Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
28,992
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

“ Dato’ yakin ke Amran boleh menang kalau kita naikkan dia sebagai calon kawasan Parlimen Kuala Bertahan ini? “ Menteri Besar bertanya kepada Dato’ Rosman.

Pertemuan empat mata pada pagi itu diadakan oleh Menteri Besar sebagai persediaan calon menghadapi pilihanraya umum yang dijangkakan akan diadakan pada tahun depan. Menteri Besar telah memaklumkan kepada Dato’ Rosman yang beliau akan digugurkan sebagai ahli Parlimen Kuala Bertahan kerana faktor usia. Dato’ Rosman akur dengan permintaan dari Perdana Menteri yang meminta supaya empat puluh peratus calon baru adalah terdiri dari golongan muda sebagai salah satu langkah meremajakan parti dan kerajaan.

“ Amran ini bagus budaknya. Saya dah lama perhatikan dia. Hubungan baik dengan pengundi. Orang muda pun sukakan dia. Dia bersih dari sebarang skandal rasuah mahupun perempuan. Pendek kata kalau dicalonkan dia sebagai pengganti saya pun memang saya tak terkilan. Saya akan beri sokongan 100 peratus,” kata Dato’ Rosman sambil terbatuk-batuk.Doktor memang telah lama menasihatkan dia supaya berhenti dari kegiatan politik tetapi atas desakan Menteri Besar dia teruskan juga menerima pencalonan satu penggal lagi sebagai ahli Parlimen Kuala Bertahan. Kini tibalah masanya untuk dia berundur diri dari politik.

“ Kalau kita naikkan Amran dari DUN Rimba Damai kepada Parlimen Kuala Bertahan siapa pulak yang kita nak calonkan untuk DUN Rimba Damai?” Dato’ Menteri Besar masih membelek beberapa nama yang tertulis di dalam memo sulit yang diserahkan kepadanya oleh Dato’Rosman.

“ Untuk  DUN nama-nama yang saya serahkan tu semua pemimpin akar umbi.Mereka semua memang lahir dan membesar di Rimba Damai,” kata Dato’ Rosman.

Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar meneliti satu persatu nama-nama yang ada di depannya. Ketiga-tiga nama itu memang dia kenali tetapi sebagai Ketua Bahagian Dato’ Rosman tentulah lebih tahu siapakah yang paling layak diantara tiga nama itu.

“ Nak tanya Dato’ ada tak unsur sabotaj bagi calon yang tak terpilih nanti? “ Menteri  Besar bertanya lagi.

“ Rasa tidak puas hati tu memang tak boleh kita elakkan Dato’. Setiap kali nak pilihanraya macam tu lah keadaannya. Bagi yang tak tercalon akan merajuk, tapi kita ada cara untuk pujuk mereka,” kata Dato’ Rosman.

“ Kalau setakat merajuk dan tak nak membantu calon kita saya masih boleh terima lagi. Masalah besar bila mereka merajuk dan sabotaj calon kita. Mereka berkempen untuk calon parti lawan. Itu yang paling saya takutkan,” kata Menteri Besar.

“ Ya, betul tu. Saya pun mempunyai perasaan yang sama juga. Insya Allah perkara macam tu tidak akan berlaku. Kalau berlaku kita tak ada pilihan lain. Kita kena pecat ahli yang sabotaj parti,” kata Dato’   Rosman lagi

“ Kalau Dato’ Rosman dah betul-betul yakin dengan pilihan Dato’ yang Amran calon yang paling sesuai sebagai Ahli Parlimen kita yang baru menggantikan Dato’ saya akan kemukakan nama dia dalam senarai paling atas bila Perdana Menteri minta nama calon nanti,”kata Menteri Besar.

“ Saya akan maklumkan sendiri kepada Amran yang namanya dalam senarai paling atas sebagai calon kita. Dia perlu lebih bekerja keras selepas ini dan apa juga perbincangan kita pada pagi ini antara saya dengan Dato’ sahaja. Within these four walls.Saya bimbang kalau musuh politik kita tahu nanti dia orang akan serang Amran bertalu-talu. Musuh dari luar mudah kita nak lawan sebab kita kenal siapa mereka. Yang paling saya takuti ialah musuh dari dalam. Itu lagi susah untuk kita kenal. “ kata Menteri  Besar lagi.

“ Satu lagi saya terfikir oleh kerana pilihanraya akan diadakan setahun dari sekarang adalah baik kalau Dato’ menyerahkan jawatan Ketua Bahagian kepada Amran. Biar Amran menjadi pemangku Ketua Bahagian . Sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun ini masyarakat dan pengundi dah boleh terima dia sebagai bakal pengganti Dato’. Kalau kita tak rapatkan saf dari sekarang saya bimbang nanti akan susah untuk kita menghadapi pilihanraya,” kata Menteri Besar. Dia menjangka akan ada tentangan dari Dato’ Rosman.Dia faham jiwa orang politik. Orang politik berhenti menjadi orang politik hanya bila nyawa meninggalkan badan.

Berubah air muka Dato’ Rosman mendengar cadangan dari Menteri Besar. Dia tahu memang sudah sampai masanya untuk dia berundur tetapi saranan dari Menteri Besar itu seolah-olah menghalaunya dari jawatan Ketua Bahagian. Menteri Besar perasan perubahan airmuka Dato’ Rosman.

“ Sebenarnya saya ada idea untuk letakkan Dato’ dalam kedudukan yang lebih tinggi dari Ketua Bahagian. Saya nak lantik Dato’ sebagai Pengerusi  Kelab Veteran Parti Bumiputera. Jawatan tu dah lama kosong sejak Tan Sri Mashod meninggal dunia dua tahun lepas. Memandangkan pilihanraya pun dah tak lama lagi, kita kena gerakkan semula Kelab Veteran itu. Kena gembeling tenaga. Tugas tu saya nak serahkan kepada Dato’ sebagai orang lama yang banyak pengalaman . Nanti saya bercadang nak lantik juga Dato’ sebagai pengarah pilihanraya untuk kawasan Parlimen Kuala Bertahan,” kata Menteri Besar sambil menunggu reaksi Dato’ Rosman.

Dato’ Rosman tersenyum lebar mendengar saranan dari Menteri Besar. Dia merasa jasanya selama ini tidak dilupakan parti. Walaupun dalam keadaan dia berjalan pun tak begitu larat lagi namun  semangat perjuangannya tidak pernah luntur.

“ Kalau Dato’ dah letak kepercayaan penuh kepada saya, saya akan cuba lakukan dengan sebaik mungkin,”kata Dato’ Rosman sambil berjabat  tangan dengan Menteri Besar.

Sebaik sahaja perjumpaan empat mata itu selesai, Menteri Besar mengiringi Dato’ Rosman keluar dari pejabatnya.Pada pagi itu ada lagi 3 perjumpaan dengan Ketua Bahagian lain pula.

........................................................................................................................................................................

“ Abah, tambah lagilah nasi’”kata Izara melihat bapanya dah menolak pinggan kosong di depannya.

“Cukup dah. Ni pun banyak. Kalau kat rumah abah jarang makan nasi “ kata Abidin, ayah Izara.

“ Abah Iza tu kan tengah berdiet.Sebab tu dia jaga makan,” kata Zakiah, ibu Izara.

“ Alah, abah ni kalau nak diet pun jangan lah diet masa datang ke rumah Iza ni. Letih Iza memasak abah makan sikit aja,” kata Izara dengan nada merajuk.

Abidin tersenyum dengan kerenah anak perempuannya.

“ Tengok ni perut abah dah buncit. Kalau jadi Santa Claus dah tak payah bubuh bantal kat perut. Haha,”Abidin tertawa besar sambil menggosok perutnya.

Izara hanya tersenyum melihat ayahnya. Dia anak manja dalam keluarga. Sejak dari  dahulu pun segala pemintaan Izara jarang dia tidak penuhi. Walupun gajinya  sebagai guru sekolah tidaklah begitu besar tetapi mereka sekeluarga hidup bahagia.

Sebaik sahaja Abidin meninggalkan mereka dua beranak menuju ke ruang tamu, Zakiah memulakan bicara.

“ Mak risau dengan Iza dengan Amran ni,” kata Zakiah.

“ Kenapa mak? “ Izara bertanya walaupun dia dapat mengagak arah tujuan perbualan itu. Ini bukan kali pertama Zakiah bercakap tentang hal yang sama. Malahan Izara dah tahu setiap kali emaknya bertemu dengannya itulah perkara yang akan dibincangkan. Kadang-kadang naik jemu juga Izara mengulang perkataan yang sama setiap kali ia ditimbulkan tetapi dia terpaksa bersabar.

“ Mak risau sebab sampai sekarang  awak belum ada anak lagi,” kataZakiah.

Oh, tidak. kata Izara di dalam hati.Topik yang sama yang akan dikemukakan oleh ibunya. Lepas ini akan suruh buat pemeriksaan doktor dan berubat cara kampung. Lepas tu akan suruh ambil anak angkat. Plot dan jalan cerita yang sama yang telah diulang-ulang entah berapa puluh  kali.Begitu juga dengan Izara. Jawapan yang sama juga telah diucapkan entah berapa puluh kali.

“ Iza dengan Amran tak pergi jumpa doktor ke? “ Kata Zakiah. Ya, ayat kedua dalam skrip perbualan mereka berdua. Izara tersenyum mendengar kata-kata ibunya. Dia sendiri pun telah sedia dengan jawapannya seperti terdulu.

“Dah mak. Dokor kata kami berdua tak ada  masalah. Dua dua subur. Mungkin belum ada rezeki nak menimang cahaya mata,” kata Izara sambil mencuci pinggan di sinki. Rumini kelihatan mengelap lantai sambil mencuri dengar perbualan dua beranak itu.

Lepas ni mesti suruh ambil anak angkat, kata Izara di dalam hati.

“ Mak bukan apa. Mak takut nanti Amran akan cari lain,” kata Zakiah.

Ada perubahan dalam skrip kali ini, kata Izara. Selama ini jika Zakiah mengungkit tentang anak tidak pernah dia meragui kesetiaan Amran. Dia tahu Amran lelaki yang baik. Dia amat yakin menantunya itu akan menjaga anaknya dengan baik. Tapi kali ini nadanya  berubah.

Izara terus berhenti membasuh pinggan dan memandang ke arah Zakaiha yang sedang duduk di kerusi makan berhampirang dengan Izara.

“ Mak, Iza tak pernah ada sekelumit pun rasa tak percaya kepada abang Amran. Selama hampir 10 tahun kami mendirikan rumahntangga dia tak pernah ada tanda-tanda ke arah itu walaupun dia boleh sangat nak buat kalau dia nak. Kerja dia tak tentu masa, banyak bergaul dengan masyarakat. Tapi Iza memang percaya pada dia. Kenapa tiba-tiba hari ini mak cakap macam tu pulak? “ kata Izara sambil memandang wajah ibu kesayangannya.

“ Itulah masalah kita orang perempuan ni Iza. Bagi kita suami kitalah lelaki yang paling baik di dunia.Bagi kita anak kitalah anak yang paling baik di dunia,” kata Zakiah.

“Mak tahu sebab mak pun isteri orang. Mak pun ibu orang. Semua mak dah lalui,” kata Zakiah.

“ Iza tahu tak? Abah Iza tu masa muda bukan main playboy lagi,” kata Zakiah separuh berbisik.

“Dulu abah Iza kan guru besar.Ramailah cikgu-cikgu muda yang nak dekati abah Iza. Ada orang yang nampak  abah Iza keluar dengan cikgu sekolah dia tapi mak tak percaya. Sampaikan satu hari mak nampak sendiri dengan mata kepala mak yang dia berjalan dengan perempuan tu.Bila dah terserempak macam tu dia dah tak boleh nak berdalih lagi. Nak tak nak dia kena mengaku. Tapi mak sayangkan dia.Mak tak sanggup ditinggalkan oleh abah. Mak telan rasa marah dan rasa sedih mak. Mak tak minta cerai demi memikikan anak-anak masa tu kecil-kecil lagi.Kalau abah tinggalkan mak siapa nak tolong mak nak besarkan awak semua. Mak tak berkerja. Mak cakap pada abah, mak rela bermadu asalkan abah tak tinggalkan kita sekeluarga. Alhamdulillah, abah Iza fikir panjang. Dia tinggalkan perempuan itu. Itulah yang dia cakap pada mak. Kalau di belakang mak dia sambung juga perhubungan terlarang tu mak tak tahulah” kata Zakiah.

Tersentak Izara mendengar kata-kata ibunya.Inilah kali pertama ibunya menceritakan rahsia rumahtangganya.Rahsia yang selama ini tersimpan rapat  Terfkir juga agak tidak munasabah ada wanita yang tergila-gilakan ayahnya yang berperut buncit dan berkepala botak itu. Dah rabunkah mata mereka semua.

“ Kelakarlah mak. Ada ke orang perempuan yang nakkan abah. Abah tu bukannya handsome pun,”kata Izara tertawa.

“ Eh iza ni, takkan tak tengok gambar abah Iza masa muda dulu. Macam penyanyi DJ Dave,” kata Zakiah bersungguh-sungguh.

Sekali lagi Izara tertawa besar mendengar kata-kata ibunya.

“ Satu aja mak nak pesan pada Iza. Sedalam mana pun kasih sayang kita pada suami kita jangan beri kasih sayang itu 100 peratus. Tinggalkan juga 1 peratus untuk diri kita. Andai kata satu hari nanti dia nak tinggalkan kita, kita masih ada semangat untuk terus hidup,”kata Zakiah.

“Kasih sayang Iza kepada abang Amran 110 peratus mak. Andai kata abang Amran nak tinggalkan Iza, memang Iza tak nak dah hidup lagi,” kata Izara menutup perbualan.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.