Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
28,975
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Sarina menongkat motorsikal peninggalan arwah ayahnya berhampiran dengan pejabat Syarikat Malik Anak Beranak Sdn. Bhd, mengikut alamat yang dimaklumkan oleh Malik semalam. Hatinya berdebar-debar memulakan pekerjaan pada hari pertama. Dia tidak tahu apa yang perlu dijangka. Dia bimbang jika dia gagal melaksanakan tanggungjawab seperti yang diarahkan.

Sarina mengetuk perlahan pintu pejabat sambil mengucap salam. Salamnya disambut oleh suara garau Hj Malik.Sebaik sahaja sarina melangkah masuk ke ruang pejabat yang tidak begitu luas dia memerhatikan keadaan sekeliling. Ada  seorang gadis yang sebaya dengannya sedang membelek beberapa helai dokumen di meja.

Malik memperkenalkan kepada Sarina, Alya anak perempuannya yang bekerja sebagai pembantunya di pejabat itu.Selepas bersalaman dengan Alya Malik meminta dia dan Alya masuk ke ruang pejabatnya yang bersambung dengan pejabat utama.

Alya dan Sarina duduk bersebelahan menunggu arahan  selanjutnya dari Malik.

“ Sebelum Sarina mulakan tugas saya nak beritahu sedikit sebanyak bidang tugas awak di sini.” kata Malik membuka bicara.

Sarina bersedia dengan pen dan buku catatan bersedia untuk menjalankan arahan dari Malik.

“ Jawatan awak di sini sebagai pembantu operasi. Nanti kita akan keluarkan surat pelantikan resmi,” kataMalik.

Pembantu Operasi? Sarina tertanya-tanya mendengar nama jawatan yang disebut oleh Malik. Aku belajar undang-undang. Ini dapat kerja sebagai pembantu operasi. Apakah bidang tugasnya? Sesuaikah dengan kelayakan aku dalam bidang undang-undang? Pelbagai persoalan bermain di minda Sarina.

Malik melihat wajah Sarina yang berkerut mendengar nama jawatan yang ditawarkan kepadanya. Malik sedar sebagai anak muda yang belum pernah berkerja dan cetek pengalaman hidup, perasaan gementar adalah normal.

“ Sebagaimana yang awak boleh tengok di sini, saya pemilik syarikat ini. Saya dah menjalankan perniagaan dah berpuluh tahun. Saya ada kakitangan yang berpengalaman. Saya tidak ada masalah dari segi menguruskan perniagaan. Apa yang saya perlukan ialah bantuan awak dalam kegiatan politik saya.” terang Malik kepada Sarina. Alya yang duduk di sebelah Sarina cuma berdiam diri. Dia tahu ayahnya seorang yang amat bijak dalam menguruskan perniagaan. Namun dia tidak mampu menjangka samada ayahnya boleh berjaya dalam politik atau tidak.

“ Boleh ke Tuan haji jelaskan dengan lebih terperinci apakah sebenarnya skop perkerjaan saya. Minta maaf kalau saya masih belum jelas dengan apakah sebenarnya tugas saya sebagai pembantu operasi,” kata Sarina.

“ Begini. Awak mungkin tahu yang saya ahli Jawatankuasa Parti Bumiputera. Parti kita ini dah banyak berjasa kepada negara dan secara langsung kepada penduduk di tempat kita ini. Kita semua dah mendapat menafaat dari dahulu sehingga sekarang hasil dari perjuangan Parti  Bumiputera ini.” kata Malik memerhatikan reaksi Sarina.

‘Ceramah politik pulak orang tua ini’ kata hati Sarina sambil mencuba menunjukkan kepada majikannya yang dia berminat dengan penerangan Malik.

“ Masalah yang kita hadapi sekarang ini ialah golongan muda tidak begitu berminat menceburi bidang politik. Generasi tua seperti saya tidak hidup menongkat langit. Satu hari nanti kita semua yang tua-tua ini akan pergi. Kalau tidak ada golongan muda yang bakal mengganti tempat kami yang tua maka saya tidak nampak masa depan yang cerah untuk parti yang kita semua sayangi ini,” kata Malik bersemangat. Dia menggambarkan itulah ucapan yang akan disampaikan nanti sebaik sahaja dia dipilih menerajui Parti Bumiputera setelah mengalahkan YB Amran nanti.Malik masih berhati-hati untuk tidak memberitahu Sarina niat sebenarnya untuk mengalahkan Amran dalam perebutan jawatan Ketua Bahagian nanti. Biar dia  dedahkan rancangan sedikit demi sedikit agar Sarina yang mentah dalam asam garam berpolitik tidak tekejut.

“ Misi utama awak ialah mengembalikan sokongan golongan muda terhadap parti kita. Saya inginkan golongan pelapis yang boleh mengambil alih parti apabila kita golongan tua dah tidak ada lagi. Saya perhatikan awak sesuai menjalankan tugas ini sebab awak terpelajar dan ada personaliti yang menarik yang boleh menarik golongan muda”kata Malik.

Kembang rasa Sarina bila dipuji.Pandai pak cik ni mengambil hati, kata Sarina di dalam hati.

“ Jadi, apakah yang  saya boleh bantu dari segi ini? “ Sarina bertanya.

“ Awak kena dekati golongan muda ini. Dekati mereka. Buat program yang boleh menarik minat mereka untuk menyertai parti. Nanti saya akan minta beberapa orang membantu awak dalam program yang awak akan buat,” kata Malik.

“ Awak akan diberi meja dan peralatan komputer dan apa juga yang awak perlukan nanti beritahu saja kepada Alya. Nanti Alya akan uruskan,” kata Malik.

“ Sekarang pergi kerja naik motorsikal ke? “ Malik bertanya.

“ Ya Tuan haji,” jawab Sarinaringkas.

“ Boleh memandu? “ tanya Malik.

“ Saya ada lesen memandu tapi dah lama tak memandu,” Sarina menjawab.

“ Kalau boleh memandu nanti sayaakan berikan kereta syarikat untuk awak guna. Minyak syarikat akan bayar. Alya,nanti uruskan kereta Myvi syarikat untuk Sarina .” kata Malik mengarahkan Alya.

Sarina seolah-olah tidak percaya dengan sikap baik hati yang ditunjukkan oleh Malik sedangkan prestasi kerjanya belum terbukti pun lagi. Macam ada udang di sebalik batu aja, kata Sarina didalam hati. Tapi dia teringat pesanan emaknya jangan terlalu buruk sangka terhadap orang lain.

“ Terima kasih Tuan Haji atas budi baik Tuan Haji. Saya janji akan jalankan tugas yang diarahkan sebaik mungkin.”kata Sarina.

“ Ada apa-apa lagi pertanyaan sebelum awak memulakan tugas? “ Malik bertanya.

“ Rasanya tak ada Tuan Haji,”kata Sarina.

“ Kalau tak ada awak boleh mulakan tugas. Nanti Alya akan bantu mana yang patut,” kata Malik. “ Satu aja yang saya nak pesan kepada awak, pakaian awak tu tak berapa sesuai dengan imej yang kita cuba tonjolkan pada anak-anak muda di sini,” kata Malik lagi.

Sarina merasa malu dengan teguran dari Malik. Dia berpakaian kebaya agak ketat yang menunjukkan susuk tubuhnya.Sarina sedar dia perlukan banyak lagi bimbingan dari orang lain sebelum dia benar-benar faham budaya orang berpolitik.

“ Maaf Tuan Haji, nanti saya akan tukar cara berpakaian saya, “ kata Sarina.

“ Dalam politik, persepsi lebih penting dari realiti. Biar kita tidak alim tapi di mata orang ramai kita mesti kelihatan alim. Biar kita kurang bijak tetapi di mata orang ramai kita kelihatan bijak. Jangan berlaku sebaliknya. Orang bijak dianggap bodoh kerana persepsi negatif yang ditanam dijiwa orang ramai,” kata Malik mula berkhutbah lagi. Kata-kata itu pun bukannya idea asal darinya tetapi diceduk dari apa yang  pernah didengarnya.

“ Terima kasih Tuan Haji atas nasihat yang diberi. InsyaAllah pesanan Tuan Haji saya akan ingat sampai bila-bila,” kata Sarina.

Sebaik sahaja Sarina dan Alya melangkah keluar dari bilik Malik Alya membantu Sarina meletakkan keperluan kerjanya di atas meja. Alya juga membersihkan meja yang sedikit berdebu.

“ Minta maaflah meja ni berdebu sikit. Sejak kerani kita berhenti tidak ada orang yang ambil alih kerja dia.Meja ni pun  dah lama kosong.” kata Alyas ambil mengibas-ngibas dan mengelap meja dengan kain.

“Terima kasih lah Alya,” kata Sarina sambil duduk di kerusi bersarung yang agak lusuh. Sarina rasa agak janggal kenapa Haji Malik sanggup membayar gajinya dengan agak lumayan tetapi tidak menjaga sangat  tata hias pejabatnya.

“ Ayah saya tu memang nampak garang tapi dia baik orangnya. Awak jangan takut sangat dengan ayah saya tu,”kata Alya.

“ Eh, tak takut pun cuma rasa hairan sikitlah kenapa dia sanggup bayar gaji yang tinggi untuk saya yang tak ada pengalaman ini. Bukanlah saya tak rasa bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah ini, cuma saya rasa hairan saja dengan sifat pemurah ayah awak kepada saya,” kata Sarina sambil membuka komputer di depannya.

“ Adalah ciri-ciri pada awak yang buat ayah saya tertarik  untuk ambil awak bekerja dengan kami,” kata Alya sambil memerhatikan komputer di depan mereka.

“ Nanti awak buka fail yang ada nama semua Ketua-ketua Cawangan di Bahagian kita ini. Nanti saya akan bantu awak untuk mula kenal dengan mereka. Orang putih kata kita akan bina networking “ kata Alya memberi penjelasan.

“ Wah , awak pun nak jadi ahli politik macam ayah awak juga ke? “ kata Sarina memandang ke arah Alya.

“ Eh, tak naklah saya. Saya tak minat politik ini tapi disebabkan ayah kita seorang ahli politik nak tak nak kena juga tahu serba sedikit perkembangan politik. Ayah saya pun baru sangat berkecimpung dalam bidang politik ini. Dulu dia cuma minat berniaga aja. Saya faham sangat perangai ayah saya. Kalau dia buat sesuatu dia akan buat sesungguh hati sehingga cita-citanya tercapai, “ kata Alya.

“ Baguslah macam tu, bersemangat kental” kata Sarina.

“ Bergantunglah kepada siapa yang awak tanya. Ada orang yang kata ayah bersemangat kental. Ada juga yang kata ayah saya ni kepala batu. Bergantung kepada siapa awak awak tanya. Musuh atau rakannya,” kata Alya. “ Nanti awak dah lama kenal ayah saya awak akan tahulah apa yang saya maksudkan” kata Alya lagi.

Terlalu banyak rupanya yang aku pelajari dalam hidup ini. Pendidikan di universiti belum tentu menjamin yang aku tahu segala-galanya, bisik hati Sarina.

Dia menghela nafas panjang sebelum melihat satu persatu senarai nama yang berada di komputer di depannya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.