Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,419
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

“Deraman, kau jumpa di mana kainnya?”tanya Tok Penghulu.

“Di belakang sana, Tok. Saya nak menebas semak di bangsal sana. Kelmarin Cik Puan Ku Syakira dah berpesan. Semalam saya pulang awal, anak kurang sihat.” Jelas Pak Deraman yang bekerja sebagai tukang kebun Ku Syakira dan keluarga sambil menunjuk ke arah bangsal.

“Mari kita ke sana.” Pak Deraman mengetuai rombongan Tok Penghulu ke bangsal. Bagai ada kenduri rombongannya. Ada juga penduduk kampung yang singgah tiba-tiba lantaran khabar angin dah tersebar luas. Mulut orang, bukan boleh ditutup.

Tok Penghulu bertinggung mengamati tanah. Basah dan likat. Kain batik berdarah diperhatikan. Benar, ia milik Ku Syakira. Tetapi apa yang dibuatnya di bangsal belakang ni?

“Munah, kau pasti ini kain Ku Syakira?” tanya Tok Penghulu.

“Saya pasti, Tok. Saya yang sediakan pakaian Ku Syakira semalam. Inilah yang dipakainya sebelum saya balik rumah semalam. Tak sah lagi, Tok.” Bersungguh-sungguh Mak Munah berkata-kata.

Kirana menunduk. Pura-pura menangis.

“Beginilah Cik Puan Kirana. Perkara ni kita belum tahu kesahihannya lagi. Nanti Tok kerahkan orang kampung mencari. Jika mati, pasti ada mayatnya. Mungkin dilarikan binatang buas. Tetapi yang Tok tak faham, apa yang dilakukan di bangsal ini?”

“Kirana tak pasti, Tok. Kirana jarang bersama Ku Sya. Dari arwah Bonda ada lagi, Kirana di loteng menyiapkan kaca. Tok tolonglah cari, soal belanja, Tok jangan risau. Kirana sanggup berbelanja, janji Ku Syakira ditemui selamat.” Teresak-esak Kirana menutur bicara.

“Baiklah Cik Puan. Hari masih awal. Tok akan kerahkan orang muda pergi mencari. Mungkin ada yang boleh jumpa. Jika dibunuh, pasti pembunuhnya ada berdekatan. Tak lari jauh lagi. Cik Puan pergilah berehat. Jika ada apa-apa, hantarkan Munah atau Deraman mengirim khabar.

Tok Penghulu berlalu bersama Pak Deraman dan juga penduduk kampung yang lain. Pastinya gerakan mencari Ku Syakira dilakukan pagi ini. Kirana berpaling menuju ke rumah agamnya. Pastinya untuk menyambung tidurnya yang terganggu sebentar tadi.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa