Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 2

Bab 2

Potret gambar Zaim diusap berkali-kali. Potret kiriman Mak Jah pada sambutan hari kelahiran anaknya yang ke 5 menjadi teman dikala duka. Segala kasihnya tumpah pada permata hatinya itu. Sudah lebih 5 tahun namun terasa baru semalam peristiwa itu berlaku. Kesedihan dan keperitan tak pernah meninggalkannya. Hatinya terluka, namun dia berusaha untuk mengubati derita yang sentiasa menemani. Dia akan berusaha untuk hidup bahagia kerana dia sudah berjanji untuk melakukannya.

“Im. Mama rindu Im.” tuturnya dalam tangisan yang berlarutan. Potret di hadapannya didakap erat.

“Maafkan mama sayang. Mama yang bersalah. Mama lemah.” tuturnya lagi sebelum dia menangis teresak-esak. Seandainya waktu boleh diputar, dia mahu kembali ke masa dulu. Masa di mana dia meninggalkan mereka tanpa sebarang kata. Masa ketika dia menghancurkan hati insan-insan yang dicintai, masa yang tak mampu untuk dilupakan selagi hayat dikandung badan.

“Abang. Maafkan Liya. Liya yang bersalah.” tuturnya sayu sebelum dia terbaring lesu. Aliya tahu dia yang memulakan semuanya. Dia yang tak berjuang untuk mempertahankan ikatan yang terbina. Dia tewas dengan desakan dan ugutan. Usianya masih muda. Sedang dia sendiri tak pasti kewajaran tindakannya itu. Wajah Pn.Hayati terbayang di mata. Ibu mertuanya itu tetap pendirian, segala kata-katanya berupa arahan.

Bukannya dia tak mencuba, segalanya sudah dia lakukan, namun usahanya itu dilihat sia-sia. Semakin dia mencuba, semakin kuat tentangan yang dia terima. Penolakan Pn.Hayati betul-betul membuatkan dia kecewa. Kenangan lama terasa menyesakkan dada. Semakin dia mencuba untuk melupakan, semakin kuat kenangan itu muncul diingatan.

Aliya ingat lagi waktu tu dia baru berkahwin dengan Taufik. Selesai solat Subuh dia turun ke dapur bagi membantu menyediakan sarapan. Mahu membantu apa yang patut. Tak betah rasanya duduk bergoyang kaki tanpa melakukan sebarang aktiviti di rumah itu. Nasi goreng yang sudah selesai dimasak dihidang seadanya.

Tak berapa lama kemudian, kelibat Pn.Hayati muncul. Riak wajahnya tetap sama seperti semalam. Mukanya masam mencuka. Kehadiran Aliya di meja, langsung tak diendahkannya. Dia duduk sebelum menyendukkan nasi ke pinggan.

“Fik mana Mak Jah? Dia tak bangun lagi?” soalnya pada Mak Jah yang masih sibuk di dapur.

“Dia masih belum turun puan. Sekejap ya puan. Biar saya panggilkan.” balas Mak Jah sebelum bergegas menuju ke tingkat atas.

“Tak apa Mak Jah biar Liya yang panggilkan.” tutur Aliya sebelum bergerak melepasi Pn.Hayati yang masih setia di meja makan.

“Mak Jah. Pergi panggilkan Taufik! Kau sini. Aku ada benda nak cakap dengan kau.” arahnya tegas. Mak Jah segera ke tingkat atas untuk mendapatkan Taufik seperti yang diarahkan. Aliya duduk di sebelah ibu mertua yang baru dikenalinya itu. Dari riak wajahnya, Aliya tahu ianya bukan perkara yang baik.

“Siapa suruh kau duduk situ. Bangun. Kau tahu berapa harga set meja makan ni? Kalau kau kerja seumur hidup kau pun tak mungkin kau dapat nak belinya. Orang macam kau tak layak untuk duduk di situ. Bangun.” arahnya. Aliya segera menurut. Wajahnya ditundukkan ke lantai. Tak sanggup menatap wajah bengis ibu mertuanya itu.

“Kau jangan ingat bila kau dah kahwin dengan anak aku, kau boleh buat ikut suka hati kau je kat dalam rumah ni. Ini rumah aku. Segalanya mesti ikut cara aku. Kau jangan nak memandai-mandai.” tuturnya kasar. Aliya hanya mampu tertunduk mendengarnya. Seperti yang dijangka, kehadirannya tak diundang di situ. Sejak dari semalam lagi Aliya sudah dapat mengagaknya. Jelingan ibu mertuanya itu penuh benci dan Pn.Hayati telah menzahirkannya kini.

“Kau ingat aku tak tahu apa niat kau sebenarnya ha? Kau nakkan harta kan. Itulah sebabnya kau sanggup kahwin dengan anak aku. Memang dasar manusia parasit.” tambahnya lagi. Air mata Aliya mula bergenangan. Dia sedih dituduh seperti itu. Dia sendiri tidak tahu siapa bakal suaminya, perkerjaan malah tempat tinggalnya. Taufik dinikahi hanya kerana ingin membalas budi. Tak lebih dari itu. Pangkat dan hartanya? Bukan itu yang Aliya impi. Aliya menarik nafas panjang. Dia tahu kehidupannya di rumah itu akan jadi lebih mencabar nanti.

“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni? Kau pekak ke bisu?” bisiknya tak mahu yang lain dapat tahu. Dia sakit hati. Kehadiran Aliya dilihat hanya sebagai perosak kehidupannya. Perosak kepada rancangan yang sudah bertahun lama dinanti untuk dijayakan.

“Mak, Liya..” tuturnya perlahan. Dia memberanikan dirinya bertentang mata dengan Pn.Hayati buat kali yang pertama. Pandangannya itu dibalas dengan jelingan tajam menikam. Serentak pandangannya ditundukkan semula. Lidahnya kelu. Tak tahu mahu berkata apa.

“Apa mak, mak. Sejak bila aku jadi mak kau. Kau jangan nak memandai-mandai. Aku nak kau tahu, sampai bila-bila aku takkan dapat terima kau.” katanya sebelum meninggalkan Aliya.

“Ada satu lagi, aku lupa nak ingatkan. Kau jangan cuba-cuba nak mengadu pada Taufik tentang hal ni. Kalau tak kau tahulah apa nasib kau nanti.” tuturnya sebelum melangkah pergi.

Bunyi suara Laili yang memanggil dari bawah mengejutkannya dari lamunan.

“Liya. Cepatlah sikit. Dah pukul berapa ni? Kau tak siap lagi ke?” teriaknya dari ruang tamu.

“Jap-jap. Sikit lagi.” balasnya. Gambar Zaim dikucup sebelum dia bergegas menuruni anak tangga.

“Kenapa lambat sangat kau hari ni? Biasanya dialah orang yang paling awal.” ngomel Laili lagi.

“Sorry. Aku terlelap balik lepas subuh tadi. Jomlah cepat. Nanti lambat.” balasnya sebelum beriringan menuju ke kereta untuk ke kilang batik yang mereka usahakan.

Aliya masih melayan perasaan sendiri. Laili perasan perubahan tingkah laku sahabatnya itu. Sejak akhir-akhir ini dia dilihat lebih suka mendiamkan diri. Dia kenal sangat Aliya. Kalau senyap tu maknanya adalah perkara yang sedang difikirkannya. Bila ditanya, dia kata tak ada apa-apa. Jangan haraplah dia akan berkongsi masalahnya bersama. Dia lebih suka memendamkannya, bukannya mahu cerita. Sekilas Aliya dipandang.

“Liya kau kenapa?” soalnya mencari jawapan. Dia pasti benar yang Aliya sedang menyembunyikan sesuatu.

“Tak ada apa-apa. Kenapa kau tanya macam tu?” soalnya kembali sambil tersenyum. Sengaja mahu menembunyikan perasaan hati.

“Kau jangan nak tipulah. Muka tu. Aku kenal sangat dengan muka kau tu. Mesti ada apa-apa ni kan. Kau ada masalah ke? Ceritalah pada aku mana tahu aku boleh tolong. Jangan bimbang, aku bukan along bukit beruntung.” tuturnya dalam loghat cina, sengaja mahu menceriakan suasana. Serentak kedua-duanya ketawa.

“Kau ni kan. Memang la. Tak habis-habis.” balas Aliya dengan sisa ketawa yang masih ada.

“Ceritalah apa bendanya?” soal Laili lagi. Matanya sedang fokus pada pemanduan. Sesekali cermin pandang belakang di jeling.

“Nak cerita apa?” soal Aliya kembali. Dia masih belum bersedia mahu berkongsi. Dia lebih suka untuk menyimpannya sendiri.

“Macamlah aku tak tahu. Kau rindukan Zaim kan?” duganya.

“Mana ada kau ni. Pandai-pandai je kan.” bohongnya lagi. Tapi dalam hati dia mula hairan bagaimana Laili boleh membaca fikirannya. Mengalahkan tok dukun.

“Bukan ke semalam birthday dia. Aku tak cukup tua lagi untuk lupa hari tu. 5 tahun dulu, kau balik nangis-nangis lepas kau tinggalkan dia, masa tu usia dia baru sebulan kan. Aku ingat lagi tarikh tu, kau tak payahlah nak tipu.” balas Laili. Serentak Aliya di sebelahnya dipandang. Wajah sahabatnya itu berubah mendung. Sah! Aliya rindukan Zaim, bisiknya dalam hati.

“Anak, Laili… Takkan seorang mak dapat lupakan anaknya sendiri. Dialah satu-satunya darah daging yang aku ada. Sedih bila terfikirkannya. Dia ada tapi aku tak dapat nak jumpa. Aku tahu dia kat mana, tapi aku tak boleh buat apa-apa. Aku teringin sangat nak peluk dan cium dia macam mak-mak yang lain. Tapi aku sedar aku tak layak. Entah dia rindukan aku ke tak. Dah lama sangat dah. Aku pasti, dia mesti tengah gembira sekarang dengan orang-orang yang dia sayang. Entah-entah dia sendiri tak tahu pun tentang aku.” tuturnya sayu. Laili sendiri tahu makna penantian kerana dia sendiri pernah melaluinya. Sakit dan memenatkan. Selagi hati tak merelakan selagi itulah diri menanti biarpun sedar yang masanya takkan terjadi.

“Dah tu kau nak buat macam mana? Aku nak tolong tapi aku sendiri pun tak tahu caranya. Ke kita pergi kidnep je dia nak. Lepastu kita simpan jelah dia senyap-senyap kat sini. Diaorang dah jaga 5 tahun, ha sekarang giliran kau lah pulak. Kita ambik jaga, lepas 5 tahun kita pulangkan balik.” cadang Laili bersungguh-sungguh. Aliya mencubit pipi gebu sahabatnya itu.

“Ouch...sakit tau.” tuturnya sebelum mengusap muka. Aliya ketawa dibuatnya. Helahnya menjadi, kesedihan sahabatnya itu sedikit terubat kini.

“Liya kau bawak tak geran kereta kau tu? Macam mana lah kau boleh lupa nak renew. Bawak keta pandai, road tax mati pun tak perasan. Kereta aku bagi tumpang free hari ni je. Esok dah kena bayar tambang.” tuturnya selamba. Aliya mencebik geram. Laili masih tak habis mengusiknya.

“Bawak la. Nanti nak minta pinjam kereta. Tengah hari sikit aku nak keluar bayar.” pinta Aliya.

“Tak payahlah. Tengahhari nanti kita pergi sekali. Aku hantarkan.”

“Ok. Dah sampai. 10 hinggit ye cik.” tuturnya sambil menadah tangan.

“Mahalnya. Kalau naik teksi baru 3 hinggit. Kau cekik darah betul ya.” balas Aliya. Serentak Aliya menepuk kuat tangan itu.

“Aduh. Sakit la. Kenapa smash kuat sangat.” marahnya.

“Sakit ke? Sorry. Tu lah main-main lagi.” balas Aliya dengan senyuman. Pantas tapak tangan Laili diusap. Dia menyesali perbuatan sendiri.

“Kena tipu.” jawap Laili selamba sebelum dia bergegas meninggalkan Aliya di situ.

“Kau memang.” jerit Aliya.

 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati