Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,416
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 8

Mak Munah tekun menggilap juntaian lampu kristal menggunakan kertas pasir bagi menghaluskannya lagi sebelum menggilap menggunakan kain kering. Proses menggilap dilakukan berselang seli sehingga selesai. Pak Deraman hanya duduk memerhati dari jauh. Sesekali Mak Munah mengubah kedudukan silanya. Kebas barangkali bersila lama-lama di simen sejuk.

“Bang Deraman, cantik betul lampu ni ye. Padanla permintaan lampu tak putus-putus. Halus betul buatan tangan Kirana ye bang. Tengok lampu ni, bang. Sesekali Munah nampak macam warna merah, sesekali warna putih. Dah macam magic pula bang.” Mak Munah memandang Pak Deraman yang sedang mengelamun jauh.

“Bang oiiiii.... dengar ke Munah cakap ni ha??” tempik Mak Munah.

“Iye la Munah oi. Kau cakap apa tadi Munah?” Pak Deraman menggaru kepalanya yang tak gatal.

“Ni ha, Munah cakap lampu ni cantik. Halus buatannya. Macam silap mata bila sesekali Munah nampak warna merah dalam lampu ni ha.” Jelas Mak Munah dengan panjang lebar.

“Aku dah tengok tadi Munah. Memang cantik hasil kerja si Kirana. Eh Munah, aku nak tanya ni. Kau tak pernah kemas loteng ke? Tadi masa aku pi ambil lampu ni, aku tengok mak aii.. bersepah, kotor loteng tu. Busuk dan hanyir pula tuh. Cuba kau kemas sikit loteng tu. Semak aku tengok!” ngomel Pak Deraman.

“Ish abang nih.. tak berani la Munah. Nanti si Kirana marah. Agaknya bau yang abang cium tu bau ubat nak buat lampu ni tak? Tu yang busuk kot. Ada le tu tertumpah ke lantai ke.” Mak Munah berbasa basi menyedapkan hati Pak Deraman.

“Cantik lampu tu Munah. Sekali pandang tak jemu. Ralit aku tengok kau gilapkan tadi. Makin berkilau lampunya. Ukiran tembaganya pula halus. Bikin aku jatuh cinta pada kau, Munah.” Mak Munah menjegilkan matanya. Galak pula orang tua ni mengusik.

“Bang Deraman jangan macam-macam. Munah sagat kertas pasir kat mulut abang nanti.” Pak Deraman hanya tersenyum sinis namun senyumannya mati apabila memandang kelibat di belakang Mak Munah yang masih lagi sibuk menggilap lampu hias itu.

Pak Deraman beristighfar dan membaca surah-surah lazim yang diingatinya. Kelibat itu menghampiri Mak Munah. Mata Pak Deraman tak silap dalam melihat. Pak Deraman memejamkan mata dan bertafakur. Mata dibuka kembali. Kelibat jua menghilang. Mak Munah masih tekun menggilap.

“Sudah-sudah la tu Munah. Sampai esok tak habis. Kau dah Zohor belum ni, Munah? Dah nak masuk Asar ni.” Tanya Pak Deraman.

“Allahu Akbar. Munah tak solat lagi bang. Terima kasih la ingatkan Munah. Dok ralit sangat dengan lampu ni, terlupa pula Munah. Nah abang, sambung kerja Munah. Nanti Munah belanja kopi o sedap untuk abang.” Mak Munah membaling kain tepat ke muka Pak Deraman namun ia berjaya disambut sebelum terkena muka. Mak Munah ketawa seronok.

“Senang hati kau ye Munah.” Balas Pak Deraman.

Kain diletakkan di atas meja. Pak Deraman kembali melihat lampu hias chandelier tersebut. Sesekali matanya menangkap figura gadis berkebaya hitam bersimpuh di tepi lampu hias itu. Siapa? Gadis itu hanya menunduk tak menampakkan wajah. Pak Deraman menggosok matanya. Gadis itu menghilang bagai angin lalu.

‘Aku penat sangat ni. Dah macam-macam aku nampak. Mainan syaitan..’ bisik hati Pak Deraman. Angin sejuk menyapa cuping telinga Pak Deraman. Bagai ada yang menghembus cupingnya. Pak Deraman tergamam. Bibirnya mula terkumat-kamit membaca surah-surah lazim. Sesekali, hidungnya terbau wangian kemboja. Diselang seli dengan bau kapur barus. Pak Deraman menenyeh hidungnya. Matanya menangkap kelibat hitam berlalu ke dapur. Pak Deraman bingkas bangun.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa