Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,434
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

Puas Kirana memejamkan mata. Mengiring ke kiri, ke kanan, bantal juga sudah ditepuk beberapa kali, tak juga boleh lelap. Sedangkan tadi mata bagai digam-gam. Kirana menggeliat kemalasan. Dia harus lakukan sesuatu. Kirana mendongak. Ku Syakira! Kirana pantas bangkit.

Krekkk! Pintu kayu loteng ditolak kasar. Pandangan matanya terhenti di relau. Api masih lagi menyala. Acuan di dalam relau dicucuk dengan besi panjang. Keras, tetapi belum cukup keras. Kirana menambahkan lagi kayu api. Malam ini dia akan bekerja keras menyiapkan lampu organ Ku Syakira. Kirana ketawa. Loteng ditinggalkan. Pastinya dia akan kembali lagi. Malam yang panjang menantinya.

Kirana turun ke ruang tamu mencari Mak Munah. Perutnya berkeroncong kelaparan. Pasti Mak Munah di dapur menyiapkan lauk tengahari. Saat tiba di dapur, kakinya terhenti tatkala mendengar perbualan pembantunya. Kirana mematungkan diri.

“Bang Deraman, mana lah pergi Cik Puan kita? Susah hati saya ni, bang oi. Apa dibuatnya kat bangsal tu? Selama ni, tak siapa pergi ke bangsal tu. Lampu yang tak pakai pun abang yang letakkan kat situ.”ujar Mak Munah.

“Entahlah Munah oi. Aku pun pusing juga pikir. Tunggu aje khabar dari Tok Penghulu nanti. Aku ingat aku balik nanti, aku singgah rumah Tok Penghulu. Kau nak ikut aku tak, Munah? Kalau nak ikut..” Kirana berdehem sekaligus mematikan perbualan Mak Munah dan Pak Deraman.

“Maaf Kirana mengganggu. Mak Munah ada masak tak? Kirana lapar.” Mak Munah memandang Kirana. Diam tak berkutik.

“Eh Munah! Kau dengar tak Cik Puan cakap?” sergah Pak Deraman.

“Hoi..aku dengar. Aku dengar..dengar..dengar la oii..” latah Mak Munah. Pak Deraman menggelengkan kepala dan tersenyum gelihati. Kirana memandang latah Mak Munah.

“Munah.. Cik Puan tanya tu.” Jerit Pak Deraman sekali lagi. Mak Munah mengurut dada. Kirana menjeling tajam.

“Maaf Cik Puan. Mak Munah terkejut Pak Deraman sergah. Mak Munah tak sempat nak masak banyak. Yang ada ikan keli salai, sayur pucuk ubi goreng dengan sambal belacan. Cik Puan nak makan ke? Kalau nak, Mak Munah siapkan makan.” Kirana menelan liur.

“Bawa ke depan Mak Munah. Saya tunggu di ruang makan.”

“Bang Deraman la ni. Malukan saya depan Cik Puan. Kan dah dijelingnya. Sukalah tu!” Mak Munah menjuihkan bibir sambil menyedok ikan keli salai ke dalam mangkuk.

“Aku minta maaf lah Munah. Aku tak sengaja. Tengok kau berangan tak sudah tengok Cik Puan tadi.” Jelas Pak Deraman.

“Entahlah bang. Saya nampak Cik Puan Ku Syakira di belakang Cik Puan Kirana tadi. Mukanya sayu je.” Jelas Mak Munah.

“Kau pikir banyak tu Munah. Mereka adik-beradik. Mestilah kau nampak bayang Cik Puan Ku Syakira. Sudah. Kau bawa hidangan ke depan. Aku nak pergi menebas di belakang ni.” Mak Munah mengangguk dan berlalu menatang dulang hidangan buat Kirana.

Nasi dicedok ke dalam pinggan. Berkepol wap panas naik ke udara. Dengan cermat Mak Munah menyusun pinggan lauk di hadapan Kirana. Setelah selesai, Mak Munah berpaling hendak ke dapur. Kirana mencekak tangan Mak Munah, menahannya meninggalkan ruang makan.

“Temankan saya makan, Mak Munah.”arah Kirana.

“Mak Munah ada ker...” Belum sempat Mak Munah menghabiskan kata-katanya, Kirana dengan pantas menarik tempat duduk di sebelahnya.

“Temankan saya!” pintas Kirana.

Mak Munah melabuhkan punggungnya ke kerusi sebelah Kirana. Menatap wajah Kirana yang tampak lesu dan tak bermaya. Pasti sukar tidur ekoran apa yang terjadi pagi ini. Kirana makan dengan gelojoh sekali, seolah-olah lama tak mengisi perut. Kirana terbatuk. Tersembur nasi yang dimakannya. Mak Munah menghulurkan gelas. Rakus Kirana menghabiskan air di dalam gelas.

“Pelan-pelan, Cik Puan. Tersedak nanti.”tutur Mak Munah.

Pinggan ditolak kasar setelah ditegur Mak Munah. Mak Munah terkedu dengan perbuatan Kirana. Wajah Kirana ditatap.

“Mak Munah, saya ke bilik dulu. Jangan ganggu saya. Saya nak berehat. Kalau Tok Penghulu cari, katakan saya akan ke rumahnya nanti. Jika Mak Munah nak pulang, kuncikan pintu dan tingkap semua ya.” Mak Munah hanya mengangguk dan mengemaskan meja makan. Tanpa disedari, bayang Ku Syakira berjalan melewati ruang makan itu. Meninggalkan haruman kemboja terawang di udara.

Mak Munah termangu. Sesekali hidungnya menangkap bau wangi. Bulu roma pantas mencanak naik. Lengannya digosok berkali-kali. Mak Munah memandang sekeliling. Tiada orang. Dalam hati, mula mendendangkan ayatul Qursi sebagai pendinding diri. Meja pantas dilap, pinggan kotor dibawa terus ke dapur. Tanpa disedari, di satu sudut, Ku Syakira memandang dengan mata yang merah menyala.

“Munah, kautkan aku nasi. Teringat pula aku kat keli salai kau. Lapar perut aku ni.”ujar Pak Deraman sambil menggosok perut. Mak Munah hanya tersengih dan mencedok nasi untuk Pak Deraman.

“Bang Deraman, Munah tengok Cik Puan Kirana tu pelik sikit la. Macam tak kisah pasal apa yang jadi pada Cik Puan Ku Syakira. Munah risau la Bang Deraman.”keluh Mak Munah.

“Dia kan dah memang cenggitu. Kau nak risau apa, Munah? Dari dulu dok berkurung kat loteng buat lampu, tak de sapa pun yang peduli. Dia turun untuk makan minum je. Sekarang pula kau rasa pelik? Malas aku nak layan ka Munah. Tebas lalang kat belakang nun lagi bagus dari layan kau, Munah oi..” Pak Deraman bangkit lalu membasuh tangan setelah selesai menjamu tekak.

“Burpp.. Alhamdulillah. Sedap kau masak, Munah. Kalau kau bini aku, bulat aku macam kau nanti, Munah.” Spontan Pak Deraman mengusik.

“Dah! Mengada pula orang tua ni. Hei Bang Deraman, karang lalang tu tak ditebas, kau yang aku tebas kang. Pergi cepat!” Kata-kata Mak Munah hanya disambut dengan gelak tawa Pak Deraman.

Mak Munah hanya memerhatikan Pak Deraman berlalu ke laman belakang.

‘Ku Sya, kau ke mana nak? Moga kau baik-baik saja. Pulanglah nak.’ Getus hati Mak Munah yang risau akan keadaan diri Ku Syakira.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa