Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,429
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 15

Tahun berganti tahun. Kirana tidak lagi menguruskan kedai lampu hiasnya. Perniagaannya merosot hari demi hari. Pekerjanya juga tak betah lagi bekerja dengannya. Kesemuanya mengadu mengenai gangguan yang mereka alami.

Ada ketika mereka mendengar suara perempuan mengilai, ada ketika lampu hias chandelier yang dipamerkan pecah secara tiba-tiba, dan pelbagai lagi gangguan. Yang paling tidak diterima dek akal, mereka mengadu yang lampu chandelier dikedainya memuntahkan darah. Ku Adnan berpendapat bahawa pekerja Kirana hanya memberi seribu satu alasan untuk berhenti kerja dan berhijrah ke bandar sebagaimana  anak muda kampung yang lain.

Sudah acapkali Ku Adnan melihat chandelier di ruang tamu berayun. Namun, Ku Adnan berpendapat bahawa burung-burung yang berterbangan terlanggar manik-manik kristal yang berjuntaian itu dan angin kencang berjaya mengayunkan chandelier itu. Bau busuk yang sering menusuk hidungnya tika melalui ruang tamu juga tak diendahkan. Padanya hanya sampah sarap yang lupa dibuang Mak Munah. Pastinya dia lupa membuang setelah penat seharian menjaga isterinya, Kirana yang kurang sihat.

Anak-anaknya yang seringkali menyebut hantu juga turut dipandang remeh. Padanya, itu hanya sekadar imaginasi anak kecil. Anak-anak. Ku Adnan dan Kirana memperolehi sepasang kembar, Ku Syahiran dan Ku Syarissa. Membesar dengan sempurna tanpa bonda mereka. Ketika melahirkan kembar mereka di rumah agam itu, Kirana sering meracau yang bukan-bukan. Malah ada ketika dia cuba membunuh diri. Mujur perbuatannya disedari Mak Munah yang kini diupah menjaganya siang dan malam.

            “Tuan...”Panggilan Mak Munah mematikan segala lamunannya.

            “Ya, Mak Munah. Ada apa?”Pandangan matanya melihat wanita tua yang menunduk di hadapannya. Mak Munah mendongak bagai meminta simpati.

            “Mak Munah ingat hujung minggu ini Mak Munah nak pulang ke rumah. Lama Mak Munah tak menjenguk anak cucu. Boleh ke Tuan?” Ku Adnan mengeluh perlahan. Benar, sudah agak lama wanita ini tak pulang ke rumahnya. Ku Adnan mengangguk dan tersenyum lebar. Mak Munah menadah tangan mengucapkan syukur. Ku Adnan ketawa.

            “Mak Munah, baliklah rumah dua hari.Kemudian jangan lupa pulang ke sini ya. Saya masih memerlukan khidmat Mak Munah. Hari Isnin nanti, boleh Mak Munah bawa beberapa orang tak?” Pertanyaan Ku Adnan mematikan senyuman Mak Munah.

            “Untuk apa Tuan?” tanya Mak Munah,pelik dengan permintaan tuannya.

            “Kemas rumah ni sebab rumah ni saya nak jual. Saya dah fikir masak-masak. Saya nak pindah. Mungkin ini lebih baik untuk keluarga saya. Dulu, Kirana uruskan kedai lampu tapi semenjak dia kurang sihat, Mak Munah pun tahu apa yang jadi kan?” Jelas Ku Adnan dengan panjang lebar. Berita itu sedikit sebanyak meruntun hati Mak Munah yang telah lama berkhidmat dengan keluarga itu.

            “Mak Munah lebih kenal keluarga isteri saya. Apatah lagi Mak Munah menjaga mereka sejak kecil. Saya cuma nak yang terbaik untuk keluarga saya. Kebanyakan barangan dalam rumah ni saya takkan bawa. Apa yang Mak Munah nak, Mak Munah ambil lah. Ikhlas saya bagi.” MakMunah mengangguk. Hatinya sayu bila mengenangkan rumah agam yang tersimpan seribu satu memori bakal dijual. Memori bersama arwah Ku Syakira pastinya.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa