Home Novel Cinta HATIMU MILIKKU
Bab 40

"Sekejap je tau.Kalau mama Raaf tau ni masak kita."

Fikri mengingatkan Asyraaf tentang amaran Puan Melinda tempoh hari. 


"Ya, Raaf tau.Sekejap je."

Asyraaf tersenyum kepada Fikri lalu menapak keluar dari kereta. 


Asyraaf menarik nafas dalam-dalam sebelum menekan loceng di pintu. 


"Asyraaf?"

Dania muncul di muka pintu dengan wajah terkejut.Diperhatinya Asyraaf yang berdiri di hadapannya seakan tidak percaya. 


"Hai.Tak nak pelawa saya masuk ke?"

Kata Asyraaf dengan senyum ceria. 


Kemudian mereka berdua duduk berbual di sofa.Mujur ketika itu Ayumi tiada di butik kerana ada urusan di bank.


"Awak apa khabar?"

Asyraaf memulakan bicara.Puas rasa hatinya dapat melihat kembali seraut wajah yang amat dirinduinya. 


"Sepatutnya saya yang tanya soalan tu.Awak dah betul-betul sihat ke?Bila awak keluar dari hospital?"

Tanya Dania dengan perasaan bersalah. 


"Semalam.Aulia, saya nak mintak maaf bagi pihak mama saya.Saya malu dengan apa yang mama saya dah buat pada awak."

Asyraaf semakin dihimpit rasa bersalah terhadap Dania setelah mendengar cerita dari Fikri tentang kejadian yang berlaku di hospital sewaktu dia tidak sedarkan diri.


"Takpe, Asyraaf.Saya tak salahkan mama awak.Lagipun memang salah saya kan.Disebabkan saya, awak sakit sampai masuk ICU.Saya mintak maaf."

Dania menundukkan wajah.Peristiwa di taman tempoh hari masih segar dalam ingatan. 


"Aulia, jangan cakap macamtu.Semua ni berpunca dari saya.Maafkan saya."

Asyraaf memandang sayu wajah Dania.


"Dahla, saya dah lupa pun semua tu."

Bohong Dania.Tidak mahu diungkit lagi semua yang telah terjadi. 


"Jadi perasaan saya pada awak, awak dah lupakan jugak ke?"

Tersentak Dania dengan pertanyaan Asyraaf.Sangkanya remaja itu tidak akan menyebutkan tentang hal itu lagi.


"Asyraaf, saya rasa saya dah pun jelaskan pada awak pasal ni."

Dania mula merasa tidak senang dengan situasi itu.


"Memang tak ada ruang langsung ke dalam hati awak untuk saya?"

Asyraaf tidak mahu mengalah.


"Asyraaf, saya dah nak berkahwin tak lama lagi."

Akhirnya Dania terpaksa berbohong supaya Asyraaf tidak terus mengharapkannya.Entah kenapa rasanya sakit sekali saat mengucapkan kata-kata itu kepada Asyraaf. 


"Kahwin?Seriously?"

Bulat mata Asyraaf memandang Dania. 


"Awak cakap macamtu sebab nak mengelak dari saya kan, Aulia?"

Asyraaf tidak mahu menerima kenyataan pahit itu.Baginya Dania cuma mereka-reka alasan agar dia berputus asa terhadap gadis itu. 


"No, i'm serious."

Jawab Dania pendek lalu kembali menundukkan wajah.Tidak sanggup untuk melihat wajah Asyraaf yang kecewa. 


"Tak, saya tak boleh terima.Saya tak percaya."

Asyraaf memegang kepalanya yang mula terasa berat. 


"Asyraaf, kalau awak masih mengharapkan saya untuk balas perasaan awak, saya mintak maaf.Saya dah tak boleh jumpa dengan awak lagi."

Dania berdiri dan memalingkan wajahnya dari Asyraaf.


Asyraaf terdiam.Dia sedar kesempatannya untuk memiliki cinta gadis itu sudahpun tertutup rapat. 


"Kalau macamtu, saya takkan ganggu awak lagi."

Akhirnya Asyraaf memutuskan untuk pergi saja dari situ.Hatinya benar-benar hancur namun apalah kudratnya untuk menghalang Dania dari menjadi milik orang lain. 


'Maafkan saya, Asyraaf.'

Dania hanya mampu menghantar langkah Asyraaf dengan pandangan sayu. 


"Arghhh!!"


Sewaktu daun pintu dibuka, tiba-tiba Asyraaf mengerang kesakitan sambil menekan dada dengan tapak tangan.


"Asyraaf, awak sakit lagi?!" 

Dania mendapatkan Asyraaf dengan perasaan cemas.Apa yang ditakutinya berulang lagi.


"Tak, saya okey.Saya balik dulu."

Asyraaf menepis tangan Dania yang cuba menyentuh lengannya.Kekecewaan yang dirasakan saat ini tidak dapat dibendung lagi. 


"Tak, Asyraaf.Awak tak okey.Biar saya tolong awak."

Dania mula diserang rasa bersalah melihat keadaan Asyraaf.Dia tidak sampai hati membiarkan Asyraaf berjalan sendiri. 


"Saya tak perlukan simpati awak!"

Sekali lagi Asyraaf menepis tangan Dania yang mahu membantunya.Kali ini tolakkan tangan Asyraaf agak kuat sehinggakan Dania terdorong lalu jatuh ke lantai. 


"Ahh!"

Dania memegang kepalanya yang terasa berpusing kerana terhantuk ke lantai. 


"Aulia!"

Menggelabah Asyraaf melihatkan keadaan Dania.Kesakitan yang dirasainya bertukar rasa bersalah kerana bertindak kasar terhadap gadis itu. 


"Aulia, maafkan saya.Saya tak sengaja!Maafkan saya!"

Asyraaf memegang bahu Dania dan memeriksa kepalanya yang terhantuk.Mujurlah tiada sebarang kecederaan yang dialaminya.


"Its okay, i'm okay."

Dania menenangkan Asyraaf yang panik.Sedikit pun dia tidak menyalahkan remaja itu kerana dia tahu yang Asyraaf tidak sengaja. 


"Dania!"


"Apa kau buat ni ha?!"

Alvin yang muncul melalui pintu yang terbuka pantas meluru ke arah Asyraaf yang masih duduk memegang bahu Dania.Dicengkamnya leher baju remaja itu dan ditariknya Asyraaf supaya berdiri.


"Alvin!"

Terkejut Dania dengan tindakkan kasar Alvin terhadap Asyraaf.Dengan perlahan-lahan dia cuba berdiri dengan kepala yang masih terasa mamai. 


"Kau?!"

Alvin menatap tajam wajah Asyraaf yang seakan dikenalinya.Asyraaf hanya membalas tatapan mata Alvin dengan pandangan yang lemah.Kesakitan yang dirasai membuatnya tidak berdaya untuk melawan. 


"Apa kau buat dengan bakal isteri aku, hah?!"

Alvin menguatkan cengkamannya pada leher baju Asyraaf. 


"Alvin, stop it!"

Dania cuba meleraikan tangan Alvin dari terus mencengkam leher baju Asyraaf. 


"Siapa budak ni, Dania?Apa dia dah buat pada awak?!"

Tanya Alvin setelah melepaskan cengkaman tangannya.Tanpa mempedulikan soalan Alvin, Dania mendapatkan Asyraaf yang sudah bersandar di dinding menahan sakit. 


"Asyraaf, jom saya hantar awak balik."

Dania menawarkan dirinya. 


"Jadi nilah lelaki yang awak nak kahwin tu?"

Tanya Asyraaf dengan senyum sinis. 


Dania memandang Alvin yang merenung tajam ke arah mereka berdua.Kemudian dia kembali memandang wajah Asyraaf yang semakin pucat. 


"Saya hantar awak balik."

Dania mengulangi percakapannya dan bersedia untuk memimpin tangan Asyraaf. 


"Saya boleh balik sendiri."

Asyraaf meleraikan tangan Dania yang menyentuh lengannya lalu melangkah longlai ke muka pintu. 


"Dania!"

Alvin memegang kemas tangan Dania yang mahu mengekori langkah Asyraaf. 


"Alvin, lepaslah!"

Dania cuba menarik tangannya namun gagal kerana cengkaman tangan Alvin terlalu kuat.Akhirnya Dania hanya mampu menghantar langkah Asyraaf hingga memasuki kereta dengan pandangan sayu. 


"Alvin, sakitlah!Apa awak ni?!"

Sekali lagi Dania cuba meloloskan dirinya namun Alvin tetap tidak mahu melepaskannya.Kemudian Alvin menarik Dania rapat kepadanya.Terkedu Dania dengan tindakkan Alvin itu. 


"Awak memang sengaja nak buat saya marah kan?"

Alvin menatap Dania dengan pandangan yang tajam sehingga gadis itu melarikan wajahnya.


"Hal saya tak ada kena mengena dengan awak!"

Dania memberanikan diri bersuara padahal jantungnya bagai hendak gugur dek panahan mata Alvin yang menakutkan. 


"Awak tau tak, Dania.Saya cuba pujuk hati saya supaya tak percaya dengan rakaman video tu dan saya sangat berharap yang perempuan tu bukan awak.Tapi hari ni mata saya sendiri dah saksikan perkara sebenar."

Kata Alvin dengan suara yang ditahan-tahan.Hancur hatinya apabila menyaksikan sendiri perlakuan Dania yang tidak bermoral itu. 


"Sekarang awak dah nampak sendiri kan?Awak masih nak berkahwin dengan perempuan macam saya Ke?!"

Kali ini Dania memberanikan diri membalas tatapan mata Alvin dengan harapan jejaka itu akan membencinya. 


"Kalau awak rasa saya akan batalkan niat saya untuk menikahi awak disebabkan kejadian tadi, awak silap.Awak silap Dania.Justeru awak buat saya semakin tak sabar untuk menjadikan awak milik saya yang sah."

Alvin merapatkan wajahnya ke wajah Dania hinggakan hembusan nafas Alvin dapat dirasai oleh gadis itu.Lidah Dania kelu untuk berkata sedangkan hatinya menjerit saat itu.



                           ************

   


"Raaf, makanlah sikit.Dari pagi tadi Raaf tak makan apa-apa."

Puan Melinda cuba memujuk Asyraaf yang duduk termenung di gazebo.Semangkuk bubur ayam dalam dulang yang dipegang oleh Makcik Zabedah, pembantu rumah mereka diambil lalu disua kepada Asyraaf. 


"Raaf tak lapar."

Balas Asyraaf tanpa memandang mamanya. 


"Raaf, janganlah macamni sayang.Doktor dah pesan suruh mama jaga makan minum Raaf, jangan buat Raaf stress.Makan sikit sayang."

Sekali lagi Puan Melinda cuba memujuk Asyraaf dengan nada yang lebih lembut. 


"Raaf kata Raaf tak lapar!Boleh tak jangan ganggu Raaf?!"

Marah Asyraaf lalu masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan Puan Melinda yang terkebil-kebil. 


"My boy!Sejak bila dia berani tinggikan suara pada mama dia?!Ini mesti sebab perempuan tak tau diri tu!"

Puan Melinda berkata dengan nafas turun naik.Mengingatkan wajah Dania saja sudah cukup menyemarakkan api kemarahannya. 


"Fikri!Fikri!!"

Jerit Puan Melinda.Fikri yang sedang memeriksa enjin kereta bingkas mendapatkan Puan Melinda yang berdiri di kolam renang. 


"Ya, puan."


"Bagitau aku mana aku boleh cari perempuan tu."

Kata Puan Melinda sambil berpeluk tubuh. 


"Perempuan?Perempuan mana, puan?"

Fikri masih tidak dapat menangkap maksud Puan Melinda pada mulanya. 


"Jangan nak pura-pura tak taulah!Perempuan yang dah bagi pengaruh buruk pada anak aku tulah!"

Puan Melinda meletakkan pula tangannya ke pinggang. 


"Maksud puan, Dania?"


"Kau mesti tau kan dekat mana perempuan tu tinggal?Aku tau anak aku selalu jumpa dia.Bagi sini alamat dia!"


"Tapi, puan.."

Serba salah Fikri hendak menjawab pertanyaan Puan Melinda itu.


"Baik, aku bagi kau dua pilihan.Sama ada kau bagi aku alamat perempuan tu, atau kau berambus dari sini sekarang jugak dan jangan jumpa anak aku lagi!"

Sekali lagi Puan Melinda menggertak Fikri. 


"Puan, saya tak tau dia tinggal dekat mana.Saya cuma tau alamat tempat kerja dia saje."

Terketar-ketar Fikri menjawab.


"Ahh tak kisahlah!Cepat bagi, sebelum aku hilang sabar!"


Dan akhirnya Fikri terpaksa menyerahkan alamat butik Dania kepada Puan Melinda.Walaupun dia tau apa akibatnya kepada Dania, tetapi dia lebih tidak rela andai terpaksa jauh dari Asyraaf buat selamanya. 


"Danilia Couture..Dania Aulia..so means that dia pemilik butik ni?Wow, boleh tahan jugak taste anak aku.Tapi jangan mimpilah kau nak rapat lagi dengan anak aku lepas ni sebab Asyraaf hanya akan berkahwin dengan pilihan aku saja."

Puan Melinda tersenyum sinis.


Sebenarnya dia sudah pun terlanjur berjanji dengan kenalannya yang menetap di Singapura untuk menjodohkan Asyraaf dengan anak perempuan mereka.Suaminya, Encik Haykal juga tidak keberatan kerana syarikat mereka di Singapura sudah banyak berjasa dengan melaburkan wang yang besar di perusahaan milik Encik Haykal. 


"Siapkan kereta.Kita pergi sekarang.Ingat ya, jangan sesekali bagitau Raaf pasal ni."

Sempat Puan Melinda memberi amaran kepada Fikri sebelum masuk ke dalam rumah.


Fikri melepaskan keluhan.Sememangnya dia tidak berdaya untuk melakukan apa-apa lagi saat ini.Hanya terpaksa mengikuti saja permainan Puan Melinda demi kepentingan dirinya sendiri. 



                           ************



Dania merenung lakaran yang dibuatnya pada kertas putih dengan sebelah tangan menongkat dagu.Sejak pagi tadi fikirannya dipenuhi dengan bayangan wajah Asyraaf.Dadanya terasa sesak mengingati wajah sendu remaja itu bersama kesakitan yang dirasainya.Hatinya meronta ingin tahu keadaan Asyraaf namun sudah tiada guananya, kerana dialah yang memulakan semua itu.Kerana kelancangan mulutnya semalam, remaja itu pasti sudah membencinya sekarang. 


'Bukan ke ini yang kau mahukan?Buat apa nak fikir pasal dia lagi?'


Dania bersandar di kerusi dan menutup muka dengan kedua belah tapak tangan.Saat matanya terpejam, wajah Alvin pula yang terbayang di mata.Maka satu keluhan berat dilepaskan.Diketika itu juga, telefon bimbitnya menerima satu kiriman masuk. 


"Petang nanti saya jemput awak di butik.Pagi tadi awak datang dengan Ayumi kan?Kebetulan saya memang nak jumpa dengan ibu dan ayah awak."-Alvin. 


Dania merengus kasar membaca mesej dari Alvin.


"Tau mana pulak aku pergi butik dengan Ayumi?Dia ni pasang spy ke?"


Sebenarnya bukan itu yang difikirkan, apa yang dibimbangkan sebelum ini bakal terjadi jua.Alvin benar-benar tekad mahu menikahinya. 




Petang itu seperti yang dijanjikan Alvin datang menjemput Dania di butik.Mahu tak mahu Dania terpaksa mengikuti saja kerana dia sudah tidak dapat lari lagi dari Alvin.


"Dengar sini ya, Alvin.Saya benarkan awak berjumpa dengan ibu ayah saya bukan bermakna saya terima lamaran awak."

Kata Dania sewaktu menghampiri Alvin yang menunggunya di kereta. 


"Well, we'll see.Shall we?"

Balas Alvin dengan selamba lalu membukakan pintu kereta untuk Dania.Dia yakin bahawa gadis itu pasti akan menerima lamarannya kali ini. 


Baru saja Dania mahu melangkah masuk, sebuah Mercedes-Benz silver berhenti betul-betul di belakang kereta mereka.


'Fikri?'


Terkejut Dania melihat Fikri yang keluar dari kereta namun apa yang lebih mengejutkan apabila seorang wanita yang dikenalinya turut berada dalam kereta tersebut.Dengan langkah bergaya, wanita itu menghampiri Dania dan Alvin yang tercegat di sisi kereta. 


"Puan?"

Teragak-agak Dania menegur Puan Melinda yang berdiri di hadapannya. 


"Baguslah kalau kau masih ingat aku.So, this is your boutique?"

Puan Melinda menanggalkan kaca mata hitam yang dipakainya dan memerhatikan bangunan butik Dania. 


"Kalau puan nak tempah baju, silalah.Saya pun belum nak balik lagi."

Dania cuba berbasa-basi padahal dia dapat mengagak kedatangan Puan Melinda ke situ bukanlah atas urusan jual beli. 


"No, thanks.Aku rasa kau pun tau kot standard aku macamana?"

Puan Melinda senyum mengejek.Dalam hatinya terselit rasa kagum melihat Dania yang mampu memiliki perniagaan sendiri dalam usia yang masih muda.


"Dania, siapa auntie ni?"

Alvin yang dari tadi hanya membisu berbisik halus ke telinga Dania.


"Aku tak faham dengan perempuan zaman sekarang ni.Dah ada boyfriend ke husband ke, still nak menggatal dengan anak orang lain lagi."

Puan Melinda menjeling Alvin yang berdiri di sebelah Dania. 


"Puan, puan dah salah faham.Saya tak ada apa-apa hubungan dengan anak puan.Kami cuma berkawan saja."

Dania cuba membela dirinya. 


"Kawan?Kalau kau layan anak aku setakat kawan je, takkanlah sampai anak aku boleh jatuh cinta dengan perempuan macam kau.Tak payah nak tunjuk baiklah.Aku faham sangat apa niat kau dekat dengan anak aku.Tapi jangan harap aku akan biarkan niat kau tu tercapai!"

Seenaknya Puan Melinda melemparkan tuduhan kepada Dania.


"Auntie, saya tak tau apa masalah auntie ni.Tapi kalau auntie cari pasal dengan Dania, bermakna auntie cari pasal dengan saya!"

Alvin bergerak setapak ke arah Puan Melinda.


"Alvin!"

Dania memegang lengan Alvin dengan niat untuk menghalangnya dari tidak mencampuri urusannya dengan Puan Melinda. 


"Suka hati kaulah nak cakap apa.Tapi aku rasa aku tak ada urusan dengan kau!"

Puan Melinda senyum sumbing.


"Of course lah urusan saya sebab Dania ni my future wife.Untuk pengetahuan auntie, anak auntie tu yang tergila-gilakan Dania sedangkan Dania tak pernah bagi apa-apa harapan pun pada dia.Saya tak kisah apa pun kedudukan auntie, tapi sekali lagi auntie cari pasal dengan Dania, saya tak akan teragak-agak untuk bertindak.Jom, sayang."

Alvin menarik tangan Dania lalu mengarahkannya masuk ke dalam kereta.Tanpa mempedulikan Puan Melinda yang terkebil-kebil, Alvin memecut laju meninggalkan kawasan butik. 


"Kurang ajar!Sial!Lain yang aku harapkan, lain pulak yang jadi.Its okay, kali ni kau menang."

Kata Puan Melinda lalu masuk semula ke dalam kereta dengan perasaan marah yang membuak. 




"Dania, are you okay?"

Alvin memberhentikan kereta di pinggir jalan untuk memberi tumpuan kepada Dania.


Dania yang sedari tadi membisu hanya menganggukkan kepala.Sesekali jari runcingnya menyeka air mata yang jatuh ke pipi.Setelah puas menahan perasaan, akhirnya dia menangis juga di hadapan Alvin. 


"Dania, saya takkan tanya awak apa-apa.Saya cuma mintak awak bagi saya peluang untuk merawat luka di hati awak.Dan saya janji yang air mata ni takkan mengalir lagi untuk perkara yang sia-sia."

Kata Alvin lalu menyapu pipi Dania yang basah.


Tersentak dengan sentuhan itu, Dania mengangkat mukanya memandang wajah Alvin yang begitu hampir dengannya.Apa yang menghairankan Dania, tiada sedikit pun rasa benci saat menatap wajah jejaka itu seperti yang dirasakannya selama ini.


"Kenapa tengok saya macamtu?"

Alvin senyum nakal. 


Cepat-cepat Dania melarikan pandangannya.Membahang seluruh wajahnya pabila ditegur sebegitu oleh Alvin. 


"Orang tua-tua kata, kalau malu-malu tu tandanya.."


"Cepatlah gerak, awak tunggu apa lagi ni?!"

Belum sempat Alvin menghabiskan ayatnya, Dania laju mencelah.Kemudian dia berpeluk tubuh dengan muka ketatnya.Alvin ketawa senang melihat gelagat Dania yang mencuit hatinya lalu kembali menyusur jalan raya. 

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ain Arumi