Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 25

Pintu bilik bacaan diketuk perlahan. Aliya muncul sambil membawa secawan kopi seperti selalu. Cawan diletakkan di sebelah Taufik dengan berhati-hati. Seperti selalu juga kehadirannya tidak diendahkan Taufik. Tiada sebarang kata diucap, yang ada hanyalah renungan-renungan hambar, sedang Aliya sendiri faham akan maksud yang tersirat. Layanan Taufik berubah sepenuhnya.

Taufik dilihat semakin tak terurus. Rambutnya dibiarkan panjang mencecah bahu, tidak seperti kebiasaannya. Dia sudah sembuh sepenuhnya dari kecederaan yang dialami dulu dan seperti biasa, dia terperuk di bilik kerjanya untuk menguruskan tugas-tugas pejabat. Semalam genap 100 hari pemergian arwah. Majlis tahlil dan bacaan Yasin telah diadakan untuk memperingati pemergian arwah.   

Bukan saja penampilan, malah sikapnya juga berubah. Dia sudah tidak lagi membentak-bentak Aliya seperti sebelumnya. Lebih membimbangkan, suaminya itu telah menjadi sangat pasif dan lebih gemar mengasingkan diri. Paling menyedihkan, Zaim turut menerima tempiasnya. Anaknya itu tidak lagi mendapat perhatian darinya. Setiap kali Zaim cuba mengajaknya bermain Taufik cepat-cepat menolak dengan memberikan pelbagai alasan. Aliya tahu Zaim juga kecewa dengan perubahan layanan papanya itu. Tidak seperti Taufik yang dulu, walau sesibuk manapun, dia pasti akan tetap meluangkan masa untuk berbual-bual dengan anak tunggalnya itu.

Zaim mula rasa diabaikan. Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya setiap kali perkara itu terjadi, sehinggakan anaknya itu sudah mula mencipta ruang diantara mereka. Aliya buntu. Dia tak suka melihatkan keadaan itu. Tugas menghantar dan menjemput Zaim dilakukan sepenuhnya oleh Aliya dan itu mungkin menjadi satu lagi faktor penyumbang kerenggangan hubungan mereka.

Dia sudah berusaha untuk memulihkan semula keadaan tapi usahanya itu tetap tidak berhasil, sebaliknya Taufik semakin menjauh pergi. Aliya tahu Taufik memerlukan satu turning point untuk membawanya kembali ke jalan yang sebenar. Jalan yang ada dia, Taufik dan Zaim, sama-sama bergerak seiringan sambil berpegangan tangan, menempuh hari mendatang dengan penuh tanggungjawap dan pengharapan. Saling bergantungan antara satu sama lain dalam waktu suka mahupun duka. Jalan menuju kebahagian, juga jalan menuju keredaanNya.

Tapi jalan itu dilihat semakin jauh daripada pandangan. Aliya bertekad untuk mencipta pembolehubah itu. Dia perlu membuat Taufik meluahkan segala yang terpendam di hati hari ini. Sudah terlalu lama hal tersebut dibiarkan berpanjangan. Mungkin sudah tiba masanya salah seorang daripada mereka mengambil langkah berani untuk menyelesaikan permasalahan itu. Kalau ditangguhkan lagi, dia pasti, kebahagiaan yang dicari pasti takkan datang menjengah lagi.

Senyuman Taufik semasa majlis tahlil semalam sedikit-sebanyak menyuntik semangatnya untuk mula berdiplomasi, meskipun dia sendiri belum pasti erti senyuman di bibir si suami. Adakah Taufik sudah mula boleh menerimanya kembali ataupun cuma sekadar untuk berbahasa dan menjaga maruah diri? Mahu tak mahu dia perlu memastikannya sendiri. Hasilnya? Dia sendiri belum pasti, tapi dia sudah bersedia dengan sebarang akibat. Akibat atas tindakan yang bakal dia lakukan nanti.

Walaupun terpaksa berjauhan dengan Zaim sekali lagi, dia rela asalkan Taufik mendapatkan dirinya semula. Kedua-dua mereka perlukan masa untuk bermuhasabah diri. Seandainya perpisahan yang diminta, dan jika diizinkan, dia mahu membawa Zaim bersama, tapi dia tahu perkara seperti itu amatlah mustahil untuk terjadi. Taufik sekali-kali tidak akan membenarkannya.

Aliya memberanikan diri menghampiri Taufik yang sedang bersandar di kerusi kerjanya. Kehadiran Aliya tidak dipedulikan. Taufik sudah lali dengan keberadaan Aliya. Walau ditegah, isterinya itu tak pernah berubah. Sudah bermacam-macam dia lakukan untuk menjarakkan Aliya daripadanya, tapi Aliya masih setia menemaninya di sisi. Layanan buruknya selama ini langsung tak memberi sebarang kesan sebaliknya diterima dengan penuh ihsan.

Bukan dia tak terusik dengan kesetiaan yang dipamer isterinya itu, cuma dia masih belum bersedia untuk memberi sebuah kemaafan kerana dia belum dapat ikhlas memaafkan. Hatinya sudah mengeras, pendiriannya sudah seteguh karang dilautan. Biarpun dibadai arus yang tak berkesudahan tetap teguh dan utuh mempertahankan diri. Dia tidak rela hatinya disakiti lagi. Kehadiran Aliya di rumah itu diperlukan sekadar untuk menceriakan dan menemani Zaim. Sebagai ibu bagi seorang anak, tidak sebagai isteri bagi seorang suami.

Bukan saja jasad, malah sudah lama hati mereka berjauhan. Dia sudah meletakkan dinding pemisah diantara mereka. Cuma Aliya yang tak habis-habis berusaha untuk memecahkan tembok yang teguh terbina. Taufik sesekali tidak akan merelakan ianya terjadi. Paling tidak untuk satu tempoh masa yang masih berbaki. Sampai bila? Dia sendiri masih belum pasti. Hatinya mula sakit lagi. Dia tahu setiap kali dia menyakiti Aliya, hatinya akan turut sama merana.

Wajahnya sengaja dialihkan ke arah lain. Tidak rela ditatap Aliya yang sedang merenungnya. Dia sudah mula dapat menerima kehilangan maknya. Semalam semasa majlis tahlil dia sudah berjanji untuk meneruskan hidupnya seperti apa yang dijanjikan. Dia akan berusaha untuk hidup bahagia dan dia akan menerima kehadiran Aliya dirumah itu walaupun hanya sekadar hubungan rakan serumah.

Segalanya dilakukan semata-mata demi Zaim. Zaim perlukan perhatian dari seorang ibu. Usianya masih kecil. Taufik tahu Aliya mampu untuk menjadi seorang ibu yang baik, bahkan dia sudahpun membuktikannya, tapi cukuplah sekadar itu. Dia akan baik-baik saja asalkan Aliya tidak cuba mendekati dan menagih cintanya kembali.

Perlahan-lahan tangan Aliya singgah di bahu Taufik. Diurut bahu suaminya itu lembut. Taufik memejamkan mata, lega. Tangan lembut Aliya terasa membawa pergi segala beban yang terpikul di bahu itu selama ini. Buat seketika dia merelakan perbuatan Aliya terhadapnya. Hatinya menolak tapi badannya yang tak mahu bertindak sama.

Seketika cuma, sebelum Taufik tersedar daripada dibuai kehangatan tangan Aliya yang terasa mendamaikan. Dia mendengus serentak tangan itu ditepis. Kesilapan yang dilakukannya semalam berulang kembali. Taufik tidak tahu apa yang merasuknya saat itu. Ketika berselisih di dapur pandangan mereka bertemu, lalu sebuah senyuman terukir di bibir tanpa dipaksa. Sekarang dia mula menyesali perbuatan sendiri, akibatnya Aliya dilihat menjadi semakin berani menghampiri.

Tiba-tiba dirasakan bahunya dirangkul dari belakang. Taufik kaku diperlakukan begitu. Aliya nekad. Sudah terlalu lama masalah mereka berlarutan. Dia perlu melakukan sesuatu dan dia akan memujuk suaminya itu sehabis mampu.

“Liya rindu abang.” bisik Aliya perlahan. Dakapan terhadap Taufik dieratkan.

“Liya sayang abang.” tambahnya berani. Jujur dia sendiri malu untuk meluahkan isi hati secara terang-terangan seperti yang dilakukannya saat ini. Cukuplah sekadar cintanya dizahirkan melalui perbuatan dan layanan yang tak pernah berbelah-bahagi, bukti cinta dan ketaatannya pada suami. Hatinya berdebar-debar sambil menanti tindak balas daripada Taufik. Taufik bingkas bangun. Dia nyata terkejut dengan pengakuan cinta yang baru dibisikkan Aliya ke telinga.

“Kau ni memang tak faham bahasa kan. Kan aku dah cakap jangan masuk bilik ni, yang kau masuk juga kenapa? Aku tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan kau ni. Kenapa susah sangat nak faham. Kan aku dah cakap, jangan ambil tahu hal aku! Tolonglah. Kau memang jenis yang tak pernah dengar cakap orang kan.” wajah Taufik menyinga. Luka di hati berdarah kembali. Sedaya-upaya dia mengelakkan Aliya. Figura Aliya mengingatkannya kembali pada arwah maknya. Dia meraub mukanya berkali-kali untuk mencari semula kedamaian hati.

Sangkaannya meleset. Dia sangka dia sudah bersedia, namun hakikatnya tidak. Hatinya mula panas kembali. Penghawa dingin yang terpasang dirasakan tak berfungsi. Aliya berundur selangkah. Dia cuba menguatkan semangatnya yang tercampak daripada badan. Tindakan Taufik sememangnya sukar untuk diramal. Emosinya turun naik. Tiada siapa yang dapat menjangka apa yang bermain di fikirannya.

Semalam semasa majlis tahlil Taufik memandang kearahnya sebelum bibirnya mengukir senyum manis sama macam waktu dulu. Aliya menyangkakan yang suaminya itu sudah mula membuka peluang, tapi sangkaannya itu ternyata silap. Perangai baran Taufik yang sudah kendur datang lagi.

“Abang, Liya cuma nak pulihkan hubungan kita.” ucap Aliya terketar-ketar. Dia jelas masih terkejut dengan tindak-balas Taufik.

“Hubungan kita takkan dapat pulih. Aku dah susah nak percayakan kau lagi. Setiap kali aku nampak kau aku pasti akan ingatkan mak, dan setiap kali itu terjadi aku jadi benci pada diri sendiri. Aku benci kau. Aku benci!” ucap Taufik marah tanpa memikirkan perasaan Aliya yang terguris. Aliya menundukkan mukanya ke lantai. Dia tidak cukup berani menatap wajah bengis Taufik di hadapannya itu.

“Abang, Liya cuma…” tuturnya perlahan, sebelum dibalas Taufik yang masih tak puas hati.

“Cuma apa? Cuma nak tambahkan rasa sakit pada hati aku? Tak cukup dengan semua yang kau lakukan selama ni. Kau datang, lepastu pergi ikut suka hati kau. Kau sembunyikan kebenaran daripada aku. Kau biar aku jadi macam orang bodoh yang tak tahu apa-apa. Kau tak pernah fikir ke apa yang akan aku rasa ha? Kau tak pernah rasa bersalah kan? Kau langsung tak pernah rasa bersalah selepas semua yang kau buat pada aku? Tolonglah. Tolonglah pergi. Pergi jauh dari hidup aku. Aku dah tak perlukan kau lagi.” ucap Taufik sebelum membelakangi Aliya.

Dia tahu yang dia bertindak kejam pada isterinya itu. Sudah sekian lama dia menanti ungkapan keramat itu keluar daripada mulut Aliya. Kini bila tiba masanya, pengakuan cinta isterinya itu ditolak mentah-mentah. Dia masih perlukan masa, hanya itu yang dia minta. Masa untuk mencari diri sendiri. Dia hanya mahu Aliya menjarakkan diri dengannya sehinggalah dia benar-benar bersedia.

“Liya tolonglah faham, tolong bagi abang sedikit masa lagi.” Rintihnya di dalam hati, berharap yang hasratnya itu difahami.

Aliya menahan air mata yang bergenangan. Tidak dia menyangka pengakuan cintanya akan berakhir sedemikian rupa. Dia pasti kini, Taufik memang sudah tidak dapat menerimanya lagi. Sangat pasti. Tidak kasih mahupun cinta, yang tinggal hanya benci. Tubuh Taufik yang membelakanginya ditatap penuh kasih. Tangannya diarahkan ke bahu Taufik, tetapi niatnya itu mati di tengah jalan. Dia tahu akibat yang perlu ditanggung nanti. Sebarang tindakan provokasi pasti akan membuatkan Taufik jadi lebih berang kerana keadaan emosi suaminya itu masih terlalu tegang.

Taufik sudah agak susut berbanding dulu. Semuanya berpunca daripada kesilapan dirinya yang mengkhianati sebuah kepercayaan yang diberi. Tindakan menyembunyikan kebenaran yang dilakukan untuk kebaikan akhirnya bertukar menjadi racun yang merosak dan membinasakan satu hubungan.

Aliya tahu Taufik sengsara malah dia juga turut terkesan sama. Kehilangan arwah benar-benar memberi impak yang besar padanya. Terasa ingin disentuh tubuh suami tercinta. Memeluknya erat ke dakapan dan membelainya manja bagi mententeramkan kerunsingan yang sarat bersarang di jiwa, tapi dia tahu usahanya itu akan jadi sia-sia. Taufik masih perlukan masa. Huluran tangan akhirnya longlai, sama seperti hatinya juga. Serentak air matanya mengalir deras membasahi pipi. Dia pasrah. Segalanya telah dia dilakukan dan Taufik sendiri telah memberikannya jawapan.

“Maafkan Liya bang. Liya tahu Liya yang bersalah. Liya hormat abang sebagai seorang suami. Sendainya itu kehendak abang, Liya akan turuti. Aliya harap abang akan dapat capai ketenangan nanti. Abang jangan risaukan Liya. Liya boleh jaga diri.” ucap Aliya dengan suara yang terketar-ketar menahan sebak.

“Liya cuma boleh berdoa yang satu masa nanti, hati abang akan terbuka semula untuk terima Liya. Liya akan tunggu sampai abang bersedia untuk maafkan Liya.” ucapnya lagi. Taufik masih tegak membatu membelakanginya tanpa sebarang reaksi. Aliya sedih kerana dia tahu dia tidak akan dapat mengubah pendirian Taufik untuk menerimanya kembali.

“Liya tahu Liya tak layak nak cakap apa-apa, tapi Liya nak abang tahu satu perkara ni. Liya pun dah pernah alaminya sendiri dan ia berjaya untuk buat Liya mengerti.” tuturnya dalam sendu yang cuba untuk dikawal. Perlahan namun meresap terus sampai ke jiwa.

“Pemergian orang yang kita sayang bukan hanya untuk diratapi, tapi untuk dituruti. Kematian itu satu janji, cuma masanya yang tak pasti. Jangan biar diri kita disakiti sebaliknya banyakkanlah memberi tanda kasih pada yang telah pergi. Cinta pada ayah bonda sememangnya cinta yang tulus dan suci, tapi tetapkanlah dalam hati bahawa cinta yang sejati dan yang paling hakiki adalah cinta pada Illahi.” ucap Aliya sebelum langkah diatur meninggalkan Taufik. Taufik menghantar pergi Aliya dengan ekor mata. Dia tersentuh dengan kata-kata terakhir isterinya itu. Dalam diam dia mengakui keterlanjuran diri.

Dia terduduk di kerusi. Diraub wajahnya yang tak terurus berkali-kali, serentak satu tamparan dilepaskan pada mulutnya sendiri. Sekali lagi hati si isteri disakiti. Dia pantas menyesali perbuatannya terhadap Aliya sebentar tadi. Puas dia cuba membuang rasa kekecewaannya terhadap tindakan Aliya selama ini, tapi hatinya tidak merelakan itu terjadi. Setiap kali memandang Aliya lukanya mula berdarah kembali.

Bukannya dia tidak percaya pada takdir, sebaliknya dia beranggapan seandainya dia tahu lebih awal, setidak-tidaknyanya dia akan lebih bersedia. Malah dia akan cuba membahagiakan arwah sehabis daya, di saat-saat terakhir hayatnya supaya dia tidaklah terlalu menyesal nanti.

Dia tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan Aliya. Dia sudah berusaha untuk tidak terus-terusan menyalahkan isterinya itu, tapi dia tak mampu, perasaannya sukar dikawal. Entah apalah yang merasuk dirinya sendiripun dia tak tahu. Akhirnya Aliya yang akan sentiasa disakiti setiap kali ia berlaku.

Dia perlukan ruang untuk berfikir dengan lebih jelas. Ruang untuk membuka kembali hatinya menerima Aliya. Juga ruang bagi Aliya mengubati hati yang teruk dilukainya. Selama mana? Dia sendiri belum pasti. Dia hanya mahu Aliya menjarakkan diri dengannya buat satu tempoh masa lagi.

 Aliya merebahkan diri di sebelah Zaim. Tangisannya berterusan. Dia terbayangkan wajah mak mertuanya saat itu.

“Maafkan Liya mak, Liya dah cuba, tapi abang dah tak mahukan Liya lagi. Dia dah bencikan Liya.” sayu suaranya memecah keheningan malam.  Aliya bimbangkan Zaim. Dulu semasa dia tiada ada arwah untuk menjadi tempat anaknya itu bermanja. Kini seandainya dia pergi lagi, Zaim pasti akan lebih sengsara.

Wajah polos Zaim ditatap sepuas-puasnya. Dia tidak tahu bila lagi dia akan berpeluang berbuat begitu lantas diusap wajah anaknya itu lembut. Dia teresak-esak menahan tangis, tak mahu mengganggu Zaim yang sedang lena. Satu kucupan lekat di pipi gebu itu serentak Zaim terjaga manakala Aliya cepat-cepat mengesat air mata. Dia tidak mahu anaknya itu mengetahui apa yang sedang dialaminya, tidak mahu membebankan apa lagi merunsingkan hati si kecil. Zaim mengesat-ngesat mata yang masih berat dengan belakang tangan sebelum wajah mamanya ditenung.

“Dah pagi ke ma? Dah nak pergi sekolah ke?” soal Zaim, tangan kecilnya masih menyental mata.

“Belum sayang, belum pagi lagi. Tidur ya. Nanti dah pagi mama kejutkan. Tidur ya sayang.” ucap Aliya perlahan sebelum mengucup pipi belahan hatinya itu.

Zaim menurut. Matanya dipejamkan kembali. Aliya menepuk-nepuk bahu Zaim lembut. Seketika kemudian Zaim terjaga semula.

“Mama nangis sebab mama rindukan nenek?” soalnya sambil menyapu tangisan Aliya yang masih bersisa di pipi. Aliya mengangguk. Dia perasan yang mamanya itu menangis sejak awal lagi. Dia nampak mamanya cuba menyembunyikan kesedihan dengan senyuman. Dia tahu mama sedih, tapi dia tidak tahu nak buat macam mana.

“Im pun rindu nenek.” tambahnya lagi sebelum memeluk Aliya erat. Buat seketika mereka melepaskan kerinduan yang bersarang di hati, kerinduan pada yang telah pergi.

“Im, mama nak Im tahu, walau apapun yang terjadi, ingat yang mama sayangkan Im. Sayang sangat. Kalaupun satu hari nanti kita tak dapat sama-sama macam ni lagi, mama nak Im tahu yang Im sentiasa ada dengan mama, kat sini.” tangan Zaim dicapai dan diletakkan di dada.

Zaim mendongak menatap wajah mamanya. Perlahan-lahan dia mengangguk. Aliya membalas dengan kucupan di dahi, hangat dan penuh syahdu. Aliya pasrah. Andai masa yang Taufik minta, dia akan memberikannya biarpun itu bermakna dia perlu meninggalkan satu-satunya zuriat yang tercinta.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati