Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
28,997
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Sebaik sahaja Ghani selesai menyampaikan laporan terperinci tentang apa yang berlaku Malik menarik nafas.Dia faham zaman sekarang kisah isteri dan suami yang kesunyian kerana pasangan masing-masing terlalu sibuk dalam mengejar kerjaya bukanlah sesuatu yang asing lagi. Malik tidak begitu terperanjat mendengar apa yang disampaikan Ghani kepadanya. Di dalam hati kecilnya dia merasa simpati  kepada Amran jika benar apa yang diceritakan oleh Ghani itu. Amran lelaki budiman. Dia ada rupa dan tidak susah untuk mencari wanita yang sanggup menjadi isterinya.

Malik berpaling ke arah Fauzi yang diam sejak dari tadi. Hanya mereka bertiga sahaja yang berada di dalam pejabat Malik. Malik sengaja tidak memanggil ramai orang dalam perjumpaan sulit pada pagi itu. Selain Ghani, Fauzi adalah orang kepercayaan Malik.

Fauzi hanya tunduk tak berkata.Seperti juga Malik dia merasa simpati kepada Amran. Dia tahu betapa luluhnya hati Amran jika dia mendapat tahu yang Izara bermain kayu tiga di belakangnya.Dia sendiri pernah alami sendiri rasa kekecewaan   apabila isterinya sendiri bermain kayu tiga dengan rakan baiknya. Sejak dia menceraikan isterinya hatinya seolah-olah tertutup untuk mendekati mana-mana wanita. Itulah harga yang perlu dibayar oleh seorang ahli politik. Terlalu kuat berpolitik sehingga isteri sendiri pun terabai.

“ Kenapa diam aja? “ Malik bertanya kepada Fauzi.

“ Saya nak kata apa lagi? Kalau betul benda tu berlaku rasa kasihanlah kepada Amran,” kata Fauzi perlahan.

“ Itu aja? “ tanya Malik lagi.Ghani memerhatikan Malik dan Fauzi silih berganti. Cuba melihat reaksi perbualan mereka berdua. Ghani merasakan Malik cuba mendapatkan sokongan dari Fauzi untuk dia melakukan sesuatu.

“Yelah. Takkan kita nak jadi batu api nak melaga-lagakan Amran dengan isterinya,” kata Fauzi lagi.

“ Ish ish Fauzi. Kau ni nama aja orang politik. Tapi takkan benda dah terang-terang depan mata tak nak ambik kesempatan,” kata Malik seakan tidak sabar dengan respon yang ditunjukkan oleh Fauzi. Dia yakin sebagai orang politik yang bepengalaman Malik nampak peluang terhidang di depan mata, cuma Fauzi berpura-pura tidak faham dengan matlamat Malik.

Fauzi faham sangat arah tujuan Malik. Dia percaya Malik akan menggunakan kesempatan ini untuk menjatuhkkan Amran di dalam politik. Imej Amran akan terjejas teruk jika tersebar cerita yang isteri  YB Amran curang dengan lelaki lain.

Fauzi merasa tidak sampai hati untuk berkonspirasi menjatuhkan Amran dengan cara begitu. Biarpun dia dan Amran berlainan kem namun dia telah kenal Amran berbelas tahun. Kalau pun Malik inginkan sangat jawatan Ketua Bahagian itu biarlah dia menang dengan cara bersih.

“ Fauzi, kalau nak ikutkan kau dengan aku memang kau lebih jauh berpengalaman dalam politik ni. Aku baru aja nak berjinak-jinak dalam bidang politik. Sepatutnya kau yang ajar aku soal politik tapi nampaknya aku yang terpaksa mengajar kau tentang politik,” kata Malik sambil tersenyum memandang muka Fauzi. Senyuman yang dipaksa-paksa. Dia semakin kurang sabar dengan sikap terlalu berhati-hati Fauzi. Ghani dapat membaca yang Haji Malik ada sesuatu di dalam fikirannya.

“ Ya, saya faham Tuan Haji. Game plan  Tuan Haji tu mudah saya baca cuma saya rasa kita tak perlulah turun sampai tahap itu semata-mata untuk Tuan Haji dapat jawatan Ketua Bahagian,” kata Fauzi menjawab.

“ Saya cadang kita lawan YB Amran secara gentleman.Tuan Haji pun bukannya calang-calang orang. Tuan Haji boleh aja gunakan kelebihan kewangan untuk dapatkan sokongan perwakilan dalam mesyuarat Agong Parti nanti,” kata Fauzi.

“ Kau pun tahu yang Amran tu dah cukup popular dikalangan pemimpin akar umbi. Kalau lawan secara gentleman aku angkat bendera putih awal-awal lagi,” kata Malik.

Mudahnya orang tua ni mengalah,kata Fauzi di dalam hati. Nampak macam perkasa sangat tapi jiwa lembik. Baik kau tak payah masuk politik kalau tidak berjiwa kental. Kata Fauzi di dalam hati sambi memandang kopi di cawan.

“ Aku tak panggil orang lain dalam perjumpaan sulit ini sebab aku tak mahu benda ni pecah. Ghani dan Fauzi,kau berdua orang kepercayaan aku,” kata Malik.

“ Dengar sini,” kata Malik. “Kalau kau berdua tak setuju dengan rancangan aku ni bercakaplah terus terang.Cuma aku minta perbincangan ini akan mati di sini sahaja. Tidak ada orang lain yang tahu selain dari kita bertiga,” kata Malik lagi cuba meyakinkan Fauzi dan Ghani. Malik yakin dengan Ghani tetapi dia perlu memujuk Fauzi untuk menyertai misi rahsia ini.

“ Aku dah tengok dan dah rangka strategi. Pilihanraya umum akan diadakan tak lama lagi kan. Nanti sesiapa yang jadi Ketua Bahagian kemungkinan besar akan dicalonkan untuk bertanding dalam plihanraya umum. Jadi kalau Dato’ Rosman dah letak jawatan sesiapa yang jadi Ketua Bahagian akan dinamakan  sebagai calon Parlimen Bahagian Kuala Bertahan,” kata Malik membayangkan dirinya menjadi ahli Parlimen.

“Rasanya sekarang ini yang aku nampak berminat nak jadi Ketua Bahagian ialah Amran. Lagipun dia memang layak sebab sebagai Timbalan Ketua Bahagian,  seharusnyalah dia yang patut bertanding jawatan tu,” kata Malik lagi.

Kalau dah tahu macam tu kenapa gatal sangat nak rebut jawatan tu. Sedar dirilah sikit Tuan Haji, kata Fauzi di dalam hati.

“ Jadi apa rancangan  Tuan Haji? “ tanya Fauzi walaupun dia boleh mengagak apa yang ada di dalam pemikiran Malik.

“ Aku nak Ghani, kau kumpulkan sebanyak bukti tentang isteri Amran dengan lelaki tu. Ambik gambar sebagai bukti kukuh. Nanti dekat-dekat nak Mesyuarat Agong parti kita akan hantar whatsapp kepada semua perwakilan yang akan turun memilih. Dengan cara itu saja aku rasa aku berpeluang untuk mengalahkan Amran,” kata Malik dengan bersemangat.

“ Saya minta maaf banyak-banyakTuan Haji. Saya terpaksa menarik diri dari perancangan Tuan Haji ini. Dah hampir 30 tahun saya berkecimpung dalam bidang politik ini. Saya masuk politik bukan sebab nak kejar jawatan, nak kejar harta tapi niat saya ikhlas untuk membantu anak bangsa saya. Terlalu banyak saya berkorban untuk parti.Rumahtanggga saya hancur disebabkan oleh politik. Saya tahu peritnya menghadapi kehancuran rumahtangga. Saya tak sanggup menghancurkan rumahtangga orang lain pula semata-mata untuk membantu cita-cita politik Tuan Haji. Saya minta berbanyak-banyak maaf kerana dalam hal ini saya tak mampu membantu Tuan Haji,”kata Fauzi.

“ Bagi saya pertandingan merebut jawatan dalam parti ini adalah pertandingan anak beranak. Takkanlah kita nak hancurkan parti kesayangan kita ini hanya semata-mata disebabkan merebut jawatan, “ kata Fauzi dengan nada kesal.

“ Ok ok. Aku faham yang kau tak selesa dengan hal macam ini. Kalau macam tu kau tak nak duduk dalam team kita lagi ke? Kau nak menyeberang ke sebelah sana ke? “ Malik bertanya.

“ Aku bukan nak mengungkit Fauzi.Masa kau susah dulu aku yang banyak tolong kau. Masa perniagaan kau hampir lingkup, masa bank datang tak berhenti-henti datang nak kutip hutang aku yang tolong bayarkan hutang kau semua. Aku harap kau tak jadi kacang lupakan kulit.Lagi satu aku tengok dalam ramai-ramai yang menyokong aku, kau ni aku tengok cerdik sikit. Boleh berfikir, boleh merancang. Orang lain semuanya cuma tunggu arahan aja. Mereka bukan boleh fikir strategi ke apa ke. Mereka buat apa yang kita suruh aja. Sebab itu untuk kali ini aja aku rayu sangat –sangat kau bantu aku untuk dapatkan jawatan Ketua Bahagian tu. Betul aku banyak duit. Aku ni kalau fikirkan diri sendiri aja tak perlu masuk politik. Baik aku tumpukan perhatian pada perniagaan aku aja. Masuk poilitik bukan sebab aku nak buat duit. Makin habis duit adalah. Aku masuk politik sebab aku nak bantu masyarakat  sekeliling kita yang daif ni.Kau pun bukan tak tahu. Kau pun anak jati kawasan ini,” kata Malik cuba memujuk Fauzi.

“ Bukannya saya tak nak bantuTuan Haji. Saya pun dah banyak terhutang budi dengan Tuan Haji. Saya akan kekal di sebelah Tuan Haji. Cuma, saya tak boleh paksa diri saya untuk lakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai yang saya pegang. Kalau Tuan Haji nak minta saya bantu bertanding secara sihat melawan YB Amran saya tidak ada halangan, “ kata Fauzi.

“ Untuk sekali ini aja aku minta tolong kau. Lepas ni tak minta tolong kau lagi. Setuju? “ Malik bertanya. Ghani hanya mendiamkan diri mendengar perbincangan mereka berdua.

“ Macam inilah Tuan Haji. Saya bantu Tuan Haji untuk dapat sokongan perwakilan asalkan saya tidak terlibat dengan pendedahan kecurangan isteri YB Amran ni. Setakat nak buat program memperkenalkan Tuan Haji kepada pengundi dan penduduk kampung saya boleh usahakan.Kalau nak berkonspirasi ni saya minta maaflah, saya tak pandai,” kata Fauzi.

Malik merasa kecewa sedikit dengan jawapan yang diberikan oleh Fauzi tetapi pemikirannya begitu pantas untuk mengambil kesempatan di atas kesudian Fauzi membantu.

“ Terima kasihlah Fauzi atas bantuan kau tu. Aku akan ingat selagi hayat dikandung badan,” kata Malik sambil berjabat tangan dengan Fauzi.

“ Cuma satu aja aku nak minta tolong dari kau. Apa yang kita cakapkan dalam bilik ini tidak kau sampaikan kepada sesiapa,” kata Malik.

“Yang itu Tuan Haji jangan risau.Saya ni kan seorang yang berahsia,” kata Fauzi.

“ Kalau macam tu kira selesailah perjumpaan kita pada pagi ini. Terima kasih kepada Fauzi dan Ghani sebab sudi meluangkan masa datang berbincang,” kata Malik dan bangun dari kerusi menuju ke arah pintu.

Sebaik sahaja Fauzi dan Ghani melangkah keluar selepas bersalam dengan Malik, Malik menggamit Ghani untuk masuk semula ke dalam biliknya.

Sebaik sahaja Ghani duduk berhadapan dengan Malik, Malik membuka bicara.

“ Kau rasa Fauzi tu boleh dipercayai ke? Aku takut nanti dia jadi talam dua muka,” Malik bertanya kepada Ghani.

“ Yang tu saya tak boleh jawab.Tuan Haji lebih kenal dia berbanding dengan saya. Tuan Haji lebih tahu dia dari saya,” kata Ghani.

“ Saya tadi berdiam diri sebab saya tak nak mengaanggu perbualan Tuan Haji dengan Fauzii,” kata Ghani.

“ Kalau Tuan Haji nak terima cadangan saya , saya ada cadangan yang lebih baik dari apa yang Tuan Haji fikirkan,” kata Ghani.

“ Macam mana tu? “ Malik bertanya dengan nada teruja.

“ Cadangan Tuan Haji tu memang dah cukup baik tetapi adalah lebih baik lagi jika kedua-duanya curang. Isteri Amran curang dan Amran juga curang,” kata Ghani.

“ Eh, kau ingat curang ni boleh dibuat-buat ke? Benda tu boleh berlaku dengan sendiri. Macam isteri Amran tu bukan kita yang ajar dia untuk curang. Kau pun tak pernah suruh dia curang pada Amran kan?” kata Malik.

“ Tuan Haji, Amran tu lelaki normal.Mana ada lelaki yang tak sukakan wanita cantik, wanita yang pandai menggoda,”kata Ghani lagi.

“Jadi?” Malik bertanya. Dia tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Ghani.

“ Apa kata kita jerat siAmran tu, “ kata Ghani.

“ Eh kau ni, janganlah cakap berlapik lapik. Terus terang ajalah kan senang,” kata Malik seakan kurang sabar.

“ Kita jerat Amran dengan wanita cantik,” kata Ghani.

“ Kalau Amran sendiri yang ada hubungan luar itu lagi baik. Saya risau kalau isteri Amran yang curang nanti Amran semakin popular. Dia akan dapat undi simpati. Nanti dia akan gunakan isu dia berkorban terlalu banyak sehingga kenal tinggal isteri,” kata Ghani.

“ Ye tak ye juga.Bijak otak kepala kau ni,” kata Malik. Ghani tersengih mendengar pujian Malik.

“ Nak jerat Amran kena guna umpan baik-baik. Bukan boleh guna sebarang umpan. Setakat umpan biasa tak makan,”kata Malik.

“ Budak perempuan yang baru kerja dengan Tuan Haji tu kan cantik. Kita buat dia sebagai umpan lah,” kata  Ghani sambil tersenyum.

Ternganga mulut Malik mendengar cadangan dari Ghani.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.