Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 9

Jam menunjukkan hampir pukul 11.30 malam. Taufik pulang agak lewat malam ini, selalunya dia sampai di rumah sekitar jam 9.00 malam untuk meluangkan masa dengan Zaim. Dia tidak rela menjadi ayah yang mengabaikan anaknya sendiri. Cukuplah hanya Aliya sahaja yang berbuat demikian.

Kebiasaannya dia akan menidurkan Zaim dengan membacakan buku-buku kegemaran anaknya itu terlebih dahulu sebelum menyelesaikan tugasan di bilik bacaan. Segala kasih dan sayang dicurahkan kepada permata hatinya itu. Dia mahu membesarkan Zaim sebaiknya dengan usahanya sendiri.

Tiba-tiba dia tersedar. Sudah agak lama dia tidak ada masa untuk Zaim. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dia terlalu sibuk dengan kerja-kerja pejabat. Tumpuannya hanya diberikan pada projek penilaian semula tersebut. Baru dia sedar yang dia juga sudah mula mengabaikan kebajikan anaknya itu sama seperti Aliya. Lantas langkahnya dihayun laju mendaki anak tangga.

Dia sesal. Fail yang dibawa pulang tadi diletakkan di atas meja di bilik bacaan sebelum dia menuju ke bilik Zaim. Itulah rutin harian Taufik sejak pemergian Aliya dahulu. Tak lengkap dirasakan harinya tanpa mencium dan memeluk anak kesayangannya itu.

Taufik bertekad untuk membuktikan yang dia mampu membesarkan Zaim sebaiknya walaupun tanpa kehadiran Aliya. Setiap kali perihal Aliya dibangkitkan oleh Zaim, dia jadi serba salah kerana setiap kali itu jugalah dia terpaksa membohongi anaknya itu.

Dia tidak rela Zaim mengetahui kebenaran tentang ibu yang sanggup membuang dan mengabaikannya. Oleh kerana itu, Taufik memberitahu Zaim yang ibunya sudah tiada di dunia ini lagi. Kebenaran tentang Aliya pasti amat sukar diterima oleh anaknya nanti. Dia tak sanggup melihat Zaim menderita sama seperti yang dia rasai.

Setibanya di bilik Zaim, mata Taufik tertancap pada sekujur tubuh yang sedang duduk berteleku di birai katil. Taufik kenal benar dengan gerangan si empunya badan. Laila… ya Laila nama yang sering meniti di bibirnya dan mengganggu ketenteraman fikirannya kini.

Hatinya jadi tak keruan melihatkan Laila yang sedang tidur di situ. Peristiwa malam semalam menghantui fikirannya semula. Dia masih belum bersedia untuk berhadapan dengan Laila selepas semua itu berlaku serentak dia segera berpaling. Taufik berkira-kira untuk beredar dari situ. Tiba-tiba dia mematikan hajatnya. Dia tewas lagi. Taufik mengamati sekujur tubuh Laila yang sedang terlena. Tudung yang dipakai menutupi sebahagian besar wajah wanita di hadapannya itu. “Barangkali dia malu dengan kesan parut pada wajahnya itu”, bisik Taufik di dalam hati.

Malu kerana dirasakan mengganggu ketenteraman orang di sekeliling tambahan pula dalam dunia yang lebih mementingkan kesempurnaan ini. Dalam diam timbul rasa simpati dalam diri melihat keadaan Laila yang kurang sempurna. Terasa mahu dibela nasib wanita di hadapannya itu.

Taufik menghampiri Laila yang masih terlena. Perlahan-lahan tangannya diarahkan ke bahu kecil Laila tetapi hajatnya itu dimatikan. Dia takut dituduh ingin mengambil kesempatan lagi.

“Laila.” bisiknya perlahan. Tiada sahutan.

“Laila, bangun tidur kat bilik awak.” katanya lagi, lebih kuat dari yang sebelumnya. Masih tiada sahutan. Taufik mengeluh. Perlahan bahu Laila disentuh dan digoncang berhati-hati. Taufik berasa tak tenteram tadkala tangannya menyentuh tubuh itu. Teras bahang naik sampai ke muka. Serentak Laila menggerakkan badannya. Mata mereka bertentangan.

Laila kaget dengan situasi yang terjadi. Matanya membulat, dia jelas terkejut. Taufik cepat-cepat mengalihkan tangannya dari bahu Laila, takut disalah sangka. Mereka mula jadi tak tentu arah, keduanya cuba menyembunyikan perasaan masing-masing. Tergesa-gesa Laila cuba untuk bangun.

Laila tidak menyangka yang dia terlena di situ. Perkara terakhir yang diingatinya ialah dia sedang menidurkan anak kesayangannya itu tadi. Terasa lengkap hidupnya dapat mendodoikan Zaim seperti masa dulu.

“Maafkan saya tuan, saya tertidur.” ujarnya. Jarak mereka hanya dipisahkan beberapa langkah. Taufik mengangguk sedang matanya masih memandang Laila. Taufik jadi aman setiap kali mendengar suara wanita di hadapannya itu. Dia sendiri hairan dengan perubahan diri, memang ada sesuatu pada Laila yang membuatkannya tertarik.

Aliya mula jadi tak senang. Dia tak selesa setiap kali Taufik merenungnya begitu. Terasa lemah sendi lututnya setiap kali ia terjadi. Dadanya rasa sesak, dia perlu segera meninggalkan bilik tersebut. Takut kalau-kalau peristiwa semalam berulang lagi. Tindakan Taufik sukar untuk diramal.

Aliya mencebik ke arah Taufik yang masih setia di hadapannya serentak Taufik tersedar. Dia cuba untuk memberi laluan kepada Laila yang ingin beredar. Tanpa disengajakan, dalam usaha untuk bangun, kepala mereka terhantuk diantara satu sama lain.

“Aduh.” tutur Aliya. Serentak keduanya mengusap-usap dahi yang kesakitan. Sekali lagi mata mereka bertentang.

“Maaf.” ujar kedua-duanya serentak. Berputik bunga senyum di bibir mereka, akhirnya mereka ketawa dengan situasi yang tidak disangka-sangka itu.

“Maafkan saya.” ucap Taufik perlahan.

“Tak, saya pun salah. Saya tak perasan tadi. Saya yang nak cepat.” balas Aliya.

“Maaf. Maafkan saya untuk apa yang baru jadi tadi, dan maaf juga tentang apa yang berlaku semalam.” tutur Taufik perlahan. Menginsafi perbuatannya pada Laila. Riak wajah Aliya berubah, dia jelas tak selesa. Dia tak mahu membicarakan tentang peristiwa itu lagi. Cukuplah sekali ianya terjadi.

“Tentang hal semalam, saya tahu saya yang bersalah. Saya betul-betul minta maaf. Saya tak sengaja.” ulangnya lagi. Wajah Laila di hadapannya ditatap, namun reaksinya tetap sama. Laila masih kecewa.

“Saya sanggup bertanggungjawap kalau itu yang Laila mahu.” tambahnya lagi sebelum cepat-cepat pandangannya diarahkan ke tempat lain. Taufik malu dengan perbuatannya sendiri. Bulat mata Aliya  mendengar pengakuan Taufik. Aliya mencari keikhlasan dalam kata-kata itu. Melihatkan tindakan Taufik yang tak berani bertentang mata dengannya membuatkan Aliya yakin bahawa Taufik tak serius dalam kata-kata.

“Tuan tak perlu bertanggungjawab. Saya tak perlukannya ehsan dari tuan. Cuma kalau boleh saya harap perkara sama takkan berulang lagi.” balasnya sebelum mengambil langkah seribu meninggalkan Taufik yang masih dijeruk rasa bersalah.  

Setibanya dari tadika Zaim terus mencari kelibat Untie Laila. Zaim telah menjadi terlalu rapat dengan Laila tanpa dia mengetahui tentang pertalian diantara mereka. Begitulah keadaannya setiap kali pulang. Dari ruang tamu Zaim berlari ke dapur. Dia hanya nampak Mak Jah yang sedang sibuk di situ. Zaim masih terjenguk-jenguk mencari sambil bibirnya dimuncungkan.

“Zaim cari apa?” Soal Mak Jah, sengaja mahu menduga anak kecil itu. Zaim menggeleng-gelengkan kepala.

“Mak Cik Laila ada kat belakang sana, kat taman. Nek Jah tahu apa yang Zaim cari. Zaim sayang ke dengan Mak Cik Laila tu?” soalnya lagi.

Zaim hanya membalas pertanyaan Mak Jah dengan senyuman, sebelum berlari ke taman untuk mendapatkan Aliya.

“Elok-elok, jangan berlari, jatuh nanti.” pesannya sebelum kelibat Zaim hilang dari pandangan. Mak Jah gembira kerana dapat menyatukan dua kasih yang sudah lama terpisah. Melihatkan kegembiraan di wajah Zaim membuatkan dia pasti tindakannya membawa Aliya kembali adalah tepat. Dia tersenyum bangga.

Zaim nampak Aliya yang sedang sibuk menggunting dahan-dahan pokok yang berlingkaran. Dia terhinjit-hinjit mendekati Aliya, bimbang kehadirannya diketahui sebelum tiba masanya. Semakin lama semakin dia menghampiri Aliya yang masih terbongkok-bongkok leka dengan kerjanya.

“Untie.” pekiknya mengejutkan Aliya, sambil kedua-dua belah tangannya memeluk tengkuk Aliya dari belakang. Bagai nak gugur rasanya jantung Aliya diperlakukan begitu.

“Budak ni!” ujarnya geram sebelum memusingkan badan menghadap Zaim. Ditenung wajah Zaim yang ingin bermanja persis seorang anak yang rindukan belaian dari seorang ibu. Perasaan geramnya tadi hilang begitu saja.

“Ya-ALLAH, apa yang aku dah lakukan pada dia.” desis Aliya dalam hati. dia menyesali perbuatannya sendiri.

Dia sedar dia tidak sepatutnya menurut saja semua arahan Pn. Hayati itu. Dia tahu, sepatutnya dia memperjuangkan ikatan perkahwinan yang terjalin, bukannya patuh pada desakan orang lain. Natijahnya anak tak berdosa ini yang menjadi mangsa. Seorang lagi mangsa keruntuhan rumah tangga sama seperti Laili dan Azie. Lebih menyedihkan, dia adalah punca Zaim hilang tempat bermanja.

“Untie sayang Im.” tuturnya. Sebelum mengucup kedua-dua belah pipi anak yang di kasihi.

“Im pun sayang untie.” jawap Zaim sambil tersenyum. Aliya tersentuh. Kelopak matanya terasa panas, serentak tubuh kecil itu didakap erat.

Tanpa disedari, fikirannya melayang mengimbau kenangan yang tak mungkin dapat dilupakannya itu. Kenangan pahit yang sentiasa menghantui kehidupannya selama ini. Kenangan yang mengganggu kedamaian dan ketenangan jiwanya.

“Nah, tandatangan.” dengan bersahaja Pn.Hayati melemparkan sehelai sampul surat ke arah Aliya yang sedang duduk di sofa bertentangan dengannya.

“Aku nak kau tandatangan borang tu sekarang. Seperti yang dah kita janjikan dulu, aku nak kau pergi jauh dari hidup Taufik, begitu juga dari hidup Zaim selama-lamanya.” katanya dengan nada yang tegas. Aliya segera melutut di hadapan ibu mertuanya itu. Dia tak mahukan perpisahan. Zaim masih terlalu kecil untuk ditinggalkan. Dia masih belum bersedia.

“Puan saya sayangkan Abang Taufik. Saya tahu saya tak layak untuknya, tapi tolonglah bagi peluang pada kami berdua. Saya merayu pada puan. Tolonglah jangan pisahkan kami. Zaim masih terlalu kecil, dia masih perlukan saya.” pinta Aliya bersungguh-sungguh. Kesedihan menyelubungi diri. Air matanya berlinangan. Tak pernah dia menduga ibu mertuanya akan bertindak kejam pada masa-masa seperti itu. Baru sebulan, baru sebulan Zaim dilahirkan. Kini dia dihambus tanpa rasa simpati.

Mak Jah sampai dengan menatang dulang berisi air. Pn. Hayati menjeling ke arahnya. Dia faham akan maksud jelingan puan besarnya itu. Selesai menghidang cepat-cepat dia kembali ke dapur. Hati tuanya bersimpati atas nasib yang bakal menimpa Aliya. Dia sedar Pn.Hayati bertindak keterlaluan. Sudah lama Aliya dilayan begitu. Tapi dia hanya orang gaji, tak layak mencampuri urusan mereka.

“Kau ni dah kenapa? Dah lupa janji kau dulu. Perkahwinan ni bersyarat. Seandainya aku dah dapat calon yang sesuai untuk Taufik kau janji untuk undur diri, sekarang ni kau nak berdolak-dalih pulak, memang dasar perempuan lidah bercabang.” Pn. Hayati memuntahkan segala rasa hatinya tanpa memikirkan langsung perasaan Aliya.

“Tolonglah puan. Zaim masih kecil. Dia masih perlukan saya. Saya tak sanggup nak berpisah dengannya lagi.” rayu Aliya. Pn.Hayati jadi makin marah. Dia rasa tercabar. Wajah Aliya dihadapannya dijeling tanpa belas kasihan.

“Itulah sebabnya aku suruh kau pergi sekarang. Sebab dia masih kecillah aku nak kau tinggalkan dia. Aku tak nak dia ingat apa-apa tentang kau. Aku akan carikan mak baru untuknya nanti. Kau boleh berambus.” tuturnya geram. Darahnya sudah naik sampai kepala.

“Puan, tolonglah saya puan. Saya sayangkan dia. Saya tak rela berpisah dengannya. Tolonglah puan. Tolonglah kasihankan saya.” rayu Aliya sepenuh hati dengan tangisan yang tak tentu bila akan berhenti.  

“Aku dah kata kan, aku tak boleh terima kau jadi menantu aku sampai bila-bila. Kau ingat aku main-main ke?” marahnya sebelum meletakkan sekeping gambar di hadapan Aliya yang sedang berlinangan air mata.

“Kau tengok tu, aku dah carikan calon isteri yang terbaik untuk Taufik. Itu Zulaikha anak Dato Idris, sepupu Taufik. Dah lama kami berhajat nak jodohkan mereka berdua, tapi kami tangguhkan kerana Zulaikha masih belajar masa tu. Sekarang masa kau dah habis, dia akan gantikan tempat kau dalam hidup Taufik.” wajahnya menyinga. Marahnya pada Aliya tak pernah kurang.  

“Kau tengok tu. Macam langit dengan bumi kan beza kamu berdua. Yang paling penting mereka setaraf, tak macam kau yang padan jadi orang gaji kat rumah aku ni je.” Aliya dijeling penuh kebencian. Dia masih tak dapat melupakan waktu kali pertama Taufik memperkenalkan Aliya sebagai isteri, sekembalinya dari Johor Bahru petang itu. Kenangan yang menyit-nyiat tangkai hatinya itu takkan pernah dapat dilupakan.

“Kata mahu outstation, tub-tub balik bawak isteri entah dari mana dia kutip kau pun aku tak tahu. Boleh kau bayangkan perasan aku masa tu?” katanya sambil mencebik. Merah mata Pn. Hayati dek kerana kemarahan yang membuak-buak itu.

Aliya hilang kata-kata. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Segala cacian dan makian Pn.Hayati diterimanya dengan tenang, hanya air mata yang menjadi teman setia. Mukanya yang cerah menjadi pucat lesi. Dia tidak pernah menjangka yang ibu mertuanya itu sanggup bertindak sekejam itu padanya, tambahan pula ketika ketiadaan Taufik. Aliya tak tahu ke mana harus dia mengadu. Dengan semangat yang sudah terbang, Aliya mencapai sampul surat tersebut, sebelum melangkah longlai menuju ke biliknya.

“Nanti, sebelum aku terlupa. Nah kau ambil surat yang bekas kekasih kau bagi kat anak aku ni.” serentak sepucuk surat dilemparkan ke arah Aliya.

“Aku tak sangka, anak yang aku tatang bagai minyak yang penuh akhirnya terpaksa jadi pak sanggup untuk tutup aib kau, memang dasar perempuan tak guna.” tambahnya lagi sebelum berlalu pergi. Aliya membongkok dan mencapai surat yang terdampar di lantai.

 

Sepucuk surat tulisan tangan seorang lelaki bernama Izham yang khas ditujukan kepada Taufik diteliti. Aliya tidak memahami maksud kata-kata Pn. Hayati yang menuduhnya menjadikan Taufik sebagai pak sanggup. Bait-bait di dalam surat dibaca satu persatu.

“Taufik aku minta maaf terlebih dahulu seandainya surat ini bakal mengganggu ketenangan kau. Aku juga tahu permintaanku ini sangat berat untuk ditunaikan. Hanya kau yang dapat aku fikirkan saat ini. Kesihatan aku dah semakin teruk Fik. Penyakit lamaku itu semakin memburuk. Sesungguhnya aku sudah kesuntukan masa, tapi jujur aku tidak pernah menjangka yang ia akan datang menjemput ku secepat ini. Kalau aku tahu pastinya aku tidak akan menghantar rombongan peminangan itu.

Aku juga teringin merasa manisnya bercinta dan dicintai seperti orang lain sebelum aku dipanggil menghadapNya. Aku tak sanggup membiarkan Aliya keseorangan ditinggalkan tanpa teman di hari persandingannya nanti. Aku tahu kau juga tahu betapa aku memujanya sejak dari zaman universiti lagi dan kau juga tahu sejarah aku dan dia lebih daripada orang lain.

Demi persahabatan kita selama ini, sudilah kiranya kau menjadi pengganti aku nanti. Aku dah tak mampu untuk bertahan Fik. Aku tak tahu nak minta tolong dengan siapa lagi. Aku percaya yang kau mampu untuk menjaga Aliya dengan baik. Tolong bantu aku melindunginya Fik. Tolong tunaikan permintaan pertama dan terakhir dari seorang yang bernama sahabat.”

 

Aliya terkesima ketika membaca surat karangan lelaki yang bernama Izham itu. Dia cuba memahami segala isi kandungan surat tersebut. Fikiran Aliya jadi tak menentu. Dia tak dapat mempercayai bahawa Taufik bukanlah tunangannya yang sebenar. Mati-mati dia ingatkan Taufiklah lelaki yang menghantar rombongan merisik ke rumah keluarga angkatnya di Johor Bahru dulu.

Aliya rasa bersalah kerana tidak mengambil berat isu pertunangan itu sejak dari mula lagi. Cadangan bapa angkatnya itu ingin ditolak pada asalnya. Dia merasakan dirinya masih terlalu muda, baru menjangkau usia 21 tahun. Aliya nyata tidak dapat menerima kenyataan yang dia perlu menamatkan usia remajanya seawal itu. Namun memikirkan bantuan keluarga ayah padanya selama ini, Aliya mula jadi serba salah, antara keinginan diri ataupun keperluan untuk membalas budi. Akhirnya Aliya terpaksa akur dengan permintaan bapa angkatnya itu.

Ayah beria-ia meyakinkan Aliya yang bakal suaminya itu adalah seorang yang sangat baik dan bertanggungjawab. Malah turut dikenalinya. Kata ayah dia sudah berjanji pada keluarga pihak lelaki. Aliya patah hati. Dia tak tahu mahu berkata apa lagi. Dan kerana janji yang telah terpatri, Aliya sanggup berkorban untuk memenuhi hasrat seorang bapa. Akhirnya majlis perkahwinan berlangsung serentak dengan hari pertunangannya.

Surat di tangan terlepas jatuh ke lantai. Aliya masih terkejut. Fikirannya kosong. Kandungan surat tersebut membuatkan pendiriannya tadi mula goyah. Dia mula sedar selama ini Taufik membohonginya. Dia tak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Abang, kenapa buat Liya macam ni?” tuturnya merintih. Tangisannya menjadi-jadi.

“Kenapa abang sanggup berkorban demi kami. Abang buat Liya benci pada diri sendiri. Abang buat Liya rasa teruk.” air mata yang berjurai di pipi disapu dengan belakang tangan. Aliya mati akal. Fikirannya seperti tak dapat berfungsi.

Maknanya selama ini Taufik terpaksa menerimanya? Adakah ungkapan cinta yang diucap selama ini hanya atas dasar kepura-puraan? Ya-Allah, bantulah aku, rintihnya dalam hati. Aliya kecewa dengan tindakan Taufik yang merahsiakan kebenaran itu darinya. Sudah setahun. Sudah setahun semua itu berlaku. Patutlah selama ini layana Pn.Hayati kasar dan dingin. Rupa-rupanya ia berpunca dari kesalahan yang dilakukannya tanpa dia sedari. Aliya mula meragui kasih sayang yang dicurah Taufik padanya kini. Sekarang barulah Aliya tahu makna kata-kata Pn. Hayati tadi. Wajarlah selama ini ibu mertuanya itu membencinya. Segala yang dilakukannya ada saja yang tak kena. Semuanya tak memuaskan hati, pasti ada saja cacat celanya.

 

“Untie…untie kenapa? Untie tak sihat ke? Soal Zaim. Badan Aliya digoncang perlahan. Aliya tersedar dari lamunan yang panjang. Wajah Zaim di hadapannya dipandang penuh sayu. Mata bulat Zaim dengan dihiasi bulu mata yang lebat, tak tumpah macam wajah papanya. Bila senyum jelas terpamer lesung pipit di kedua-dua belah pipinya yang putih. Aliya rasa sangat damai ketika menatap wajah anaknya itu. Keningnya masih berkerut inginkan jawapan dari Aliya.

Aliya rasa sangat terhibur dengan gelagat Zaim, belahan hatinya itu. Biarlah hanya dia yang mengetahui kebenaran tentang hubungan mereka, tidak Zaim jauh sekali Taufik. Aliya pasti jika kebenaran itu terdedah Taufik akan menghalaunya begitu sahaja. Dia belum bersedia, rindunya pada Zaim masih bersisa, masih banyak lagi yang dia ingin lakukan bersama.

“Tak ada apa-apa sayang. Jom masuk, nanti untie siapkan jus oren kegemaran Zaim.” balas Aliya. Zaim keriangan mendengarnya sebelum kedua-duanya bergerak ke dalam rumah dengan berpimpinan tangan.

Berkat solekan penyamaran yang dikenakannya, pasti tiada siapa di rumah itu yang dapat menyangka Laila adalah Aliya. Bahkan Pn. Hayati sendiripun tidak dapat mengecamnya ketika dia memohon untuk menjadi pembantu sementara dulu. Semuanya atas usaha kawan karibnya Azie yang dikenali sejak berada di rumah akak yatim Al-Hidayah, kini merupakan seorang juru solek profesional.

 

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati