Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
28,980
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

“ Nanti abang sampai kat sana jangan berjaga sampai lewat malam. Abang tu bukannya boleh bertahan berjaga malam. Mulalah demam. Sayang dah letak ubat-ubat abang dalam beg ni,” kata Izara menunjukkan beg kecil yang diletakkan di celah-celah pakaian  di dalam beg besar. Amran akan ke Janda Baik Pahang untuk menyertai Program Pemukiman Menghadapi Pilihanraya Parti Bumiputera.

“ Sayang  janganlah risau sangat. Abang pergi pun bukannya lama sangat. 3 hari 2 malam saja,” kata Amran sambil mengenakan kemejaT. Dengan berkemeja T dan berseluar jeans dia kelihatan seperti pemuda berusia lewat 20an  sahaja. Sesekali timbul juga rasa cemburu di hati Izara melihat suaminya yang masih mampu menarik perhatian wanita muda. Kerap kali juga dia berjaya diyakinkan oleh Amran yang hatinya untuk Izara semata-mata.

“ Kadang-kadang sayag ada juga terfikir. Agaknya abang rasa lebih bahagia berada di luar rumah dari berada di dalam rumah bersama dengan sayang,” kata Izara satu ketika dulu. “ Kenapa sayang cakap macam tu? “ tanya Amran kepada Izara.

“ Yelah. Kalau kena pergi outstation bukan main seronok lagi nampaknya dia. Macam tak sabar-sabar aja nak tinggalkan sayang terperuk di rumah,” kata Izara separuh merajuk.

“ Sayang janganlah cakap macam tu. Abang ni walau jauh mana pun abang pergi, lama mana pun abang tinggalkan sayang,hati abang tetap teringatkan sayang,” kata Amran memujuk.

“ Buktinya? “ tanya Izara menguji.

“Buktinya, kalau keadaan mengizinkan abang akan balik ke rumah secepat mungkin. Biar sampai di rumah pukul dua pagi ke, pukul tiga pagi ke, yang penting abang nak tidur dengan sayang. Nak peluk sayang. Padahal bukannya abang tak layak tidur di hotel.Boleh aja abang bermalam di hotel. Semua belanja abang boleh tuntut tapi itu semua tak penting bagi abang. Yang lebih penting abang dapat tidur dengan sayang, “ kata Amran dengan panjang lebar, memujuk Izara.

Itu memang Izara akui. Amran memang akan balik ke rumah seawal yang mungkin jika keadaan mengizinkan. Izara tahu itu semua. Lama kelamaan kepercayaanya terhadap kesetiaan Amran tidak lagit erganggu gugat oleh pemikiran negatif terhadap Amran.

“ Nanti kalau abang kat Janda Baik tu jangan pandang-pandang anak-anak dara yang ramai tu. Kan ahli Puteri parti ramai muda-muda, ramai cantik-cantik,” kata Izara sambil membetulkan kolar Kemeja T yang dipakai oleh Amran.

“ Kalau janda-janda pula macammana? Tak boleh pandang ke juga? Kat situ janda dia baik-baik tau. Sebab tunama tempat pun Janda Baik,” kata Amran bergurau.

“Cubalah kalau berani. Nanti isteri orang yang baik ni bawak parang pergi ke Janda Baik. Baru janda-janda sana tu tahu isteri orang ni baik ke tak,” kata Izara.

Amran tertawa mendengar kata-kata Izara yang bernada agak serius.

“ Kenapa ketawa pulak? Adalah tu nak jumpa janda kat Janda aik tu” kata Izara sambil memuncungkan bibir. Amran tahu kalau bibirnya muncung tandanya dia merajuk.

“Jom sayang pergi sekali ikut abang ke Janda Baik. Memang kalau sesiapa nak bawa isteri atau suami disediakan bilik. Dari sayang duduk rumah sorang-sorang baik sayang temankan abang,” kata Amran mempelawa Izara ke Janda Baik .

“ Malaslah. Nanti abang mesyuarat dari pagi sampai ke tengah malam sayang terperuk sorang-sorang kat dalam bilik buat apa? “ kata Izara. Dia faham sangat dengan program orang politik. Kalau dikatakan program akan berakhir pukul 11 malam, pukul 1 pagi belum tentu akan tamat.

“ Sayang duduk rumah lagi sedap.Melayan Montel bersembang. Rumini pun ada teman bersembang,” kata Izara.

“ Kalau tiap hari bersembang dengan Montel lama kelamaan nanti sayang boleh berbahasa kucing. Haha,” kata Amran lagi sambil tertawa besar.

“ Biarlah sayang bercakap bahasa kucing. Dah orang tu tak nak layan kita bercakap bahasa manusia,” kata Izaralagi, sambil mencebikkan bibir.

Amran datang menghampiri Izarayang ketika itu sedang duduk di birai katil.Dia mendakap Izara dan mencium pipi Izara.

“ Sayang harap bersabarlah ye.Tak lama lagi pun pilihanraya akan diadakan.” kata Amran memujuk.” Memang sekarang abang agak sibuk. Nanti lepas pilihanraya abang akan ambil cuti. Kita pergi bercuti ke mana-mana,” kata Amran lagi.

“ Abang jaga diri tau,” kata Izara sebaik sahaja dia merungkai pelukannya dari suami tersayang.Di luar rumah Ali sedang menunggu di dalam kereta untuk membawa YB Amran ke Janda Baik.

..................................................................................................................................................................

“ Ok semua. Kita akan pecahkan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan mengandungi 20 ahli dengan diketuai oleh seorang Ketua Bahagian atau YB,” kata  pengerusi sambil meminta perhatian dari yang hadir. Ada lebih kurang 300 orang yang hadir di dalam Dewan yang luas.

“ Kita akan bahagikan kumpulan mengikut Dewan Undangan Negeri  (DUN).Selepas  pembahagian kumpulan kita akan lakukan simulasi dimana perserta-peserta akan melakukan role play sebagai perayu undi. Sebahagian yang lain dalam kumpulan akan menjadi penyokong parti tegar pihak lawan. Kita akan siapkan permainan ni dalam tempoh satu jam. Harap saudara dan saudari semua dapat memberikan kerjasama  bagi mempastikan program kita ini berjalan lancar” kata Pengerusi Program di celah-celah suara bising peserta program yang berbual sesama sendiri.

Amran ditugaskan mengetuai kumpulan untuk Dewan Undangan Negeri Rimba Damai. Dia melihat beberapa muka yang dia biasa jumpa dan ada juga yang dia belum pernah lihat sebelum ini.

Di celah-celah perserta matanya terpukau melihat seorang gadis ayu bertudung merah tersenyum malu ke arahnya. Dia seakan pernah melihat gadis itu tapi dia lupa di mana.

“ YB tak ingat saya ke? “ kata Sarina menyapa Amran.

“ Rasanya kita pernah berjumpa tapi saya tak ingat kita pernah berjumpa di mana. Minta maaflah, saya ni memang berjumpa dengan ramai orang. Itu yang kadang-kadang susah nak ingat nama orang,”kata Amran lagi.

“ Saya yang bekerja dengan Haji Malik. Kan minggu lepas saya baru sahaja berjumpa dengan YB di pejabat  YB. Saya sekali dengan Pak Man dan Mak CikLiah,” kata Sarina.

“ Oh ye,” kata Amran sambil menepuk dahi. “ Minta maaflah Cik Sarina, saya ni dah tua sebelum waktunya,”kata Amran cuba bergurau sambil di sambut tertawa oleh mereka yang lain di dalam kumpulan.

Selepas memperkenalkan diri masing-masing sessi permainan role play pun bermula. Amran menjadi seorang penyokong parti lawan yang sedang cuba dirayu oleh perayu-perayu undi di dalam kumpulan itu. Ada empat orang mak cik di dalam kumpulan, ada enam pak cik, ada lima gadis yang mewakili Puteri dan  lima lagi pemuda berumur sekitar awal dua puluhan hingga awal tiga puluhan.

“ Kenapa saya perlu undi parti awak? “ kata Amran memulakan peranannya sebagai penyokong tegar parti lawan.

Kesemua yang hadir teragak-agak untuk membalas kata-kata Amran. Maklumlah mereka bukan berhujah dengan sebarang orang tetapi mereka sedang berhadapan dengan seorang yang bergelar Yang Berhormat.

Amran menunggu beberapa ketika sebelum salah seoarang peserta yang agak berumur memberanikan diri.

“ Awak kena sokong parti ini sebab parti ini yang telah memperjuangkan kemerdekaan, yang telah membangunkan negara sejak memerintah negara kita dari merdeka hingga sekarang,” kata pak cik Omar, salah seorang perserta yang agak berumur di dalam kumpulan itu.

“ Itu kebetulan saja. Kalau tak ada parti awak pun kami boleh aja hidup. Dulu zaman British pun tak ada orang yang mati kebuluran. Kalau nak cakap siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan bukan parti awak sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan tapi parti yang saya sokong pun memperjuangkan kemerdekaan dari British. Tapi bila sejarah ditulis,nama pemimpin  parti awak sahaja yang ditonjolkan. Ini tidak adil , tidak adil,” kata Amran sambil mengetap gigi tanda marah. Nampaknya kegiatanya dalam Persatuan Drama ketika di sekolah menengah dulu mendatangkan hasil.

“ Pak cik, biar saya mencelah.Walaupun saya ini dikira sebagai generasi baru, generasi yang lahir selepas merdeka tapi saya tidak buta sejarah. Saya baca buku sejarah. Di zaman internet ni kita bukan sahaja boleh membaca dan mendengar pandangan sebelah pihak sahaja. Kita boleh baca pandangan dari pelbagai pihak. Andai kata betul pihak yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita datang dari parti yang pak cik sokong sila kemukakan bukti.

Buku sejarah yang ditulis bukannya kerja fiksyen tetapi semuanya berdasarkan bukti yang nyata dan dokumen yang lengkap. Kalau pak cik kata yang pejuang kemerdekaan adalah terdiri dari orang-orang parti pak cik sila tulis buku supaya generasi muda seperti saya boleh menilai yang mana betul, yang mana salah,” kata Sarina.

Amran merasa kagum dengan hujah yang dikemukan oleh Sarina. Dia tidak menyangka gadis muda itu boleh berhujah dengan baik. Inilah generasi pewaris yang diinginkan oleh parti.

Satu sahaja yang tidak begitu digemari oleh Amran apabila Sarina memanggilnya pak cik. Tua sangatkah aku ni dibandingkan dengan dia? Amran bertanya di dalam hati.

Program sessi pertama tamat ketika hampir 11 malam. Mereka beredar ke jamuan ringan. Sarina dan ahli kumpulan mengekori Amran ke satu sudut untuk perbincangan santai.

“ Saya perhatikan malam ini kita semua telah berjaya menjalankan program kita dengan baik,” kata Amran. Mereka yang berada semuanya tersenyum puas. Amran tahu sebagai ahli politik dia perlu menggunakan bahasa yang lunak-lunak untuk mengambil hati penyokong. Tidak boleh ada seorang penyokong pun yang boleh diguris hatinya. Jika seorang penyokong berpindah menyokong parti lain satu kerugian kepada parti.Jika diikutkan hati dia memang tidak berpuas hati dengan sikap mereka yang takut-takut untuk bersuara.

“ Saya dapati Cik Sarina ini ada bakat untuk kita ketengahkan sebagai pemidato mewakili kumpulan kita dalam sessi penggulungan nanti. Itu sekadar cadangan saya. Kalau ada cadangan lain kita boleh usulkan,” kata Amran sambil matanya meneliti reaksi air muka dari peserta-peserta lain.

“ Setuju,” jawab mereka hampir serentak.

Sarina hanya tersenyum malu. Diatidak menyangka begitu cepat namanya naik sedangkan inilah kali pertama dia menyertai  aktiviti parti.

“ Saya rasa saya belum layak untuk memikul tanggungjawab itu. Ramai lagi dalam kumpulan ini yang lebih berpengalaman dan lebih tinggi keyakinan,” kata Sarina.

We want Ina, we want Ina” tiba-tiba satu suara datang dari seorang gadis yang dari tadi diam .Kata-kata gadis itu disambut oleh hampir kesemua mereka yang hadir termasuk pak cik-pak cik dan mak cik-mak cik .

“ Kalau semua dah kata macam itu saya terimalah tanggungjawab ini dengan rasa rendah diri,” kata Sarina. Spontan mereka yang hadir bertepuk tangan sehingga menarik perhatian dari ahli-ahli kumpulan lain yang juga sedang berbincang.

Mereka semua bersurai ketika hampir pukul 1 pagi.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.