Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
28,991
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

“Baju ni tak sesuai untuk awaklah,”kata Izara membelek baju yang dipakai oleh Hisham.

Mereka berada di sebuah pusat membeli belah di Bandaraya Johor Bahru selepas mendaftar keluar dari hotel penginapan mereka sebentar tadi. Sebelum balik ke Kuala Lumpur Izara mengajak Hisham membeli beberapa helai pakaian untuk Hisham menggantikan pakaiannya  yang dilihat agak lusuh.

Selama ini Hisham tidak begitu mementingkan penampilan dirinya. Baginya asalkan tidak koyak kira boleh diterima. Tambahan pula gajinya yang tak seberapa tidak memungkinan dia membeli pakaian berjenama.

“Awak ni boleh jadi perunding imejlah, “kata Hisham sambil mengenakan baju lain pula.

“Tak payahlah,”balas Izara. “Biar saya jadi perunding imej untuk awak saja,”sambungnya lagi sambil tersenyum memandang Hisham. Dia mengkagumi anak muda yang berdiri di depannya. Dengan ketinggian dan tubuh yang sasa Hisham selayaknya menjadi seorang model,bukannya berkerja di pasaraya.

“Hah, yang ini baru sesuai dengan awak,”kata Izara membelek-belek  baju di badan Hisham.

Melihat harga baju itu Hisham menggeleng kepala. Memang di luar kemampuannya.

“Mahal sangatlah sayang,”kata Hisham sebaik sahaja dia membuka baju dari badannya, meninggalkan baju yang asal dipakainya.

“Tak apa, hari ini saya belanja sempena hari jadi awak,”kata Izara sambil memegang baju untuk di bawa kepada juruwang.

“Saya tak nak terlalu banyak termakan budi awak, “kata Hisham.

“ Sayang, I tak sukalah you cakap macam tu,”kata Izara, suaranya agak meninggi.

Eh, aku cakap tadi salahke?Hisham bertanya di dalam hati.

Izara yang menukar panggilan dari awak kepada sayang memandang ke arah Hisham. Nampak ada tanda kurang senang di mata Izara apabila dia memandang tepat ke dalam anak mata Hisham.

“Kenapa you pandang I macam tu? Macam nak makan I aja?”Hisham bertanya.Tidak faham mengapa Izara tiba-tiba seolah-olah marah terhadapnya. Betullah seperti yang selalu disebut-sebut orang, hati dan perasaan perempuan memang sukar diduga.

“Kalau dah tak suka sangat saya belanja awak sehelai baju awak pakai ajalah baju awak yang lama tu. Jimat duit saya,”kata Izara sambil meletak semula baju yang sedang dipegangnya itu ke penyangkut baju.

Nasib baik pagi itu tidak ramai pelanggan di pusat membeli belah itu. Jika tidak tentu perbualan mereka berdua menarik perhatian ramai.

“OKlah kita balik Kuala Lumpur ajalah ye sayang,”kata Hisham memegang bahu Izara, cuba memujuk.

“Dah tu tak sudilah saya nak belanja baju tu? “kata Izara merenung Hisham sambil senyuman terukir.

“Saya nak beli juga baju ni.Kalau awak tak sudi nanti saya sedekahkan aja baju ni kepada sesiapa yang sudi  terima baju ini,”kata Izara.

“Siapa pulak kata tak sudi? Saya cakap saya tak nak terhutang budi,”kata Hisham.

“Yelah tu,”balas Izara sambil memuncungkan bibir.

Serentak dengan itu mereka berdua bergerak ke kaunter juruwang dan Izara membuat pembayaran. Dia tidak menggunakan kad kreditnya. Dia cukup berhati-hati, takut-takut Amran meneliti penyata kad kredit dan melihat pembayaran dilakukan di Johor Bahru. Tentu akan menimbulkan syak kepada Amran. Walaupun selama ini Amran terlalu sibuk dengan kerjaya politiknya dan tidak pernah pun mengambil tahu tentang bil kad kredit Izara namun Izara mengambil sikap berhati-hati.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Pemanduan Hisham dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur pada tengahari itu begitu tenang.Tidak banyak kenderaan yang berada di lebuh raya Utara Selatan. Izara yang duduk di sebelahnya menyanyi perlahan-lahan sambil mendengar muzik yang dimainkan di radio.

Hisham menjangka mereka akan sampai di Kuala Lumpur paling lewat jam 4 atau 5 petang nanti.

Tiba-tiba Izara berhenti menyanyi dan menjawab panggilan telefon dari seseorang. Hisham amat berharap panggilant elefon itu  bukan datangnya dari Amran.Dia merasa cemburu jika mendengar Izara berbual dengan suaminya di depannya.

Izara faham sangat dengan perangai cemburu Hisham. Dia tidak bercakap banyak dengan Amran jika menerima panggilan telefon di depan Hisham.

Hisham cuba mencuri dengar perbualan Izara tetapi dengan deruan enjin kenderaan dan suara dari radio yang dipasang Hisham tidak dapat mendengar butir bicara antara Izara dan sipemanggil.

Love you too,”Izara menamatkan perbualan telefonnya. Dengan ayat terakhir itu Hisham dapat mengagak yang Amran adalah sipemanggil.

“Suami telefon ke? “Hisham bertanya. Ada sedikit getar pada suara Hisham, menahan cemburu.

“YB sihat?”tanya Hisham lagi.

“Sihat agaknya,”jawab Izara ringkas, cuba mematikan perbualan berhubung panggilan telefon dari Amran. Dia tidak mahu api cemburu Hisham menganggu mood mereka berdua.

“Sayang, nanti sampai Muar kita berhenti makan mi bandung Muar nak tak? “ kata Izara sambil meletakkan tangannya di peha Hisham. Hisham menepis tangan Izara. Rasa cemburunya terhadap Amran masih belum hilang lagi.

“Sayang, kenapa ni? “Izara bersuara perlahan walaupun dia dapat mengagak kenapa berlaku perubahan mood Hisham.

“Tak ada apa,”jawab Hisham ringkas.

“Nanti kita berhenti di Muar ye sayang? “kata Izara memujuk lagi.

“I nak sampai cepat ke KualaLumpur. Malas nak berhenti banyak kali,”kata Hisham lagi.”Lagipun kat KualaLumpur pun ada aja jual mi Bandung Muar.”

“Tak samalah sayang. Mi bandung kat Muar tu resipi asal. Yang kat Kuala Lumpur tu dah tak ori  lagi,”kata Izara  lagi.

“OKlah, nanti kita berhenti d iMuar,”kata Hisham. Lembut hatinya selepas dipujuk Izara. Tambahan pula pagi tadi Izara telah membelikan dia sehelai kemeja yang berharga dua ratus ringgit.Tidak pernah seumur hidupnya dia membeli baju semahal itu.

“Alhamdulillah,”kata Hisham selepas sendawa. Di depannya dua pinggan kosong mi bandung. Peluh menitik didahinya. Baginya mi bandung Muar ini agak pedas. Dia meneguk minuman berais untuk mengurangkan rasa pedas yang mencucuk lidah dan bibirnya.Izara yang duduk di sebelahnya mengeluarkan tisu dan menggelap peluh di dahi Hisham.

Pandangan mata mereka berdua tertumpu ke Muara Sungai Muar. Kelihatan beberapa buah bot nelayan menyusuri muara Sungai Muar. Dataran Tanjung Emas Muar kelihatan begitu tenang dan nyaman pada petang itu. Kelihatan juga beberapa orang yang membawa ahli keluarga bersiar-siar.

“Tadi orang tu lah yang tak nak singgah makan mi bandung Muar.Tengok-tengok dia yang pesan sampai dua pinggan, “kata Izara tertawa kecil.

“Yelah, dah alang-alang singgah baik makan betul-betul. Bukan mudah pun nak datang ke Muar lagi,”kata Hisham.

“Makan banyak tak apa tapi kenaj aga body ye  cik abang. Saya tak nak boyfriend saya boroi,”kata Izara sambil tangannya menggosok perut Hisham.

“Kalau saya boroi awak nak buat apa nanti? “tanya Hisham.

“Kalau awak boroi saya cari boyfriend lain. Hihi,”Izara tertawa.

“Yelah tu. Orang cantik. Mudah aja nak tinggalkan kita,”kata Hisham dengan nada kecewa.

“Ala ala ala. Nak merajuklah tu.Mari sini sayang pujuk, “kata Izara sambil mencuri satu ciuman di pipi Hisham.Hisham terkejut dengan perbuatan Izara.Dia bimbang takut-takut ada yang melihat adegan yang dianggap menjolok mata itu.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Amran memandang wajah beberapa orang di depannya dengan pelbagai persoalan. Pak Man, Sahak, Lokman dan beberapa orang lain yang berada di bilik yang terletak di Pusat Khidmatnya di Rimba Damai. Turut berada  di situ Ali pembantu peribadinya. Sarina dan beberapa orang wakil dari Puteri dan Wanita Parti Bumiputera turut hadir dalam pejumpaan tergempar yang dipanggil oleh Amran sebentar tadi.

Mereka dapat mengagak tujuan Amran memanggil mereka dalam mesyuarat tergempar ini. Tentulah berkaitan dengan kehadiran yang kurang memuaskan pada majlis pagi tadi.Mereka sendiri melihat wajah Amran yang nampak sugul sedikit pada petang itu.

“ Assalamualaikum Tuan Tuan Puan Puan dan Saudara Saudari semua. Saya rasa tentulah tuan puan dapat mengagak tujuan saya memanggil  semua pada petang ini. Saya tahu Tuan Puan semua dah cuba yang terbaik untuk menjayakan majlis pagi tadi tapi saya merasa kecewa keana kehadiran penduduk kampung  yang tidak ramai. Saya nak saudara saudari semua nyatakan secara jujur kalau-kalau kita ada sebarang masalah di Bahagian ini. Luahkan apa yang ada di dalam hati saudara dan saudari semua. Saya tak berasa kecil hati pun,”kata Amran memandang satu persatu ke arah muka mereka yang hadir pada petang itu. Apabila sampai ke arah Sarina, Sarina segera menundukkan mukanya. Tak sanggup bertentang mata dengan Amran. Perasaan bersalahnya kepada Amran masih menebal. Sarina dapat merasakan kegagalan majlis pada pagi tadi sedikit sebanyak disumbang olehnya. Jika dia tidak memaklumkan kepada Haji Malik tentang majlis pada pagi ini susah tentu Haji Malik tidak akan sabotaj program pagi ini.Tentu Haji Malik tidak akan mengadakan majlsi pemberian wang zakat pada hari dan tarikh yang sama.

Masing-masing hanya berdiam diri sebaik sahaja Amran berhenti bercakap. Walaupun Amran sememangnya seorang yang lemah lembut dalam pertuturan tetapi dalam lembutnya ada nada tegas.

“ Sebenarnya YB, majlis pagi tadi tidak ramai yang hadir kerana ada majlis yang dianjurkan oleh Haji Malik,”kata Pak Man memecah kesunyian. Walaaupun dia telah memaklumkan perkara yang sama kepada Amran pagi tadi tapi masih ramai yang masih tidak tahu perkara itu.

“Ye Pak Man,”kata Amran. “Cuma saya nak tahu ada ke sesiapa yang tahu samada dua majlis serentak ini tidak disengajakan atau ada unsur sabotaj? “kata Amran.

Sarina ingin berkata sesuatu tetapi merasakan dirinya terlalu kerdil untuk menyatakan pandangan. Semua yang hadir dalam pejumpaan petang itu jauh lebih tua usia mereka berbanding dengan dirinya.

“Kalaulah benda ini berlaku secara kebetulan saya harap takkan berulang lagi dilain kali.Tetapi andai kata ini memang dirancang maka saya sebagai Pemangku Ketua Bahagian tak boleh membiarkan perkara ini berterusan. Lebih mudah untuk kita kenal musuh yang jelas kelihatan berbanding dengan musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan. Saya amat-amat berharap saudara saudari semua berhati-hati dengan cubaan untuk memecah belahkan parti kita. Musuh kita bukan mereka yang sama-sama dalam satu parti tapi mereka yang berada di luar sana,”kata Amran menamatkan mesyuarat ringkas pada petang itu.

Sebaik sahaja mereka yang berjumlah sekitar 15 orang beredar meninggalkan bilik mesyuarat itu Amran meminta Sarina menunggu sebentar. Ketika semua telah beredar yang tinggal cuma Amran,Sarina dan Ali.

“Cik Ina, saya rasa tak sedap hati dengan Haji Malik. Saya bukan nak berburuk sangka dengan dia tapi  gerak hati saya seolah menyatakan yang dia ada niat tak baik terhadap saya. Saya tahu awak sebagai  kakitangan yang bekerja di bawahnya sudah tentu kesetiaan awak terhadapnya. Lagipun dia yang membayar gaji awak. Saya minta satu saja cari awak. Tolong jangan khianti saya,”kata Amran.

Sarina tersentap mendengar kata-kata dari Amran. Dia tidak menyangka Amran berburuk sangka sehingga begitu terhadap dirinya.

“YB, tidak ada sekelumit pun dihati saya untuk mengkhianti YB dan parti. Saya bekerja dengan Haji Malik untuk mendapat rezeki yang halal. Nak tampung diri saya. Nak bantu mak saya. Saya masuk politik ini pun bukan dirancang. Saya sangat-sangat kecil hati kalau YB ada rasa yang saya ni cuba sabotaj atau khianati YB. Saya budak baru nak belajar hidup. Saya tak tahu politik. Saya tak minat pun politik. Saya hanya menjalankan tugas yang diarahkan oleh majikan saya. Itu sahaja. Saya berulang alik naik bas turun bas dari kampung ke Kuala Lumpur hampir setiap minggu cuma untuk jalankan tugas saya. Tak lebih dan tak kurang dari itu.Saya tak pandai berkonspirasi ke apa ke,”kata Sarina. Matanya mula berair.Sedih mengenangkan pengorbanan dia membantu YB Amran seolah-olah tidak dihargai.

“Saya minta maaf kalau kata-kata saya menyebabkan awak terasa hati. Cuma sebagai orang yang lama berkecimpung dalam politik saya tahu bukan semua orang yang senyum di depan kita sukakan kita. Tidak juga bermakna orang yang marahkan kita bencikan kita,”kata Amran.

“Saya tak faham kata-kata YB,”jawab Sarina ringkas. Pada ketika itu ingin saja rasanya dia menulis surat meletak jawatan. Tapi kalau dia ingin terus tinggal di Rimba Damai, dia tidak ada pilihan. Kena terus bekerja dengan  Haji Malik. Sukar untuk mendapat kerja yang bersesuaian dengan kelayakannya dan gaji selumayan yang ditawarkan oleh Malik.

“ Kadang- kadang dalam politik kita kena memilih kepada siapakah kesetiaan kita,”jawab Amran ringkas meninggalkan Sarina yang termangu-mangu cuba memahami apa yang dikatakan oleh Amran. 

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.