Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
28,970
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

“ YB masih dalam mesyuarat lagi.Tak tahu pukul berapa dia selesai mesyuarat. Cik nak tunggu ke? “ kata gadis manis penyambut tetamu di pejabat Khidmat Masyarakat YB Amran.

Sarina merasa serba salah mendengar jawapan itu. Rasa kesal pula dia tidak membuat temujanji terlebih dahulu sebelum datang ke pejabat Amran. Sarina, banyak lagi yang kau pelajari tentang cara bekerja, katanya di dalam hati.

Dia melihat jam di tangan. Baru pukul 10 pagi. Kalau balik ke pejabat semula pun bukan ada kerja nak dibuat.Dah terlanjur sampai ke sini baik selesaikan tugas yang diarahkan oleh Haji Malik.

“ Tak apalah, saya tunggu ,” kata Sarina.

Gadis penyambut tetamu mempersilakan Sarina duduk di ruang menunggu.

Sarina memerhatikan  sekeliling pejabat itu. Ruang pejabat itu begitu kecil. Cuma memuatkan beberapa buah kerusi yang telah agak lusuh. Di rak bahan bacaan Sarina melihat beberapa majalah dan akhbar tersusun rapi.Disamping itu ada juga beberapa risalah Parti Bumiputera yang tersusun di atas meja kecil di depan Sarina. Di dinding pejabat tergantung beberapa keping gambar. Antaranya  gambar YB Amran bersama dengan Perdana Menteri dan Menteri Besar. Ada juga gambar YB Amran bersama-sama dengan orang ramai dalam majlis yang Sarina sendiri tidak pasti diadakan dimana.

Untuk menghilangkan rasa bosan menunggu Sarina mencapai majalah yang berada di rak dan membelek-belek beberap ahalaman majalah. Dia membaca beberapa  rencana di dalam majalah sebelum rasa bosan menyelinap semula.

Sesekali dia menjeling ke arah jam yang dipakainya. Diam tak diam sudah hampir sejam dia menunggu. Timbul pula rasa resah di hatinya. Betullah orang kata, penantian satu penyiksaan.

Tiba-tiba pintu pejabat dibuka  dan menjengul pasangan yang dah berumur masuk ke dalam pejabat.Gadis pembantu yang Sarina tidak tahu namanya tersenyum melihat pasangan warga emas dan langsung bertanya, “ Pak cik  dan mak cik nak datang berjumpa dengan YB ke?“ tanya  si gadis.

“ Ya” jawab  pak cik sambil melabuhkan punggungnya di kerusi bersebelahan kerusi Sarina. Mak cik menyusul kemudian. Pak Cik menyandarkan tongkat di dinding.Dengan nafas yang termengah-mengah Pak cik memaling muka ke arah Sarina dan cuba tersenyum.

Sarina membalas senyuman pak cik.

“ Pak cik nak berjumpa dengan YB berhubung dengan masalah apa ye? “ tanya lagi gadis penyambut tetamu.

“ Pak cik nak minta bantuan YB berhubung dengan Bantuan Tanaman Semula Getah. Sepatutnya pak cik dah dapat duit tu dua bulan lepas lagi. Sampai sekarang masih belum terima,” kata pak cik separuh berharap.

“ Pak cik kena tunggulah ye sebab YB tengah bermesyuarat sekarang.,” kata si gadis.

“ Pak cik dari kampung mana? “kata Sarina memula bicara melihat pak cik dan mak cik berdiam diri sahaja.

“ Kampung sebelah ni aja, “ jawabpak cik ringkas sambil tersenyum memandang Sarina. Isterinya yang duduk di sebelahnya terus bangun dan meminta suaminya berpindah tempat.

“ Abang duduk sebelah sana, biar saya duduk sini’ kata si mak cik beralih tempat. Tanpa soal jawab pak cik pun beralih tempat dengan mak cik. Dengan muka masam mencuka mak cik duduk di tengah-tengah di antara Sarina dan pak cik. Mak cik langsung tidak memandang wajah Sarina. Sarina merasa ingin tergelak besar melihat keletah pasangan yang layaknya menjadi datuk dan neneknya.

Cemburu juga rupanya mak cik ini,kata Sarina di dalam hati.

“ Pak cik datang sini siapa hantar? “ Sarina menyambung perbualan semula.

“ Tumpang kereta jiran tadi. Kebetulan dia memang nak ke pekan, pak cik pun minta tolong dia hantar kami berdua ke sini,” kata Pak cik.

“ Nanti balik macam mana? “ tanya Sarina lagi.

“ Balik belum tahu lagi. Tengoklah nanti sesiapa yang ada kat pekan nanti pak cik tumpanglah. Ramai orang yang kenal pak cik dengan mak cik ni. Kalau tak ada orang nanti pak cik cari teksi”kata pak cik.

“ Nak balik dengan saya pun tak apa pak cik. Saya pun lepas berjumpa dengan YB nak balik ke rumah juga.Bolehlah pak cik dengan mak cik balik sekali dengan saya,” kata Sarina,suaranya sedikit meninggi kerana  jarak pak cik agak jauh sedikit darinya dilindungi oleh mak cik diantara mereka berdua. Mak cik masih kekal membisu tanpa sebarang riak wajah.

“ Anak orang kampung mana? Anak siapa? Pak cik tak pernah tengok anak ni” tanya pak cik seolah-olah seperti pegawai polis yang sedang menjalankan siasatan.

“ Saya ni dari Kampung Rimba Damai. Anak arwah Samad,” kata Sarina. “ Pak cik mungkin tak pernah tengok saya sebab dulu saya belajar kat Kuala Lumpur. Lepas habis belajar baru balik ke kampung semula. Saya sekarang kerja dengan Haji Malik,” kata Sarina menjawab soalan pak cik dengan panjang lebar. Mak cik mengerling ke arah Sarina dengan anak mata.

“ Samad? Samad? “ kata pak cik sambil terkebil-kebil seolah memikirkan masalah negara apabila mendengar nama Samad.

“ Oh. Samad  Gol yer? “ kata Pak cik agak teruja.

“ Eh itu Samad lain. Samad gol tu saya kenal . Abah saya Samad yang bawak lori,” kata Sarina.

Tiba-tiba Sarina teringat seorang lagi orang kampungnya yang bernama Samad yang lebih dikenali dengan nama Samad Gol. Dia pernah bertanya kepada emaknya kenapa nama Samad tu ditambah dengan Samad Gol, ibunya menerangkan mengikut cerita mulut orang tua-tua Samad pernah terhantuk kepalanya di tiang gol semasa bermain bola di zaman kanak-kanak dulu.Tiga hari dia terlantar di hospital dalam keadaan koma. Sepulihnya dia dari koma terus nama Samad Gol kekal digunakan oleh orang kampung. Arwah ayah Sarina pula dipanggil Samad Drebar kerana dia pernah bertugas sebagai pemandu lori satu ketika dulu.

“ Oh, Samad drebar. Pak cik kenal arwah ayah awak tu. Dulu biasa juga jumpa dia kat warung minum air di pekan.Tapi pak cik tak ingat pulak awak ni yang mana satu,” kata Pak cik.

“ Masa kecik-kecik dulu selalu juga ikut arwah ayah minum kat warung Kak Limah. Tapi masa tu pak cik mana kenal saya kan. Masa tu saya selekeh lagi, Hihi,” kata Sarina tertawa kecil.

“ Yerlah, sekarang dah besar dah tak comot lagi, “ kata Pak cik tersengih menunjukkan giginya yang tingal beberapa batang sahaja. Sepantas kilat jari mak cik mencubit peha Pak cik.Mujur tidak ada yang perasan perbuatan mak cik itu. Pak cik terkedu menahan sakit.

Melayan pak cik berbual Sarina tidak sedar masa bergerak. Diam tak diam sudah hampir sejam mereka menunggu.Nampaknya lama juga YB ini bermesyuarat.

Selang 10 minit kemudian kelihatan YB Amran keluar dari bilik mesyuarat diikuti dibelakangnya beberapa orang lelaki dan wanita yang kebanyakannya berusia melebihi empat puluhan.

Mereka berbual sesama sendiri sebelum beredar meningglkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat itu.

Sejurus selepas kesemua mereka beredar Amran berjalan menghampiri pak dik dan bersalaman dengannya.

“ Apa khabar Pak Man? “ Amranmenegur sambil mendakap tubuh pak cik yang berdiri sebaik sahaja melihat Amran menghampirinya.

“ Sihat macam inlah YB. Sihat orang tua” jawab Pak Man sambil tersengih. Barulah Sarina tahu nama pak cik ituPak Man.

“ Kak Liah apa khabar? Sihat? “kata Amran menyapa mak cik yang dipanggil Kak Liah.

Kak Liah tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.

“ Yang ini siapa? Anak ke?” Amran bertanya sambil menuding jari ke arah Sarina yang turut sama berdiri.

“ Taklah. Kami baru kenal dia kat sini aja sekejap tadi, “ kata Mak cik Liah.

“Nama saya Sarina. Saya baru bekerja dengan Syarikat Haji Malik. Dia yang minta saya datang berjumpa dengan YB untuk berbincang dengan YB hal-hal parti” kata Sarina lagi.

Amran memandang ke wajah Sarina.Sejenak dia melirik pandangan ke arah dada Sarina dan jantungnya berdetak seketika. Saat itu juga dia mengalih pandangan.

“Silakan masuk ke pejabat. Susah nak bincang kat sini. Pak cik dengan mak cik masuk sekalilah. Bukannya orang lain pun. Kita semua ni kan sama-sama sekampung” kata Amran tersenyum sambil mempelawa ketiga-tiga mereka masuk ke bilik pejabatnya.

“ Yati, nanti siapkan air ye,”kata Amran mengarahkan Yati. Barulah Sarina tahu nama penyambut tetamu itu Yati. Yati cuma menganggukan kepalanya .

Setelah pak cik Man menerangkan masalah yang beliau hadapi Amran terus menghubungi Ali pembantu peribadinya untuk melakukan perkara yang perlu. Amran juga berjanji Ali akan menghubunginya dari semasa ke semasa bagi mempastikan masalah yang dihadapi oleh Pak Man diselesaikan dengan segera.

Setelah menyelesaikan masalah Pak Man perhatian Amran tertumpu kepada Sarina pula. Pak Man dan Mak Cik Liah menunggu di luar sementara Sarina dan Amran berbincang sesuatu.Pak Man telah berpegang pada janji Sarina untuk menghantar dia suami isteri balik ke rumah.

“ Saya memang mengalu-alukan sebarang kerjasama diantara semua ahli Parti Bersatu dalam sebarang aktiviti yang boleh mengukuhkan parti kita. “ kata Amran memandang Sarina. Rasa malu pula apabila di renung oleh Amran, lantas Sarina menundukkan mukanya.

“ Haji Malik memang nak sangat berjumpa dengan YB tapi dia sibuk sikit dengan perniagaan dia. Itu yang dia hantar saya untuk berbincang dengan YB kalau-kalau dia boleh bantu YB,” kata Sarina menutur kata dengan sopan. walaupun sebagai bekas pelajar undang-undang seharusnya dia petah berbicara tapi apabila berhadapan dengan YB berusia muda seperti Amran dia agak tenggelam punca.

“ Cik Sarina jangan risau. Kita akan jalinkan kerjasama dengan semua pihak. Di pihak saya semua bentuk bantuan memang kita alu-alukan. Nanti bila cik Sarina berkecimpung lama dalam bidang politik cik Sarina akan nampak pelbagai masalah di kawasan kita ini. Dari masalah ibu tunggal, keciciran pelajaran, masalah penagihan dadah dan seribu satu macam masalah lagi,” kata Amran mencatat sesuatu.

“ Saya minta maaf tak dapat melayan Cik Sarina berbual lama sebab saya kena keluar sekejap lagi. Ada majlis graduasi Tadika di Kampung Hilir. Saya kena sampaikan ijazah tadika untuk anak-anak yang dah bergraduan. Umur 6 tahun dah dapat ijzah. Kelakar kan? haha”kata Amran tertawa besar. Sarina merasa pelik mendengar ketawa dari Amran atas kata-katanya yang tidaklah begitu lawak di telinga Sarina.

“ Ni nombor personal  saya. Bila-bila masa cik Sarina rasa nak hubungi saya jangan teragak-agak ya. Kalau saya takj awab panggilan cik Sarina bermakna saya tengah sibuklah tu. Nanti saya akan return call.” kata Amran sambil bangun dari kerusinya.

“ Janganlah bercik cik. Panggilsaya Ina aja” jawab Sarina.

“ Cantik nama tu, secantik orangnya. Nanti kita sembang bila masa mengizinkan ye Ina,” kata Amran sambil membuka pintu biliknya untuk Sarina melangkah keluar terlebih dahulu.

Pak Cik Man dan Mak Cik Liah sekali lagi bangun dan bersalaman dengan Amran. Nampak kelegaan di wajah Pak Cik Man melihat Sarina dan Amran keluar. Dia ingin sampai awal ke rumah dia. 

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.