Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 8

Pelbagai isu-isu penting dibincangkan dalam meeting pagi ini. Fikiran Taufik melayang entah ke mana. Usul-usul dan cadangan dari Rusdi tidak tentu butir bicaranya. Pandangan kosong dilemparkan ke arah Rusdi yang bersungguh-sungguh memberi penerangan.

Taufik hanyut dalam dunianya sendiri. Hanya tubuhnya yang berada di situ, fikirannya merewang entah sampai ke mana. Peristiwa malam tadi masih segar dalam fikirannya. Sukar untuk dia memaafkan dirinya sendiri. Perbuatan terkutuknya pada Laila tak harus di maafkan. Patutkah dia bertanggungjawab terhadap Laila sebagai menebus keterlanjurannya itu? Mengambilnya sebagai isteri? Taufik makin runsing pen di tangan diketuk- ketuk ke meja.

“En.Taufik macam mana dengan kertas cadangan ni? Ada apa-apa yang perlu diubah lagi?” soal Rusdi yang baru selesai perbantangannya. Tiada sahutan. Semua mata tertumpu ke arah Taufik yang masih tidak menyedari keadaan itu.

“Taufik.” suara Zainal yang memanggilnya agak kuat menyedarkan Taufik dari lamunan. Taufik perasan semua mata sedang memandang ke arahnya. Malu bila di tangkap basah begitu.

“Biar saya periksa dulu, sebarang anmenment akan saya beritahu nanti. Hantarkan saya satu salinan draf akhir secepat mungkin. Kita dah menghampiri tarikh akhir, harap semua berjalan seperti yang telah dirancang.” arahnya pantas, tak rela ketelanjurannya di ketahui umum.

Syarikat Penilaian miliknya itu sedang sibuk menyiapkan sebut harga bagi merebut tander terbuka berkaitan penilaian semula kadar cukai taksiran di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Klang untuk setiap hartanah yang berada di dalam jajahannya. Taufik sedaya upaya cuba menjayakan projek tersebut. Sudah banyak usaha yang dicurahkan bagi merealisasikan impiannya itu.

“Baik En.Taufik.” balas Rusdi.

Taufik masih duduk termenggu di meja memikirkan tentang perbuatannya pada Laila. Hatinya tak keruan setiap kali teringatkannya. Bukan niatnya untuk mengambil kesempatan, sebaliknya dia hanya inginkan penjelasan. Semuanya berlaku tanpa dia sedari. Kakinya seperti ditarik-tarik untuk masuk manghampiri Laila yang sedang berdiri membelakangkannya. Tanda lahir di betis Laila sama seperti yang terdapat pada tubuh Aliya. Taufik jadi tak tentu arah. Mukanya diusap berkali-kali minta segera menyembuhkan hati.

Suara Laila memarahinya malam tadi juga dirasakan sama dengan suara Aliya. Taufik bungkam, dia menyumpah dirinya sendiri. Dia benci untuk mengaku yang dia benar-benar rindukan Aliya, cintakannya malah mendambarkan isterinya itu setiap masa. Di sebebkan perasaan itulah dia hampir terbabas dengan Laila malam tadi. Diraup mukanya lagi. Fikirannya tak dapat berfungsi sebaiknya.  

“Kenapa? Apa yang ada pada dia yang buat aku jadi macam ni. Tapi kenapa Laila? Kenapa tidak pula pada perempuan-perempuan lain yang aku kenal?” Taufik mula bermonolog sendiri.

“Ada sesuatu pada dia yang buat aku tertarik untuk mendekatinya.” berkerut-kerut keningnya mencari jawapan.  

Mata bundar Laila jelas terbayang di matanya. Dia seolah-olah pernah melihatnya sebelum ini. Taufik memejamkan matanya rapat, mengharapkan babak dia membelai wajah Laila yang tidak ditolak pada mulanya itu hilang dari fikiran. Pipinya diusap. Masih terasa pedih bekas tamparan sulong Laila yang tepat mengenai pipinya itu.

“Memang padan dengan muka kau. You deserved it. Memang itu yang kau cari.” ujarnya pada diri sendiri.

Laporan-laporan penilaian yang bertimbun di hadapannya dipandang lesu. Semuanya perlu disemak dan disahkan. Belum sempat Taufik mencapai laporan penilaian itu, satu ketukan yang agak kuat di pintu mengejutkannya. Taufik hampir terlompat dari kerusi yang didudukinya.

“Masuk.” balasnya dengan nada yang sedikit tinggi, sambil dalam hati bergerutu menahan perasaan marah. Ketenangan yang baru ingin menjengah diganggu. Zainal muncul di sebalik pintu dengan senyuman. Tangannya menjinjing sebuah fail. Taufik mengerutkan keningnya tanda tak puas hati.

 “Kan ke boleh ketuk elok-elok, ni dah macam nak pecah pintu tu dibuatnya.” tutur Taufik tak puas hati.

“Hang ni dah kenapa? Dari meeting tadi sampai sekarang aku tengok asyik mengelamun je. Biasanya kalau fasal kerja hang fokus habis. Hang ada masalah ke.” soalnya sebelum duduk di kerusi. Zainal masak benar dengan perangai Taufik kerana sudah lama mereka berkawan. Kedua-duanya mengambil jurusan Pengurusan Hartanah di Universiti Teknologi Mara Shah Alam. Semua rahsia Taufik ada di dalam poketnya. Menghabiskan usia remaja bersama membuatkan mereka mengenali hati budi masing-masing sehinggalah tercetus idea untuk menubuhkan syarikat perkongsian antara mereka berdua.

 Masa berlalu dengan pantas kini usia mereka sudah menjangkau 35 tahun malah syarikat penilaian dan pengurusan hartanah yang mereka usahakan yang berpusat di Shah Alam sejak 5 tahun dahulu kini telah mempunyai cawangannya di Ipoh. Zainal bersyukur kerana segala usaha yang dicurahkan telah membuahkan hasil. Muka Taufik yang tidak bersemangat ditenung. Taufik dilihat sangat berbeza daripada biasa. Zainal pasti tentu ada sesuatu yang mengganggu fikiran kawan karibnya itu.

“Kau ada masalah ke? Kalau fasal kerja aku rasa kau tak payah bimbang, semua under control. Lagipun projek kat Klang tu Insya-Allah aku yakin kita akan disenarai pendek. Kalau rezeki kita tak kemana, yang penting usaha kasi habis, lepas tu kita tawakal je la.” ujar Zainal sambil menunggu jawapan Taufik. Taufik menggelengkan kepalanya.

“Bukan hal kerja? Hal lain?” balasnya hairan.

“Kalau bukan hal kerja, hal apa? Ada berita baik ke?” duga Zainal lagi. Taufik memandang tepat ke arah sahabatnya itu. Dia mahu dapatkan pendapat.

“Entah la Nal. Aku sendiri tak tahu apa yang jadi. Sejak akhir-akhir ni aku asyik teringatkan dia. Aku tahu dah 5 tahun semua tu jadi tapi ingatan aku kat dia tak pernah nak hilang. Lagi aku nak lupakannya lagi kuat kenangan tu datang. Hati ni jadi sakit Nal. Sakit. Bukannya aku tak cuba cari dia? Dah merata aku cari tapi bayangnya pun aku tak jumpa. Entak ke manalah dia pergi. Aku dah mula putus asa.” tuturnya sebelum melepaskan keluhan yang berat.

“Setiap malam, bila sendiri aku selalu teringat kenangan kami bersama. Tak pernah terlintas di fikiran aku yang segala kebaikan yang aku lakukan dulu langsung tak bermakna pada dia. Sanggup dia tinggalkan kami macam tu je. Yang jadi mangsanya kami. Paling aku kesal Zaim pun terlibat sama. Akibatnya dia tak dapat merasai kasih sayang dari seorang ibu. Memang dasar perempuan tak ada perasaan.” ujar Taufik lagi dengan perasaan geram. Serentak wajah Laila meuncul di minda. Sifat keibuan Laila berjaya menambat hatinya.

“Dah tu carilah pengganti. Bukan tak ada yang nak kat hang, berderet yang menunggu, hang tu je yang memilih sangat. Tunjukkan yang hang boleh bahagia walaupun tanpa dia.” cabar Zainal.

“Masalahnya hati aku ni yang tak sedia. Aku masih tak dapat lupakan dia. Memang kami kahwin express dulu, aku mengaku. Tapi hakikatnya hanya dia yang aku perlukan dalam hidup ni. Aku tahu penantian aku ni sia-sia macam menunggu buah tak jatuh, tapi aku tak pernah berhenti berharap, sebab aku kenal dia. Selagi aku tak jumpa dia aku takkan noktahkan hubungan ini. Aku tak rasa aku boleh sayang yang lain selagi hati ni tak dapat nak lupakan dia Nal.” satu keluhan dilepaskan.

Zainal bersimpati dengan keadaan Taufik. Dia kehilangan kata-kata. Dia tahu Aliyalah cinta pertama Taufik. Taufik bukan jenis lelaki yang mudah jatuh cinta, bahkan sejak di universiti lagi Taufik tak pernah berkawan rapat dengan mana-mana perempuan walaupun ramai penuntut wanita yang menunjukkan minat dengannya. Semua ditolak dengan cara baik.

“Aku ingat lagi masa kita study dulu, hang pernah kata yang hang nak jodoh yang ditakdirkan untuk hang jadi cinta pertama dan terakhir dalam hidup hang. Dah tu hang pasti Aliya cinta yang yang hang tunggu?” soalnya.

“Berbaloi?” tambahnya lagi.

“Entahlah aku pun tak pasti dah sekarang ni. Bila fikirkan tentang Zaim hati aku jadi berbelah bahagi. Aku sedih bila tiap kali dia tanya tentang perihal ibunya. Aku dah tak tahu nak jawap apa. Perlukah aku cari pengganti Aliya supaya Zaim dapat merasai kasih ibu yang dia tak pernah dapat selama ni? Aku tak pasti dapat ke aku bahagiakan dia nanti? Aku takut aku tak mampu sebab kenangan tentang Aliya tak pernah kurang. Aku tak nak menganiaya wanita lain. Aku stress Nal. Stres!” tuturnya sebelum meraup mukanya berkali-kali. Zainal turut bersimpati.

“Apapun keputusan ada kat tangan hang Fik. Lagipun hang muda lagi. Sampai bila nak menunggu Aliya yang menghilang entah ke mana. Entah-entah dia dah kahwin lain pastu dah berderet dah anak dia sekarang ni. Mana hang tahu?” duga Zainal.

Taufik hilang kata-kata setelah memikirkan kemungkinan yang dinyatakan oleh Zainal itu. Hatinya jadi sakit. Tangannya digenggam erat menahan marah.

“Hidup ni sekali je. Janganlah sia-siakan hidup sendiri. Dah tu, hang dah ada calon ke belum? Ke hang nak aku tolong carikan? Fikirlah baik-baik, aku sokong segala keputusan yang hang buat, lagipun dah lama hang menduda. Aku pun dah lama nak merasa pekena nasi minyak hang yang kedua.” ujarnya sambil tersengih.

“Kau kan kalau cakap bukan main pandai, macam banyak pengalaman je, kahwin pun belum. Dah tu kau tu bila lagi? Nasi minyak aku kau nak, tapi nasi minyak kau bila pulak?” soal Taufik.

“Belum sampai seru, tengok hang je pun aku dah serabut. Malas nak fikir tentang kahwin ni. Lagipun aku masih tak jumpa wanita yang sesuai. Relex la, aku kan muda lagi, buat apa nak tergesa-gesa.” jawabnya sambil lewa. Taufik menggeleng-gelengkan kepala.

“Aku mengaku yang aku dah mula penat. Aku penat menanti dan mengharap kepulangan Aliya. Dulu aku tak berapa ambil kisah sangat, tapi sejak kehadiran pembantu baru kat rumah tu aku mula buka pintu hati yang selama ini aku tutup rapat. Cara dia layan Zaim buat aku rasa selesa. Malah keinginan untuk berumahtangga tu macam dah datang balik. Aku tak pasti apa sebabnya, antara simpati atau kasih. Aku tak ada jawapan. Tapi yang pasti aku gembira dengan kehadirannya.” ucap Taufik ikhlas. Zainal tersenyum penuh makna. Taufik dihadapannya dijeling nakal.

“Nampak gayanya betul-betul merasa nasi minyak hang la tak lama lagi ni.” selorohnya sebelum diakhiri dengan ketawa.

“Tak la sampai ke situ lagi kot rasanya. Kau ni kan kalau dilayan makin menjadi-jadi pulak aku tengok. Belum kena batang hidung sendiri boleh lah cakap banyak, nanti kalau dah rasa jangan datang mintak kaunseling dari aku pulak.” balas Taufik. Geram kerana sentiasa menjadi bahan usikan sahabatnya itu.

“Ha, lupa aku nak tanya, valuation kilang tu dah siap ke belum? Petang ni cliant nak collect kan? Borak-borak jugak, tapi kerja kena jalan.” ujarnya dengan nada tegas.

“Tengok la sape? Report tu dah siap. Ni yang kat depan hang ni ape ke bendanya. Tu lah sebabnya aku datang tadi. Sembang punya fasal lupa pulak nak kasi.” sambil tersenyum dan menggoyang-goyangkan kepalanya.

Taufik mencebik. Perangai Zainal memang tak pernah berubah. Dari dulu sampai kini perwatakannya masih lagi sempoi. Hidup sebagai orang bujang yang relex tanpa tekanan. Dalam diam Taufik mencemburuinya. Fail di hadapannya dicapai. Sehelai demi sehelai laporan itu diteliti, dia mula fokus semula.

“Hang check balik, kang kalau ada anmanment bagitahu aku, nanti aku betulkan, tapi kalau tak ada lagi bagus selesai kerja aku.” ujarnya sebelum berlalu pergi.

Taufik leka dengan tugasnya. Ingatannya tentang Aliya dan Laila lenyap buat seketika.

 

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati