Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 31

Waktu hujung minggu yang agak tenang. Setelah selesai makan tengah hari, Aliya merehatkan badan di ruang tamu sambil membelek-belek helaian majalah Pa & Ma yang sempat dibelinya semalam. Sudah beberapa bulan dia menjadi pelanggan setia majalah tersebut sejak kali pertama dia memperolehnya daripada Laili. Kata Laili isi yang dimuatkan di dalamnya penuh dengan petua dan panduan-panduan yang berguna untuk bakal-bakal ibu sepertinya.

Mulanya dia buat tak kisah sangat kerana dia sudah mempunyai pengalaman dalam melalui situasi yang sama semasa mengandungkan Zaim dulu, tapi bila memikirkan usaha Laili yang sanggup bersusah payah untuknya dia akhirnya menelaah majalah itu juga. Seperti yang Laili warwakan, memang terdapat pelbagai tip-tip berguna yang boleh dijadikan panduan di dalamnya dan sejak daripada itu setiap bulan dia tak pernah ketinggalan untuk melanggan.

Bunyi enjin kereta yang kuat di hadapan pagar jelas kedengaran di telinga. Fokus Aliya pada pembacaan terganggu. Dia segera menuju ke cermin tingkap sebelum langsir yang kemas bergayutan disingkap. Sangkaannya meleset dan dia hampa lagi. Dia sentiasa menantikan kehadiran insan yang disayang, namun doanya masih belum dimakbulkan. Dia sedar dia perlu lebih banyak meminta kerana itu saja yang mampu untuk dilakukan saat ini. Hanya doa pada yang Esa menjadi penguat semangatnya, menemani penantian yang tak berkesudahan itu.

Tanpa di sedari air matanya gugur lagi. Hatinya terguris namun akalnya masih mampu untuk berfungsi. Pantas tangannya menyeka air mata yang berjuraian. Dia akan segera memujuk hati agar tak terlalu terbawa-bawa nanti. Emosinya perlu sentiasa dijaga. Dia tak rela mendera adik yang kini ada bersama. Dia akan tetap kekal di situ, menanti kehadiran Taufik dengan tangan yang sentiasa terbuka luas, seluas hamparan dunia.

Dia sudah berjanji untuk setia. Biarlah apa yang Taufik ingin fikirkan tentangnya, yang pasti cintanya takkan berubah pada yang lain. Hanya Taufik satu-satunya lelaki yang bertakhta di hati dan sekali-kali dia tak akan menggantikannya, dengan izin Allah. Insya-Allah.

Laili yang baru turun dari bilik menyaksikan semuanya dengan mata dan kepalanya sendiri. Kesedihan dan kesetiaan Aliya betul-betul mengusik hatinya. Aliya setia sampai ke akhirnya, tapi kenapa Taufik tak mampu untuk memaafkannya? Besar sangatkah kesalahan Aliya sampai lelaki itu sanggup mengabaikan si isteri seperti itu? Tak pernahkan dia terfikir yang tindakannya itu akan melukakan Aliya seteruk ini? Laili mula geram.

Setiap kali melihat kesedihan Aliya, marahnya pada Taufik semakin mendalam. Kalaulah sampai satu masa nanti lelaki itu muncul di hadapannya, tak tahulah apa yang akan dia lakukan. Mahu saja di maki lelaki itu semahunya tapi dia tahu dia tak boleh menghukum, hanya Aliya yang layak melakukannya kerana dia yang menanggung segala.

“Liya, kau buat apa tu? Kau dah makan ubat ke belum?” soal Laili, sebelum dia bergerak ke dapur. Jus oren dituangkan ke dalam cawan untuk membantu penghadaman. Selebihnya dia mahu memberikan Aliya masa untuk menenagkan diri. Tak mahu Aliya mengetahui yang dia telah melihat segalanya.

Masa adalah pengubat luka. Semuanya sudah berlaku dan apa yang boleh Aliya dilakukan sekarang cuma menunggu. Menunggu dan terus menunggu. Penantian memang satu penyiksaan. Hidup Aliya dilihat tak jauh berbeza dengan kehidupannya dulu. Menanti sesuatu yang tak pasti sambil mengharapkan keajaiban untuk terjadi. Keberangkaliannya sentiasa ada, namun hanya pada mereka yang diizinkanNya.

“Liya aku tanya ni kau dah makan ubat ke belum?” ulangnya lagi tadkala melihat kebisuan Aliya. Serentak Aliya tersedar. Ingatannya pada Taufik hilang bersama harapan yang sentiasa menggunung.

“Ubat? Belum. Tapi tu bukan ubat la. Cuma supplement je. Kalau nak makan boleh, kalau tak pun tak apa.” balasnya sebelum segera menguatkan kembali semangat yang mula goyah sebentar tadi.

“Ish, kau ni. Macam tu pulak. Kalau doktor dah beri mestilah ada sebabnya. Kau ni memang susah sangat nak makan ubat. Kita dah kenal sejak kecil. Kau ingat aku tak tahu? Kau takut makan ubat kan. Eee…apalah. Dah besar panjang pun takut makan ubat, teruk betul.” tutur Laili mengejek. Dia tahu benar perangai Aliya yang takutkan ubat tu. Sejak dari dulu, bila suruh makan ubat mulalah buat muka kelat. Selagi tak melarat jangan haraplah ubat itu akan ditelan.

“Mana ada takut. Cuma tekak aku ni yang tak nak merelakan. Geli bila rasa ada benda tersekat kat situ.” balasnya.

“Dah. Jangan nak macam-macam. Nak tak nak kau kena juga makan vitamin ni. Aku bukan doktor tapi aku tahu yang doktor tu lebih tahu apa yang terbaik untuk kau. Kalau dia dah kasi mesti ada gunanya. Nah makan.” arahnya pada Aliya yang sudah mula buat muka seposen.

“Jangan nak buat muka macam tu. Meh duduk sini. Doktor peribadi kau ni nak bagi ubat. Sila duduk ya puan.” tambahnya lagi. Aliya dah tak nak buat apa. Dia memandang wajah Laili di sebelahnya minta ihsan namun tak dilayan sebelum lambat-lambat menyambut ubat tersebut.

“Makan. Buat cepat-cepat. Tak lah rasa teruk sangat. Mula-mula masuk air dalam mulut dulu, lepastu baru masukkan ubat. Ha, lepastu cepat-cepat telan.” arahnya memberi tunjuk ajar.

“Berkesan ke kalau macam tu?” soal Aliya. Dia sendiri masih sangsi untuk mempraktikkan teknik terbaru itu.

“Cubalah kalau tak percaya.” balas Laili. Akhirnya Aliya menurut. Sepantas kilat ubat meluncur laju menyusuri lubang tekak. Aliya tersenyum gembira sambil menganggukkan kepala berkali-kali. Taktik Laili memang berkesan, tip-top.

“Tu lah. Kan aku dah cakap. Kau tu yang tak nak percaya. Bagi upah 25 sen sebab dah dapat petua yang berguna tu.” tuturnya dengan senyuman.

“Kau ni kan, kenapa baru sekarang kau bagitahu? Selama hari ni simpan sorang-sorang je, tak nak kongsi.” kata Aliya lagi.

“Baru semalam aku tahu la. Kak Esah cerita tentang anak bongsu dia yang susah sangat nak makan ubat, samalah macam ada sorang hamba Allah yang aku kenal tu.” tutur Laili sebelum memandang sekilas ke arah Aliya. Aliya mencebik. Dia tahu Laili merujuk kepadanya.

“Lepastu dia ceritalah tentang teknik baru ni. Betul ke ok. Sebenarnya akupun tak pasti sangat idea tu, tu yang suruh kau buat experimen dulu.” tambahnya lagi dengan senyuman.

“Lebih baik berbanding yang sebelumnya. Terima kasih Laili. Terima kasih kerana sudi layan kerenah aku. Kalau kau tak ada mesti aku sunyi.” balasnya.

“Aku ada, malah sentiasa akan ada untuk kau, Azie pun sama. Kami dah janji nak jaga kau kan. Kau janganlah sedih-sedih nanti effect pada baby.” ucapnya sebelum menggenggam tangan Aliya.

“Mana ada aku sedih. Kau ni pandai-pandai je tuduh aku. Aku cuma ingatkan Zaim. Entah apa lah yang dia buat sekarang kan? Hujung minggu macam ni mesti dia bosan duduk sorang-sorang.” tutur Aliya. Ada nada kesedihan di kesan di situ. Laili sedar dia perlu melakukan sesuatu untuk menghiburkan hati sahabatnya itu.

“Dah la. Jangan sedih-sedih. Petang ni kita pergi tempat biasa nak? Kita tengok matahari terbenam. Kita piknik lewat malam. Nanti aku siapkan apa-apa yang patut. Malam ni kita makan luar. Aku belanja.” cadangnya. Aliya gembira tak terkata.

“Betul ke Laili? Kau nak teman aku tengok sunset petang ni?” soalnya inginkan kepastian.

“Ye lah. Bukannya aku tak tahu yang kau suka sangat tengok sunset kan. Petang nanti lepas Asar kita bersiap. Waktu hujung minggu macam ni mesti ada ramai orang. Nanti kalau lambat tempat kita ada orang ambik, tak syok pulak nanti.” kata Laili lagi.

“Ok boss. Arahan diterima. Terima kasih tau. Terima kasih sebab faham aku.” tuturnya ikhlas.

“Kita kan kawan. Kalau Azie tahu mesti dia jelous kan.” balas Laili dengan senyuman nakal.

“Petang nanti, insya-Allah masa dah ada kat sana kita video call dia, bagi dia jelous. Biar dia tahu kita happy kat sini. Dia tu yang sibuk memanjang, susah sangat nak balik.” tambahnya lagi.

“Tapi kalau dia ada mesti lagi gempak kan.” balas Aliya. Laili pantas mengiyakan.

“Tapi tak apalah. Lain kali dia balik kita boleh pergi lagi. Tapi hari ni biar aku yang temankan.” tutur Laili. Aliya sudah mula membayangkan keseronokan yang bakal dirasai petang nanti. Pemandangan langit petang yang mengasyikkan, lukisan pencipta teragung buat mereka yang mampu untuk menilai dengan mata hati, kekuasaan dan keberadaanNya tanpa perlu dibukti dengan kata-kata.

 

Suasana petang cerah tapi agak redup, paling sesuai untuk melakukan aktiviti petang. Laili memimpin tangan Aliya sambil sebelah tangannya memegang bakul yang diisi dengan sandwich telur dan beberapa jajan lain buat makanan minum petang mereka. Sempat mereka singgah di gerai kuih yang ada di tepi jalan utama untuk membeli goreng pisang dan keropok lekor yang banyak di jual di situ. Mereka kelihatan gembira, dengan pantas kaki melangkah menuju ke spot kegemaran mereka. Jam sudah melangkawi angka 6. Tak berapa lama lagi mereka bakal menyaksikan pemandangan petang yang sangat dinaiti-nantikan itu.

Selesai mengalas tikar lipat, mereka mengambil tempat. Payung besar yang sempat di bawa bersama dibuka dan dipayungkan ke arah Aliya. Dia tak mahu Aliya terlalu terdedah pada kepanasan kerana tak mahu Aliya kepenatan nanti. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menerbitkan suasana yang santai dan damai dan hati mereka semakin terhibur dibuatnya.

“Terima kasih tau. Seronoknya Laili. Dah lama kita tak duduk bersantai macam ni kan?” tutur Aliya sambil tersenyum. Bahagianya hanya Allah yang tahu. Menikmati keindahan alam yang diciptakan untuk tontonan semua, tapi hanya sesetengah sahaja yang mampu untuk menikmatinya, selebihnya masih berpusu-pusu mengejar haluan sendiri bagi memenuhi impian yang ingin dikecapi.

“Hmm…dah lama kan tak datang sini. Kita sibuk sangat dengan hal di kilang sampai terlupa untuk menganjar diri sendiri. Aku pun sebenarnya dah rindu sangat nak lepak-lepak macam ni sama-sama. Kau sendiri tahu hal di kilang macam mana. Kalau rancang-rancang beriya sangat mesti tak jadi. Kalau nak jadi terus terjah je macam hari ni. Baru syok.” balasnya. Mereka saling berpandangan dengan senyuman. Laili lega melihat kegembiraan yang terukir di wajah Aliya. Dia lega kerana paling tidak dia masih mampu melakukan sesuatu untuk menggembirakan sahabatnya itu.

“Jom makan. Aku tak sabar nak makan kepok lekor ni. Dah lama Leman tak datang hantar kepok ke kilang. Entah apalah yang jadi kat budak sorang tu. Dulu bukan main mengekor ke sana sini, sekarang batang hidung pun dah tak nampak.” tuturnya kesal. Aliya tersenyum, dia pasti Laili sudah mula merasai kehilangan Sulaiman.

“Hmm, aku perasan jugak. Dah lama tak nampak dia datang kat ofis kan? Entah-entah dia merajuk dengan kau tak?” soal Aliya. Laili segera mencebik.

“Merajuk apa ke bendanya. Aku tak buat apa-apa pun kat dia. Bukannya aku ada marah dia. Lelaki, semua sama. Bukannya ikhlas pun. Biarlah, aku malas nak layan. Bak kata pepatah, barang yang lepas usah dikenang, belikan saja barang yang baru tapi kena pastikan jugak yang ori baru beli.” balasnya sebelum tersenyum ceria.

“Jom makan masa tengah panas, kalau dah sejuk tak sedap pulak.” tambahnya lagi, lantas sebatang keropok lekor di masukkan ke mulut. Riak wajahnya berubah. Aliya perasan perubahan di wajah temannya itu.

“Kenapa? Tak sedap? Tak sama macam yang Leman buat.” soal Aliya. Perlahan-lahan Laili mengangguk.

“Aku rasa kau ni dah terbiasa sangat dengan kepok Leman tu. Nak aku call minta dia hantarkan?” soal Aliya sebelum mencapai telifon bimbit yang diletakkan di sebelah.

“Hiss, kau ni. Tak payahlah sampai kena buat macam tu, nanti apa dia cakap pulak. Biarlah. Lagipun aku kena biasakan diri. Bak kata kau aku dah terbiasa sangat makan kepok dia sampai yang lain aku mula rasa tak best. Lama-lama nanti aku biasalah. Dahlah. Kita stop pasal Leman, kita start makan.” balasnya, tak mahu terlalu memikirkan hal Leman yang semakin sunyi. Dia tak mahu mengganggu mood minum petang mereka yang menyeronokkan, ditemani permandangan yang mengasyikkan.

Mereka perlukan rehat. Tak ada gunanya terlalu mengejar masa kerana masa tetap tak akan berhenti berdetik, sebaliknya pilihlah hidup yang lebih bermakna kerana itu yang akan membuatkan kita bahagia. Hidup hanya sekali dan peluang tak semestinya akan sentiasa menanti. Apa gunanya wang berjuta andai hati sentiasa tak tenang sebaliknya carilah keserdahanaan kerana itulah yang digalakkan untuk dilakukan.

“Liya kau tengok tu, kat hujung sana. Kau nampak couple kat hujung tu. Budak sekolah lagi rasanya, tapi dah pandai nak peluk-peluk, pegang-pegang, tak tahu malu langsung. Entah apalah nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang ni. Orang lain pandang pun diaorang buat tak tahu je.” tuturnya kesal. Aliya mengarahkan pandangannya ke arah pasangan yang Laili maksudkan.

“Maksud kau budak kat hujung tu?” soal Aliya kembali.

“Ha, ya lah, yang duduk tepi batu tu. Kalau dekat moh je aku siram dengan pasir. Kau nampak kan. Miang betul. Siap peluk-peluk pinggang bagai.” balasnya geram.

“La, bukan ke tu Leman?” balas Aliya tiba-tiba.

“Kau biar betul. Takkanlah Leman sanggup buat kerja tak senonoh macam tu.” tuturnya terkejut. Segera dia mencari jawapan. Kepalanya terjenguk-jenguk mencari kepastian.

“Bukan lah kau ni. Takkan lah aku tak kenal Leman a..” Laili tersedar. Dia hampir terlanjur kata.

“Leman a…apa maksud kau?” soal Aliya pantas. Laili menggigit bibir. Dia tahu dia nyaris menzahirkan perasaannya sendiri.

“Leman antu. Ha, Leman antu maksud aku. Betul apa aku cakap. Sekejap ada, lepastu sekejap tak ada. Dah macam hantu. Liya tengok dah mula nak sunset.” tuturnya mengalihkan topik perbualan. Tak mahu membesarkan isu itu lagi. Mereka menghalakan wajah ke arah cahaya magenta yang sudah mula kelihatan di atas permukaan air sedar kejadian alam yang dinanti sejak tadi semakin menghampiri.

“Subhanallah. Cantik kan.” balas Aliya sebelum mereka leka melayan perasaan. Semakin lama semakin membesar sehingalah mereka dapat melihat sebahagian besarnya terbenam diufuk barat, tanda pengakhiran sebuah perjalanan sang matahari untuk hari ini dan permulaan hari bagi yang lainnya kerana matahari takkan pernah dapat berehat walaupun seketika.

Cahaya magenta yang terhasil mampu menarik minat sesiapa yang memandang. Begitu sempurna ciptaanNya buat pengubat hati yang kesedihan. Laili memandang ke arah Aliya. Dia nampak ada titis air mata yang terbit di wajah Aliya tika itu.

“Kenapa pulak tu. Kenapa kau nangis lagi. Kata hari ni nak happy.” tutur Laili, dia tak sangka Aliya akan menitiskan air mata lagi. Pantas tangannya menggenggam erat tangan sahabat baiknya itu.

“Kau tahu kenapa aku suka sangat tengok sunset?” soalnya sambil membalas genggaman di tangan.

“Kenapa?” balas Laili.

“Sebabnya, ia ingatkan aku tentang hidup. Setiap yang bermula pasti ada penamatnya, macam perjalanan sang matahari. Sama juga macam manusia. Hidup, mati semua dah ditetapkan. Hari ni kita hidup, esok belum tentu lagi. Kebanyakan daripada kita tak berapa nak ambil peduli semua tu, tak sedar yang setiap sedetik masa berlalu maknanya sedetik lagi kita menghampiri kematian. Kita sentiasa bertangguh untuk melakukan sesuatu dengan harapan, esok masih ada. Tapi pasti ke esok tetap ada? Kita leka dan tersekat pada satu keadaan dan masalah sampai kadang-kala kita lupa yang hidup sebenarnya tak pernah menanti kita sebaliknya sentiasa berjalan, sedetik demi sedetik, mengikut aturan yang sudah ditetapkanNya. Sampai ada sesetengah daripada kita lupa pada tujuan asal kita dijadikan. Tak hairanlah bila cerdik pandai mengumpamakan masa ibarat nyawa bagi manusia. Kita harus mengurusnya sebaik-baiknya supaya kita tak mensia-siakan usia yang diberi dan sunset yang kita tengah nikmati sekarang ni ibarat kayu pengukurnya. Satu hari lagi dah berlalu, maknanya tempoh usia kita dah berkurangan sehari lagi. Tapi tak banyak yang sedar tentang tu kan?” terangnya panjang lebar. Fikirannya merawang mengingati Taufik. Sehari lagi masa mereka bersama disia-siakan begitu saja.

Laili tersenyum. Dia mengerti perasaan Aliya saat itu. Aliya cuba untuk mengosongkan fikirannya. Dia dilihat sudah mula dapat menerima segalanya dengan reda. Laili yakin sahabatnya itu akan berjaya meredah badai yang melanda dalam kehidupannya kerana Aliya yang dikenalinya bukanlah seorang yang mudah mengalah. Sekali terjatuh dia pasti akan segera bangkit dan memulakan langkahan yang baru.

“Kau ingat tak, apa yang kau cakap kat aku dulu.” soal Laili serius. Mukanya dihadapkan tepat kearah Aliya yang sedia menanti.

“Apa dia?” soal Aliya kembali kerana dia sendiri kurang pasti.

“Kau pun sama je macam aku. Jenis penceramah jemputan yang tak boleh bagi pegang mic. Kalau cakap berjela-jela. Tak ada habisnya.” balas Laili dengan ketawa yang tak mampu lagi untuk ditahan.

“Jahat kau ni. Aku tengah feeling kau kacau pulak.” tutur Aliya, sebelum turut sama ketawa. Segera tangannya mencubit pipi gebu Laili.

“Kan dah happy balik. Kau jugak yang cakapkan masa tu ibarat nyawa, jadi aku harap kau akan sentiasa gembira selepas ni. Kalau dah memang jodoh kau dengan dia, InsyaAllah pasti akan dipermudahkan. Dah lah tak nak feeling-feeling dah. Tadi kata nak video call Azie. Cepatlah dah tak lama dah ni. Nanti tak sempat.” tutur Laili sambil tangannya tergesa-gesa mencapai telifon bimbit lantas menghubungi Azie.

“Assalammualaikum.” tutur Laili gembira.

“Waalakummussalam. Korang kat mana tu? Kenapa gelap je.” balas Azie.

“Cuba teka kami kat mana?” soal Laili dengan senyuman yang mekar bak kuntuman bunga di taman.

“Kat mana? Dekat tempat biasa ke?” soalnya ingin tahu.

“Kami ada kat sini.” jawap Laili sebelum mengambil latar belakang matahari yang sudah sebahagian besarnya terbenam, cantik lagi mengasyikkan.

“Sampai hati tak tunggu aku. Korang memang.” balasnya merajuk.

“Tu lah sebabnya aku suruh balik. Kau tu yang sibuk memanjang. Dah bosan kami berdua tunggu.”

“Aku bukan tak nak balik. Hujung minggu macam ni banyak kerja.” tuturnya sedikit kecewa.

“Takpa lah nanti kau balik kita boleh outing sama-sama, macam dulu-dulu. Aku nak hiburkan hati mak boyot kita ni hari ni. Kalau tunggu kau, sampai baby deliver pun belum tentu dapat.”

“Bagi aku cakap dengan Liya. Aku dah rindu nak dengar suara mak boyot kita tu.” ucapnya ceria.

“Jap, nanti aku pass pada dia.” jawap Laili, segera telifon bertukar tangan. Wajah Aliya yang tertera di skrin melegakannya. Aliya nampak gembira. Senyumannya manis sama macam dulu. Azie juga lega kerana tahu Laili sentiasa ada untuk menemaninya sebelum mereka leka berbual sesama sendiri melepaskan kerinduan di hati. Senyuman dan ketawa yang tak dapat dibeli di mana-mana kerana kegembiraannya hanya mereka yang dapat merasa.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati