mata Syaiful Hadif. Mereka tersenyum. Hanya mereka berdua saja yang tahu, maksud disebalik senyuman itu.  Senyuman mereka termati apabila terdengar riuh-rendah di luar bilik Syaiful Hadif.


"Hadif, awal staf kau balik ofis? sekarang baru pukul 1.30 petang." Lutfi melirik ke jam tangan.


"Aku kasi staf aku early lunch sebab sekejap lagi HR nak jumpa staf aku." balas Syaiful Hadif. 


Syaiful Hadif mengeluarkan dompet dari kocek seluar. Not lima puluh ringgit dicampak ke atas meja. "Untuk kau." duit itu ditujukan untuk Hana Sofea. Terbuntang mata Hana Sofea dengan kelakuan Syaiful Hadif. Ingat dia hadap sangat ke dengan duit lelaki itu?


"Saya tak perlukan duit awak yang kotor tuu!" Hana Sofea terus angkat kaki tanpa pamitan. Dia sudah tidak kisah dengan mata-mata yang melihat dan pandangan orang terhadap dirinya. Yang dia tahu, dia perlu keluar dari pejabat Syaiful Hadif dengan segera!


Hana Sofea menekan butang lif berkali-kali. Sementara menunggu ketibaan lif, Hana Sofea bersandar ke tembok di sebelah pintu lif. Kepala rasa sakit. Apa yang patut dia buat? Hana Sofea mengelamun sehingga tidak sedar pintu lif sudah terbuka.


"Eh? Hana! You buat apa kat sini?" 


Hana Sofe tersentak! "Eh! En..encik Luqman! buat apa kat sini?" Hana Sofea membalas dengan soalan yang serupa. 


"I ada meeting kat sini. Ada hal nak brief kat budak-budak marketing. You buat apa kat pejabat...Hadif?" soal Luqman dengan lambat. Dia dijentik dengan rasa curiga. Hana Sofea menggosok kedua tapak tangannya. Jantung terus-menerus berdebar. 


"Hana, you okey tak? You boleh cakap kat I." Luqman berbisik. 


"Hei Luq! Lama tak nampak kau!" Lutfi muncul di belakang Luqman. Luqman disapa dengan ramah. Dalam masa yang sama, Hana Sofea menjadi panik.


"Urrmm...saya okey Encik Luqman." Hana Sofea pantas menjawab dalam keadaan berbisik. Luqman berpusing ke belakang lalu mengangkat tangan ke arah Lutfi. Lutfi menepuk belakang Luqman seolah mereka berdua berkawan rapat.


"Sekarang kau makin sibuk eh? susah nak nampak kau!" Lutfi sempat melirik ke Hana Sofea. 


"Aku memang sibuk pun sebab banyak staf baru masuk. Busy with orientation, giving talks to new staff. Kau pun tahu macam mana kan? banyak benda yang aku kena uruskan. Kau buat apa kat sini? jumpa Hadif?" Luqman mencuri pandang. Dia mahu melihat reaksi Hana Sofea. Ternyata Hana Sofea serba tak kena!


"Aku ada hal sikit dengan Hadif. Cik Hana kita yang baik hati ni, belikan makan untuk aku dan Hadif." Lutfi berbohong. Luqman kini mengalih perhatian ke Hana Sofea.


"Hana, you dah makan ke belum? You sibuk belikan makan untuk orang lain, perut you tu dah isi ke belum? kadang-kadang tak perlu jadi baik sangat." Luqman sengaja berkata sedemikan di depan Lutfi. Dia kenal sangat dengan perangai Lutfi yang suka mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain. 


Lutfi menyumpah dalam hati tapi wajah dimaniskan. "Luq! Aku tak zalim tau! Mestilah aku suruh Cik Hana pergi makan dulu. Lepas tu, baru belikan kita makan. Betul tak Cik Hana?" Lutfi sengaja menekankan suaranya sebagai satu amaran kepada Hana Sofea. Takut juga andai tembelang dia pecah! Mulut Hana Sofea bukan boleh percaya sangat.


"Encik Luq jangan risau. Saya dah makan tadi. Saya minta diri dulu sebab saya belum solat zohor lagi. Saya pergi dulu." Tanpa menunggu respon dari kedua lelaki itu, Hana Sofea terus memboloskan diri ke dalam perut lif. Nasib baik lif tiba di saat dia perlukan untuk melarikan diri. Kelakuan Hana Sofea yang nampak canggung itu menarik perhatian Luqman. Apa agaknya yang terjadi dalam pejabat Hadif tadi?


"Okey Luq! Aku pun nak gerak. Nak pergi solat zohor jugak." Lutfi berdalih. 


"Aku pun nak masuk ke dalam. Takut lambat pulak." balas Luqman sambil bersalaman dengan Lutfi. Sebaik saja kelibat Lutfi sudah hilang, Luqman mengeluarkan telefon. Satu nama dicari lalu ditekan ikon berwarna hijau. Tidak sampai beberapa minit, suara garau muncul di hujung talian. 


"Kau tengah sibuk ke? Aku ada perkara nak tanya kau." 

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Selma Q