Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,430
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 11

Tubuh kaku Tajul diangkat ke luar rumah untuk dimandikan. Di situ juga jenazahnya dimandikan. Ahli keluarga Tajul juga turut sama memandikan mayat Tajul. Semua kelihatan bingung apabila mendapat tahu Tajul sudah tiada. Kehilangannya dirasai sementelah dia anak yang rajin mengambil hati orang tua.

Mak Munah masih lagi pelik. Memang tiada darah setelah mayat Tajul diangkat. Pak Deraman juga mengaku bahawa dia tak ada mengusik hatta sekelumit darah pun. Mak Munah terkedu! Takkan darah masuk balik ke dalam tubuh arwah?

Di bawah buluh, tempat mayat dimandikan, kelibat hitam mencangkung sambil menadah air mandian. Air itu dihirup rakus. Bagai kelaparan, sesekali lidahnya menjilat buluh itu. Puas mendapat makanan, dia menghilang tanpa meninggalkan kesan.

“Munah, jenazah nak dibawa ke masjid. Kau nak ikut tak?” bisik Pak Deraman.

“Munah tinggal di rumah la bang. Abang jadi tak tinggalkan cucu dengan Munah? Munah rasa tak selesa. Nanti Cik Puan nak apa-apa susah pula Munah.” Mak Munah gelisah mengenangkan dirinya yang bakal keseorangan di rumah agam itu. Pak Deraman tersenyum.

“Kau tak payah risau, Munah. Selesai pengebumian, aku datang dengan cucu aku, si Mail dengan Mawar. Aku tidur di sini sekali. Nanti persalinan kau, aku minta Mawar ambilkan dari anak kau ya Munah.”

“Alhamdulillah. Tak adalah Munah tinggal sorang. Terima kasih bang. Nanti Munah masakkan nasi lebih sikit. Abang pergilah dulu. Munah mengemas rumah dulu.” Mak Munah menarik nafas lega. Ada yang sudi menemaninya malam ni setelah apa yang berlaku di rumah agam ini.

Pak Deraman berjalan menuju ke arah masjid. Langkahnya tiba-tiba berhenti. Pak Deraman teringatkan sesuatu. Dia pantas menoleh. Mak Munah masih kekal di pintu rumah agam. Siapa pula yang berdiri di belakang Mak Munah? Menunduk memerhatikan Pak Deraman pergi. Pak Deraman melambai Mak Munah. Mak Munah membalas lambaiannya sedangkan kelibat hitam itu kekal di sisi Mak Munah. Pak Deraman pantas berlalu.

Selesai urusan solat jenazah dan pengebumian, Pak Deraman berjalan bersama-sama Tok Penghulu dan Tok Imam. Membincangkan hal siang tadi.

“Alhamdulillah jenazah selesai dikebumikan. Lega rasa hati ni, Tok Imam. Lepas ni, saya nak balik ke rumah jemput si Mawar dengan Mail. Kami tidur di rumah Cik Puan malam ni. Kesian pula pada Munah sorang-sorang nak bersihkan rumah. Entah apa cerita di rumah tu nanti dengan Cik Puan kurang sihat, arwah Tajul jatuh.” Bebel Pak Deraman panjang lebar.

“Beginilah, apa yang jadi itu sudah ketentuan dari Allah. Qada dan qadar Allah. Kita yang hidup ni perlu ingat mati tak mengenal usia. Sebaik-baik kita rancang, Allah ada rancangan yang bagus untuk umatNya. Tak gitu, Tok Penghulu?” tanya Tok Imam setelah melihat Tok Penghulu hanya mendiamkan diri sejak dari rumah agam itu lagi.

Tok Penghulu masih mendiamkan diri. Pak Deraman yang berada di sebelah Tok Penghulu menyiku lengannya.

“Ada apa, Tok Imam? Allahu Akbar. Minta maaf Tok Imam, saya ralit fikirkan keluarga si Tajul ni. Kena buat mesyuarat juga ni.” Itu rupanya yang menjadi persoalan Tok Penghulu. Tok Imam tersenyum.

“Marilah singgah ke rumah saya. Kita minum secawan kopi buat menghilangkan lelah.” Langkah Tok Imam dituruti. Enak juga dapat mencicip kopi panas dalam keletihan ni. Sebaik saja melabuhkan punggung ke lantai pondok, Tok Imam meminta isterinya menghidangkan kopi dan kuih.

“Maaflah jika tak selesa di pondok buruk saya.” Kata Tok Imam merendah diri. Kata-kata Tok Imam disambut dengan senyuman saja.

Bukan mereka tak biasa, rata-rata penduduk kampung masih kekal berumahkan pohon buluh dan beratap nipah. Rumah Tok Penghulu sudah berganti papan semenjak dilantik menjadi Tok Penghulu. Malah 3 kali ganda besarnya dari rumah penduduk lain. Keluarga Kirana sememangnya keluarga bangsawan yang kaya raya di kawasan kampung itu. Salah satu keluarga yang memiliki rumah agam sejak zaman moyangnya lagi.

Isteri Tok Imam datang mencelah dengan menatang kopi dan ubi kayu rebus. Sempat dia menjemput mereka menjamu selera sebelum berlalu pergi. Kopi panas ditiup perlahan sebelum dicicip. Enak sungguh makan petang begini.

“Tok Penghulu, saya nak tanya. Tok Penghulu kenalkah keluarga arwah?” tanya Tok Imam sekaligus memecah sunyi antara mereka.

“Kenal rapat tu tidaklah. Tapi tahu lah keluarganya. Kenapa Tok Imam?” Tok Penghulu kehairanan dengan pertanyaan Tok Imam. Tok Imam pasti lebih mengenali keluarga Tajul. Mereka tak pernah culas hadir ke masjid dan juga majlis-majlis agama.

“Siapa gadis berkebaya hitam yang duduk sebelah arwah tu? Dari angkat jenazah, mandi jenazah, bawa ke masjid, gadis tu ikut sekali. Tapi menunduk saja. Saya tak dapat tengok wajahnya. Sampai di masjid, saya tak nampak dah. Tapi di kubur tadi, dia ada sekali. Saya cuba nak tegur, tapi hilang macam tu je.” Pak Deraman dan Tok penghulu terdiam mendengarkan kata-kata Tok Imam.

“Saya ada perasan gadis tu tapi tak perasan pula siapa. Tak tahulah jika ada saudara-mara Tajul yang datang sekali tadi.” Kata-kata Tok Penghulu mengingatkan Pak Deraman akan susuk yang berdiri di belakang Mak Munah. Ya, gadis berkebaya hitam itu ada di sisi Mak Munah.

“Tapi Tok Imam, Tok Penghulu.. masa saya nak turut ke masjid tadi, saya nampak gadis tu berdiri sebelah Munah. Barangkali saudara Tajul kot. Tadi ramai juga kaum hawa tak pulang lagi.” Pak Deraman cuba menyedapkan hati sedangkan dia tahu bagaimana susuk hitam itu memandangnya tajam.

Mereka berbual panjang dan meminta diri ketika matahari hampir terbenam. Berpisah mengikut haluan masing-masing. Seperti yang dirancang, Pak Deraman meninggalkan rumah bersama cucu-cucunya untuk bermalam di rumah agam. Mawar diminta mengambil persalinan Mak Munah dari anaknya.

Berita kematian Tajul sememangnya sudah tersebar luas. Masing-masing mengaitkan kematian Tajul bersama gadis berkebaya hitam. Hanya tak diketahui siapa gadis itu. Kesetiaan gadis itu mengikut jenazah hingga ke kubur menjadi tanda tanya penduduk kampung. Namun, tak siapa melihat wajahnya yang kekal menunduk.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa