Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,414
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 13


Aroma gulai ikan sembilang memenuhi ruang udara. Tangan Mawar lincah membantu Mak Munah mengadun tepung untuk dijadikan lempeng. Usai solat berjemaah, mereka terus memasak sarapan pagi.


            “Mak aii..wanginya Munah.” Tegur Pak Deraman. Kembang kempis hidungnya menghidu bau enak.


            “Munah memang wangi, bang. Mandi air mawar tadi.” Pak Deraman tersenyum.


            “Gulai ni yang wangi, Munah. Kalah air mawar Munah.” Mak Munah termalu sendiri. Fikirnya Pak Deraman memujinya.


            “Sudah-sudah lah usik Mak Munah tuTok Wan. Mawar dah lapar ni.” Kata Mawar sambil menghidang sarapan mereka pagi itu. Pak Deraman tersengih. Mail bingkas menarik kerusi dan bersila di atasnya.Menjadi kebiasaannya bersila hingga terbawa-bawa cara duduknya.


            “Eh Munah, Cik Puan kau di mana?”Munah mengangkat bahu tanda tidak tahu.


            “Saya bangun solat pagi tadi, dia dah tak ada. Dah sihat agaknya.” Pak Deraman mendiamkan diri. Lempeng yang dicicah gulai dikunyah perlahan. Kenapa Kirana tinggalkan rumah? Diakah yang membuat onar malam semalam?


            “Mawar, kau tahu. Aku kena kacau malam tadi.” Mawar memandang Mail. Mak Munah dan Pak Deraman saling berbalas pandangan.


            “Mawar pun.....”


            “Shhhhh.. tak baik bercakap bebukan depan rezeki ni.” Pak Deraman menegur sebelum sempat Mawar menghabiskan kata-katanya. Ruang dapur sunyi tanpa kata-kata. Masing-masing mendiamkan diri sambil menikmati sarapan.


Bunyi kaca berdenting kuat, berlaga ibarat ada yang melanggar mengejutkan kesemua mereka sekaligus memecah kesunyian di ruang dapur. Hati yang meronta-ronta ingin tahu memaksa mereka meninggalkan ruang dapur. Tiada sesiapa di ruang tamu. Mawar yang ketakutan memegang erat tangan abangnya, Mail. Mak Munah mengurut dadanya. Terpegun melihat lampu hias chandelier berayun kuat, bagai ada tangan yang menolaknya.


Pak Deraman hanya beristighfar panjang melihat lampu hias itu. Dari mata kasar, mereka hanya melihat chandelier itu berayun kuat tetapi berlainan dengan Pak Deraman. Di mata Pak Deraman, dia dapat melihat ada wanita berkebaya hitam duduk menunduk di atas lampu chandelier tersebut dan mengayunkannya ibarat buaian panjang! Pak Deraman terpana.


Pintu rumah agam yang ditutup kuat mengejutkan mereka. Lampu hias chandelier yang berayun berhenti serta merta. Pak Deraman menoleh. Cik Puan mereka pulang dengan wajah sugul keletihan. Kirana tersentak.


            “Ni kenapa semua tercegat di sini? Tak ada kerja nak buat ke? Siapa pula budak-budak ni?” Kirana mendengus, tanda tidak suka pada tetamu muda yang tak diundang itu.


            “Cucu saya, Cik Puan. Buat teman Mak Munah semalam. Takut Cik Puan sakit teruk. Cik Puan ke mana pagi-pagi?” tanyaPak Deraman berbasa basi.


            “Itu urusan aku! Kau jangan sibuk!”Kirana menunding jari telunjuknya tepat ke muka Pak Deraman. Pak Deraman terkejut dengan tingkah laku Kirana.


            “Minta maaf, Cik Puan Kirana.Saya...”   

   

            “Mak Munah, siapkan sarapan saya sekarang.” Arah Kirana sebelum berlalu.


            “Baik, Cik Puan.” Mak Munahmenunduk, memberi laluan pada Kirana .


            ‘Biadapnya..’ Sempat Pak Deramanmenangkap bisikan halus cucunya, Mail.


            “Mail, Mawar, kau pergi balik dulu.Nanti petang Tok Wan pulang. Balik sekarang, cu.” Mail dan Mawar mengangguk.Tangan Tok Wan mereka dan juga Mak Munah disalam dan dikucup penuh kasih.Mereka berjalan berpegangan tangan meninggalkan perkarangan rumah agam manakalaPak Deraman hanya memerhati dari jauh.


Kirana mengintai di sebalik langsir, Kedua-dua budak hingusan semakin menjauh. Kirana mengelamun teringat apa yang dialaminya malam tadi. Dia pasti itu bukan mimpi. Saat dia meninggalkan rumah agam itu disebabkan kepanasan alunan bacaan ayat suci, Kirana turut diganggu.


Chandelier yang dipasang bergoncang kuat seolah-olah ingin menghempapnya ketika Kirana lalu di ruang itu. Tika itu juga, darah menitis dari chandelier dan membasahi wajahnya. Bunyi tangisan berganti hilaian kuat membuatkan Kirana berlari meninggalkan rumah agam itu. Pastinya berlari menuju ke kedai lampu hias tinggalan arwah bonda kepadanya.


Kirana mengeluh. Apa yang dilaluinya malam tadi benar-benar membuatkannya lelah dan ketakutan. Dia pasti ada bayang hitam yang mengekor langkahnya semenjak dia meninggalkan rumah agam dinihari tadi.  Meninggalkan rumah agam yang berbahang kepanasan bukan jalan terbaik apatah lagi dia juga diganggu di kedai miliknya. Lengannya yang terdapat kesan cakaran dipandang tajam. Kirana mengeluh perlahan.


Saat pintu jeriji besi dibuka, bau hamis darah menerpa. Kirana membiarkan saja.Disangka belaannya yang sedang menyantap ayam hutan dan telur ayam yang sememangnya ditinggalkan di tepi kedainya. Sangkaannya meleset apabila lampu hias chandelier di dalam kedainya berayun dan berlaga sesama sendiri. Malah, ada lampu chandelier yang pecah dan berkelip-kelip sedangkan suis utamanya telah dimatikan. Kirana terpempan. Dia tahu itu natijah perbuatannya sendiri.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa