Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,433
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 16

Segugus kunci bertukar tangan. Ku Adnan bersalaman dengan pemilik baru rumah agam Kirana yang merupakan sahabat karibnya. Mereka berpelukan sebentar. Pak Deraman dan Mak Munah selaku tukang pemerhati. Sebelum berangkat meninggalkan kawasantersebut, Ku Adnan sempat memperkenalkan Mak Munah dan Pak Deraman kepada majikan baru mereka, Megat Iskandar dan Puteri Aishah yang sedang sarat mengandung 7 bulan. Mereka berempat hanya memerhati kereta dan lori yang sarat dengan muatan barang rumah berlalu sehingga lenyap dari pandangan mata.

            “Puan Puteri..” Puteri Aishah menyahut sambil memandang Mak Munah.

            “Panggil saya Aishah saja, Mak Munah. Maaflah Mak Munah, Aishah tak dapat bantu Mak Munah berkemas. Nak jalan pun tak larat ni ha.” Katanya merendah diri sambil mengusap perutnya yang memboyot. Megat Iskandar merangkul bahu isterinya sambil tertawa.

            “Mak Munah dan Pak Deraman, panggil saja saya Iskandar dan isteri saya ni Aishah. Tentang kerja rumah, buat saja macam biasa. Kalau ada masalah, jangan segan-segan bagitahu saya. Bila saya bekerja,saya cuma minta Pak Deraman dan Mak Munah tengok-tengokkan isteri saya saja.”Pesan majikan baru mereka. Tambahan pula isterinya mengandungkan anak sulung mereka.

Sebaik saja pasangan suami isteri itu melangkah ke dalam rumah, mereka diserbu angin sejuk yang kuat sehingga kulit lengan jelas berbintil-bintil. Sesekali Aishah menggosok lengannya, terasa kurang selesa tika itu. Bagai ada mata yangmemerhati setiap langkahnya.

            “Sayang okey? Nak berehat di bilik dulu ke?” tanya Iskandar pada isterinya yang tampak tidak selesa.

            “Okey, rasa sejuk je rumah ni. Tak biasa lagi kot dengan tempat ni. Sayang berehat di sini dulu ye.” Megat Iskandar meninggalkan isterinya berehat di ruang tamu, di bawah lampu hias yang tersergam indah.

Aishah mengamati keadaan sekeliling. Perabot mewah ditinggalkan, begitu juga dengan jam antik. Matanya terpaku pada chandelier yang tergantung kaku. Bebola kristal yang bergantungan bagai memanggilnya.Tangga kayu itu didaki, hanya untuk memegang kristal yang sesekali memancarkan warna merah. Saat itu, jam bagai terhenti, memberinya masa mengamati juntaian kristal sejuk itu. Saat jarinya memegang juntaian kristal, entah bagaimana jarinya tertusuk dawai pengikat kristal dan ia mula menerbitkan titis-titis merah. Perit, dan pedih jarinya. Saat itu chandelier bergetar kencang dan mula berayun. Aishah terpempan dan mula menjauhi kawasan tersebut.

            “Abang..... abang..” Aishah berteriak.

            “Ya..sekejap, abang datang ni.”Sahut Megat Iskandar. Barang-barang yang dikemaskan ditinggalkan apabila isterinya memanggil.

            “Ada apa, sayang?” Mata Iskandar terpaku pada chandelier yang laju berayun. Bulu romanya merinding. Iskandar memanggil Pak Deraman yang sibuk membantu Mak Munah di dapur. Terkocoh-kocoh orang tua itu mendapatkan majikannya.

            “Ada apa Tuan Megat?”       

            “Iskandar, Pak Deraman. Tuh tengok..” Sempat Iskandar membetulkan panggilan Pak Deraman padanya sambil menunding jari ke arah chandelier tersebut.

            “Azan, nak...!” arah Pak Deraman.

Megat Iskandar mula melaungkan azan tepat di bawah chandelier tersebut. Chandelier yang berayun laju bagai mahu tercabut dan mula perlahan-lahan berhenti. Aishah yang berdiri bersandar di dinding tangga terjelopok ketakutan. Megat Iskandar berlari mendapatkan isterinya. Aishah dicempung dengan hati-hati dan dibawa kebilik peraduan. Pak Deraman dan Mak Munah mengekor langkah mereka dengan membawa sedulang air putih buat memulihkan semangatnya.

Wajah pucat isterinya yang terlena direnung dalam-dalam. Belum cukup sehari mereka berpindah ke sini dah terpaksa menghadam apa yang telah berlaku. Pandangan mata Megat Iskandar terpaku pada jari isterinya yang membiru. Jelas kelihatan dua bekas gigitan di jarinya yang luka. Siapa pula yang menggigit? Megat Iskandar segera menggamit Pak Deraman untuk melihat luka di jari isterinya. Pak Deraman beristighfar dan menuangkan air putih di piring. Jari Puteri Aishah yang luka direndam sebentar dengan air putih yang telah dibaca ayat suci.

Selimut isterinya dibetulkan sebelum meninggalkannya berehat. Sebaik saja pintu bilik ditutup, gadis berkebaya hitam muncul menyeringai mengadap Puteri Aishah yang masih terlena. Matanya yang merah menyala tajam melihat perut Puteri Aishahyang memboyot bagai hendak menelan hidup-hidup. Jari runcingnya ditekan ketengah perut Puteri Aishah, merasa setiap pergerakan bayi di dalamnya. Puteri Aishah mula bergerak, tanda tidak selesa. Sesekali dia mengaduh, terasa bayi didalam perutnya aktif bergerak. Aishah membuka matanya. Pandangannya berbalam-balam. Dalam samar-samar, matanya menangkap kelibat wanita berkebaya hitam di hujung kakinya. 

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa