Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 12

Kejadian di taman siang tadi masih terbayang di ruangan minda. Terasa sejuk perut mengandungkan anaknya itu. Zaim memang seorang anak yang baik dan penyayang. Kalau boleh dia mahu hidup di samping Zaim selamanya, biarpun dia terpaksa memainkan watak Laila seumur hidup, dia sanggup. Asalkan Zaim sentiasa di depan mata. Namun panggilan telefon yang diterima Taufik dalam perjalanan pulang tadi mengganggu kententeramannya. Jelas kedengaran Taufik menyebut nama ibunya itu. Adakah Pn.Hayati sudah mahu pulang? Fikiran Aliya mula berkecamuk.

Selesai makan malam, Mak Jah memanggil Aliya ke biliknya. Katanya ada hal penting untuk dibincangkan. Aliya tahu ianya pasti tentang perihal Pn. Hayati dan dia juga tahu masanya sudah tak ada berapa lama lagi.

“Liya, tadi Taufik ada bagitahu Mak Jah yang Puan akan balik minggu depan. Liya macam mana?” soal Mak Jah sesampainya Aliya di bilik. Riak muka Aliya berubah sugul. Sangkaannya tepat sama sekali. Kebahagiaan yang sedang dikecapi ini bakal berakhir dalam masa terdekat. Aliya diam tanpa bicara.

“Nampaknya Liya cuma ada masa seminggu je lagi kan Mak Jah?” balasnya sayu. Mak Jah menggenggam erat tangan Aliya. Dia tahu masa Aliya bersama Zaim sudah semakin suntuk.

“Liya tak nak cuba bincang dengan Taufik ke? Terangkan perkara sebenar. Mungkin dia akan faham.” cadang Mak Jah. Aliya pantas menggelengkan kepala.

“Masalah Liya dengan Taufik tu satu. Tapi masalah Liya yang paling besar dengan Pn.Hayati. Mak Jah sendiri tahu yang dia sampai mati takkan boleh terima Liya dalam keluarga ni, apa lagi yang boleh Liya harapkan?” tuturnya sambil merenung wajah Mak Jah di sisi. Pedih memikirkan perpisahan yang akan terjadi nanti. Zaim pasti akan lebih terseksa kerana kini dia sudah mengetahui segalanya.

“Mak Jah pun tak tahu nak cakap apa. Tapi Mak Jah tengok yang Puan sejak akhir-akhir ni dah ok sikit, dah tak sama macam dulu. Liya tak fikir nak jumpa dengan dia ke? Bincang elok-elok. Manalah tahu yang dia dah boleh terima Liya.” tutur Mak Jah lagi. Dia mahu Aliya bahagia di samping keluarga, tak rela melihat Aliya terus-terusan dilanda masalah yang tak berkesudahan.

“Pn. Hayati yang Liya kenal tak mungkin berubah Mak Jah. Takkan ada siapa yang dapat mengubah keputusannya itu.” balas Aliya penuh yakin. Wajah ibu mertuanya itu terbayang di mata. Kata-kata sinisnya dulu takkan dapat dilupakan. Kenangan lalu yang sentiasa mendera hati dan perasaan masih teguh di ingatan.

“Dia sendiri yang bagitahu yang dia takkan dapat terima Liya sampai bila-bila. Liya ingat lagi semua tu Mak Jah. Dan Liya percaya dia benar-benar maksudkannya. Liya tak nak Taufik jadi anak yang derhaka sebab Liya. Liya tak rela tengok mereka berbalah sebab Liya. Liya rela berpisah demi kebahagiaan semua. Lagipun Liya tak layak nak minta apa-apa lagi Mak Jah. Liya berdosa. Liya kalah pada diri sendiri.” ujar Aliya sedih, setitis air matanya jatuh juga.

Dia tahu dia yang memulakan semuanya. Dia malu untuk mengaku kesalahan yang telah dilakukan. Dia tewas pada permainan yang dirancang ibu mertuanya itu. Kalau Taufik tahu perkara yang sebenar pasti dia akan dilayan seperti sampah terbuang nanti.

“Liya jangan salahkan diri. Liya tak salah.” balas Mak Jah sambil menepuk-nepuk belakang Aliya yang nyata kecewa.

“Tak Mak Jah. Memang Liya yang salah. Liya berdosa.” balasnya lagi.

“Liya sabar ya, Mak Jah hanya boleh doakan yang terbaik.” tuturnya, sebelum tubuh Aliya didakap, memujuk kedukaan yang semakin memuncak.

Aliya serba salah. Antara kasihnya pada Zaim atau janji yang telah dipatri. Fikirannya bercelaru. Adakah sudah sampai masanya di perlu berpisah dengan kesayangannya itu semula? Mampukah Zaim menerima perpisahan yang bakal terjadi. Aliya mati akal.

Semalam, Mak Jah meminta kebenaran daripada Taufik untuk bercuti kerana ada kes kematian di kampungnya. Abang iparnya telah pergi ke rahmatullah akibat serangan jantung. Dia mahu menenangkan kakak sulungnya yang baru kehilangan orang yang tersayang. Mak Jah berjanji akan pulang selewat-lewatnya lusa. Pada mulanya Taufik agak keberatan untuk melepaskannya pergi, tapi bila difikirkan ianya berkaitan dengan soal kematian dia terpaksa merelakannya juga.

Sebelum Subuh lagi Taufik telah menghantar Mak Jah di stesyen komuter yang berhampiran. Perjalanan pulang dari Shah Alam ke Kota Bharu memakan masa yang agak panjang, malah jadual kereta api juga sudah bermula sejak awal pagi lagi.

Buat sementara waktu segala tugas-tugas Mak Jah akan diambil-alih oleh Laila. Laila sudah bersetuju untuk membantu Mak Jah dengan tugasan di rumah, cuma yang menjadi masalah, bila memikirkan mereka akan menghabiskan masa beberapa hari yang mendatang di rumah tersebut bersama, tanpa kehadiran orang dewasa lain walaupun ditemani oleh si kecil Zaim. Pasti akan wujud suasana yang kurang selesa di antara mereka nanti.

Untuk kebaikan semua, Taufik membuat keputusan untuk bermalam saja di rumah Zainal beberapa hari ini, lagipun banyak kes-kes yang belum diselesaikan. Dapatlah dia berbincang dengan Zainal tentang hal-hal pejabat nanti.  

Aliya menurut cadangan Taufik tanpa banyak soal. Sejujurnya dia juga berasa lega dengan tindakan yang diambil Taufik. Bersama-sama Taufik di rumah yang penuh dengan kenangan membuatkannya sedikit terganggu. Dia bimbang lambat laun Taufik mengetahui identitinya yang sebenar, dan bila itu berlaku pasti dia akan teruk dipersalahkan.

Bila fajar menyingsing, barulah nampak kelibat Taufik di banglo itu. Selesai membersihkan diri dan bersolat subuh Taufik merehatkan dirinya sebentar sebelum bersiap-siap semula untuk ke pejabat.

Taufik dilihat sedang menghabiskan suapan mee goreng terakhir di pinggannya dengan tergesa-gesa. Zaim di sebelah dipandang sejenak sebelum jam ditangan dijeling. Zaim masih belum siap bersarapan. Taufik mengetuk-ngetuk jarinya di meja. Aliya perasan dengan tingkah-laku Taufik yang tak tenteram tapi Aliya tak tahu puncanya.

“Im, papa tunggu Im kat kereta ya.” kata Taufik sebelum bergegas meninggalkan meja makan. Zaim hanya mengangguk. Suapan Aliya di mulut disambut dengan penuh berselera. Gembiranya rasa punyai mama sendiri. Bila makan ada yang tolong suapkan. Bisiknya dalam hati.

Taufik meraba-raba kocek seluarnya seperti mencari-cari sesuatu. Aliya nampak kunci kereta yang terletak di atas meja tempat Taufik makan tadi. Lantas kunci dicapai dan dibawa kepada Taufik yang sedang menyelongkar isi perut beg bimbitnya itu.

“Tuan cari ni ke?” soal Aliya sambil menunjukkan kunci kereta tersebut ke arah Taufik. Dia mengangguk perlahan.

Taufik mula segan dengan keadaan itu. Mukanya berubah merah. Belum sempat kunci bertukar tangan ia jatuh ke lantai. Aliya membongkok untuk mengambil semula kunci berkenaan, pada masa yang sama Taufik juga bertindak untuk mencapai kunci tersebut. Serentak mereka memegang kepala masing-masing. Sakitnya hanya mereka yang tahu, macam terhantuk ke batu.

Seketika mata mereka bertentangan. Taufik mula rasa lain macam. Perasaan itu datang lagi. Setiap kali dengan Laila pasti perasaan itu muncul. Hatinya berdebar-debar, dadanya jadi sesak. Dia pasti yang ianya bukan sekadar perasaan simpati terhadap Laila. Cinta? Bisik hatinya. Taufik menggeleng-gelengkan kepalanya untuk menenangkan hatinya yang sedang bercelaru.

“Ha…papa buat apa tu.” suara Zaim memecah keheningan seketika tadi. Nyaris terlompat Taufik dikejutkan begitu.

“Buat apanya…papa ambil kunci ni kan.” balasnya sebelum laju menuju ke kereta. Malunya bukan kepalang. Ditangkap basah oleh anak sendiri, itu lebih memalukan.

“Cepat la…dah pukul berapa ni? Im ni lambat la.” ucapnya melepaskan rasa geram kepada Zaim yang sengaja ditinggalkan di belakang. Zaim tak lupa menyalami Aliya sebelum langkahnya laju membuntuti papanya itu.

Begitulah jadual harian Taufik sejak Mak Jah bercuti. Kurang manis dirasakan berlama-lama dengan Laila di rumah itu walaupun ditemani oleh Zaim. Dia pasti Laila juga memikirkan perkara yang sama. Taufik risau peristiwa dia mencerobohi bilik Laila berulang kembali.

Sejujurnya dia tidak tahu di mana puncanya. Dia seperti sukar mengawal perasaan ketika berhadapan dengan Laila. Benarkah dia sudah mula mengasihi Laila? Apakah asasnya? Rupa? Tidak! Keperibadiannya? Taufik mengangguk-anggukkan kepalanya.

Tanpa Taufik sedari, aksinya itu sedang ditonton oleh sepasang mata kecil Zaim. Zaim perasan sikap papanya berubah bila mamanya ada. Papa malu-malu setiap kali ianya terjadi.

“Papa, kalau Im tanya sikit boleh?” soalnya tiba-tiba.

“Emm…tanyalah.” balas Taufik.

“Antara Untie Laila dengan mama Im yang mana lebih baik? Mama Im ke Untie Laila? Papa kan tahu Im tak sempat nak jumpa mama. Tapi Im teringin nak tahu pasal mama. Mama pun baik macam Untie Laila ke?” soal Zaim bertalu-talu.

Taufik terkelu mendengar soalan cepu emas anaknya itu. Benaknya ligat berusaha untuk mencari jawapan. Dia tidak rela kebenaran yang dirahsiakan menyakiti hati anaknya yang masih mentah.

“Lebih-kurang.” jawabnya ringkas.

“Papa suka Untie Laila tak?” soalnya lagi.

Taufik memandang Zaim di sisi dengan rasa hairan. Apa yang merasuk anaknya itu. Kenapa isu Laila dan Aliya dikaitkan bersama.

“Mohammad Zaim Syakir, dah sampai. Sila turun sekarang.” arah Taufik mematikan topik perbualan yang kurang digemarinya sejak dulu. Persoalan tentang Aliya yang dia sendiri tak tahu akan jawapannya.

“Takpa lah kalau papa tak nak jawap. Tapi Im suka untie Laila. Jadi biar Im je yang jaga dia. Papa tak payah. Nanti kalau untie dah jadi cantik baru papa tahu.” Zaim menggigit bibir sedar yang dia sudah terlepas cakap.

“Apa maksud Im?” soal Taufik hairan.

“Tak ada apa lah, lagipun Im dah sampai.” tangan Taufik disalam sebelum kelibatnya hilang di sebalik pagar.

Taufik menggaru-garu kepala yang tiba-tiba terasa gatal. Dia masih memikirkan persoalan yang ditimbulkan oleh Zaim sebentar tadi.

“Budak ni!” ucapnya sebelum meneruskan perjalanan ke pejabat.

 

Hari ini penantiannya bakal berakhir. Mak Jah akan pulang dari kampung. Lega rasanya hati apabila memikirkan yang dia tidak lagi perlu tidur di sofa panjang di dalam bilik pejabatnya itu. Rancangan untuk bermalam di rumah Zainal tidak diteruskan apabila memikirkan jarak rumah yang agak jauh dari Shah Alam.

Dia tidak sanggup meredah kesesakan jalanraya untuk berulang-alik dari Shah Alam ke Petaling Jaya semata-mata hanya untuk bermalam. Akhirnya Taufik membuat keputusan tidur di pejabat sahaja, lebih mudah jika ada sebarang urusan kecemasan di rumah sambil tu boleh buat kerja. Sambil menyelam, minum air.

Telefon Taufik berdering. Terpampang nama Mak Jah di skrin. Taufik tersenyum gembira. Masanya sudah tiba. Dapatlah dia memanjakan diri di atas katilnya malam ini.

“Assalammualaikum Fik.” jelas suara Mak Jah menerjah di telinga.  

“Waalaikummussalam, ya Mak Jah, kenapa? Mak Jah dah sampai ke?” soalnya. Kegembiraannya tak dapat di sembunyikan lagi.

“Maafkan Mak Jah ya. Mak Jah tak dapat balik hari ni. Tiket kereta api dah habis.” balasnya perlahan. Dia bimbang. Bimbang Taufik akan marahkannya.

Mati senyuman di wajah Taufik sebentar tadi. Taufik sedia maklum keadaan yang dialami oleh Mak Jah. Kebanyakan pengguna ke negeri Kelantan lebih suka menaiki pengangkutan itu berbanding pengangkutan lain. Masa perjalanan yang panjang dan memenatkan membuatkan kebanyakan mereka lebih selesa menaiki kereta api. Tambahan pula kos pengangkutan yang lebih rendah membuatkan mereka berlumba-lumba untuk menggunakan perkhidmatan tersebut terutamanya bagi pelajar-pelajar.

“Budak-budak cuti sekolah. Tiket habis awal sangat, esok baru ada.” tambah Mak Jah lagi. Dia masih takut-takut. Dia tahu dia terlupa untuk membeli tiket dua hala sejak awal lagi. Dia menyalahkan diri sendiri kerana terlalu kalut memikirkan keadaan Kak Longnya sampai boleh terlupakan hal tiket.

“Takpa lah Mak Jah, kami ok kat sini, Mak Jah jaga diri.” balasnya sebelum perbualan berakhir. Taufik termenggu seketika. Tiba-tiba dia mengetuk dahi. Baru dia teringat yang dia terlupa membawa baju ganti pagi tadi. Jam di tangan dikerling, sudah pukul 3.00 petang. Pen di tangan diketuk-ketuk ke meja sambil fikirannya ligat mencari jalan penyelesaian.

“Macam mana ya?” soalnya pada diri sendiri.

“Tak apa Taufik. Cool. Malam ni kau balik lambat sikit. Agak-agak semua dah tidur baru kau balik. Ambil baju lepastu gerak pergi office balik. Selesai masalah.” ucapnya pada diri sendiri sebelum meneruskan tugasan yang tergendala tadi.

Selesai menidurkan Zaim, Aliya ke biliknya untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Isyak. Wajahnya di rapikan di hadapan cermin. Dia berasa selesa kerana tidak perlu mengenakan solekan penyamarannya sepanjang ketiadaan Mak Jah. Dia tahu yang Taufik tidak akan tidur di rumah selagi Mak Jah masih belum pulang. Dia sudah berjanji mahu menemankan Zaim tidur malam ini.

Tombol pintu bilik Zaim dipulas sebelum langkahnya mati di situ. Aliya memandang ke arah kamar Taufik yang berada bersebelahan. Hatinya terpanggil untuk menjengah ke kamar tersebut. Kamar yang pernah menjadi miliknya satu ketika dahulu. Semenjak dia berada lebih sebulan bekerja di situ, ini barulah pertama kali dia mendekati bilik itu semula. Bilik yang banyak menyimpan kenangan pahit dan manis sepanjang hidupnya.

Pintu dibuka. Langkah disusun perlahan menyusuri kamar yang pernah menjadi saksi kasih sayang antara dua hati, dia dan suami yang dicintai. Aliya terpaku. Suasana kamar itu sama seperti kali terakhir dia di situ. Tiada perubahan yang ketara dilakukan oleh Taufik ke atas kamar tersebut dari susunan perabot mahupun hiasan dinding semuanya masih kelihatan sama dengan yang sebelumnya.

Langkah kaki Aliya terhenti di meja yang terletak bersebelahan dengan kepala katil. Laci dibuka satu-persatu. Aliya terhenti di laci yang terakhir. Dia kenal dengan sampul surat yang berada di dalam laci itu. Perlahan tangannya mencapai sampul surat tersebut. Kenangan lama kembali menerjah di minda. Kenangan yang perit dan menyakitkan, tak lupa juga kenangan yang penuh sesalan.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati