Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,420
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 10

Tangga kayu dipanjat dengan berhati-hati. Chandelier disangkut dengan cermat. Tajul, salah seorang pekerja kedai lampu hias milik Kirana yang sangat cekap. Jarang sentuhannya mendapat aduan. Kerjanya sangat cermat dan teliti.

“Lepaskan aku..” Tajul tergamam saat bisikan itu menyapa gegendang telinganya.

Bulu romanya mencanak naik. Tajul memandang lampu hias yang selesai digantungnya. Ada mata tajam sedang merenungnya dari dalam kristal chandelier! Tajul terkejut dan melepaskan pegangan tangannya secara tak sengaja. Tubuhnya meluncur laju menyembah bumi dan berakhir dengan jeritan lantang. Mak Munah terkocoh-kocoh menuruni tangga apabila mendengar jeritan kuat. Pak Deraman turut mencari punca jeritan kuat sebentar tadi. Mereka berdua tergamam melihat keadaan Tajul. Kakinya terlipat ke belakang. Tulang lututnya tersembul keluar. Darah membuak-buak membasahi lantai rumah agam itu. Sesekali terdengar erangan halus dari mulutnya.

“Allahu Akbar! Bang Deraman, macam mana ni? Abang pergilah panggil orang tolong. Munah tunggu Tajul.” Pak Deraman berlari keluar meminta bantuan.

Mak Munah mengemaskan sila di sisi Tajul. Tajul memejamkan mata. Darah di bibir Tajul dilap dengan cermat. Air mata tuanya mengalir lagi. Spontan tangannya mengusap rambut Tajul. Nafas Tajul tersekat-sekat. Dadanya mula turun naik. Mak Munah membisikkan dua kalimah syahadah. Nafas Tajul yang tersekat-sekat mula perlahan dan terhenti. Mak Munah menutup mata Tajul yang terbeliak memandang ke atas, bagai melihat sesuatu yang menakutkan.

‘Innalillahi wainna ilaihi rojiun. (Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali)’ bisik Mak Munah perlahan.

Pak Deraman dan Tok Penghulu tiba sebaik saja Mak Munah selesai menutup mata Tajul. Mereka berpandangan sesama sendiri dan tunduk setelah Mak Munah menggelengkan kepala sebagai tanda Tajul telah pergi. Baru sebentar tadi mereka bergurau senda, kini Tajul dah tiada. Benar kata orang, ajal tak mengenal usia tua atau muda.

“Tok Penghulu uruskanlah apa yang patut. Saya maklumkan pada keluarga arwah dahulu. Munah, kau bagitahu Cik Puan kau.” Pesan Pak Deraman sebelum meninggalkan halaman rumah agam itu.

“Tok teman Munah bagitahu Cik Puan, boleh? Munah tak tahu nak cakap macam mana. Cik Puan tengah tak sihat tu.” Jelas Munah pada Tok penghulu. Jasad Tajul ditutup dengan kain batik lepas. Cahaya chandelier memanah tepat ke arah jasad yang terbujur kaku.

“Meh aku teman kau Munah oi. Nanti aku khabarkan sekali kat Tok Imam. Minta dia uruskan jenazah Tajul. Kau jagalah Cik Puan dan cuci bekas darah tu. Jangan dibiarkan kering, tak elok Munah.” Pesan Tok Penghulu sambil menaiki tangga menuju ke bilik peraduan Kirana.

Kain yang menutup jasad Tajul semakin lama semakin jatuh ditiup sang bayu. Mata Tajul terbuka kembali. Di celahan lampu chandelier, lidah panjang terjuntai perlahan-lahan mencari sumber makanan. Darah yang mengalir dari tubuh Tajul dijilat rakus. Malah tulang lutut yang tersembul keluar disedut-sedut daging dan darahnya. Seketika, lampu hias chandelier itu bertukar warna merah darah tanpa ada sesiapa pun yang menyedarinya.

Tok Penghulu mengetuk pintu bilik peraduan Kirana. Pintu bilik Kirana ditolak perlahan apabila Kirana tidak menyahut. Wajah pucat Kirana ditenung. Tok Penghulu berdehem sekaligus mengejutkan Kirana yang lena.

“Ehh..Tok Penghulu. Kenapa tak cakap nak ke mari? Segan saya Tok Penghulu datang ke sini. Jika Mak Munah bagitahu, saya sendiri turun berjumpa dengan Tok.” Kata Kirana sekadar berbasa-basi.

“Munah dengan Deraman dah bagitahu aku. Kau pun bukannya sihat. Ni Kirana, tadi Deraman bagitahu kau minta Tajul pasangkan lampu kat bawah tadi.” Tok Penghulu menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata-kata.

“Ada masalah ke, Tok? Saya yang buat lampu tu sendiri. Kalau Tok Penghulu nak beli pun, saya takkan jual. Saya buat khas atas nama Ku Syakira malah lampu itu saya bagi nama Ku Sya.” Jelas Kirana sambil membetulkan rambutnya yang kusut masai.

“Kirana, Tok bukan nak cakap pasal lampu kau tu. Ni Tok nak bagitahu, tadi masa Tajul pasang lampu Ku Sya kau tu, entah macam mana dia jatuh.” Tok Penghulu menunduk sambil menguis-guis lantai permaidani.

“Jatuh? Macam mana leh jatuh pula ni? Tajul salah seorang pekerja terbaik yang saya ada. Lampu saya dah gantung tak? Mak Munah, nanti minta Pak Deraman bawa Tajul dapatkan rawatan. Saya tanggung kos perubatan.” Kirana bercakap bagai terlupa qada dan qadar Allah. Bagai harta itu penyelesaian semua. Tok Penghulu kelihatan gelisah, kurang senang dengan kelakuan Kirana.

“Kirana, kau tanggung kos pengurusan jenazah sajalah Kirana.” Tok Penghulu tersenyum sinis. Jelas tak suka cara Kirana menyusun bicara.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa