Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,421
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 18

            “Assalammualaikum.Kenapa ni, sayang? Bising pagi-pagi ni.” Matanya menangkap hidangan di atas meja.

Nasi lemak, sambal ikan bilis, telur rebus, rendang ayam dan juga timun. Hidangan lengkap di atas meja membuatkannya serta merta lapar. Kerusi ditarik, pinggan dicapai. Megat Iskandar mencedok nasinya sendiri. Sebaik saja mencedok,hidungnya mula terbau sesuatu yang busuk. Nasi lemak yang dicedoknya sudah berlendir dan berbau. Begitu juga dengan rendang ayam dan sambal ikan bilis yang terhidang. Ulat meliuk-liuk di dalam mangkuk. Kesemua lauk-pauk di atas meja berlendir dan berulat! Loya yang menjolok anak tekak tidak dapat ditahan lagi. Megat Iskandar berlari ke sinki dan memuntahkan isi perutnya.

            “Munah, kau dah siap masak tak? Aku dah lapar ni.” Pak Deraman pula menghampiri ruang dapur. Tuala kecil dikepalanya di letakkan di bahu. Kembang-kempis hidungnya mencari bau busuk. Bibirnya segera beristighfar apabila melihat lauk yang terhidang.

            “Munah, bukan kau baru masak tadi ke?”tanya Pak Deraman. Dia pasti ketika dia hendak memulakan kerjanya dibangsal, Mak Munah dan Aishah sedang bergotong-royong memasak nasi lemak kesukaan Megat Iskandar. Mana mungkin bau busuk datang dari masakan Mak Munah. Mak Munah yang teresak-esak menangis dipandang.

            “En..entahlah bang. Elok saja Munah cedok dan hidang tadi. Aishah naik ke atas panggil Iskandar turun makan. Elok nak makan, jadi macam ni. Padahal tadi elok je, bang. Siap masak, terus saja Aishah hidang. Kalau atas meja saja tak apa bang. Ni dalam kuali dan periuk nasi pun sama. Mana saya tak sedih bang.” Mak Munah berterusan menangis. Dia dihimpit perasaan bersalah pada kedua majikannya.

            “Mak Munah, bukan salah Mak Munah. Aishah pun tolong Mak Munah tadi. Abang...” Megat Iskandar menggaru kepalanya yang tidak gatal. Gangguan masih lagi berterusan. Baru hari kedua dia di rumah agam itu.

            “Iskandar, kamu tunggu di sini. Pak Deraman pergi belikan makanan. Munah, kau siapkan makan. Yang atas meja tu kau buang. Bersihkan meja tu. Aku ke simpang sekejap.” Megat Iskandar pantas menghulurkan duit pada Pak Deraman sebelum dia berlalu.

            “Iskandar, Mak Munah minta maaf ya. Sebelum ni tak pernah jadi macam ni.”rayu Mak Munah.

            “Mak Munah, ada sebabnya semua ni jadi. Bukan kehendak kita. Redha saja lah.”Megat Iskandar masih lagi bingung dengan apa yang telah terjadi.

Mak Munah mengangguk. Aishah terus membantu Mak Munah mengemas meja makan. Kesemua lauk pauk dibuang. Mangkuk dan periuk turut dibasuh bersih. Mujur kedua-dua majikannya memahami. Pak Deraman tiba dengan beg plastik di tangan. Pak Deraman tidak terus masuk ke dalam rumah. Sebaliknya, Pak Deraman menjerit memanggil Mak Munah dari luar setelah memberi salam. Terkocoh-kocoh wanita tua itu berlari mendapatkan Pak Deraman.

Dengan nafas tercungap-cungap, Mak Munah mendapatkan Megat Iskandar dan isterinya.

            “Iskandar, Pak Deraman minta kita makan di halaman rumah saja. Boleh ke Iskandar?” Mak Munah yang tersemput-semput bercakap dipandangnya.

            “Boleh lah Mak Munah. Perut yang lapar kena diisi. Tak kisah kat mana.”

Megat Iskandar memimpin isterinya ke luar rumah. Tikar siap dibentang di luar. Mak Munah menghidangkan makanan yang dibeli Pak Deraman. Kuih muih dan juga nasi lemak menjadi pilihan. Dimulakan dengan lafaz bismillah, mereka bersarapan bersama-sama. Sesekali berbual mesra, tidak menyentuh langsung mengenai masakanMak Munah sebentar tadi.

Selesai bersarapan, Aishah membantu Mak Munah mengemas sekali lagi walaupun Mak Munah telah melarangnya berkali-kali. Dia tidak betah duduk diam. Ada saja kerja yang ingin dilakukannya. Sementara mereka berdua mengemas, Pak Deraman menggamit Megat Iskandar agar mengikutnya.

            “Iskandar nampak kat situ kan?”tanya Pak Deraman sambil menunding jari ke arah bangsal. Iskandar masih cuba memahami pertanyaan Pak Deraman.

            “Kamu nampak aku, kan semalam?” Muka Megat Iskandar yang memucat dipandangnya.

            “Aku tahu kamu diganggunya. Iskandar jangan fikir yang bukan-bukan. Bukan  aku yang membela tapi syaitan yang berupa. Kalau kamu nak tahu, kat situlah aku jumpa pakaian Ku Syakira yang masih berdarah. Tempat kamu berdiri semalam.Semenjak aku jumpa, Cik Puan Kirana tak bagi aku ke sana bersihkan kawasan.Bangsal pun dia larang aku jejak. Malah, barang-barang kebun pun dia usaha belikan aku yang baru. Walhal, semuanya ada dalam bangsal. Sebab itulah kau tengok bangsal tu macam pondok terbiar. Aku tahu ada yang tak kena dengan bangsal tu. Sebab tu pagi ni, aku nak bersihkan kawasan situ. Semak tinggi,berhutan. Semua makhluk pun suka. Baik makhluk kepala hitam, dengan makhluk yang tak ada kepala.” Megat Iskandar cuba menghadam kata-kata Pak Deraman.

            Makhluk berkepala dan tak ada kepala? Hantu?

Pak Deraman ketawa melihat tingkah laku majikannya yang kelihatan gusar. Pasti menyesal memilih rumah agam ini sebagai tempat berlindung.

 

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa