Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
28,983
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Izara memerhatikan jam di dashboard keretanya menunjukkan hampir pukul 11.30. Telah hampir 15 minit dia menunggu di dalam kereta di bawah pokok namun kelibat Hisham langsung tidak kelihatan. Peluh membasahi dahinya walaupun penyaman udara kereta dipasang maksima. Sesekali matanya mengintai intai keluar kereta di sebalik kaca mata hitamnya.

Izara telah beberapa kali menghantar mesej melalui whatssapp kepada Hisham namun tidak berjawab. ‘‘Memang dah sah mamat ni kaki kelentong’ bisik hati Izara. Dia merasa marah terhadap dirinya yang begitu mudah mempercayai janji lelaki yang baru dikenalinya beberapa hari yang lepas.

‘Aku bagi kau lima minit lagi Hisham. Kalau kau tak sampai dalam masa lima minit aku  nak blah dari sini. Penipu, pembohong’  sekali lagi suara hati Izara . ‘Lepas ni jangan harap lagi aku nak pergi kat supermarket kau tu lagi wahai Hisham. Kat Kuala Lumpur ni bukan satu supermarket yang ada. Bukan satu supermarket tu aja yang jual Milo. Berlambak lagi supermarket yang menjual Milo’.

Selepas masa  lima minit berlalu Izara mula mengundurkan keretanya untuk bergerak meninggalkan kawasan itu. Tiba-tiba cermin tingkapny adiketuk sesorang. Dia memandang keluar dan melihat wajah Hisham dengan muka berpeluh-peluh. Topi keledar masih di kepalanya.

“ Ingatkan Hisham tak datang tadi. Saya dah nak balik pun. Mesej saya tak berbalas,” kata Izara sebaik sahaja Hisham  masuk ke dalam kereta  dan duduk di sebelahnya.

“ Maaf puan, tadi ada kerja sikit. Tu yang lambat sampai ni, “ kata Hisham sambil tersenyum kepada Izara,cuba menyembunyikan rasa kecewanya gagal menepati janji kali pertama pertemuan.

“ Saya ingatkan Hisham terlupa.Saya mesej pun tak berbalas,” kata Izara sambil matanya memandang ke hadapan menumpukan kepada pemanduannya. Kereta bergerak perlahan menuju ke destinasi yang belum ditentukan lagi.

“ Tadi tu atas motor. Tu yang tak sempat nak baca mesej,” kata Hisham. Rasa malunya semakin berkurangan apabila melihat Izara menjawabnya dengan nada tenang. Entah kenapa Hisham merasa begitu gementar untuk berjumpa dengan Izara.Padahal Izara bukanlah wanita pertama yang dia keluar bersama. Teman wanita silih berganti walaupun tidak memegang jawatan tinggi. Setakat pekerja biasa di supermarket.

“ Kita nak ke mana ni? “ tanya Izara memandang ke arah Hisham. Dia melihat wajah tenang Hisham yang agak kemerah-merahan terkena sinaran matahari semasa menunggang motorikalnya tadi.

“ Saya ikut puan aja” kata Hisham ringkas. “Kan puan yang memandu,” kata Hisham tersenyum melihat ke arah Izara.

“ Tak payahlah berpuan-puan dengan saya. Panggil aja Iza atau Zara,” kata Izara menguntum senyum.

“ Kalau macam tu saya nak panggil nama Iza aja boleh ke? “ kata Hisham semakin yakin.

“ Boleh aja.” jawab Izara ringkas.

“ Ke saya kena panggil kak Iza? “Soal Hisham sambil tertawa kecil.

“ Ish, tak naklah nak kakak-kakak ni. Taulah saya lebih tua dari awak dari segi umur. Tapi jiwa saya muda lagi tau,” kata Izara sambil tertawa kecil. Menampakkan barisan giginya yang teratur.

“ Eh, motorsikal Hisham letak kat situ tak apa ke? selamat ke ? “ Izara baru teringat motorsikal Hisham yang ditinggalkan berhampiran dengan kedai runcit tempat dia menunggu tadi.

“ Tak apa. Saya memang dah biasat inggalkan motor saya kat situ. Saya kenal India yang jaga kedai tu.” jawab Hisham.

“ Berapa lama  Hisham free ni.Saya memang free sepanjang hari. Kan saya suri rumah sepenuh masa,” kata Izara.

“ Saya tak boleh lama sangat.Sebelum pukul dua kena masuk kerja semula. Ini pun lari sekejap sebab nak sangat jumpa puan,” kata Hisham, masih menggunakan perkataan puan. Merasa janggal untuk memanggil Izara dengan namanya.

“ Kan dah cakap jangan panggil saya puan. Panggil Iza aja. Kalau Hisham nak panggil saya puan juga saya tak nak dah kawan dengan Hisham, “ kata Izara ala-ala merajuk.

“ Ok ok. Saya panggil awak Iza.Janganlah merajuk ye sayangku Iza,” kata Hisham sambil tangannya memegang tangan Izara. Terkejut besar Izara melihat keberanian Hisham. Kalau tadi nampakmacam malu-malu kucing sekarang lelaki ini telah menunjukkan watak sebenarnya.Nampaknya telah ada keyakinan di hati Hisham, anak muda berusia 27 tahun itu.

Sepantas kilat Izara menarik tangannya dari genggaman Hisham. Dia terasa seolah-olah jantung mengepam  darahnya mengalir ke muka dan seluruh tubuhnya sebaik sahaja tangannya disentuh oleh Hisham.

“ Eh awak ni. Saya isteri orang.Hairan saya awak berani pegang tangan saya,” kata Izara. Dia tidak memandang wajah Hisham, takut Hisham perasan perubahan wajahnya. Terasa muka dia merah padam menahan marah dan segala macam perasaan yang bermain di mindanya di kala itu. Izara, satu kesilapan besar kau keluar dengan lelaki miang ini.

“ Awak kena hormat saya sebagai isteri orang. Saya bukan perempuan tepi jalan yang awak boleh buat sesuka hati,“ kata Izara dengan nada agak tinggi.

Hisham terkejut dengan reaksi  Izara itu. Dia benar-benar tidak faham dengan jiwa wanita. Kenapa apabila dia memegang tangan Izara baru Izara seolah-olah sedar yang dia isteri orang. Kenapa semasa dia memanggil Izara dengan panggilan Puan Izara seolah-olah tidak suka? Dia betul-betul tidak faham dengan reaksi Izara.Nampaknya Izara telah menghantar isyarat yang salah kepadanya atau dia yang tersalah baca isyarat yang dihantar oleh Izara.

“ Saya minta maaf atas kelakuan saya tadi,” Hisham bersuara dengan nada perlahan. “ Tadi bila saya panggil awak dengan panggilan Puan awak suruh saya panggil awak dengan panggilan Iza,” jelas Hisham.

“ Saya mungkin membuat tafsiran yang salah. “ kata Hisham.

“ Bukan mungkin, tapi awak memang salah,” kata Izara.

“ Ok saya mengaku saya salah.Boleh ke puan hantar saya semula ke motorsikal saya, “ saya nak balik ke tempat kerja.

Izara melakukan pusingan  U dan dalam masa tak sampai 10 minit mereka sampai semula ke motorsikal Hisham.

Sebelum Hisham melangkah keluar dari kereta dia mengeluarkan sesuatu dari poket seluar dia dan menghulurkan satu bungkusan kecil dan menyerahkan kepada Izara.

“ Saya ada bawa sedikit buah tangan untuk awak Puan Izara. Walaupun benda ini murah dan saya yakin Puan boleh beli yang jauh lebih mahal dan lebih cantik dari ini tapi anggaplah ini sebagai hadiah ikhlas dari saya. Janji ye, puan buka hadiah ini bila sampai di rumah nanti,” kata Hisham sambil melangkah keluar dari kereta menuju ke motorsikalnya.

Sebaik sahaja dia sampai di rumah, Izara terus masuk ke biliknya. Dia membasuh tangannya beberapa kali.Terasa seolah-olah tangannya begitu kotor dan jijik. Selama dia berkahwin dengan  Amran tidak ada mana –mana lelakipun yang menyentuh tangannya. Bahkan ketika dia mengiringi Amran dalam sebarang lawatan atau majlis dia tidak pernah bersalam dengan mana-mana lelaki yang bukan muhrim. Hari ini merupakan satu hari dalam sejarah. Nasib baiklah juga dia masih rasional Kalau tidak harus-harus muka Hisham berbekas penampar dia tadi.

Selepas dia membasuh tangannya hingga cuci dia berbaring di atas katil. Rumini yang nampak dia masuk ke rumah tadi pun tidak berani menegur melihat mukanya yang agak serius. Izara merasa benar-benar bersalah terhadap Amran. Kalau dulu dia cuma melihat kecurangan berlaku di dalam novel, di dalam filem, di dalam drama televisyen tapi hari ini dia menjadi salah seorang wanita yang mencurangi suaminya. Perkahwinan hampir 10 tahun yang dibina bersama Amran telah bergegar tiangnya. Alhamdulillah, dia masih diberi petunjuk oleh Allah dan sempat berpatah semula ke jalan yang benar.

Tiba-tiba dia teringat hadiah yang diberikan oleh Hisham kepadanya sebentar tadi. Lantas dia mencapai bungkusan kecil yang berada di dalam poket seluar jeans yang dipakainya tadi. Dia ingin membuang terus bungkusan itu.Rasa bersalahnya kepada Amran membuatkan dia tidak ingin melihat bungkusan kecil berbalut rapi itu. Tapi naluri ingin tahunya mengatasi perasaan bersalahnya. Dia membuka balutan hadiah dan melihat satu rantai kunci yang terukir namanya.

“ How sweet”  bisik hati Izara.

Rasa berbelah bagi menyelubungi perasaan Izara. Dari satu segi dia ingin mengucapkan terima kasih kepada Hisham di atas pemberian itu tetapi dari segi yang lain peristiwa yang berlakus ebentar tadi masih menghantui dirinya.

“ Ok Izara, ini whatssapp  terakhir untuk Hisham. Lepas ini kau block nombor Hisham tu. Tak sopan pulak kalau tidak berterima kasih kepada orang yang telah berbudi kepada kita” bisik suara hati Izara.

‘Jangan Izara, kalau kau hubungi dia nanti kau akan  rasa bersalah kepada suami kau,’ bisik suara hatinya yang melarangnya dari menghubungi Hisham.

Akhirnya Izara membuat keputusan menghantar satu mesej ringkas kepada Hisham.

Thanks for the gift. Very nice. I really appreciate it’

Izara menunggu beberapa ketika melihat Hisham membaca mesejnya atau tidak.

Lama juga dia menunggu namun Hisham masih membisu. Hati Izara berkecamuk. Kenapa dia perlu menunggu jawapan dari lelaki yang tidak ada kena mengena dengan dirinya. Kenapa dia berharap agar Hisham membalas mesej darinya. Dia betul-betul tidak faham dengan apa yang dirasainya.

Izara hampir terlelap apabila dia merasa telefonnya bergetar. Tanpa berlengah dia membuka mesej whatsapp dari Hisham.

‘Alhamdulillah puan suka hadiah yang tak seberapa dari saya. Saya minta mohon dan maaf terhadap apa yang berlaku tadi. Saya amat kesal dengan apa yang berlaku. Anggaplah sahaja apa yang berlaku hanya mimpi dan kita tidak kenal satu sama lain’

Sebaik sahaja Izara selesai membaca mesej  dari Hisham dia melihat Hisham telah block namanya dari whatsapp. Izara merasa sedikit kecewa. Bukan kerana Hisham tidak lagi berhubung dengannya tetap rasa kecewa kerana seolah-olah Hisham yang membuangnya, bukan dia yang membuang Hisham.

Izara berazam mulai hari ini dia tidak akan melayan mana-mana lelaki walau sekacak nabi Yusug yang berjaya mencairkan hati Siti  Zulaikha sekalipun.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.