Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
28,969
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

“ Saya tak sanggup Tuan Haji.Saya bekerja dengan Tuan Haji ikhlas nak mencari rezeki yang halal. Kalau Tuan Haji minta saya buat kerja tak senonoh macam ini biarlah saya berhenti kerja aja,” kata Sarina.

“ Awak tak dengar saya habiskan cerita ini . Dengar dulu sampai habis cerita saya lepas tu baru buat keputusan,”kata Malik lagi.

Hanya mereka berdua sahaja berada di dalam bilik pejabat Malik. Sebaik sahaja balik dari Program Pemukiman Parti Bersatu dari Janda Baik Sarina begitu sibuk mengatur pelbagai program diperingkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Rasa tak menang tangan untuk dia melakukan semua itu. Nasib baik dia mendapat sokongan yang kuat  dari ahli-ahli Puteri dan Pemuda Parti Bersatu.

“ Saya rasa saya dah tahu arah tujuan Tuan Haji,” kata Sarina.

“ Saya ingin letak jawatan bermula hari ini juga,” kata Sarina. Dia tidak sanggup memandang muka Haji Malik yang selama ini dianggap seperti ayahnya sendiri.

“ Sarina, sabar,” kata Malik memujuk.

“ Sebelum awak buat keputusan meletak jawatan saya nak awak fikir baik-baik implikasi keputusan awak tu,”kata Malik. “ Kalau awak nak duduk di kampung nak jaga emak awak kerja apakah yang awak boleh buat di kampung ini dengan gaji sebanyak yang saya beri,” kata Malik lagi.

“ Itu tak termasuk lagi keretayang saya bagi awak guna secara percuma. Duit minyak pun saya bayar,” kata Malik.

“ Ya saya tahu itu semua. Tuan Haji memang baik sangat-sangat terhadap saya. Itu saya berterima kasih sangat-sangat. Tapi Tuan Haji, saya tak sanggup gadaikan maruah diri saya demi untuk dapat gaji sebanyak itu,” kata Sarina lagi.

“ Saya tak pernah pun suruh awak jual maruah diri. Saya anggap awak macam anak saya sendiri. Saya kenal arwah  ayah awak. Takkan saya tergamak buat perkara yang saya tak sanggup  nak suruh anak saya buat,” kata Malik.

“ Kalau macam tu suruh ajalah Alya yang buat. Anak Tuan Haji pun apa kurangnya. Dia pun bijak, ada personaliti,” kata Sarina.

“ Alya tu lurus bendul sangat.Lagipun Sarina pun tahu yang Amran dan kawan-kawannya semua tahu yang saya berminat untuk merebut jawatan Ketua Bahagian tu. Takkan dia sanggup terima anak saya bekerja dengannya. Nanti banyak rahsia pihak sebelah sana yang boleh Alya sampaikan kepada saya. Amran tu bukannya orang bodoh Sarina,” kata Malik lagi cuba meyakinkan Sarina.

“ Saya sebenarnya masih belum begitu jelas apakah yang Tuan Haji ingin saya lakukan. Apa yang saya faham tadi ialah saya perlu goda YB Amran. Saya bukan perempuan murahan macam itu Tuan Haji. Betul dari segi luaran saya nampak macam perempuan yang sosial, dari segi berpakaian, dari segi penampilan diri, dari segi personaliti tetapi saya ada had. Saya dibesarkan oleh emak dan arwah abah dengan nilai-nilai ugama. Saya tahu dosa pahala,” kata Sarina.

Memang itu pun hasrat aku, kata Malik dalam hati. Tapi melihat yang Sarina bukan jenis macam itu Malik terpaksa mengubah taktik. Dia boleh saja mencari perempuan lain menggantikan tempat Sarina tetapi dia terpaksa bermula dari awal semula. Sedangkan laporan yang diterima dari perisik yang dihantar menyertai Program Permukiman di Janda Baik memberikan laporan yang positif. Dia telah berjaya meletakkan Sarina di dalaml ingkungan radar perhatian Amran.Malik masih memegang kata-kata Ghani tidak ada lelaki yang tidak suka kepada perempuan cantik.

“ Macam ini Sarina. Saya nak awak buat kerja paling mudah. Tak perlu buat benda yang awak tak suka buat. Saya nak awak rapat dengan YB Amran serapat yang mungkin. Bila saya kata rapat bukan bermaksud sampai awak kena tidur dengan dia. Kalau boleh saya nak awak jadi orang kepercayaan Amran. Saya hanya perlu tahu apakah yang Amran lakukan dan laporkan kepada saya. Itu saja,” kata Malik.

“ Entahlah Tuan Haji, saya rasa saya bukan orang yang selayaknya buat kerja macam ni. Saya tidak pandai berpolitik. Saya pun baru berapa hari aja bekerja dengan Tuan Haji. Saya rasa lebih baik Tuan Haji cari aja orang lain yang lebih berpengalaman dari saya dan boleh buat kerja dengan lebih baik dari saya,” kata Sarina mengangkat punggung bersedia untuk beredar meninggalkan Malik.

“ Sekejap, sekejap. Bagi saya masa lima minit saja lagi, “ kata Malik.

“ Saya terima laporan yang Amran begitu tertarik dengan hujah awak di Janda Baik hari itu. Nampak macam dia berminat dengan cara awak memberikan pandangan dan berhujah,” kata Malik.

“ Eh, macam mana Tuan Haji tahu semua ni,” kata Sarina kehairanan sebab setahunya Malik tidak ada pun di Program itu.

“ Saya kan banyak pasang spy. “ kata Malik tertawa kecil.

“ Takut pulak saya siap ada spy. Macam filem James Bond pulak,” kata Sarina tertawa kecil.

“ Sarina , dunia politik ini memang banyak strategi dan taktik yang perlu kita pelajari. Jalan seorang ahli politik bukannya sentiasa lurus. Penuh dengan liku-liku. Saya pun bukannya orang politik. Saya baru sahaja masuk politik dalam 2, 3 tahun kebelakangan ini sahaja.But I am a fast learner. “Malik tertawa.

Sarina hanya tersenyum mendengar kata-kata Malik. Dulu dia anggap Haji Malik seorang yang begitu baik tetapi mulai hari ini pandangannya semakin berubah. Baru Sarina teringat  Teori Maslow yang dipelajarinya ketika di universiti dulu. Haji Malik sudah punya segalanya. Wang dan harta. Kalau mengikut Teori Maslow dia dah memenuhi keperluan paling asas.Dia masuk politik untuk merasa disanjung dan dihormati. Keperluan paling tinggi dalam hiraki Teori Maslow.

“ Jadi apa yang  Tuan Haji nak saya buat sekarang ini? “Sarina bertanya

“ Saya dah berjaya masukkan Sarina di dalam jawatankuasa Puteri Parti Bumiputera  peringkat Parlimen Bahagian Kuala Bertahan.Nanti surat perlantikan akan menyusul kemudian, “ kata Malik.

Sarina terkejut mendengar kata-kata Malik. Dia kagum bagaimana namanya begitu cepat berjaya dimasukkan kedalam senarai Ahli Jawatankuasa sedangkan dia baru sahaja beberapa hari masuk politik. Masih lagi baru setahun jagung.Sarina tahu begitu ramai ahli Puteri yang berminat dengan jawatan itu tetapi tidak berjaya memandangkan tempat yang terhad.

“ Eh, macama mana begitu cepat nama saya naik menjadi Ahli Jawatankuasa Puteri Parti Bumiputera? “ Sarina bertanya dengan nada penuh kehairanan.

“ Sarina, saya ni ahli perniagaan sebelum masuk bidang politik. Dalam business kita perlu pandai merebut peluang sebab peluang datang hanya sekali. Kalau lambat kita akan terlepas. Secara umumnya saya boleh katakan seorang ahli pernigaan boleh menjadi ahli politik yang berjaya tetapi tidak sebaliknya.Seorang ahli politik tidak tentu boleh berjaya sebagai ahli perniagaan,” kata Malik.

“ Percayalah cakap saya,kebanyakan orang boleh dibeli dengan duit tetapi duit tidak boleh membeli seseorang yang memegang idealisma yang tinggi,” kata Malik meyambung . Sarina tidak begitu faham dengan apa yang dikatakan oleh Malik sebentar tadi.

“ Saya kurang faham dengan kata-kata Tuan Haji,” kata Sarina.

“ Macam ni. Saya cuba permudahkan kata-kata saya ini ye. Bagi saya orang yang banyak duit macam sayalah yang sesuai untuk menjadi ahli politik sebab orang macam saya tak boleh disogok dengan wang ringgit. Berapa juta awak nak bagi kepada saya untuk saya melepaskan jawatan Ketua Bahagian contohnya? RM1 juta? RM2 juta?. Apa saya nak hairan setakat RM2 juta  sedangkan nilai  itu tak sampai 10 peratus pun dari apa yang saya ada. Ini berbeza dengan orang seperti Amran yang tidaklah senang mana.Andai katalah dia menang pilihanraya nanti sebagai calon dari parti kita,  tiba-tiba dia ditawarkan sebanyak  RM1 juta atau RM2 juta untuk melompat parti menyokong parti lawan, ada kemungkinan dia akan gelap mata dan terima sogokan itu.

“ Kalau Sarina belajar teori Maslow Hierarchy of Needs orang seperti saya dah duduk di atas sekali dari segi keperluannya tetapi boleh saya katakan 99 peratus ahli politik kita masih di peringkat bawah sekali, masih memerlukan keperluan fizikal. Sebab itu mereka mudah disogok dengan wang ringgit,” kata Malik.

Sarina tiba-tiba merasa kagum dengan Haji Malik. Orang tua ini seolah-olah boleh membaca mindanya. Hebat,hebat, bisik hati Sarina.

“ Tapi Tuan Haji belum menjawab lagi rasa ingin tahu saya bagaimana nama saya tiba-tiba dapat masuk ke dalam senarai Ahli Jawatankuasa Puteri Peringkat Bahagian. Bukan mudah nak dapat masuk dalam senarai, “ kata Sarina.

“ Kan saya dah kata tadi. Saya ada ramai spy. Dalam kem Amran pun ramai orang saya. Amran tak tahu,” kata Malik.

“ Amran begitu tertarik dengan awak. Awak tahu tak? “ kata Malik.

“ Tertarik? “ kata Sarina dengan rasa sedikit bangga. Amran boleh saja mendampingi perempuan lain yang jauh lebih cantik dan bergaya dari dirinya tetapi kenapa Amran boleh tertarik kepadanya.

“ Bukan tertarik dengan kecantikan awak walaupun memang diakui awak cantik tapi tertarik dengan ketajaman pemikiran awak,” kata Malik.

“ Ohh,’ jawab Sarina ringkas.Malu kepada dirinya sendiri yang terlalu perasan.

“ Tak kisahlah dia tertarik dari segi fizikal ke atau daya intelektual awak ke yang penting awak perlu dapatkan kepercayaan dia. Setiap orang ada sisi gelap masing-masing. Amran pun sama.Hanya orang yang rapat dengan seseorang sahaja yang akan tahu sisi gelap orang itu. Nama pun sisi gelap, maka kalau nak tengok kena pakai lampu picitlah atau kena rabalah baru tahu. Haha,” Malik tertawa besar.

Tiba-tiba timbul rasa meluat Sarina kepada orang tua itu tetapi dia cuba juga memahami apa yang cuba dikatakan oleh Malik.

“ Kiranya saya ni akan jadi spy Tuan Haji jugalah ye? “ kata Sarina.

“ Kira-kiranya begitulah,” kata Malik tersenyum.

“ Saya sanggup aja lakukan apa yang Tuan Haji suruh asalkan saya tidak menggadai maruah diri saya,” kata Sarina.

“ Yang itu Sarina jangan risau.Saya dah anggap Sarina macam anak saya. Takkan saya nak anak saya lakukan benda kotor macam tu,” kata Malik lagi.

Nanti kau akan tahulah betapa kotornya politik wahai Sarina, kata Malik di dalam hati. Aku tak suruh kaumenggadai maruah tapi kau sendiri akan menggadai maruah kau kepada Amran bila hati kau dah tersangkut kepada Amran nanti. Amran boleh buat wanita menjadi cair. Satu saja doa dari Malik. Semoga Amran bukan terdiri dari lelaki yang bernafsu songsang. Andai kata Amran bernafsu songsang Malik sedang  berfikir yang mungkin dia akan menggunakan Sidik sebagai menggantikan tugas Sarina.Malik merasa geli geleman memikirkan kemungkinan itu.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.