Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 13

Selesai berkemas, Aliya meletakkan beg pakaiannya itu di penjuru bilik, kawasan yang agak tersorok jauh daripada pandangan Taufik.

Dia sudah bertekad untuk meninggalkan rumah yang menjadi tempatnya menumpang selama setahun tempoh perkahwinan dengan Taufik. Kenangan pahit dan manis sepanjang berada di situ bermain-main di fikirannya bersilih-ganti. Berat terasa kaki untuk melangkah pergi. Air mata berjuraian membasahi pipi deras, sederas air di kali.

“Assalamualaikum, sayang abang.” ucap Taufik sebelum merangkul Aliya dari belakang. Aliya tidak segera menjawap sapaan Taufik, tak seperti biasa. Cepat-cepat air mata diseka dengan belakang tangan. Aliya diam seribu bahasa. Taufik mula hairan. Tubuh isteri kesayangannya itu diarahkan mengadapnya. Taufik nampak sisa-sisa tangisan di mata Aliya. Dia jadi cemas. Pantas wajah isterinya itu diusap lembut.  

 “Kenapa Liya menangis? Liya tak sihat ke?” soal Taufik bimbang. Aliya tidak menjawap persoalan Taufik, sebaliknya wajah Taufik di hadapannya ditenung penuh kasih. Diamati wajah suaminya itu lama sebelum dia menyembamkan wajahnya ke dalam dakapan Taufik sambil dia melepaskan pandangan ke arah katil Zaim yang terletak bersebelahan dengan katil mereka. Serentak air matanya gugur lagi.

Kedengaran daun pintu dihempas kuat. Hilang melayang kenangan yang bermain di mindanya itu. Serentak Aliya memalingkan pandangannya ke arah pintu yang sengaja dibiarkan terbuka tadi. Aliya kaget. Rahsia yang cuba disimpan selama ini akhirnya terbongkar. Tubuh Taufik sudah tercegat di hadapan pintu. Dia tidak menyangka yang Taufik akan balik malam ini kerana Mak Jah belum tiba dari kampung. Aliya mati arah. Surat di tangan terlepas dari pegangan sebelum sempat diteliti isi kandungannya.

Taufik masih terpacak kaku. Beg bimbitnya terlepas ke lantai. Dia seolah-olah tidak dapat mempercayai apa yang sedang terhidang di hadapan mata. Aliya yang sering dinanti telah berada di hadapannya kini. Taufik tergamam, begitu juga dengan Aliya. Suasana sepi menyelubungi kamar tersebut. Buat seketika mereka masing-masing cuba mencernakan keadaan yang sedang berlaku sebelum Taufik akhirnya tersedar. Dia sedar yang dia bukan bermimpi. Semuanya realiti. Aliya kini sudah kembali.

Perasaan gembira sebentar tadi bertukar derita. Hatinya terasa panas. Kekecewaannya pada Aliya kembali. Muka Taufik mula merah menahan rasa. Marahnya sudah mula naik sampai ke kepala.

Aliya nampak perubahan pada wajah Taufik. Dia jadi kecut perut kerana sememangnya dia tidak dapat menjangkakan apa yang sedang bermain di fikiran Taufik. Debaran di dada tak dapat di sembunyikan. Waktu terasa seperti terhenti. Suasana sunyi terasa menggigit sampai ke hati, terasing dan memeritkan. Sunyi sehinggakan mereka dapat mendengar hela nafas sendiri.

Taufik menghampiri Aliya selangkah demi selangkah, sehinggalah dia terpijak sampul surat yang ditinggalkan oleh Aliya 5 tahun dulu. Sampul surat yang mengandungi borang penceraian yang telah ditandatangani oleh Aliya tapi tidak dia. Sampai mati pun dia tidak akan menceraikan Aliya semudah itu. Kalau itu yang Aliya inginkan, dia mahu Aliya memintanya sendiri secara berdepan. Bukannya bertindak pengecut seperti itu. Tapi dia tahu sesekali hasrat Aliya takkan dapat dia tunaikan kerana dia takkan rela melepaskan Aliya kepada lelaki lain.

Dia mahu Aliya menderita sama seperti dirinya. Dia mahu Aliya digantung tak bertali sepanjang hidup. Biarlah apapun yang terjadi namun permintaan Aliya itu tidak sesekali akan direlakan. Biar mereka sama-sama menanggung derita, merana sampai ke sudah. Tekadnya dalam hati. Egonya semakin tinggi, Aliya mesti diajar kali ini.

Tanpa Taufik sedari dia membenarkan kemarahan yang disimpan menguasai diri, mengaburi rasa cinta yang telah bersemi. Amarahnya menjadi-jadi. Ditambah pula dengan tindakan Aliya yang secara sembunyi-sembunyi menyelinap masuk ke rumah itu semula membuatkan Taufik mula hilang pertimbangan. Sampul surat diambil dan dilemparkan sekuat hati.

Terbang melayang semangat Aliya melihatkan perubahan kelakuan Taufik itu. Seingat Aliya sepanjang tempoh mereka bersama dia tidak pernah melihat sisi Taufik yang satu ini. Sisi yang penuh dengan perasan marah dan dendam. Kasar dan menakutkan. Taufik yang dikenalinya dulu adalah seorang yang lemah lembut dan penyayang, bukan seperti Taufik yang sedang dihadapinya kini.

“Rancangan bodoh apa yang kau dah buat ni ha? Berani kau datang ke sini dengan cara sembunyi-sembunyi macam ni? Tak cukup lagi penderitaan yang kau dah berikan pada kami? Apa tujuan kau datang lagi?” ucapnya sebelum tangan Aliya yang masih terduduk di birai katil ditarik kuat. Badan Aliya didorong ke arahnya dengan kasar. Aliya membisu tanpa bicara. Sejujurnya dia tidak mampu untuk memikirkan apa-apa tika itu. Dia pasrah dengan segala tindakan yang akan diambil oleh Taufik terhadapnya kerana dia tahu, dia yang bersalah. Dia memang layak dihukum.

“Apa, kau ingat senang-senang je aku akan terima kau balik lepas semua yang kau buat dulu? Borang tu aku tak pernah tandatangan sebab aku nak kau menderita selamanya. Aku benci kau. Aku benci!” ujar Taufik lagi. Hatinya sakit melihatkan kebisuan yang ditunjukkan oleh Aliya. Bahu Aliya dicengkam semahunya namun Aliya tetap membisu. Melihatkan kebisuan Aliya itu hatinya bertambah panas.

“Cakaplah. Kenapa diam.” marahnya lagi. Serentak tubuh Aliya ditolak ke tepi.

Tubuh Aliya jatuh terjelepok ke lantai. Dahinya berkerut.                      Terasa sakit badanya diperlakukan begitu, tapi tak dapat menandingi kesakitan yang dirasa di hati. Air matanya bercucuran. Hanya itu yang dapat dia lakukan, menggambarkan perasaannya yang punah dan hancur berderai. Aliya tahu dia yang bersalah. Kepulangannya bukan untuk meraih kemaafan, tapi hanya untuk melepaskan beban kerinduan. Rindu yang bermukim sejak sekian lama. Kerinduaanya untuk anaknya tersayang, dan suami yang kini telah nyata tidak memerlukannya lagi.

Kakinya terasa lemah namun digagahinya juga untuk bangun. Dalam kepayahan dia berusaha untuk berdiri. Belum sempat Aliya melangkah tangannya disentap Taufik yang masih tak puas hati dengan kelakuan Aliya yang dirasakan sengaja mencabarnya itu. Kebisuan Aliya menyiat-nyiat tangkai hatinya. Taufik mula bertindak di luar kawalan. Hatinya belum puas.

“Kau nak ke mana ha? Kau tak jawab lagi soalan aku tadi. Apa niat kau yang sebenarnya?” bentaknya geram.

“Apa niat kau masuk rumah aku ni senyap-senyap? Kau jangan kata yang kau rindukan Zaim. Kau dah buang hak kau tu dulu. Kau yang buang dia. Kau dah tak ada hak tu lagi. Kau tak layak jadi ibu. Kau kejam!” pekik Taufik menghemburkan segala yang tersimpan selama ini.

Aliya hanya membalas pertanyaan Taufik dengan pandangan yang kosong. Seperti yang dijangka, Taufik menghemburnya sehabis rasa. Aliya tahu yang dia memang berhak menerima cacian dan makian daripada Taufik. Dia sudah menjangkakan kebarangkalian semua ini akan terjadi tapi tetap sukar untuk dia menghadapinya. Wajah Taufik ditenung penuh sayu dan pandangan matanya mula berbalam. Air matanya tak henti berderai menangisi nasib diri. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangisan yang semakin menjadi-jadi.

Melihatkan keadaan Aliya, Taufik akhirnya tersedar. Dia mula dihambat rasa bersalah. Wajah Aliya yang basah segera memujuk hatinya yang sakit. Taufik menggigit bibir kerana mula menyesali perbuatannya sebentar tadi. Dia menyesal kerana memperlakukan Aliya sekasar itu. Dia kesal kerana membiarkan sikap keji itu merajai diri. Bukan niatnya untuk bertindak mengasari Aliya cuma dia telah dikaburi perasaan-perasaan yang telah sekian lama terpendam di sudut hati. Jujur dia mengakui yang dia memang memerlukan Aliya kembali dalam hidupnya tapi akal dan fikirannya yang menghalang. Dia sedar, dia tewas pada diri sendiri.

Taufik menarik nafas dalam-dalam sebelum beristigfar dalam hati. Serentak genggaman tangannya dilepaskan.

“Maafkan Liya. Liya betul-betul minta maaf.” ucap Aliya sebelum melangkah meninggalkan kamar tersebut. Hanya itu yang mampu difikirkannya saat itu walaupun dia sedar ianya takkan mampu mengubah apa-apa. Langkah kaki yang longlai diatur meninggalkan Taufik dengan wajah yang sugul. Pemergian Aliya dihantar dengan perasaan yang bercampur baur. Taufik mengakui kelancangan mulutnya itu.

“Liya.” Taufik tak dapat lagi menahan perasaan rindu yang ditanggung selama ini. Lantas pinggang Aliya dirangkul kemas mematikan langkah isterinya itu.

“Maafkan abang.” tuturnya lagi sebelum tubuh itu diarahkan kepadanya. Wajah isterinya itu ditatap penuh kasih. Gelora di hatinya memuncak. Wajah yang sentiasa menjadi peneman mimpinya selama ini diusap lembut. Air mata yang masih galak membasahi pipi diseka dengan jari, lantas satu ciuman melekat di pipi Aliya yang kebasahan. Tubuh Aliya didakap semahunya tak reka untuk berpisah lagi. Aliya hanya menurut kerana dia masih terkejut. Sikap dan layanan Taufik berubah sepenuhnya.

“Abang rindu Liya. Abang betul-betul rindukan Liya.” ucapnya. Aliya terkelu. Wajah Aliya ditatap dengan pandangan yang penuh pengertian sebelum bibir isteri yang tersayang di kucup lembut. Akhirnya mereka lemas dalam dendam rindu yang telah terlalu lama disimpan.

 

Taufik membuka mata perlahan. Kenangan bersama Aliya semalam masih bermain-main di ruangan fikiran. Pantas dia mencari isteri kesayangannya itu, namun kelibat Aliya sudah tidak kelihatan. Aliya tetap cantik dan manis sama seperti dulu. Dia tersenyum penuh makna serentak tuala yang bergantungan dicapai.

Dia tak mahu terlalu leka melayan perasaan kerana sedar masih ada kewajipan yang harus diselesaikan. Selesai solat, Taufik menyusuri anak tangga menuju ke dapur. Matanya meliar mencari kelibat Aliya yang dirindui. Hampa. Aliya tidak kelihatan. Hajat di hati ingin membincangkan tentang hala tuju perhubungan mereka kini. Dia mahu Aliya tahu apa yang disimpan di hati.

Tombol pintu bilik Aliya dipulas perlahan. Aliya masih belum selesai bersolat. Taufik melabuhkan punggungnya di birai katil menanti saat yang terbaik untuk berbincang hal mereka itu dari hati ke hati. Dia tak mahu Aliya pergi lagi. Cukuplah sekali kesakitan itu dirasai.

Perasaan damai menyelubungi dirinya pagi ini. Pergerakan Aliya tiada satu pun yang terlepas dari pandangannya. Dia bersyukur kerana Aliya telah kembali kepadanya. Dia tidak rela kehilangan Aliya lagi. Apa yang dilakukannya selama ini bukan hanya untuk memenuhi permintaan Izham semata-mata tapi datang daripada kemahuan dirinya sendiri. Dia sudah mula memendam perasaan sejak pertama kali terpandangkan wajah Aliya yang berada dalam simpanan Izham sejak di zaman kolej lagi.

Gambar yang menjadi penyeri meja belajar Izham itu seringkali dicuri pandang. Tanpa sedar perasaan cinta mula terbit di hatinya. Taufik mengagumi keagungan pencipta yang menciptakan seorang wanita secantik Aliya. Dia tahu Aliyalah cinta pertamanya tapi pasti bukan cintanya yang terakhir kerana Aliya milik Izham. Mereka tidak ditakdirkan untuk bersama.

“Cantik tak?” soal Izham pertama kali Taufik terpandangkan gambar Aliya di atas mejanya sewaktu aktiviti oreantasi di UiTM Shah Alam dulu. Dia mengangguk tanda setuju.

“Siapa?” soal Taufik ringkas.

“Buah hati aku. Aliya namanya.” balas Izham dengan senyuman bangga.

Sejak dari itu mereka bersahabat rapat. Boleh dikatakan setiap pagi wajah Aliya bukan saja menjadi pendorong semangat Izham tapi turut menjadi pencetus semangatnya untuk belajar. Semuanya berlaku tanpa diduga, cinta pertamanya itu kini telah menjadi cinta terakhirnya. Dia tidak pernah menduga yang Aliya akan menjadi miliknya. Taufik tersenyum penuh syukur. Izham aku janji aku akan menjaganya dan menyayanginya selamanya. Aku janji. Bisik Taufik di dalam hati.

Aliya selesai bersolat. Telekung sembahyang dilipat kemas sebelum menggantungkanya di rak yang telah tersedia. Dia terpandangkan Taufik yang sedang merenungnya di birai katil. Mereka berbalas pandang. Taufik melemparkan sebuah senyuman kepadanya lalu dibalas ikhlas.

“Kenapa tak kejutkan abang? Boleh kita jemaah sama-sama macam waktu dulu.” Taufik bersuara. Aliya garu muka malu. Suasana yang agak canggung dirasakannya saat itu. Peristiwa yang berlaku setelah sekian lama mereka berpisah. Dia tidak menjangkakan semua itu akan terjadi. Niatnya hanya untuk melepaskan rindu pada Zaim tapi lain pula yang berlaku.

Hidup kembali bersama Taufik bagai satu mimpi yang indah. Menyedari cinta Taufik yang tak pernah berubah membuatkan Aliya teringin memulakan semula hubungan yang terhenti dulu, tapi apabila teringatkan janjinya dengan Pn.Hayati, dia memendamkan saja hasratnya itu.

“Sayang, duduk sini kejap. Kita kena bincang.” ucap Taufik mengarahkan Aliya supaya duduk di sebelahnya.

“Abang nak Liya jujur dengan abang. Liya masih sayangkan abang?” soalnya serius. Aliya mengganguk kemudian menggeleng. Sejujurnya dia malu berhadapan dengan Taufik saat itu. Taufik mengerutkan keningnya. Dia keliru dengan jawapan yang diterima dari Aliya.

“Sayang ke tak?” soalnya lagi inginkan kepastian. Aliya mengangguk perlahan, mukanya ditundukkan. Malu untuk mengakuinya secara berdepan.

Taufik lega, Aliya juga masih sayangkannya. Cintanya tidak bertepuk sebelah tangan, lantas tangan Aliya diraih lalu dikucup lembut.

“Abang nak kita balik macam dulu. Masa Liya jalankan tanggungjawab Liya sebagai isteri dan abang jalankan tugas abang sebagai suami.” ujarnya.

“Abang nak Liya tahu yang abang tak pernah lupakan Liya selama ni. Setiap masa abang berdoa agar Liya kembali pada abang sebab abang yakin yang Liya memang ditakdirkan untuk abang.” tangan Aliya digenggam kemas menunjukkan keyakinannya terhadap apa yang baru diucapkan. Aliya dapat merasa keihlasan dari kata-kata Taufik itu.

“Abang bersyukur yang Allah makbulkan doa abang. Susun atur dalam bilik tidur tu, saja abang kekalkan sebagai tanda hati abang yang tak pernah berubah selama ini. Abang harap Liya dapat maafkan keterlanjuran kata-kata abang malam tadi. Abang tengah marah masa tu. Abang tak sengaja. Abang tak maksudkannya.” jelas Taufik bersungguh-sungguh.

“Abang nak Liya janji yang Liya tak kan sekali-kali tinggalkan abang lagi.” arah Taufik tegas, sambil merenung Aliya dengan wajah yang penuh pengharapan. Mengharap Aliya dapat memahami perasaannya saat itu. Aliya masih sunyi. Taufik semakin tak sabar menanti.

“Liya, janjilah dengan abang.” ulangnya lagi.  

“Liya janji.” balas Aliya seketika kemudian sebelum membenamkan wajahnya di dada bidang Taufik.

“I love you.” bisik Taufik perlahan di telinga isteri yang tersayang. Hati Aliya berbunga riang mendengarkan pengakuan Taufik itu.

“Esok mak balik. Nanti abang cuba slowtalk dengan mak pasal hal kita. Abang yakin mak akan faham.” ujar Taufik, mematikan semua harapan yang baru mula bersemi. Aliya menyesali perbuatannya sebentar tadi. Seharusnya dia lebih mengawal diri. Perjanjian yang baru dimetrai pasti akan memakan dirinya sendiri malah lebih mengecewakan hati suaminya nanti. Dia sedar masanya untuk angkat kaki telah tiba.

 

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati