Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,415
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 12



 


            “Munah....Munah... aku dah balik ni Munah oii.” Jerit Pak Deraman dari muka pintu.


            “Munah di dapur ni bang. Mai sini makan dulu. Lauk dah siap hidang.” Mawar dan Mail mencicit berlari ke dapur apatah lagi perut sedang berkeroncong. Aroma ikan sepat goreng bersama gulai lemak pucuk paku memenuhi ruang dapur.


            “Sedapnya bau masakan Mak Munah. Padanla Tok Wan kenyang je bila balik rumah.”puji Mawar.


            “Mana Mawar tahu sedap? Rasa pun belum lagi. Ini je yang sempat Mak Munah masak. Cedok nasi tu, Mawar.” Mawar mencedok nasi untuk semua orang.


            “Cik Puan dah bangun ke, Munah? Aku nampak dia turun tadi.” Kata Pak Deraman sambil mencedok kuah.


            “Merepek apa abang  ni. Tadi lepas mengemas, Munah siapkan makan untuk Cik Puan. Munah masak bubur untuk dia tadi. Selesai suap Cik Puan, bagi makan ubat, dia terus tidur. Lagi panas badannya tadi. Terkejut dengar berita kematian Tajul kot.” Pak Deraman terdiam. Siapa pula yang dilihatnya tadi?


Makan malam berlalu dengan senyap sunyi. Masing-masing kelaparan. Hanya bunyi sudu berlaga memecah sunyi. Mawar membantu Mak Munah mengemaskan meja dan mencuci pinggan kotor. Kopi dihidangkan buat Pak Deraman dan cucunya, Mail.


            “Munah, kau dan Mawar pergilah tidur dulu. Aku dan Mail tidur di bilik bawah saja. Kau tinggalkan aku selimut dan sejadah sudahlah. Kau pun penat satu hari bekerja.” Pesan Pak Deraman sambil memandang Mak Munah.


            “Munah memang dah mengantuk ni bang. Letih sangat rasanya. Sejadah ada gantung tepi almari. Selimut dalam almari. Abang ambil sendiri ya. Mawar, biarkan saja pinggan di situ. Esok pagi Mak Munah basuh. Kita naik tidur dulu, Mawar.” Pesan Mak Munah sambil menguap sekali lagi. Pak Deraman tersenyum melihat gelagat Mak Munah. Pastinya dia sangat letih.


            “Tok Wan, kita nak tidur mana? Mail pun dah mengantuk.” Mail juga sudah mula menguap.


            “Mail tidur dulu, nanti Tok Wan menyusul. Mail pergi ruang depan, tepi jam besar tu ada bilik. Mail masuk tidur dulu ye. Tok Wan nak habiskan kopi dulu.” Kata-kata Pak Deraman disambut dengan anggukan saja.


Mail berlalu ke ruang depan. Sebaik saja Mail melintas di bawah lampu hias chandelier, titis-titis air jatuh ke atas mukanya. Mail menyeka air di wajahnya. Bocor barangkali, tebak hatinya. Air itu menitis lagi. Kali ini lebih banyak daripada tadi. Mail menadah dengan tangan. Air itu bewarna merah atau lebih tepat lagi darah! Mail memandang keatas, darah itu menitis dari lampu hias yang tersergam indah. Chandelier itu memuntahkan darah! Mail menjerit ketakutan.


Jeritan Mail mengejutkan Pak Deraman. Dia bingkas bangun ke ruang depan. Mail sudah terjelopok. Dia menggigil. Matanya buntang melihat chandelier. Tangannya menadah sesuatu. Pak Deraman menghampiri cucunya. Tangan cucunya itu penuh darah. Tak dilihat pula dari mana datangnya darah itu.


            “Mail..Mail.. Astaghfirullah halaziim.” Pak Deraman berselawat sambil memeluk cucunya. Mail tersedar dari lamunannya.


            “Tok Wan..Tok Wan...darah..”tergagap-gagap Mail menyusun kata.


            “Kamu luka ke Mail. Mana datang darah tu?” Jari Mail pantas menunjuk ke arah lampu hias itu. Pak Deraman memandang, tiada apa-apa di lampu itu.


            “Mari kita masuk bilik, Mail. Tubuh Mail dipeluknya sambil melangkah menuju ke bilik.” Bibir tuanya tak putus dengan zikir. Dia tidak melihat, mungkin cucunya yang melihat dan dia tak menidakkan apa yang berlaku. Hati tuanya tetap mengatakan bahawa ada yang tak kena dengan lampu hias itu.


            “Mail, kamu pergi ambil wuduk dulu.Baca tiga Qul dan ayat Qursi sebelum tidur. Mohon perlindungan dariNya.” Mail mengangguk.


Lengan baju disinsing dan kaki seluar dilipat. Mail beristighfar, dan berlalu ke kamar mandi yang sememangnya disediakan di bilik itu. Usai berwuduk, Mail melabuhkan kepala dan terus terlena. Pak Deraman turut berwuduk. Membaca tahlil dan juga Yassin buat arwah Tajul yang meninggal siang tadi. Hati tuanya tidak senang setelah melihat cucunya terjelopok. Pak Deraman menghabiskan malamnya dengan bertahmid dan bertahajud.


Kirana gelisah di atas katil. Tubuhnya panas, dahinya mula berkeringat. Sesekali terasa bagai ada api menyambar kulitnya. Bahangnya panas, Kirana terjaga. Dia memejamkan mata. Celaka! Orang tua itu hendak membunuh aku ke? Siapa jemput dia tidur di sini. Kirana memandang Mak Munah dan gadis yang lena di tepi katil.


Kirana mengemaskan silanya. Matanya dipejam dan dia mula bertafakur. Berang diserang dalam lenanya. Tangan Kirana terawang-awang ke udara bagai mencekak sesuatu. Lidahnya tak putus membaca mantera. Sesekali Kirana mendengus.


Di ruang bawah, Mail tercungap-cungap tak boleh bernafas. Pak Deraman menghentikan bacaannya apabila melihat tangan cucunya terkapai-kapai meminta pertolongan. Ada yang mengganggu. Pak Deraman menghampiri cucunya. Air putih dituang ke dalam gelas dan dipercikkan ke wajah anak muda itu. Mail terduduk dan nafasnya tercungap-cungap. Di lehernya terbit lebam, seolah-olah dicekik jari panjang dan tajam.


            “Mail, mengucap cu. Ada yang tak suka dengan kehadiran kita.” Mail mengurut lehernya yang masih terasa sakit. Hampir putus nafasnya diusik sesuatu yang tidak nampak.


            “Tok Wan, kita solat hajat?” bisik Mail. Pak Deraman mengangguk.


Kirana mendengus. Matanya kemerahan menahan marah. Kamar tidurnya semakin panas berbara, sedangkan Mak Munah dan gadis itu berselubung kesejukan. Kirana meninggalkan kamarnya dan berlalu ke loteng. Dupa diperasapkan, mantera dibaca sekadar memagar dirinya. Jubah hitam berhud dipakai sebelum menuruni tangga meninggalkan rumah agam itu. Dia perlu pergi sebelum mati kepanasan di situ. Chandelier dikerling sebentar setibanya di ruang depan. Ku Sya dah digantung.


            ‘Ku Sya dah digantung. Yang menggantung pun dah mati. Kau kekal terperangkap di situ. Biar pun kau mati, kau tetap bernyawa di rumah ini.’ Gumam Kirana sebelum meninggalkan rumah. Pintu kayu itu berdentum ditutup Kirana.


            “Mail, kita tidur dulu. Insyaallah tak ada gangguan lagi. Tok Wan juga dah mengantuk.” Mail mengangguk. Quran yang dibaca diletakkan di atas meja. Sejadah turut dilipat. Setelah membaca Ayatul Qursi dan tiga Qul, mereka berdua terus terlena tanpa sebarang gangguan yang menjengah.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa