Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 36

Pandangan Taufik tertumpu pada skrin telivisyen, tapi fikirannya melayang entah ke mana. Zaim pula sedang bermain-main sendirian di sisi. Bongkah-bongkah lego yang bertaburan dicapai dan disusun satu persatu membentuk objek dikehendaki. Sambung satu, lepastu sambung lagi sampailah menjadi seperti yang dia ingini.

Sampai satu tahap, dia sendiri tidak jelas bentuk yang dibina, maka bertaburanlah semula bongkah-bongkah itu diatas lantai. Jatuh mengenai kaki Taufik yang masih dibuai kenangan tentang Aliya. Taufik buat endah tak endah. Sudah agak lama di tidak ada minat untuk melayan Zaim bermain, tidak seperti dulu ketika Aliya ada. Mereka berdua gembira melayan kerenah Zaim dengan penuh gelak tawa.  

Suara si isteri masih segar terngiang-ngiang di telinga. “Aliya maafkan abang.” bisiknya dalam hati. Zaim masih sibuk dengan alat mainannya. Mulutnya dimuncungkan tanda dia sedang fokus dalam usahanya untuk membentukkan lego tersebut menjadi seperti yang diingininya. Sekali lagi bongkah lego itu jatuh di kaki Taufik. Taufik mula jadi rimas. Sekilas wajah Zaim dijeling. Zaim tidak perasan perubahan papanya itu, sebaliknya tiba-tiba dia bersuara.

“Papa, bawa la Im pergi jumpa mama.” pintanya pada Taufik. Wajah papanya tak dipandang. Dia masih tertumpu pada objek yang bakal direka.

“Papa, bawalah Im jumpa mama. Dah lama sangat mama tak balik sini. Im dah rindu sangat nak jumpa dengan mama.” pinta Zaim lagi sebelum tangannya menggoyang-goyangkan tubuh Taufik yang keras membatu. Zaim mula buat perangai dengan merengek, minta hajatnya ditunaikan untuk bertemu Aliya. Taufik jadi semakin rimas dibuatnya. Mukanya merah menahan marah. Kesabarannya mula menipis sebelum Zaim disisi ditenung geram. Serentak dia mendengus kuat.

“Mama, mama, mama! Dah tak da nama lain ke yang Im nak sebut. Serebut kepala papa ni tau tak.” ucapnya marah sebelum meninggalkan Zaim yang jelas terkejut diperlakukan sebegitu. Tak pernah papanya melayannya sekasar itu. Dia mula bencikan papanya. Dia tidak mahu lagi menjadi peneman papanya di rumah itu. Dia mahu segera bersatu dengan mama.

“Papa jahat. Im benci papa. Im nak mama. Im nak tinggal dengan mama. Im dah tak nak temankan papa lagi.” tuturnya dalam tangisan. Mak Jah yang berada di dapur turut terkejut dibuatnya dan bergeges menuju ke ruang tamu.

Zaim berlari mendapatkan Mak Jah lalu memeluknya erat. Tak pernah perkara seperti itu berlaku. Taufik benar-benar sudah jauh dari sifatnya yang dulu. Seorang yang penyayang dengan lembut tutur bahasa. Dia seperti tidak mengenali Taufik yang sedang berdiri dihadapannya saat itu.

Taufik menyesali perbuatan sendiri. Mak Jah merenungnya dengan perasaan simpati. Dia malu kerana tak dapat mengawal diri. Seperti Aliya, Zaim juga sudah semakin jauh darinya. Anaknya itu sudah tidak sayangkannya lagi sama seperti Aliya. Taufik rasa sesak di dada. Dia perlu segera menenagkan dirinya. Tanpa berlengah kunci kereta dicapai, sebelum kedengaran deruan enjin yang kuat meninggalkan kawasan perkarangan rumah. Zaim masih dijeruk rasa. Tangisannya masih tak berhenti. Ingatannya hanya pada mama, dia hanya perlukan mamanya saat itu.

Aliya yang sedang membasuh pinggan, tergesa-gesa mendapatkan telefon bimbitnya yang sedang berbunyi di ruang tamu. Dia tersenyum seperti selalu. Panggilan dari anaknya itu diangkat dengan perasaan yang berbunga-bunga. Wajahnya berubah tadkala terdengar tangisan Zaim di hujung talian. Hatinya jadi tak senang dibuatnya.

“Assalammualikum, sayang mama, kenapa ni?” ujarnya bimbang.

“Mama…papa, papa marah Im.” jawap Zaim teresak-esak. Tangisannya penuh sendu. Dia tak sangka papanya sanggup memarahinya hanya kerana dia meminta untuk dibawa berjumpa dengan mama.

“Shh..sayang mama jangan nangis. Cuba Im cerita kat mama kenapa papa marah Im. Mesti Im ada buat salah lah ni kan? Itulah sebabnya papa marah.” soal Aliya lembut.

“Papa marah Im ma…papa marah Im bila Im ajak dia pergi jumpa mama. Papa tak suka bila Im sebut pasal mama. Papa jahat ma…papa jahat. Im tak nak tinggal dengan papa dah. Im nak ikut mama. Mama datanglah ambil Im. Im dah tak nak duduk kat sini. Im nak ikut mama.” ulangnya lagi. Tangisannya makin menjadi. Aliya terasa nafasnya terhenti.

Berita yang baru didegarinya itu terasa seperti menyiat-nyiat tangkai hati. Sakit! Kesakitan yang tak dapat digambarkan. Lebih sakit dari tertusuk duri. Pedihnya hanya Allah yang tahu. Hubungan mereka memang tidak dapat diselamatkan lagi, ianya benar-benar bakal terhenti. Taufik masih tak dapat memaafkannya, malah mungkin kebenciannya juga telah semakin bertambah, kemaafan yang ditunggu-tunggu selama ini memang takkan pernah menjengah.

“Mama…Im nak tinggal dengan mama. Im dah tak nak temankan papa lagi. Papa dah tak sukakan Im.” jelas kedengaran esakan Zaim yang sayu di telinga. Zaim mengulangi hasratnya itu. Aliya beristigfar berkali-kali. Dia turut kesal dengan perbuatan Taufik. Tidak sepatutnya Taufik melayan Zaim dengan kasar. Masalah yang terjadi itu antara mereka berdua, tak seharusnya melibatkan Zaim sama. Zaim masih kecil untuk memahami apa yang terjadi.

Penceraian bukanlah pilihan, tapi seandainya itu yang terjadi dia harap semuanya berlaku dalam keadaan baik. Dia tak rela membenci, apalagi dibenci. Tengoklah, akibatnya Zaim sendiri sudah terbabit sama. Abang memang melampau! Marah Aliya sendiri. Dia mula kesal dengan tindakan Taufik yang tak berfikir panjang itu.

“Im sabar ya, nanti mama balik. Jangan nangis ya sayang. Mama tahu yang papa tak sengaja tu. Mesti papa ada masalah. Takpa nanti mama cakap dengan papa. Kalau papa benarkan, nanti mama jemput Im ya sayang.” ucap Aliya sekadar ingin memujuk anaknya itu, sedang dia tahu yang semua itu amat sukar untuk berlaku.

Hati Zaim terubat mendengarnya. Dia sangat perlukan mamanya. Memujuk dan menenangkannya sama seperti dulu. Hanya mama yang dia mahu, papa sudah banyak berubah. Tak sama macam dulu. Dulu papa sangat menyayanginya, tapi sekarang papa sudah tidak menghiraukannya lagi, dah tak banyak bercakap macam dulu malah papa sudah mula marah-marah dan menengkingnya. Dia tak suka dengan keadaan itu dan dia yakin kalau mama ada pasti papa takkan bertindak begitu.

“Sabar sayang. Sabar ya. Nek Jah ada kat situ tak? Boleh Im bagi telefon kat Nek Jah, mama nak cakap sekejap dengan dia?” serentak telefon bertukar tangan. Aliya perlu tahu perkara yang sebenar dari mulut Mak Jah sendiri. Dia tidak mahu terus-terusan menyalahkan Taufik.

“Assalammualaikum Mak Jah. Apa yang terjadi sebenarnya?” soal Aliya kepada Mak Jah yang telah bersedia di talian.

“Entahlah Mak Jah pun tak tahu sangat apa yang jadi. Tadi Mak Jah sibuk mengemas di dapur. Tiba-tiba Mak Jah dengar suara Taufik marah. Bila Mak Jah sampai, Zaim dah menangis. Mak Jah tengok Taufik pun menyesal buat macam tu pada Zaim. Selama hari ni tak pernah dia layan Zaim macam tu. Liya sendiri tahu kan betapa dia sayangkan Zaim. Agaknya Taufik tertekan. Sejak akhir-akhir ni Mak Jah tengok dia dah macam malas nak ambil tahu hal pejabat. Asyik memerap je kat rumah. Liya ada masalah ke dengan Taufik? Liya sembunyikan perkara sebenar dari Mak Jah kan.” soal Mak Jah. Dia sudah mula membuka bicara. Dia perlukan kepastian, sebelum amanat terakhir arwah puan besarnya itu diberikan.

Aliya menggigit bibir. Dia tak dapat menyembunyikan hakikat sebenar daripada Mak Jah lagi. Lagipun dah tak ada gunanya berahsia, harapannya untuk bersama sudah menemui jalan buntu, Taufik sudah menzahirkannya walaupun tidak secara bersemuka. Aliya tahu hubungan mereka sudah tak dapat untuk diselamatkan lagi.

“Dia dah tak perlukan Liya lagi Mak Jah. Dia dah benci Liya. Dah lama kami macam ni, sejak Liya pindah semula ke rumah tu lagi. Dia dah tak percayakan Liya. Keadaan jadi makin teruk bila dia tahu yang Liya sembunyikan keadaan kesihatan arwah mak. Taufik kata yang Liya membelakangkannya, sengaja mahu menyimpan rahsia. Dia salahkan Liya Mak Jah. Dia salahkan Liya.” kata-kata Aliya terhenti di situ sambil mengumpul baki-baki kekuatan.

“Liya dah cuba untuk perbetulkan keadaan. Cuba pujuk dia terima Liya, tapi keadaan tetap sama. Dia dah tutup pintu hatinya untuk Liya, Mak Jah. Dia kata dia dah tak boleh nak tengok muka Liya. Liya hanya buat dia ingatkan arwah, dan bila itu jadi dia sentiasa salahkan diri sendiri. Dia rasa dia gagal untuk membahagiakan arwah mak. Dia suruh Liya pergi, pergi jauh dari hidup dia. Liya dah tak tahu apa yang Liya boleh buat lagi untuk ubah pendirian dia tu. Liya dah putus asa.” jelas Aliya kepada Mak Jah. Mak Jah hanya terdiam. Dia memang sudah menjangka ada masalah dalam rumahtangga mereka, cuma dia tak sangka ianya sudah jadi separah itu.

“Takpa Liya sabar ya. Nanti Mak Jah cuba cakap dengan Taufik. Hal Zaim ni Liya tak payah lah risau sangat. Mak Jah percaya yang Taufik tak sengaja tu. Liya jangan risau ya.” balas Mak Jah, Aliya lega yang dia tak perlu berselindung lagi. Nasi dah jadi bubur dan dah tak dapat kembali semula kepada keadaan asal. Dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi. Kehadiran Taufik takkan diharapkan lagi. Jika benar Taufik semakin membenci, dia bersedia untuk mengakhiri ikatan yang sudah tak ada maknanya itu lagi. Biar mereka sama-sama mulakan hidup yang baru dan mengikut haluan sendiri agar kedua-duanya dapat hidup lebih tenang nanti.

“Terima kasih Mak Jah.” ucap Aliya. Pandangan diarahkan pada kandungannya yang semakin membesar itu. Air matanya bergenang tadkala pasti yang anaknya itu tidak akan dapat merasai kasih sayang seorang ayah. Aliya bertekad untuk membesarkan ‘adik’ sebaiknya, biarpun tanpa kehadiran Taufik dan dia telah berjanji pada dirinya sendiri.

 

Taufik tiba di perkarangan rumah sekitar jam 12.00 malam. Peristiwa dia memarahi Zaim masih segar di fikiran. Dia benar-benar menyesali perbuatannya tadi. Bukan niatnya untuk mengguris hati anaknya itu tapi amarahnya dah tak dapat dikawal. Bukan saja Zaim malah dia sendiri setengah mati rindukan Aliya. Tapi dia tiada kekuatan untuk berhadapan dengan cinta hatinya itu. Dia masih belum bersedia, dia masih belum bersedia untuk melepaskan Aliya pergi.

Dia rasa berdosa dan sedar dia tak harus dimaafkan. Untuk merayu? Dia rasa malu kerana sudah terlalu banyak kesalahannya pada isteri yang tercinta. Dia tahu yang Aliya pasti takkan menerimanya kembali, tambahan pula dia sudah menemui pengganti. Taufik masih sangat perlukan Aliya dalam hidupnya, tapi untuk memaksa Aliya menerimanya semula dia rasa tak wajar, kerana dia pasti yang Aliya sudah bahagia kini, bersama kekasih hati.

Taufik menapak perlahan menuju ke bilik Zaim. Kekesalan jelas terukir di wajahnya yang berserabut. Dia merapati anaknya yang telah lena dibuai mimpi, kesan bengkak pada mata Zaim menusuk ke hati, serentak dia menghela nafas sedalam-dalamnya. Kekesalannya berpanjangan. Dia tahu dia tak mampu untuk membahagiakan Zaim lagi. Dia mula memikirkan untuk menemukan Zaim dengan Aliya seperti yang dihajatkannya.

Taufik runsing, dia tidak tahu mahu memulakan di mana kerana dia sendiri tidak mengetahui di manakah Aliya berada. Soal itu tak pernah dibangkitkan selama ini. Seingatnya bila Aliya kembali semula, dia sudah melancarkan perang dingin. Langsung tak mahu mengambil tahu perihal isterinya itu selama tempoh 5 tahun yang berlalu. Dia sangka keadaan akan kembali pulih mengikut masa, tapi dia ternyata silap. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, satu demi satu musibah melanda.

Belum sempat dia memaafkan kesalahan Aliya yang datang dan pergi sesuka hati dari hidupnya, dia diuji pula dengan pemergian ibu yang tersayang. Tambah memburukkan keadaan, Aliya turut terlibat sama merahsiakan kebenaran tentang penyakit arwah. Kemarahannya semakin bertambah. Dia mula bencikan Aliya kerana isterinya itu dilihat sentiasa mahu mengambil keputusan sendiri. Tak pernah sekalipun fikirkan tentang perasaannya terlebih dahulu. Dia rasa pedih dan tersisih sehinggalah dia bertindak mengasari Aliya yang nyata amat diperlukan dalam hidupnya. Wajah Zaim dibelai sebelum satu kucupan hinggap di dahi.

“Im maafkan papa ya sayang. Papa yang salah. Papa tak sepatutnya layan Im macam tu. Maafkan papa ya.” tuturnya penuh sebak serentak langkah diatur menuju ke biliknya.

Selesai solat, Taufik terus menuju ke bilik bacaan. Hajat hati ingin menyelesaikan tugas-tugas pejabat yang menanti untuk disahkan. Langkahnya terhenti apabila terdengar namanya dipanggil. Suara Mak Jah  dari ruang tamu kedengaran sayup-sayup. Taufik mendapatkan Mak Jah yang sedang tercegat di situ.

“Ya Mak Jah, kenapa?” soalnya hairan.

“Mak Jah cuma nak kasi ni kat Fik. Amanah arwah puan.” ucap Mak Jah sambil menghulurkan diari yang selama ini berada dalam simpanan. Dia pasti masanya sudah tiba. Benarlah seperti apa yang dijangka oleh arwah Pn. Hayati. Keadaan rumahtangga Taufik menjadi semakin meruncing. Dia pasti yang diari itu mampu untuk mengubah keadaan sama seperti yang dikatakan oleh puannya besarnya dulu. Taufik menyambut huluran Mak Jah tanpa ragu-ragu sebelum membeleknya penuh minat.

“Diari?” soalnya. Pandangannya diarahkan ke wajah Mak Jah.

“Arwah suruh Mak Jah sampaikan pada Fik bila tiba masa yang sesuai. Mak Jah pasti yang dah sampai masanya seperti mana yang arwah maksudkan tu.” balasnya, sebelum Taufik ditinggalkan sendirian.

Satu persatu helaian diari peninggalan arwah ibunya itu diamati sebelum dia terduduk di kerusi kerjanya di bilik bacaan. Mukanya pucat tak berdarah. Dia cuba untuk menerima segala yang tertulis di situ. Dia nyata terkejut, jantungnya seperti untuk gagal berfungsi. Helaian-helaian terakhir dalam diari khas ditujukan kepadanya. Ditulis beberapa hari sebelum arwah dijemput pergi menghadap Illahi. Sekarang barulah Taufik mengerti segala yang terjadi. Patutlah arwah mahu dia berjanji untuk menjaga dan membahagiakan Liya bagi pihaknya. Rupa-rupanya untuk menebus segala kesalahan yang telah dilakukan arwah pada Aliya selama ini.

 

21 Feb 2016.

Buat anak mak yang tersayang,

 

“Biar apapun yang terjadi, mak nak Fik tahu yang mak sangat sayangkan Fik. Mak sedar yang masa mak dah tak lama. Mak dah semakin menghampiri waktu yang dijanjikan. Seandainya mak dah tak ada di dunia lagi dan pada masa tu Fik mula salahkan Liya atas segala yang berlaku mak nak Fik tahu, semua yang Liya lakukan adalah atas permintaan mak sendiri. Aliya tak bersalah.

Dia dah cuba pujuk mak berterus terang pada Fik, tapi mak tak cukup kuat untuk lakukannya. Mak tak nak Fik sedih dan bencikan mak. Mak tak sanggup Fik. Mak dah cukup bahagia untuk ada anak yang sebaik Fik. Mak tak layak untuk minta lebih lagi kerana mak dah banyak berdosa pada Fik dan Liya.

Selama ni mak tak berani untuk berterus terang untuk mengakui kesalahan yang dah mak buat pada Liya dan rumah tangga Fik. Sejak dari mula lagi mak dah tak sukakan Liya. Macam-macam perkara buruk yang mak dah lakukan pada Liya untuk buat dia tinggalkan Fik, tapi Liya tetap setia tak berganjak. Dia terima saja semua perbuatan mak padanya. Dari awal lagi mak dah ingatkan dia tentang Zulaikha. Pilihan mak untuk Fik. Liya hanya mengangguk faham masa tu. Mak tahu yang hatinya terluka tapi dia tak pernah tunjukkan sikap yang tak wajar pada mak.

Hati mak hancur bila satu hari mak jumpa surat tulisan Izham pada Fik yang disimpan di dalam laci bilik bacaan. Mak semakin salahkan Liya. Mak rasa yang Fik tak layak dilayan sebegitu, menjadi pak sanggup bagi menutup aib orang lain. Mak tak rela anak yang mak besarkan dengan penuh kasih sayang menerima nasib seperti itu. Mak jadi marah. Bila tahu yang dia mengandung, mak lebih tak senang hati. Mak mula rancang untuk pisahkan Fik dengan Liya. Mak takut yang Fik dan Liya takkan dapat dipisahkan lagi nanti.

Maklah yang menjadi punca kenapa Liya pergi tinggalkan Fik dulu. Mak minta dia tinggalkan Fik dan Zaim kerana mak nak teruskan rancangan untuk menjodohkan Fik dan Zulaikha yang baru selesai pengajian masa tu. Mak bayar Liya untuk pergi, mak tahu yang tindakan mak keterlaluan, tapi mak memang tak dapat nak terima Liya. Mak rasa dipermainkan. Lebih kejam, mak beri surat Izham padanya kerana mak pasti hanya itu jalan yang ada untuk buat Liya tinggalkan Fik. Seperti yang mak jangka Liya akhirnya undur diri, tapi mak tak sangka yang Zulaikha juga telah membuat pilihannya sendiri sama macam Fik yang pilih Liya sebagai isteri.

Mak mengaku, semuanya salah Mak. Maafkan Mak Fik, mak dah banyak lakukan dosa. Mak takut nak mengaku dengan Fik, mak tak sanggup dibenci pada sisa-sisa hayat mak yang mak sendiri tak pasti selama mana lagi.

Mak nak Fik tahu yang mak dah faham sekarang kenapa Allah temukan Fik dan Liya dulu. Liya memang dah tersurat untuk Fik. Baru mak tahu, segala telah dirancang sebaiknya, cuma mak yang lambat sedar. Tapi mak bersyukur mak dapat membetulkan kembali kesalahan yang telah mak lakukan. Mak bertekad untuk satukan Fik dan Liya semula. Mak cuba untuk menjejaki Liya dan akhirnya mak berjaya.

Liya sememangnya seorang insan yang berhati mulia. Dia bersedia maafkan kesalahan mak padanya. Mak tahu semuanya dilakukan kerana ihsannya pada mak bila dapat tahu penyakit yang mak hadapi. Sepanjang mak sakit, dialah yang membantu menjaga mak. Liya memang baik, dia tak pernah bersunggut. Mak bersyukur kerana Fik berikan mak menantu seperti Liya. Mak betul-betul berterima kasih padanya, Allah makbulkan doa mak untuk satukan kembali keluarga Fik. Dah tak ada apa lagi yang mak perlukan, selain kemaafan Liya yang bakal mak bawa bersama nanti. Hati mak lebih tenang Fik. Terima kasih nak. Terima kasih untuk sagalanya. Mak harap Fik dapat maafkan segala kesalahan mak sebab mak tahu, Fik seorang anak yang baik. Maafkan Mak ya nak. Maafkan mak.”

 

Diari di tangan terlepas dari pegangan. Taufik benar-benar tak dapat mempercayai apa yang tercatat di situ. Wajah ibunya dan Aliya bersilih ganti. Sesungguhnya tak pernah dia jangka semua itu akan terjadi. Kebenaran tentang Aliya yang baru diketahuinya membuatkan dia diburu perasaan bersalah yang teramat sangat. Aliya rela menanggung derita itu sendiri. Wajahnya yang sentiasa ceria tanpa pernah menunjukkan sebarang kesedihan, membuatkan Taufik tidak langsung terfikir yang dia akan menderita di rumah itu.

Taufik menyalahkan diri kerana tak berpegang pada janji. Seandainya dia mampu mengawal hati, Aliya pasti sangat bahagia sekarang di sampingnya, setiap masa dan ketika. Dia mengeluh melepaskan rasa kecewa yang bersarang di jiwa.

Kini Aliya telah pergi, pergi jauh entah ke mana. Membawa bersama hati yang telah terluka bersama cinta yang tak dihargai. Taufik menampar mukanya sendiri, melepaskan rasa amarah pada diri kerana sanggup menidakkan lafas cinta yang telah diberi.

Diari di hadapannya ditenung lama. Dia seperti teringatkan sesuatu. Taufik menyelak-nyelak kembali helaian-helaian diari berkenaan. Matanya terhenti pada helaian yang dicari. Dia lantas bangkit lalu berlari menuju ke ruang tamu. Kunci kereta yang terdampar sepi pantas dicapai sebelum kereta dipandu ke destinasi yang dituju, tempat keberadaannya Aliya yang amat dirindu.

Dia bertekad untuk memujuk Aliya kembali. Dia sudah tidak memikirkan tentang lelaki yang telah menambat hati Aliya itu. Dia takkan berputus-asa selagi belum mencuba, selebihnya akan diserahkan pada Aliya.

Kali ini biarlah Aliya yang memutuskan, samaada mahu kekal bersama atau sebaliknya. Dia akan akur dengan segala keputusan dan Aliya sekali-kali tidak akan dipersalahkan. Kereta dipandu laju membelah kegelapan malam sambil berbekalkan ingatan pada isteri tercinta yang tak mungkin akan pernah padam.

“Liya, maafkan abang sayang. Abang yang bersalah. Abang sayang Liya.” tuturnya sayu, kelopak matanya sudah terasa panas. Perasaan bersalah menyelubungi diri, pegangan pada stereng kereta dikejapkan, menahan gelodak perasaan yang semakin tak keruan. 

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati