Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 26

Sedang Aliya sibuk mengemaskan pakaiannya, Zaim masuk dengan muka yang masam mencuka. Bibirnya dimuncungkan sambil duduk di birai katil membelakangkan mamanya tanpa sepatah kata, merajuk kerana dia tidak mahu berjauhan lagi. Semalam mama memberitahu yang dia terpaksa pergi bekerja untuk satu tempoh masa, sama macam dulu. Dia nyata tak gembira dengan keadan itu. Dia tidak mahu mama pergi kerana setiap kali mama pergi bekerja pasti lama. Hatinya mula jadi tak tenteram.

Aliya perasan perubahan Zaim. Sejak semalam anaknya itu dilihat lebih suka mendiamkan diri. Sandwich telur kegemarannya pun hanya dijamah ala-kadar, tidak seperti kebiasaannya. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Hilang sifat ramahnya yang sentiasa menghidupkan suasana. Kesunyian semakin terasa di dalam rumah banglo peninggalan arwah ibu mertuanya itu.

Aliya siap menguruskan perkemasannya. Beg pakaian dibawa dan diletakkan di tepi pintu bilik, sebelum dia menghampiri Zaim yang jelas masih merajuk dan minta dipujuk. Dia duduk di sebelah Zaim lantas tubuh anaknya diraih ke dalam pelukannya. Diusap-usap lembut belakang Zaim memujuk rajuk anak kesayangannya itu.

Bukan niatnya untuk berpisah. Tapi masa belum mengizinkan dia untuk menyayangi anaknya itu sepenuhnya. Semuanya bergantung pada Taufik. Sepatah kata-kata Taufik dapat mengubah segalanya. Seandainya Taufik mengarahkannya untuk kekal di situ dia akan kekal, tapi mengharapkan itu untuk terjadi umpama menanti bulan jatuh keriba. Dia tahu Taufik bersungguh-sungguh kali ini. Semalam ketika dia memberitahu Taufik yang dia akan pergi, Taufik tidak memberikan sebarang reaksi, sama seperti selalu. Matanya tetap tertumpu pada skrin komputer, langsung tidak terusik mendengarnya. Aliya betul-betul sudah putus asa.

“Sayang, mama pergi tak lama. Nanti kalau kerja mama dah siap mama balik ok?” ujarnya sambil meleraikan pelukan. Wajah Zaim ditatap, sebelum satu kucupan hinggap di pipinya. Muka anaknya itu berubah sayu sambil duduk keras membatu.

“Tak boleh ke mama bawak Im sekali. Im nak ikut mama.” pinta Zaim penuh mengharap. Luluh hati Aliya mendengarkan permintaan Zaim itu. Kalau diikutkan hati mahu saja dia membawa Zaim bersama. Tapi dia tahu semua itu tak akan pernah berlaku. Taufik tidak akan sekali-kali membenarkan itu terjadi, tidak sesekali dan dia sangat pasti tentang hal itu.

“Bukan mama tak nak bawak Im sama. Tempat kerja mama tu jauh, jauh sangat. Lagipun kalau Im ikut mama nanti papa tinggal sorang-sorang. Im tak kesian dengan papa ke nanti?” ujar Aliya lembut sambil mengusap-usap tangan kecil Zaim yang berada dalam genggaman.

“Tapi nanti mama pun sorang-sorang jugak. Ha, camna?” soal Zaim pula, risaukan keadaan mamanya nanti.

“Mama bukan duduk sorang je kat sana. Mama pun ada kawan jugak. Dia boleh temankan mama. Sama macam Im yang tinggal untuk temankan papa. Mama janji siap je kerja, mama cepat-cepat balik jumpa Im. Macam mana? Boleh?” ujar Aliya berjanji, sedangkan dia sendiri belum pasti bila janji itu akan ditepati.

“Ok. Tapi mama kena janji. Mama kena cepat-cepat siapkan kerja mama tu, lepastu cepat-cepat balik kat sini. Nanti Im rindu sangat kalau lama-lama tak jumpa mama. Mama janji tau.” matanya memandang tepat ke arah Aliya, minta mamanya itu berjanji padanya.

“Mama janji sayang. Mama janji.” balas Aliya sekadar ingin melenyapkan sedikit kebimbangan yang menyelubungi jiwa anaknya itu. Zaim pantas meluru ke dalam dakapan mamanya semula, masih tak rela berpisah. Jawapan mamanya membuatkan dia bertambah resah.

“Kalau Im rindu, Im boleh call mama. Bila mama rindu, mama pun akan call Im. Mama nak Im ingat, walaupun jauh manapun mama dengan Im, mama sentiasa ada untuk Im. Mama sayang sangat dengan Im. Sayang sangat-sangat.” ucap Aliya. Zaim mengeluh kecil kemudian mengangguk tanda faham. Mahu tak mahu dia perlu menerima kenyataan yang dia terpaksa berpisah dengan mamanya hari ini kerana tiada apa yang boleh dia lakukan lagi untuk mengubah keputusan mamanya itu.

Tanpa mereka sedari perbualan mereka sedang dicuri dengar oleh sepasang telinga yang setia berdiri di luar pintu. Taufik hilang arah, wajahnya berubah. Aliya telah bersedia untuk pergi lagi buat yang sekian kali. Cuma yang berbeza kali ini, dia yang menjadi penyebabnya. Dia yang memungkinkan ia terjadi. Malah pemergian Aliya langsung tak dihalang kali ini dan Zaim sekali lagi akan dipisahkan daripada kasih sayang seorang ibu.

Dia sedikit pun tidak menyangka yang Aliya akan bertindak sampai ke tahap itu. Dia hanya mahu Aliya menjarakkan diri, bukan meninggalkannya pergi. Tapi mulutnya sudah terlepas kata. Aliya silap mentafsir maksud kata-katanya malam itu. Taufik menggigit bibir. Ingin menghalang, dia rasa malu. Malu dengan kelancangan mulut sendiri. Akhirnya langkah diatur menuju ke bilik bacaan sebelum dia mengurungkan dirinya di situ kerana dia tak mahu diganggu.

“Mak Jah tolong tengok-tengokkan Zaim. Liya betul-betul harapkan Mak Jah. Kalau ada apa-apa Mak Jah call la Liya ya. Liya kena pergi sebab kerja kat kilang tu dah banyak sangat yang tertangguh. Lagipun Liya dah minta izin daripada Abang Taufik dan dia dah benarkan. Nanti selesai kerja cepat-cepat Liya balik. Tapi sementara tu Mak Jah tolonglah Liya ya. Tolong jagakan Zaim untuk Liya.” pinta Aliya bersungguh-sungguh. Tangan Mak Jah digenggam erat lalu dikucup, minta keberkatan daripada seorang ibu. Mak Jah membalasnya dengan pelukan. Dia juga keberatan untuk berpisah kali ini.

“Liya jaga diri. Mak Jah akan doakan yang terbaik untuk Liya dan Taufik.” ucapnya penuh seribu makna. Dia tahu yang Aliya hanya mencipta alasan untuk pergi. Hakikatnya hanya Aliya dan Taufik yang mengetahui. Dia sudah dapat menghidu hubungan Aliya dan Taufik yang bagai retak menanti belah kerana dia perasan sikap dan layanan dingin Taufik terhadap Aliya, tapi dia tidak dapat nak berbuat apa-apa. Dia cuma orang gaji di situ, tak layak baginya mencampuri urusan rumahtangga mereka.

Kemudian Aliya menuju pula ke bilik bacaan, tempat Taufik berada. Tombol pintu dipulas, tapi keras, nyata sekali telah dikunci daripada dalam. Dia cuma mahu melihat Taufik buat kali yang terakhir, tapi Taufik jelas tidak mengizinkannya. Hati suaminya itu langsung tidak goyah dan dia nyata sudah bersedia untuk berpisah. Setiap saat dia tak henti berdoa agar Taufik menghalangnya daripada melangkah pergi, tapi sia-sia. Kini Aliya sedar kehadirannya benar-benar sudah tak memberi sebarang makna pada Taufik. Dalam berat hati, pintu bilik akhirnya diketuk perlahan. Biarpun tak dapat bersua, dia tetap ingin meminta restu daripada suaminya itu.

“Abang, bukalah pintu ni. Liya nak tengok muka abang, sekejap pun jadilah.” rayunya dalam kepiluan yang cuba untuk ditahan, namun tiada balasan. Buat seketika dia setia menanti di situ, sambil berdoa yang suaminya itu berubah fikiran tapi dia tetap hampa.

“Abang, Liya pergi dulu. Maafkan Liya untuk segalanya. Liya tahu, Liya yang bersalah. Liya harap sangat yang abang akan tenang selepas ni. Tolong halalkan makan minum Liya.” tuturnya lagi. Matanya sudah mula berkaca. Kebahagiaan yang dicari masih belum menjadi miliknya lagi, ia masih perlukan masa dan perpisahan mungkin adalah satu-satu cara terbaik yang ada.

“Abang jaga diri ya. Assalammualikum.” ucapnya dengan linangan air mata. Kata-kata terakhir Aliya terasa menyentak tangkai hati. Taufik yang sedia berdiri di sebalik pintu masih teragak-agak untuk membenarkan Aliya masuk. Sejenak kemudian daun pintu dibuka. Taufik terkesima kerana Aliya sudah tiada.

Beg pakaianya telah dimuatkan ke dalam bonet kereta. Dia sudah bersedia untuk bertolak. Tempoh perjalanan yang agak panjang dari Shah Alam ke Kuantan memerlukan konsentrasi yang tinggi terutamanya ketika memandu secara bersendirian.

Zaim masih memandang ke arah Aliya dari muka pintu dengan senyuman dalam keterpaksaan. Aliya menggamitkan tangannya ke arah Zaim, mengisyaratkan supaya Zaim datang kepadanya.

Melihat tindakan Aliya itu Zaim pantas berlari masuk ke dalam rumah dan menyembamkan mukanya di sofa. Dia tahu masanya telah tiba dan dia benar-benar akan berpisah dengan mamanya lagi. Dia tidak rela ditinggalkan kerana dia sangat sayangkan mamanya itu. Mamalah tempatnya bermanja setelah nenek tiada juga teman bermainnya setelah papa dilihat sudah tidak memberikan tumpuan padanya lagi. Dia sedih kerana dia pasti akan sangat rindukan mamanya nanti.

Aliya berlari mendapatkan Zaim. Diusap-usap belakang Zaim lembut untuk menenagkanya. Dia sendiri turut menanggung beban perasaan yang sama. Setiap satu perpisahan adalah satu pengalaman yang paling menyiksakan. Hati terasa pedih dan perit bila terpaksa meninggalkan orang yang tersayang, tak terkecuali bagi yang ditinggalkan. Tak betah rasanya berpisah lagi, namun keadaan memaksa dan dia sudah tidak dapat berbuat apa-apa. Apa yang tinggal hanya doa pada yang Esa, berharap agar segalanya kembali seperti sediakala. InsyaAllah, satu masa nanti dengan izinNya.

“Im tak nak hantar mama ke?” ucap Aliya kepada Zaim yang masih membatukan diri daripada tadi. Tangisan halus Zaim kedengaran memilukan. Aliya berusaha mengawal perasaan. Hatinya terasa bagai dihiris sembilu, sakit tapi dia perlu bertahan, setidak-tidaknya sehingga dia masuk ke dalam kereta. Dia perlu kuat, tak rela menunjukkan emosi yang keterlaluan pada Zaim takut anaknya itu tak merelakan perpisahan yang sudah semakin pasti terjadi.

“Im, mama dah kena gerak ni sayang. Betul Im tak nak hantar mama?” ucap Aliya lagi sebelum berusaha memusingkan badan Zaim yang masih tersembam di sofa. Zaim keraskan badan. Tetap tidak mahu memandang Aliya. Dia berharap mamanya akan berubah fikiran, atau setidak-tidaknya pun bawalah dia bersama. Dia boleh pergi ke mana saja asalkan ada mama. Tapi bila terfikirkan papa, dia jadi serba salah. Dia juga sayangkan papa. Tangisannya semakin menjadi-jadi kerana hatinya mula berbelah bahagi.

“Takpa la kalau macam tu. Mama pergi dulu ya.” ujar Aliya. Belum sempat Aliya berdiri, Zaim meluru ke arahnya. Aliya memeluk kemas Zaim yang sedang sarat dengan kesedihan. Air mata yang bergenangan di kelopak mata ditahan sedaya-upaya sebelum air mata Zaim diseka lalu diganti dengan kucupan di segenap wajah putera kesayangannya itu, permata hati yang akan tetap dicintai. Andai itu kali yang terakhir dia reda kerana dia telah berusaha untuk melakukan yang terbaik.

“Mama, bawalah Im sekali. Im nak ikut mama. Biar Im tanya papa. Mesti papa kasi Im ikut mama. Mama tunggu kejap, Im nak tanya papa ya.” Zaim bertegas untuk turut serta bersama Aliya semula sebelum bergegas untuk meminta kebenaran daripada papanya, namun cepat-cepat Aliya menghalang. Segera tangan anaknya itu diraih.

“Im kan dah janji nak tunggu mama kat sini. Nanti kalau Im ikut mama siapa yang nak temankan papa? Im tak kesian kat papa ke? Nenek dah pergi, nanti papa tinggal sorang-sorang. Im tak sayangkan papa?” soal Aliya menduga Zaim yang jelas terganggu emosinya. Mak Jah yang ada di dapur turut menitiskan air mata. Dia tak sampai hati melihat pepisahan antara keduanya.

Perpisahan tanpa kerelaan mengundang kecelaruan fikiran dan perasaan. Aliya sendiri telah melalui saat itu berkali-kali. Cuma bezanya kali ini dia pergi atas permintaan Taufik sendiri, dan demi memenuhi permintaan si suami dia sedia untuk menjauhkan diri.

Zaim masih berdiri tegak berhadapan dengan Aliya. Soalan mamanya itu tidak dapat dijawab. Benar dia sayangkan papa, tapi dia juga sayangkan mama. Dia tidak sanggup untuk berjauhan dengan mama. Tidak walau sebentar kerana dia mahu melihat mamanya itu sepanjang masa. Sudah terlalu lama dia menunggu saat pertemuan semula dengan mama. Belum puas melepas rindu mama mahu pergi lagi. Dia bimbang akan kehilangan mama sama macam dulu.

Aliya seperti dapat membaca apa yang bermain di fikiran Zaim saat itu. Zaim takut akan kehilangannya lagi. Aliya berazam untuk mengelakkan perkara yang sama berulang kembali. Seandainya perpisahan tetap berlaku antara dia dan Taufik pasti dia akan berjuang untuk mendapatkan anaknya itu dan dia sudah bertekad. Pantas dia beristigfar berkali-kali membuang jauh fikiran-fikiran negatif yang mula muncul di benaknya. Cerai. Ya Allah jauhkanlah aku darinya. Bisiknya pada diri sendiri.

“Mama janji sayang. Mama janji. Mama akan balik demi Im. Im jangan lah risau. Siap je kerja, mama balik. Im kena percayakan mama. Mama sayangkan Im sangat-sangat. Biar jauh manapun mama pergi, mama tetap bawa Im sama-sama, kat sini.” ucap Aliya sebelum merapatkan tangan anaknya itu ke dada.

“Sama juga dengan Im, biarpun Im tak nampak mama tapi Im boleh simpan mama ada kat sini.” sambil meletakkan pula tangannya di dada anaknya itu.

“Tolong simpan mama kat sini ya sayang?” pintanya pula. Wajah Zaim berubah sedikit jernih. Dia sudah mula menerima kenyataan yang ibunya tetap akan pergi meninggalkannya. Lambat-lambat dia mengangguk. Aliya mendakap tubuh kecil anaknya itu lalu didukung ke muka pintu. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya ketika itu. Dia cuba menahan gelora perasaan yang semakin memuncak. Perlahan-lahan Zaim diletakkan sebelum tangan anaknya itu diraih lalu dikucup. Zaim juga melakukan perkara yang sama. Tangan Aliya disalami penuh tertib seperti selalu. Aliya masih tercari-cari kelibat Taufik tapi dia tetap hampa.

“Abang, abang kat mana? Tolonglah Liya, Liya tak nak pergi.” rintihnya di dalam hati. Sedih kerana yang dinanti tetap juga tak memunculkan diri.

“Maafkan mama sayang.” ucapnya seraya berpaling dan berlalu pergi. Empangan matanya yang ditahan sejak tadi pecah juga. Basah mukanya dek air mata. Cepat-cepat dia meluru ke arah kereta, pantas enjin dihidupkan.

 

“Im…Im…” ucapnya sebelum tersedar daripada lena. Aliya bingkas bangun daripada perbaringan, serentak dia beristigfar berkali-kali. Dia mimpikan Zaim. Dia bermimpi melihat Zaim yang berada dalam kesedihan. Wajah sayu Zaim yang ditinggalkan tadi masih segar di fikiran. Aliya menggosok-gosok mata yang masih terasa berat akibat kepenatan, malah pinggangnya sudah mula terasa kebas. Begitu juga pada kedua-dua belah kaki. Sudah agak lama dia tidak mengharungi perjalanan panjang seperti itu. Badannya ternyata perlu dilatih semula.

 

Zaim meluru laju ke arah kereta Aliya yang sudah mula bergerak.

“Mama, jangan tinggalkan Im, ma.” pekiknya dalam tangisan. Aliya tak perasan tindakan anaknya itu. Apa yang dia tahu, dia perlu segera angkat kaki dari situ sementara semangatnya masih ada. Dia bimbang jika ditangguhkan, dia tidak akan berupaya untuk melakukannya lagi. Dia takut akan berubah fikiran kerana kasih yang tertumpah pada permata hatinya itu. Pedal minyak ditekan kuat. Kereta Iswara Aerobac merahnya laju meninggalkan perkarangan rumah banglo tersebut.

Zaim hampir jatuh tersungkur di atas jalan dalam usahanya mengejar Aliya. Taufik yang memerhati, pantas berlari mendapatkannya. Dia sempat menyambar Zaim daripada belakang. Dipeluk anaknya itu erat sambil menghantar pergi Aliya dengan sesalan.

“Papa, mama. Mama...” ujarnya meminta bantuan, sebelum menangis semahunya di bahu papanya itu. Hati Taufik luluh. Kesedihan yang dipamer anaknya itu membuatkannya dihambat perasaan bersalah yang tak terhingga.

Taufik sesal kerana gagal mengawal perasaan. Dia juga sesal kerana tak mampu menjadi papa yang sempurna pada Zaim kerana gagal melindungi hati anaknya itu daripada kecewa. Setitis air matanya jatuh berderai. Itulah akibatnya kalau membiarkan ego merajai diri. Akhirnya dia sendiri yang makan hati.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati