Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 29

Laili menjengah ke bilik Aliya setelah lelah menunggu di bawah. Puas dinanti namun kelibat Aliya tetap tak kelihatan. Akhirnya terpaksalah dia menapak semula ke tingkat atas.

“Kenapa tak siap lagi ni? Kau tak masuk ofis ke hari ni?” soal Laili yang sudah lengkap berpakaian kepada Aliya yang dilihat masih terbaring di atas katil dengan mata terpejam. Tiada respon.

“Liya kau kenapa? Tak sihat ke?” soalnya lagi sebelum duduk di sebelah Aliya. Serentak Aliya membuka mata. Wajah pucat Aliya ditatap penuh bimbang.

“Kau dah kenapa? Sakit kat mana? Kau senggugut ke?” soalnya bertalu. Dia tahu keadaan Aliya setiap kali waktu offnya tiba. Senggugutnya memang kuat, ada kala sampai tak boleh bergerak sehari dua. Duduk terlepek je memanjang. Rasa kasihan bila melihatnya. Tapi dia tak dapat nak buat apa-apa. Paling kuat pun dia hanya boleh tolong tengok ataupun tolong jangan banyak cakap, lagi pening kepala sahabatnya itu nanti dibuatnya.

“Entahlah. Aku rasa tak sedap badan. Perut ni rasa memulas-mulas. Pening pun ada. Agaknya panggilan dah nak datang kot. Biasalah kan, kau bukan tak biasa tengok aku macam ni.” sambil menyandarkan badan di kepala katil.

“Aku off hari ni boleh?” soalnya pula.

“Mestilah boleh. Kenapa nak tanya aku pulak? Kau kan boss. Kau tu dah makan ubat ke belum?” Soal Laili kepada Aliya yang jelas kelesuan. Aliya mengeleng lemah.

“Tunggu jap ya, aku pergi ambilkan.” kelibat Laili hilang di sebalik pintu. Seketika kemudian dia masuk kembali dengan segelas susu dan ubat di tangan.

“Makan ubat dulu, lepastu rehat.” tuturnya sambil menyuakan ubat tersebut pada Aliya. Lambat-lambat dia menyambut. Dengan bersusah payah ubat tersebut cuba untuk ditelan. Laili menggeleng-gelengkan kepala. Dia tahu Aliya memang tak suka makan ubat.

“Kalau melarat call aku tau, sepantas kilat aku sampai. Aku kan Ultraman, alamak silap Ultrawomen.” pesannya kepada Aliya sambil menyilangkan kedua tangan persis gaya Ultraman, watak hero kesayangannya itu. Aliya membalas dengan senyuman. Laili memang tak pernah menghampakan. Ada saja cara untuk membuatkannya senyum.

“Ok, boss.” jawap Aliya. Sambil menghantar pergi langkah Laili.

“Rehat tau.” kedengaran sayup-sayup suara Laili yang memberikan pesanan tadkala sedang menuruni anak tangga. Aliya tersenyum hambar, gembira kerana Laili memang boleh digantung harap, sentiasa.

Tiba-tiba wajah Taufik menerpa. Air matanya bergenang. Kerinduan pada Zaim timbul kembali. Kepalanya mula terasa berat, malah lebih berat daripada tadi, lantas selimut ditarik menutupi badan yang mula terasa kedinginan. Kantuknya menjadi-jadi, serentak dia merebahkan diri dan buat beberapa ketika dia terlena.

Aliya resah di perbaringan. Dirasakan dadanya senak, perutnya memulas-mulas, tanpa berlengah dia berlari menuju ke bilik air. Dia memuntahkan segala isi perutnya di sinki. Kepala yang berdenyut-denyut ditekap dengan kedua-dua belah tangan. Tekaknya terasa perit dan pahit.

Aliya resah. Seluruh badanya rasa tak selesa. Baru saja mahu melangkah keluar, mualnya menyerang lagi. Sekali lagi dia menuju ke sinki. Kata-kata Laili semasa di kedai Kak Senah semalam terngiang-ngiang ruangan fikiran. Biasan wajahnya di cermin yang pucat lesi ditatap lesu.

“Betul ke apa yang Laili cakap tu? Aku mengandung? Tak mungkin. Takkanlah aku tak perasan selama ni. Tapi memang dah lama aku tak off. Masuk bulan ni dah berapa bulan ya?” soalnya pada diri sendiri sambil membilang jari kerana dia sendiri kurang pasti.

“Tapi, takkanlah.” tuturnya perlahan sebelum menghela nafas dalam-dalam.

 

Sesampainya di rumah, Aliya merebahkan badannya di sofa panjang. Beg palastik ubat diletakkan di atas meja. Aliya mengusap-ngusap perutnya lembut, serentak air matanya berderaian.

“Terima kasih Ya-ALLAH.” ucapnya mensyukuri anugerah ILLAHI. Perbulannya dengan Dr. Lai tadi masih berlegar-legar di ingatan.

“Tahniah Pn. Aliya. Puan mengandung.” kata Dr. Lai kepada Aliya selesai memberi rawatan.

“Sudah masuk 18 minggu. You tak perasan ya.” tambahnya lagi sambil tersenyum, sama-sama menyambut berita yang menggembirakan itu.

Aliya hilang kata-kata. Dia seolah tidak dapat mempercayainya. Tidak pernah dia menduga semua itu akan berlaku, tidak sama sekali. Dia menggeleng-gelengkankan kepala sebelum tersenyum gembira. Hanya ALLAH tempat dia memanjatkan kesyukuran.

“Morning sickness. Sebab tu la you start muntah-muntah dan rasa tak selesa. Selera makan pun ada tambah sikit kan. Nanti saya kasi ubat. First baby?” soalnya.

“Dah masuk yang kedua, tapi dah lama. Dah lebih 5 tahun, tu yang tak perasan.” balas Aliya malu-malu. Selebihnya dia masih terkejut dengan berita yang baru diterimanya itu.

“Buat masa ni semuanya okey. Nanti next appointment kita check lagi. Apa yang penting sekarang you banyakkan rehat. Jangan buat banyak kerja berat-berat sangat. You kena banyak rehat dan jangan terlalu stress.” ucap Dr.Lai mengakhiri bicara.

“Terima kasih doktor.” balasnya dengan senyuman yang masih mekar di bibir.

Aliya masih terpaku di kerusi menunggu yang disediakan di luar bilik rawatan. Dia hanya tersedar ketika namanya dipanggil oleh pekerja di kaunter ubat. Hatinya berbunga riang. Semuanya memang benar-benar berlaku dan dia tidak bermimpi. Dia kini sedang mengandungkan zuriat Taufik, suami yang dicintai. Mengetahui ada insan lain yang berkongsi nyawa dengannya membuatkan Aliya lebih bersemangat untuk menempuhi hari-hari yang mendatang walaupun dia belum pasti apa yang sedang menantinya di hadapan.

Kepulangan Laili petang itu disambut dengan ceria. Laili mengerutkan keningnya hairan. Namun melihat keadaan Aliya yang sudah sihat sangat melegakannya. Dia pantas meluruskan pinggang di sofa. Mahu bermalas-malas buat seketika kerana kepenatan bekerja masih terasa.

“Kau dah okey ke ni? Tadi kata jumpa doktor. Dia cakap apa? Kau mengandung ke? Cepatla bagitahu. Jangan buat aku suspen.” soal Laili beralu-talu, penuh dengan perasaan ingin tahu.

Aliya hanya tersenyum sambil merenung ke arah Laili penuh makna. Mereka berbalas pandang. Mata bulat Laili berkaca, dia seperti sudah dapat meneka makna senyuman Aliya itu.

“Betul ke kau mangandung Liya? Kau biar benar? Tu la, aku dah cakap semalam kan, kau bukan nak percaya.” ucapnya sebelum meluru ke sebelah Aliya.

“Dah berapa bulan?” soalnya lagi.

“Dah masuk empat bulan macam tu. Tak lama lagi Zaim akan dapat adik. Aku sendiri macam tak percaya yang aku mengandung lagi. Rasa macam mimpi pun ada.” balas Aliya sebelum mengusap-usap lembut perut yang masih belum membesar. Aliya keriangan, Laili tak berkecuali, tumpang sekaki sebelum mereka akhirnya berpelukan.

“Syukur Ya-ALLAH. Liya, macam mana la kau boleh tak perasan yang kau mengandung ni? Dah masuk empat bulan pulak tu.” ngomel Laili.

“Aku pun tak sangka yang ada baby kat dalam ni. Lambat dua tiga bulan kan perkara biasa, memang selalu off aku macam tu, kau pun tahu kan. Tapi rupa-rupanya diam-diam ada makna.” balas Aliya sambil tersenyum, berkongsi kegembiraan yang dirasa.

“Taufik tahu tak? Zaim? Kau dah bagitahu diaorang? Mereka mesti happy kan? Mereka cakap apa?” soalnya bertalu sebelum mengusap perut Aliya lembut. Soalan Laili mematikan wajah ceria Aliya. Serta-merta tubuhnya membeku. Laili masih memfokuskan diri pada perut Aliya yang dirasakan sangat berharga, kerana tak menyangka ada insan lain yang sedang menghuni di situ. Senyumannya meleret sampai ke telinga.

“Liya aku tanya ni, Taufik dah tahu ke belum? Kau tak call dia lagi ke?” soal Laili sebelum mendongakkan mukanya menentang wajah Aliya. Pandangan Aliya yang kosong dengan mata yang berkaca mengejutkannya.

“Liya, kau kenapa sebenarnya? Kenapa buat muka macam tu? Sepatutnya kau happy, ni tak. Kau dengan Taufik ada masalah ke?” duga Laili ketika terpandangkan mata Aliya yang mula mendung. Kelopak matanya sudah mula berair, wajah Aliya sayu dan dia tahu sahabatnya itu ada merahsiakan sesuatu.

“Dah lama kami macam ni. Dia bencikan aku Laili. Taufik dah bencikan aku.” jelas Aliya sebelum menyembamkan mukanya ke bahu Laili. Laili beristigfar panjang.

“Dah tu dia tak tahu lah kau kat sini?” soal Laili lagi.

“Tak, dan aku rasa dia tak pernah nak ambil tahu pun aku kat mana. Masa hari aku pergi haritu pun, aku cari dia. Aku nak tengok muka dia buat kali terakhir, tapi dia kunci pintu, dia tak bagi aku masuk. Dia betul-betul dah tak perlukan aku lagi. Pandang muka aku pun dia dah tak nak. Nampaknya dia betul-betul dah bencikan aku. Aku tak tahu nak buat apa dah Laili. Aku dah putus asa.” ucapnya lagi, serentak tangisannya berderai. Dia menangis sepuas-puasnya di bahu Laili.

“Takpa, takpa, aku ada Liya. Sabar la, jangan nangis, nanti aku pun nangis sekali.” balasnya tadkala terasa air matanya mula bergenangan. Tanpa dia sedari air matanya menitis di pipi, kesedihan yang dirasakan Aliya turut sama dirasainya. Mereka berpelukan erat. Laili menepuk-nepuk belakang Aliya perlahan untuk mententeramkannya, mahu Aliya segera menguatkan semangatnya kembali.

“Janganlah sedih. Tak baik untuk baby. Kau nak ke bila keluar nanti anak kau ni asyik melalak je macam mama dia ni.” gurau Laili. Aliya ketawa dalam tangisan. Laili memang sahabat yang setia, sentiasa ada, saat suka mahupun duka. Aliya bersyukur kerana dikurniakan sahabat sebaiknya. Buat seketika mereka melayan perasaan bersama.

“Dahlah, jangan nangis. Nanti kita fikirkan sama-sama. Aku nak kau tahu yang kau tak sendiri. Kau tetap ada kami.” tuturnya memujuk lara Aliya dan Aliya mula mendapat dirinya semula.

“Hmm.” balasnya dalam linangan air mata.

 

“Kau tak nak cerita pada aku ke apa yang terjadi sebenarnya? Kenapa pulak kau kata yang dia dah bencikan kau?” Laili menanti jawapan Aliya setelah babak air mata tadi berakhir. Kini Aliya kelihatan sudah tenang kembali.

“Taufik dah bencikan aku. Dia dah tak perlukan aku lagi dalam hidup dia.” tutur Aliya sebelum dia mengeluh perlahan, Laili memberi sepenuh perhatian dan penumpuan.

“Sebenarnya dah lama kami macam orang asing, sejak mak mertua aku datang jemput aku dulu lagi. Dia tak dapat terima yang aku tinggalkan dia buat kali yang kedua. Dia marah aku. Mungkin dia rasa aku tak serius dalam perhubungan. Bila dia dapat tahu aku sembunyikan kebenaran tentang penyakit arwah dia jadi lebih marah. Dia kata aku tak pernah fikirkan perasaan dia. Bukannya aku tak nak bagitahu, tapi arwah yang beria-ia suruh aku rahsiakan, aku tahu perasaan dia sebab aku pun pernah kehilangan orang yang tersayang.” terang Aliya dan Laili terus manjadi pendengar yang setia.

“Dah macam-macam aku cuba untuk pujuk dia tapi dia tetap tak boleh terima aku. Dia suruh aku tinggalkan dia. Aku tahu dia memang dah tak perlukan aku lagi Laili, dia dah bencikan aku.” jelas Aliya sayu. Sendunya datang kembali. Laili menggenggam erat tangan Aliya untuk memberikannya kekuatan.

“Aku tahu yang dia tak bersedia masa semua tu jadi. Aku bangga dengan dia sebab dia memang seorang anak yang baik. Dia betul-betul sayangkan arwah.” tutur Aliya lagi.

“Tapi dia dah tak sayangkan aku. Dia memang dah tak boleh tengok muka aku lagi. Kehadiran aku hanya menambah luka di hati dia. Dia kata setiap kali tengok aku dia pasti akan teringatkan arwah dan setiap kali itu berlaku dia akan benci pada dirinya sendiri.” tutur Aliya perlahan. Setitis air matanya gugur lagi. Laili menghela nafas panjang. Dia tidak pernah menduga kehidupan Aliya diuji lagi, malah ujiannya dilihat lebih besar kali ini.

“Aku tahu aku bersalah. Tapi dia tak pernah bagi peluang pada aku untuk jelaskan. Dia dah tutup pintu hatinya untuk terima aku. Apapun yang aku cakap takkan dapat ubah pendiriannya. Aku sedih Laili, aku sedih bila tahu yang aku dah tak diperlukan lagi. Dia suruh aku pergi jauh dari hidupnya. Aku reda’ dengan semua yang terjadi dan aku cuba untuk teruskan hidup, tapi aku betul-betul kesiankan Zaim, kerana masalah orang tua dia juga terbabit sama. Dia masih kecil dan dia masih tak tahu apa-apa.” suara Aliya mula terketar-ketar meluahkan perasaan. Laili tersentuh mendengarnya. Genggaman di tangan Aliya dieratkan. Sekarang barulah dia sedar keadaan yang sebenarnya. Aliya tak pernah berubah. Sikap perahsianya tak pernah kurang.

“Kau tahu kan yang kau boleh harapkan aku, Azie pun sekali. Nanti kita cari jalan selesaikan masalah kau ni sama-sama ok? Tapi sebelum tu…” kata-katanya mati di situ. Laili menekan perutnya kuat sebelum bingkas bangun sambil mengepit-ngepit kedua-dua belah kakinya.

“Time out. Permisi bu. Gue dah tak tahan nak ke toilet ni. Liya kejap-kejap lagi kita sambung.” ucapnya sebelum terkoco-koco berlari menuju ke bilik air. Aliya menggeleng-gelengkan kepala, tak percaya.

“Laili, kau ni memang kan.” balasnya sebelum tersenyum kerana gelagat Laili berjaya menghiburkan hati.

 

Bunyi telefon bimbit mengejutkan Aliya yang sedang berbaring di sofa. Satu senyuman terbit di wajahnya tadkala melihat nama Zaim tertera di skrin. Dia baru saja terkenang untuk menghubungi anaknya itu tapi panggilan Zaim yang telah diterimanya dulu.

“Assalamualaikum, sayang mama. Rindu mama ke?” soal Aliya ingin tahu.

“Mestilah rindu. Mama, bila mama nak balik. Dah lama dah ni. Kerja mama tak siap lagi ke?” balas Zaim di hujung talian.

“Belum sayang. Kerja mama ada banyak lagi. Nanti mama cuba siapkan cepat-cepat, pastu cepat-cepat balik jumpa Im ya.” bohong Aliya sekadar alasan mematikan persoalan anaknya yang tak kunjung sudah itu. Begitulah rutinnya setiap kali berbual sejak Aliya pergi, puas bertanya bila dia mahu kembali. Aliya sendiri tidak ada jawapan pada soalan itu. Hatinya rasa terseksa setiap kali membohongi anaknya yang tak berdosa. Kini sudah hampir sebulan sejak dia pergi dari rumah banglo tersebut, namun Taufik masih sunyi tanpa sebarang kata. Sedang Aliya tahu yang Taufik mampu untuk menghubunginya jika dia mahu melalui Zaim kerana mereka berhubungan setiap hari, malah Taufik turut mengetahuinya juga. Cuma hati suaminya itu yang masih tak berubah, tetap keras membatu. Aliya mengusap lembut perut yang sudah mula membesar.

“Mama buat apa hari ni?” soal Zaim mengejutkan Aliya daripada lamunan.

“Macam biasa sayang, kerja la. Kenapa?” soalnya kembali.

“Ia la, apa? Mama cerita lah pada Im mama buat apa. Im nak tahu.” balasnya. Dia sangat rindukan mama. Dah lama mereka tak berjumpa. Wajah mama hanya dapat dilihat di skrin telifon bimbit, itu pun kecil saja. Dia masih tak puas dan dia mahukan mamanya yang sebenar.

“Macam biasa la. Pagi-pagi pergi kerja, lepastu petang balik kerja.” jawab Aliya sambil bergurau. Lagak Zaim seperti pegawai penyiasat itu timbul lagi. Semua aktiviti hariannya perlu dilaporkan. Aliya tersenyum dan dia terhibur, dia sedar yang Zaim benar-benar menyayanginya.

“Im pulak buat apa hari ni? Kerja rumah dah siap?” soal Aliya mematikan pertanyaan anaknya itu.

“Dah. Tadi papa tolong Im siapkan kerja rumah, lepastu papa keluar. Sampai sekarang tak nampak batang hidung. Bosan la ma, tinggal sorang-sorang. Mama baliklah cepat. Im rindu nak main dengan mama, dengan papa macam dulu. Pergi taman main basikal dengan makan aiskrim. Bosan la duduk rumah je.” luah Zaim. Aliya simpati mendengar pengakuan ikhlas anaknya itu. Dia tahu perasaan ditinggalkan sendirian dalam kesunyian.

Serentak wajah Taufik terbayang di mata. Wajah yang kusut dan tak terurus kerana merana dikecewakan terpapar jelas. Aliya menghela nafas perlahan. Masihkah ada ruang di hati suaminya itu untuknya?  

Tempoh waktu sebulan yang berlalu masih tidak dapat meredakan kemarahan suaminya itu. Aliya mula memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Seandainya di perlu membesarkan anak dalam kandungannya itu sendiri dia perlu bersedia untuk melakukannya. Dia tidak mahu Taufik berasa terpaksa untuk bertanggungjawab ke atas anak yang dikandungkannya itu. Dia mahu Taufik menerimanya seikhlas hati sebagai seorang isteri yang dicintai, bukan sekadar ibu kepada anak-anaknya nanti.

“Nanti mama bawak kawan jadi teman Im nak?” soal Aliya sengaja ingin menduga Zaim.

 “Nak…nak. Tapi siapa? Mama nak bawa balik untie Laili ke?” soalnya pula.

“Bukan Untie Laili, tapi kawan yang lain. Nanti Im boleh main sama-sama dengan dia. Tak apa lah, nanti kalau mama balik mama bawa dia sekali.” jawap Aliya. Dia masih berharap kekusutan dapat dileraikan agar penyatuan semula ikatan akhirnya tercapai.

“Siapa ma? Siapa kawan Im tu?” gesa Zaim ingin tahu.

“Nantilah. Nanti mama kenalkan pada Im. Kalau papa balik kirim salam mama kat papa ya. Im jangan nakal-nakal, dengar cakap papa dengan Nek Jah. Esok kita sembang lagi, dah malam ni lagipun esok kan sekolah. Im tidur ya sayang.” Aliya berkira-kira mahu mengakhiri perbualan.

“Mama dah janji nak bawa kawan balik main dengan Im, nanti mama jangan lupa pulak tau. Esok Im nak cakap dengan mama lagi. Im sayang mama.” tegasnya.

“Mama pun sayang Im jugak. Selamat malam sayang. Assalamualaikum.” tuturnya, dengan pantas Zaim mencelah.

“Ma, Im nak mama nyanyi lagu Allah tu lagi macam semalam sampai Im tidur boleh?” pinta Zaim tiba-tiba.

“Mestilah boleh. Im dah sedia ke?” soalnya pula.

“Jap, Im nak masuk bilik. Mama tunggu sekejap tau.” balasnya. Aliya tersenyum bahagia. Kehadiran dua cahaya matanya itu berjaya menerangi kesamaran hidupnya.

Sejujurnya dia sendiri tidak tahu apakah pengakhiran ikatan antara dia dan Taufik. Semuanya terletak pada tangan suaminya itu. Andai itu takdirnya, dia pasrah. Mungkin sukar, tapi dia tak mampu untuk berbuat apa-apa. Tanpa dipaksa, kekecewaannya pada Taufik semakin mula terasa dan air matanya bergenangan semula.

“Mama dah, Im dah siap. Im nak dengar mama nyanyi.” kata Zaim yang sudah bersedia di dalam selimut.

“Ok. Im tidur ya sayang.” tutur Aliya sebelum memulakan upacara.

“Allah hu Allah hu Allah hu Allah. Allah hu Allah hu Allah hu Allah. Allah hu Allah hu Allah hu Allah. Allah hu Allah hu Allah hu Allah. Laillahaillallah, Laillahaillallah. Lailahaillallah….” tuturnya lagi. Zaim yang mendengarnya tenang hati kerana suara mama mampu membuatkan dia terlena.

 

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati