Home Novel Cinta HATIMU MILIKKU
Bab 36

Fikri menatap sayu wajah Asyraaf yang sedang tertidur pulas.


'Sampai bila lah kau perlu tanggung kesakitan ni, Raaf.'


Fikri menyelak rambut Asyraaf yang semakin panjang menutupi dahi.Lalu dia teringat kembali perbualan antara Puan Melinda dan Doktor Hazran, iaitu doktor yang merawat Asyraaf selama ini.


"Doktor, kenapa anak saya tu masih saja sakit?Bukan ke doktor kata jantung tu sesuai dan takkan ada komplikasi selepas pembedahan?"

Tanya Puan Melinda kepada Doktor Hazran, cemas melihatkan keadaan Asyraaf tidak seperti yang diharapkan.


"Sabar, puan.Dari pemeriksaan saya, jantung anak puan dalam keadaan yang sangat baik.Tapi saya akan berusaha untuk mencari punca kenapa Asyraaf masih merasakan sakit walaupun tiada sebarang komplikasi selepas pembedahan."


"Habis tu doktor, sampai bila anak saya nak sakit macamni?!"


"Buat masa ni saya sarankan Asyraaf tinggal di wad beberapa hari untuk memudahkan kami di sini memantau keadaan Asyraaf."

Doktor Hazran memberi saranan kepada Puan Melinda.


"Abang Fik?"

Asyraaf tersedar dari tidur dan melihat Fikri berada di sisinya.


"Raaf..Raaf nak minum?"

Fikri tersentak apabila Asyraaf memanggil namanya.


"Abang Fik, berapa lama lagi Raaf boleh hidup dengan jantung ni?"

Asyraaf bertanya perlahan.


"Raaf, kenapa tanya macamtu?"

Terkejut Fikri dibuatnya dengan pertanyaan Asyraaf.


"Lepas dapat jantung baru pun, Raaf tetap sakit, tetap kena ulang alik hospital.Apa maknanya tu Abang Fik?Raaf akan mati jugak kan?"

Rintih Asyraaf sayu.


"Raaf, doktor kata jantung Raaf sihat.Mungkin Raaf terlalu banyak berfikir atau tertekan, sebab tu Raaf sakit.Jangan fikir bukan-bukan lagi, okey?Abang tak suka dengar Raaf cakap macamni."

Kata Fikri, cuba menenangkan Asyraaf.


"Bila Raaf boleh balik Abang Fik?Raaf dah jemu duduk wad.Kalau Raaf mati pun, Raaf nak mati dekat rumah."

Kata Asyraaf pula sambil menahan perasaan.


"Astaghfirullahalazim, Raaf!Kenapa dengan Raaf ni?Kalau Raaf ada masalah, kongsi dengan abang, jangan pendam sorang-sorang.Raaf tau kan abang sentiasa ada untuk dengar luahan hati Raaf."


Fikri tidak dapat menerima kata-kata yang keluar dari mulut Asyraaf.Sedih hatinya melihat remaja itu seakan tiada semangat untuk hidup.


"Raaf tak tau apa yang Raaf patut rasa sekarang.Tapi yang pasti Raaf takkan mampu bertahan kalau terus-terusan macamni."

Sesudah berkata, Asyraaf memalingkan tubuhnya dari Fikri, menyembunyikan air mata yang jatuh ke pipi.


       

                       *************



Sesudah makan malam dan menunaikan solat isyak, Dania berdiri di jendela merenung bulan yang menyinari malam.Sudah tiga hari Dania tidak diganggu oleh Alvin sejak dari hari jejaka itu melamarnya.Jangankan datang ke butik, satu panggilan atau mesej pun tiada.Begitu juga dengan Asyraaf.Seakan satu kebetulan.Pun begitu, Dania merasa lega kerana Alvin tidak terus-terusan memaksanya.


Sedang Dania leka menikmati kedinginan udara malam, telefon bimbitnya berdering.


'Hmm, baru je teringatkan dia, dah call.'


Dania mendengus kasar lalu melangkah malas menuju katil.Telefon bimbit yang berada dalam posisi terbalik dicapai.


'Asyraaf?'

Sangkaan bahawa Alvin yang menghubunginya meleset sama sekali.


"Assalamualaikum, Asyraaf."

Dania menyapa Asyraaf lalu kembali  berdiri di jendela.


"Waalaikumussalam.Hai, tengah buat apa?"

Suara Asyraaf kedengaran ceria.


"Tak buat apa.Tengah tengok bulan.."

Jawab Dania bersahaja sambil matanya memandang bulan di langit.


"Yeke?Samalah, saya pun tengah tengok bulan.Cantik betul bulan malam ni, kan?"

Kata Asyraaf teruja.Dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya kerana dapat mendengar suara gadis itu.


"Haah..awak sihat?"


Dania bertanya tiba-tiba.Dania akui dia merasa khuatir sekiranya Asyraaf tidak menghubunginya atau menghantar pesanan.Bimbang andai terjadi sesuatu pada remaja itu.


"Alhamdulillah, sihat.Aulia, esok awak ada masa tak?"

Tanya Asyraaf pula.


"Esok..kenapa ya?"


"Esok saya nak pergi melukis dekat taman.Awak nak tak temankan saya?"


"Oh, emm..boleh jugak!Hari tu pun saya tak sempat nak tengok lukisan awak."

Tiba-tiba Dania jadi teruja dengan pelawaan Asyraaf itu.


"Okey, kalau macamtu esok kita jumpa dekat taman haritu, pukul sepuluh pagi.Boleh?"

Asyraaf semakin teruja apabila Dania dengan senang hati menerima pelawaannya.


"Okey, Asyraaf.Jumpa esok.Bye, assalamualaikum."

Dania mematikan talian.Kemudian dia menutup jendela lalu naik ke atas katil.Telefon bimbit yang masih tersemat di genggaman dipandang lama.Hatinya berdebar menantikan hari esok.



                           ***********



"Sejak bila awak pandai melukis?"

Tanya Dania kepada Asyraaf ketika mereka duduk di bawah pohon besar di taman itu sambil matanya asyik memerhatikan lukisan yang dihasilkan oleh Asyraaf.


"Sebenarnya saya minat melukis masa dekat sekolah rendah lagi.Tapi saya tak praktiskan pun.Sampailah satu ketika saya disahkan menghidap sakit jantung.Disebabkan terlampau bosan duduk dekat wad hospital, saya mintak mama saya bawakan alatan melukis.Dari situlah saya sedar yang saya ada bakat melukis."


Cerita Asyraaf sambil tersenyum.Tangannya masih mencoret pada kertas lukisan di hadapannya.Kemudian dia berhenti lalu menoleh ke arah Dania yang duduk di bangku bersebelahannya.


"Awak nak cuba?"

Asyraaf menyuakan berus lukisan yang dipegangnya kepada Dania.


"Eh, takpelah.Saya tak pandai guna ni."

Dania pantas menolak.


"Saya dulu pun tak pandai jugak lukis dengan berus ni, tapi lama-lama biasalah.Duduk sini."

Asyraf bangun dari bangku lipat yang dibawanya lalu menyuruh Dania mengambil tempatnya.


Dengan teragak-agak, Dania mengambil berus lukisan dari tangan Asyraaf lalu duduk di kerusi lipat.Kemudian Asyraaf menyelak helaian kertas baru untuk Dania.


"Nak lukis apa?Malulah."

Kata Dania sambil menyelitkan rambutnya ke belakang telinga.Asyraaf ketawa mendengar kata-kata Dania.


"Nak malu apa?Tak ada orang tengok pun."

Asyraaf memusingkan kepala ke sekitar kawasan taman yang dipenuhi pengunjung pada hari minggu itu.Mereka semua kelihatan sibuk dengan aktiviti masing-masing.


"Awak lukis je apa yang terlintas di fikiran awak.Nah."

Asyraaf menghulurkan pula palet yang terisi dengan cat air berwarna-warni kepada Dania.


"Not bad."

Puji Asyraaf setelah hampir separuh lukisan yang telah disiapkan oleh Dania.


"Seronok jugak kan melukis ni.Tenang je rasa."

Kata Dania sambil tangannya sibuk mencelup berus lukisan ke dalam cat air.


"Kalau yang dekat sini, better gelapkan sikit untuk bagi kesan bayang pada lukisan."

Asyraaf mengangkat punggungnya dari bangku lalu merapatkan tubuhnya kepada Dania sambil jarinya dihalakan ke kertas lukisan.


Ketika itu, Asyraaf berada begitu hampir dengan Dania sehinggakan bahu mereka bertemu.Tersentak dengan itu, Dania pantas berpaling ke arah Asyraaf.Sudahnya Dania terpaku memandang wajah Asyraaf yang hanya beberapa inci saja dari wajahnya.


Sedikit pun Asyraaf tidak berganjak ketika itu malah matanya ligat memerhatikan wajah Dania dengan serius sekali.


Dania tersedar apabila berus lukisan yang terselit di antara jarinya terlepas dari pegangan.Menggelabah Dania mengutip berus lukisan yang jatuh ke bawah manakala Asyraaf turut melakukan hal yang sama.Lalu tangan Asyraaf tersentuh tangan Dania.


Bagaikan terkena renjatan elektrik, cepat-cepat Dania menarik tangannya.Kerana terlalu menggelabah, palet yang masih penuh dengan cat air jatuh ke tembok lalu cairan cat terkena kasut yang dipakai Asyraaf.


"Ya Allah.Sorry, Asyraaf.Saya tak sengaja!"

Dania panik melihat kasut putih Asyraf sudah bertukar warna.Kemudian dia meraba-raba beg tangannya mencari tisu lalu tunduk untuk mengesat cairan di kasut Asyraaf.


"Aulia!"

Asyraaf pantas memegang tangan Dania yang memegang tisu.Dia turut duduk di hadapan Dania dengan sebelah lututnya menekan tembok.


Tercengang Dania dengan tindakan Asyraaf itu.Tanpa sedar, dia membiarkan Asyraaf mengenggam tangannya kejap.


"Bagi pada saya."

Asyraaf mengambil tisu dari genggaman Dania lalu mengesat kasutnya yang hampir kering.Dania berdiri semula sambil memerhatikan kelakuan Asyraaf dengan rasa malu dan bersalah.


"Kenapa awak risaukan sangat kasut saya?"

Asyraaf bersuara setelah bangun menghadap Dania.Direndahkan sedikit kepalanya melihat wajah Dania yang tunduk memandang tembok.


"Maaf, saya dah rosakkan suasana.Nanti saya ganti kasut awak."

Kata Dania perlahan.


"Aulia, its okay.Saya ada sepuluh lagi kasut macamni.Don't worry, okay?"

Kata Asyraaf lalu bergerak setapak lagi ke arah Dania.


"Thanks."

Dania mengangkat muka memandang Asyraaf.Sekali lagi wajah mereka bertemu begitu hampir membuatkan hati Dania bergetar kembali.


"Tunggu sekejap, saya kemas barang."

Kata Asyraaf lalu tangannya sibuk mengemas alatan melukis manakala Dania hanya kaku di situ memerhatikan gelagat Asyraaf.


Setelah selesai mengemas, Asyraaf bergerak ke arah kereta yang terletak agak jauh dari tempat mereka melukis untuk menyimpan barang.


Sementara menunggu Asyraaf kembali semula, Dania duduk di atas bangku.Rasa bersalah dengan apa yang berlaku masih menghimpit diri.


"Jom!"

Asyraaf muncul di hadapan Dania.


"Pergi mana?"

Tanya Dania.


"Jalan-jalan."


Kemudian mereka beriringan menyusuri jalan di taman itu.Pada mulanya mereka hanya diam memerhatikan sekitar kawasan taman dan keindahan tasik yang terbentang.Kemudian, Asyraaf memulakan bicara.


"Biasa ke datang sini?"

Asyraaf memandang Dania yang berjalan di sebelah.


"Emm, tak jugak.."

Jawab Dania pendek.Pandangannya dihalakan ke arah sebuah keluarga yang sedang duduk santai di atas rumput.


"Awak?"

Tanya Dania pula sambil menoleh ke arah Asyraaf.


"Emm, tak jugak.."

Asyraaf mengajuk percakapan Dania lalu mereka ketawa serentak.


Setelah lama berjalan, mereka duduk berehat di atas rumput.Cuaca yang semakin panas memaksa mereka berteduh di bawah pohon rendang sambil menikmati minuman sejuk yang dibeli di gerai penjaja.


"Kadang-kadang saya tak rasa pun jarak usia antara kita."

Dania bersuara kemudian menyedut minuman sejuk di tangan.


"Sebab?"

Asyraaf tersengih.


"Sebab sikap dan cara awak jauh lebih dewasa dari usia sebenar awak."

Dania menoleh Asyraaf sekilas lalu tersenyum.


"Lega saya dengar awak cakap macamtu."


"Kenapa?"


"Sebab saya takut awak akan anggap saya ni sebagai adik."

Kata Asyraaf lalu meneguk minuman sejuk sehingga habis.


Dania hanya diam memandang Asyraaf.Setiap kali melihat Asyraaf, hatinya merasa tenang dan nyaman.Seolah separuh jiwanya sudah lama bersama remaja itu.


"Aulia."

Asyraaf memandangi Dania di sebelahnya.


"Hmm?"

Dania turut memandang Asyraaf dengan mata dibesarkan sedikit.


"Saya tak tau kalau ini masa yang tepat.Tapi kalau saya tak cakap sekarang, mungkin saya takkan ada peluang lagi lepas ni."

Kata Asyraaf kemudian dipalingkan tubuhnya menghadap Dania.


"Cakap apa?"

Dania jadi tidak sabar mahu mendengar apa yang akan keluar dari mulut remaja itu.Entah kenapa perasaannya jadi berdebar melihat tatapan mata Asyraaf.


"Sejak hari pertama kita jumpa dekat sini, saya dah mula jatuh cinta dengan awak, Aulia."

Asyraaf berterus terang sambil menatap ke dalam anak mata Dania.


"Asyraaf.."

Ternganga mulut Dania mendengarkan luahan hati Asyraaf yang tidak disangka-sangka itu.Matanya seakan terpaku pada mata Asyraaf yang bersinar.Sukar sekali untuk dia melarikan pandangannya saat itu.


"Kenapa awak diam?"

Asyraaf merenung Dania dengan pandangan yang redup.Berdebar hatinya menantikan balasan dari gadis itu.


"Saya tak tau nak cakap apa."

Jawab Dania lalu menundukkan pandangan.


Dania akui, dia sudah mula menyukai Asyraaf tetapi bukan ini yang diharapkan terjadi.Mustahil dia akan menerima cinta remaja itu apatah lagi dia sedia maklum bahawa remaja itu jauh lebih muda darinya.


"Sebab dalam hati awak dah ada orang lain?"

Duga Asyraaf.


Tersentak Dania dengan pertanyaan itu.Berombak dadanya menahan perasaan namun dia masih tidak berani untuk memandang wajah Asyraaf.


"Kenapa tak jawab?Betul ke?"

Desak Asyraaf lagi.


Dania mula tidak senang duduk.Semakin lama semakin dia terhimpit dalam situasi yang menyesakkan dada.Lantas dia mengambil keputusan untuk pergi saja dari situ.


"Asyraaf, saya rasa lebih baik saya balik sekarang."

Dania berdiri lalu memandang Asyraaf yang masih duduk di atas rumput dengan kepala didongakkan ke arahnya.


"Aulia.."

Asyraaf turut berdiri.Berat hatinya mahu melepaskan Dania pergi sebelum mendengar jawapan dari mulut gadis itu.


"Saya hargai perasaan awak, Asyraaf.Tapi saya mintak maaf.Mungkin lebih baik kalau kita tak berjumpa lagi."

Dania mengatakan apa saja yang terlintas di fikirannya saat itu.Apa yang pasti, dia benar-benar ingin lari dari Asyraaf.


"Tapi, Aulia.."

Belum sempat Asyraaf menghabiskan kata-katanya, Dania sudah menapak meninggalkan remaja itu.Terkedu Asyraaf dengan sikap Dania yang tiba-tiba berubah.


"Aulia, tunggu Aulia!"

Asyraaf melaung memanggil Dania yang semakin jauh darinya.


Pada saat Asyraaf ingin mengejar, dadanya terasa berat sekali lalu dia terduduk di situ sambil memegang dada yang semakin terasa sakit.


Langkah Dania terhenti setelah agak jauh meninggalkan Asyraaf.Dia menarik nafas dan memegang dada yang bergoncang hebat.Masih sukar untuk menerima apa yang baru saja terjadi.


Seketika dia merasa bersalah kerana meninggalkan remaja itu sendirian.Dalam masa yang sama juga, dia hairan kenapa Asyraaf tidak mengejarnya sedangkan tadi remaja itu cuba menahannya dari pergi.


Lalu dengan mengumpul kekuatan, Dania menoleh semula ke belakang.Dilihatnya Asyraaf sedang duduk tertunduk dengan sebelah tangannya menahan tanah manakala sebelah lagi menekan dada.


"Asyraaf!!"

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ain Arumi