Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
28,987
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Sarina melangkah masuk ke dalam bas yang akan membawanya ke Kuala Lumpur pada malam itu. Tidak ramai penumpang di dalam bas. Dia memilih tempat duduk berseorangan. Dia merasakan lebih selesa begitu apatah lagi menempuh perjalanan malam. Tak boleh jangka siapakah yang akan bakal duduk di sebelah dia.Dia rimas jika duduk sebelah lelaki.

Sebaik sahaja penumpang telah cukup, bas perlahan-lahan bergerak meninggalkan Perhentian  Bas .Selang beberapa minit kemudian Bas Ekspres Mutiara meninggalkan pekan Rimba Damai dan menempuh perjalanan dalam kepekatan malam.

Sarina memandang keluar tingkap.Tidak ada apa yang kelihatan kecuali sesekali ada suluhan lampu dari kenderaan yang berselisih dengan bas yang dinaiki.Sarina memejamkan mata tapi terlalu awal untuknya tidur.

Fikirannya melayang kepada perbualannya dengan Sidik di pejabat  petang tadi. Sidik telah menyampaikan hajat Haji Malik kepada Sarina. Terjawablah persoalan yang bermain di minda Sarina selepas Sidik menghulurkan wang kepadanya sebagai menyampaikan hajat dari Malik.

Permintaan dari Haji Malik bukanlah keterlaluan sangat. Dia hanya diminta menyampaikan kepada Haji Malik apakah perancangan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan oleh Parti  Bumiputera Bahagian Kuala Bertahan dari semasa ke semasa. Itu sahaja. Sarina seolah tak percaya apabila Sidik menyampaikan hajat Haji Malik kepadanya.

“ Bang, takkan setakat nak tahu aktiviti parti sampai nak bersusah payah bagi saya duit. Lagipun aktiviti parti bukan satu rahsia pun. Semua orang boleh tahu. Macam tak percaya aja saya yang Tuan Haji sanggup bayar saya untuk dapat maklumat macam tu,” kata Sarina dengan kehairanan.

“ Syhh, cakap tu janganlah kuat sangat. Nanti orang dengar,” kata Sidik seolah berbisik. Walaupun dalam pejabat itu suasana agak lengang pada petang itu tetapi sesekali ada juga orang yang keluar masuk untuk mengambil sesuatu dari ruang pejabat. Alya anak Haji Malik telah beberapa hari tidak masuk kerja. Alya masuk kerja dan tak masuk kerja sesuka hatinya sahaja. Syarikat itu kan milik bapanya.

Perbuatan Sidik yang seakan akan berahsia semakin menambah curiga di hati Sarina. Tiba-tiba Sarina terfikirkan sesuatu. Entah-entah Haji Malik nak jadikan aku isteri muda dia. Memikirkan kemungkinan itu Sarina merasa geli geleman. Haji Malik lebih layak dipanggil ayah.

Tak mungkin Haji Malik berniat begitu. Sepanjang dia mengenali Haji Malik dia tidak nampak pun tanda-tanda Haji Malik sukakannya. Haji Malik dilihat oleh Sarina sebagai seorang bos yang begitu prihatin terhadap pekerjanya. Bukan kepada Sarina seorang saja.

“ Sebenarnya memanglah aktiviti parti semua ahli Jawatankuasa Parti tahu tapi biasanya bila AJK tahu masanya dah suntuk sangat. Niat Tuan Haji nak membantu YB Amran. Kalau Tuan Haji Malik dapat maklumat lebih awal bolehlah dia membantu apa yang patut. YB Amran kan duduk jauh di KL tu. Kalau Haji Malik dapat membantu ringanlah sikit beban YB Amran,” kata Sidik meyakinkan Sarina.

“ Saya masih hairanlah. KenapaTuan Haji tak berhubung terus dengan YB Amran aja kalau nak tahu apa-apa.Kenapa perlu saya yang jadi orang tengah,” Sarina terus bertanya.

Banyak soal pulak budak cantik ni, kata Sidik di dalam hati. Rasa hilang sabar juga melayan kerenah dan soalan Sarina tapi demi mencapai matlamat Haji Malik dia perlu gunakan keupayaan memujuknya sebaik mungkin.

“ Ina pun tahu kan yang YB Amran sekarang ni makin sibuk semenjak memangku Ketua Bahagian. Tuan Haji tak naklah menganggu YB,” kata Sidik.

“ Betul juga kata abang Sidik,”kata Sarina, temakan dengan hujah dan kata-kata Sidik.

Lagipun Sarina berfikir bukannya susah sangat pun nak memaklumkan apa juga program yang akan dijalankan oleh YB Amran. Dia merasa bersalah pula kepada Haji Malik kerana mempersoalkan keikhlasan Haji Malik membantu YB Amran.

Dalam melayan perasaan  dan angan-angan Sarina terlena di dalam bas.

.................................................................................................................................................................

“ Cik Sarina sampai sini bila?”kata Amran menguntum senyum.

“Sampai pukul 9 pagi tadi YB, ‘jawab Sarina.

“ Dari stesen bas ke hotel siapa datang ambik? “ Amran bertanya lagi.

“ Saya ambik Uber,” jawab Sarina.

“ Oh,’ jawab Amran ringkas.

Beberapa orang peserta yang duduk berhampiran dengan Sarina memandang perbualan mereka berdua. Selepas berkenalan dengan peserta-peserta yang lain mereka mula bermesyuarat.

Beberapa orang peserta mesyuarat mencadangkan program-program yang boleh dijalankan oleh Parti Bumiputera untuk merapatkan lagi  hubungan Amran dengan masyarakat di kawasan parlimen Kuala Bertahan.Ada yang mencadangkan diadakan majlis ramah mesra dengan pengundi. Ada juga yang mencadangkan diadakan kelas tuisyen untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting seperti UPSR, PT3 dan SPM.Ada juga yang mencadangkan supaya diadakan program berkhatan beramai-ramai di musim cuti sekolah yang akan datang. Setiap saranan yang dikemukakan dicatat oleh Ali, pembantu Amran.

Setelah berbincang dengan panjang lebar mereka memutuskan untuk mengadakan beberapa program termasuk program beramah mesra dengan penduduk Kampung Rimba Damai dan kawasan sekitarnya dalam masa yang terdekat.

Sarina memaklumkan tarikh program ramah mesra antara YB Amran dan pengundi kawasan Parlimen Kuala Bertahan melalui whatsapp terus kepada Malik.

Sebaik sahaja menerima maklumat dari Sarina Malik termenung seketika. Dia perlu lakukan sesuatu untuk mengagalkan program itu.

...............................................................................................................................................................

“ Tambahlah lagi nasi tu,” Amran menegur Sarina dan beberapa orang yang lain yang sedang menikmati jamuan makan tengahari. Mesyuarat dihentikan untuk makan dan solat dan akan disambung semula selepas Solat Zohor pukul 2.30 petang nanti.

“ Dah kenyanglah YB” jawab Sarina tersipu apabila ditegur oleh Amran.

“ Kena makan banyak-banyak ye semua.Nanti petang nak kena guna banyak tenaga. Banyak lagi perkara yang kita semua perlu bincangkan,” kata Amran kepada peserta –peserta.Kata-kata beliau disambut dengan laungan semangat dari para peserta terutama dari golongan pemuda.

Sebaik sahaja selesai makan tengahrari mereka semua bersurai balik ke bilik masing-masing dalam hotel yang sama. Penganjur mengingatkan perserta agar menepati masa untuk membolehkan program sebelah petang nanti bermula tepat jam 2.30 petang.

“ Ina, aku rasa YB tu macam syok kat kaulah,” kata Salmah, rakan yang baru dikenalinya sejak dia berkecimpung dalam dunia politik.

“ Kau ni, memandai aja,” jawab Sarina sambil membuka tudung, melepaskan rambutnya yang lurus paras bahu. Dia masih pening sebab semalaman tidur di dalam bas. Takkan sama dengan tidur di atas tilam empuk.

“ Kita ni kan sama-sama perempuan. Kita boleh agak dari renungan mata lelaki samada dia pandang kita dengan pandangan biasa atau sebaliknya,” kata Salmah sambil duduk di birai katil. Hotel itu menyediakan dua katil single.

“ YB Amran tu bukan jenis macam tulah Salmah. Dia baik. Bukan kaki perempuan,” kata Sarina menangkis kata-kata Salmah.

“ Ina, mana ada lelaki yang tak suka perempuan cantik?” kata Salmah.

“ Ada aja lelaki tak suka perempuan cantik, lelaki gay” jawab Sarina tertawa dengan lawaknya sendiri.

“ Ish kau ni, ke situ pulak perginya,” kata Salmah, malas nak melayan kata-kata Sarina.

“ Salmah, isteri YB Amran tu tak kurang cantiknya. Kalau nak dibandingkan kita-kita ni semua dengan isteri YB Amran ibarat jauh panggang dari apilah kata orang tua-tua,” Sarina menjawab.Dia melihat Salmah bergerak ke dalam bilik air untuk berwudhu.

“ Apa kau cakap tadi? Aku tak dengarlah sebab paip air ni tengah terbuka,” jawab Salmah dari dalam  bilik air.

“ Aku cakap isteri YB Amran jauh lebih cantik dari aku ni,” kata Sarina.

“Ada orang cakap, kecantikan isteri hanya kelihatan pada mata lelaki lain, bukan pada mata suaminya,” kata Salmah sambil memakai telelekung untuk bersolat.

“ Tak fahamlah,” kata Sarina.

“ Yelah suami dah hari-hari tengok isteri dia. Dia rasa isteri dia biasa-biasa aja. Orang lain aja yang nampak isteri dia cantik, suami tak nampak pun,” kata Salmah.

“ Kadang-kadang salah si isteri juga kan. Masa nak keluar rumah bukan main berdandan lagi. Kalau duduk di rumah pakai biasa-biasa aja,” kata Sarina.

“ Pandailah kau bercakap. Aku nak tengok nanti bila kau dah kawin. Kau berdandan untuk suami ke atau berdandan untuk orang lain,” kata Salmah. Sejenak kemudian dia mengangkat Takbir RatulIhram, memulakan Solat Zohornya.

Sebaik sahaja melihat Salmah bersolat dengan langkah malas Sarina bergerak ke bilik air untuk berwudhu pula.

Sebaik sahaja keduanya selesai bersolat Salmah bersiap-siap untuk turun ke dewan mesyuarat semula. Ada kira-kira 20 minit lagi sebelum pukul 2.30 petang.

“ Salmah, aku rasa nak pontenglahsessi petang ni. Kepala aku ni berdenyut denyut,” kata Sarina.

“ Kau ni jangan buat hal. Nanti YB tanya aku mana pergi Cik Ina apa aku nak jawab?” kata Salmah.

“ Kau katalah Cik Ina ada kat dalam bilik hotel. Sakit kepala,” kata Sarina tertawa.

“ Buatnya nanti dia nak buat spot check.Dia datang ke bilik kita ni macam mana? “ kata Salmah.

“ Takkanlah dia nak datang  sampai ke bilik. Kalau dia datang aku suruh YB tu picit kepala aku yang tengah berdenyut-denyut ni,” kata Sarina tertawa lagi.

“ Nanti bukan kepala kau aja yang YB tu picit. Tempat lain pun habis dipicitnya,” kata Salmah tertawa besar.

“ Dah, bangun-bangun. Jangan buat-buat malas pulak,” kata Salmah menarik tangan Sarina. Dengan langkah yang malas Sarina bangun untuk bersiap.

“ Nanti kalau aku pitam ke,pengsan ke kau tolong telefon ambulan ye,” kata Sarina.

“ Tak payah telefon ambulan,”jawab Salmah. “ Aku akan suruh YB Amran buat bantuan pernafasan mulut ke mulut aja kalau kau pitam nanti.Hihi,” kata Salmah tertawa.

Lawak Salmah disambut dengan tawa oleh Sarina.           

 

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.