Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 35

Sejak ketiadaan Aliya, hidup Taufik semakin tak terurus. Kerja-kerja dipejabatnya sengaja dibiarkan tertangguh. Dia seperti sudah tawar hati untuk ke pejabat. Segala urusan pejabat diamanahkan kepada Zainal buat sementara waktu. Mujurlah Zainal seorang yang memahami. Dia turut simpati pada Taufik yang tak habis-habis diuji dengan permainan takdir. Hidupnya tak lekang dengan cobaan, daripada dulu sampailah sekarang. Zainal hanya boleh berdoa meminta dia ditunjukkan jalan yang terbaik.

Fikiran Taufik dan ingatannya terhadap Aliya semakin kuat. Kini dia lebih gemar menghabiskan masanya terperuk di bilik sambil mengimau kembali kenangan-kenangan manis diantara dia dan kekasih hati. Wajah Aliya kelihatan di mana-mana, tak pernah hilang di mata dan dia seperti dapat merasakan Aliya ada bersamanya setiap masa. Aliya sentiasa dekat tapi tak tercapai dek tangan.

Hatinya tak keruan. Sesungguhnya dia sangat memerlukan kehadiran Aliya dalam hidupnya. Taufik menyesali perbuatannya yang tidak berpegang pada janji. Sekiranya perkara itu dilakukan sejak dari dulu lagi pasti dia tidak akan jadi seteruk ini. Tapi dia yang terlalu mengikutkan perasaan, kini dia perlu menerima pembalasan atas segala perbuatan dan kesalahan, kerana telah membiarkan Aliya pergi dengan penuh kepiluan.

Kepalanya jadi berserabut setiap kali terfikirkan tentang Aliya. Ke mana Aliya menghilang pun dia tidak tahu. Dia tak dapat melupakan suara lelaki yang mengangkat telefon Aliya lama dulu, yang dia sendiri masih tak pasti gerangannya. Melalui Zaim dia seperti dapat mengagak yang Aliya sudah mempunyai teman baru, siap untuk menjadi pengganti dirinya. Semudah itu Aliya berubah hati.

Dia tak pernah menjangka Aliya sanggup membelakanginya lagi kali ini. Sanggup mencari teman baru sedangkan hubungan mereka masih sah di sisi syarak. Taufik geram diperlakukan seperti suami dayus. Dia nekad untuk berhadapan dengan Aliya bagi menyelesaikan segalanya. Telefon bimbit yang teradampar di atas katil dicapai serentak nama Aliya dicari. Lama skrin telefon dipandang, tapi akhirnya dia sedar, dia masih tak mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan Aliya. Dia takut untuk mendengar pengakuan Aliya tentang hubungannya dengan lelaki yang diperkenalkan kepada Zaim sebagai kawan untuk menemaninya bermain kelak. Taufik menghela nafas panjang, sebelum menyandarkan badannya ke kepala katil. Dia tak dapat berhenti menyalahkan diri sendiri, akibatnya dia terpaksa menanggung kesakitan setengah mati kini.

“Padam muka kau. Masa dia beriya-iya merayu kau dulu, kau tolak dia macam tu je. Kau buat dia rasa yang cintanya tak ada harga. Murah dan tak ada nilai. Macam sampah. Langsung tak ada makna dan hanya menyakitkan mata. Kau buat dia fikir yang kau nak buang dia jauh dari hidup kau. Sekarang, bila dia semakin jauh barulah kau terhegeh-hageh nakkan dia semula. Kau memang suami yang tak guna. Kau yang dah musnahkan hidup kau sendiri.” Taufik bermonolog sendiri sebelum dia menghela nafasnya dalam-dalam. Mukanya ditelakup dengan kedua belah telapak tangan. Fikirannya semakin runsing memikirkan masalah yang tak pernah selesai itu.

“Aku mengaku, aku yang salah. Aku terlalu berkecil hati. Aku tak pegang janji. Aku gagal bahagiakan dia seperti mana yang ibu amanahkan pada aku. Aku berdosa. Aku berdosa pisahkan Zaim dengan mamanya. Aku memang seorang suami dan ayah yang tak bertanggungjawab. Aku malu untuk bersemuka dengannya lagi. Aku malu dengan perbuatan aku selama ini. Sekarang aku sendiri tak pasti penerimaannya pada aku, setelah sekian lama dia dibiarkan sendiri. Aku buntu.” bisiknya sendiri sebelum Taufik terbaring lesu, serentak kepalanya diramas geram.

Hatinya terasa berat untuk melepaskan Aliya pergi kepada lelaki lain. Dia masih belum bersedia, malah dia takkan pernah bersedia untuk semua itu. Aliya akan tetap menjadi isterinya, dulu, kini dan selamanya. Tetap sebagai isterinya, bukan kepada lelaki lain. Kalau Aliya inginkan pepisahan pun langkahlah mayatnya dulu, sesekali dia takkan melepaskan Aliya dengan semudah itu.

“Biarkan saja dia sendiri, bertemankan kekasih baru yang akan lebih membahagiakannya dan mungkin itulah yang terbaik baginya. Biarkan dia merasai bahagia, dah terlalu lama dia merana. Paling tidak dia tak perlu hidup tersiksa dengan kau lagi. Suami yang mementingkan diri, tak pernah peduli perasaan isteri. Beri dia peluang untuk hidup, hidup dengan insan yang lebih menyayanginya. Dia dah tak perlukan kau lagi Taufik. Kau hanya pengalaman pahit yang ingin dibuang dan dilupakan dari lipatan-lipatan kenangan.” Taufik menutup kedua-dua belah telinga dengan tapak tangan. Mahu menghentikan bisikan-bisikan halus yang semakin mendera perasaan.

Hatinya mula berbelah bahagi, antara kasih dan simpati. Kasihnya pada Aliya tiada ganti, tapi simpati pada si isteri semakin menjelma di hati. Dia perlu mengumpul kekuatan untuk menetapkan pendirian. Samaada perlu memiliki kasih Aliya kembali atau melepaskannya pergi kepada insan lain yang sedang dicintai. Taufik buntu. Dia perlukan pengesahan dari Aliya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Lantas telefon dicapai kembali, serentak Aliya dihubungi. Taufik lebih pasti kali ini. Masalah mereka sudah terlalu lama dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian.

 

“Assalamuaikum.” jawap Aliya di hujung talian. Dia sedang sibuk berbincang dengan Laili di biliknya pejabatnya kerana Laili perlukan pemeriksaan dan tandatangan Aliya sebelum membuat penghantaran yang terakhir bagi pesanan yang telah diterima bulan ini. Minggu depan umat Islam sudah mula berpuasa. Tinggal nak tunggu pengunguman dari pihak yang bertanggungjawab saja.

Semua teruja menantikan kehadiran Ramadan yang dirindui. Setahun sekali, memenuhi tuntutan Illahi dan mereka juga tak berkecuali. Laili sudah mula menyenaraikan juadah-juadah berbuka puasa kegemarannya yang hanya dapat dijumpai pada bulan itu sahaja. Pasti penuh bazar dengan kehadiran penggemar-penggemar makanan tersebut nanti.

“Hello, nak cari siapa?” soal Aliya lagi sedang pandangannya masih tertumpu pada helaian-helaian kertas di hadapannya. Taufik terkelu tadkala suara yang dirindui terasa lembut menyapa telinga. Suara Aliya terasa mendamaikan fikiran yang sedang berkecamuk sehinggakan dia tak mampu untuk membalas pertanyaan Aliya itu. Lidahya kelu. Tangannya terketar-ketar. Telefon yang dipegang nyaris terlepas daripada genggaman. Hanya Allah yang tahu betapa kuatnya gelora di hati saat itu kerana seluruh kasih dan sayangnya tertumpah di situ. Seandainya Aliya ada di hadapannya saat itu pasti telah dirangkul dan dikucup isterinya itu untuk melepas rindu.

“Siapa?” soal Laili hairan. Aliya melihat nama yang tertera di skrin telefonya, tak ada dalam senarai, sebelum menjongketkan bahu, tanda dia sendiri pun tak tahu.

“Entahlah, salah nombor lagi kot. Takpa la. Kita kat mana tadi?” soalnya pada Laili, menyambung urusan yang belum selesai, serentak perbualan dihentikan dan Taufik hilang kata-kata.

 

Kereta dipakir di hadapan Klinik Dr.Lai dan dia telah bersedia untuk pemeriksaan yang berikutnya. Tadi Laili beriya-iya mahu menghantarnya, namun dek kerana masa yang tak mengizinkan rancangan tersebut terpaksa dibatalkan. Aliya menapak memasuki klinik tersebut dengan berhati-hati kerana pergerakannya mula terbatas kini.

“Pn. Aliya, sekarang you punya kandungan sudah masuk 7 bulan. Buat masa ni semua ok. Cuma your blood pressure je yang ada tinggi sikit. You ada stress ke kebelakangan ni?” soal Dr.Lai selesai pemeriksaan dijalankan.

“Sikit. Kenapa Dr? Baby saya tak sihat ke?” soalnya bimbang.

“Baby ok, cuma biasanya bila sudah dekat-dekat masa delivery, saya akan nasihatkan ibu-ibu untuk bagi lebih perhatian pada penjagaan kesihatan secara fizikal dan mental. Nanti baru senang bila mahu bersalin. You punya husband I tak pernah nampak lagi. Kenapa dia tak datang sekali?” soal Dr. Lau pula.

“Dia tak ada di sini. Dia kerja di KL.” balas Aliya mahu segara mematikan persoalan dari Dr.Lai itu.

“Okey, kalau macam tu, nanti saya kasi ubat, tapi you kena banyakkan rehat. Jangan fikir terlalu banyak. Saya rasa itu mampu buat you lebih tenang.” cadangnya lagi.

“Terima kasih Dr, terima kasih banyak-banyak.” balasnya sebelum berlalu pergi.

Terdapat beberapa pasangan lain yang turut menunggu giliran di luar dan mereka ditemani suami masing-masing. Hatinya terusik semula, serentak wajah Taufik terbayang di mata.

“Abang, sampai bila abang nak marahkan Liya? Kami rindukan Abang.” bisiknya pada diri. Terasa bergenang air mata bila terkenangkan nasib diri yang dibiarkan sendiri.

 

“Liya kau perasan tak Leman tu sekarang? Aku tengok dia macam nak mengelak je daripada aku. Message aku pun dah tak pernah.” Laili meluahkan kekesalan hati ketika mereka menonton telivisyen bersama. Kesal bila memikirkan perbuatan Sulaiman yang langsung tak menghiraukannya. Datang hantar keropok ke kilang, sebelum hilang. Tak macam dulu, berjam-jam menempek di situ. Mulutnya becok bercerita kerana mahu menarik perhatiannya. Tapi sekarang senyap je, buat muka selamba, sepatah ditanya, sepatah yang dijawap.

“Tu lah kau. Masa dia nak mengorat dulu kau tak minat, jual mahal sangat. Sekarang masa dia dah tak ada barulah kau nak ingat dia. Tak faham lah aku korang ni. Entah-entah dia dah jumpa teman baru tak? Ha…kau jangan cakap yang kau dah mula suka kat dia pulak.” usik Aliya. Dia sekadar ingin menduga sedang dia sendiri tahu perasaan sahabatnya itu. Malu-malu kucing. Mulut kata tak nak tapi di hati bunyi loceng.

“Sampai ke situ pulak kau ni. Aku bukannya apa, dulu kata nak jadi kawan, tapi sekarang ni dah macam kawan lupa kawan. Sejak jumpa kat ofis haritu sampai sekarang perangai dia dah lain. Datang kilang hantar keropok lepastu bla macam tu je. Biasanya hari-hari dia kejutkan aku Subuh. Tapi sejak hari tu dia dah tak kejutkan aku lagi. Peliklah, dia marah kat aku ke? Puas aku fikir, rasanya aku tak ada buat salah apa-apa pun pada dia.” tuturnya sesal.

“Kan aku dah cakap hari tu, entah-entah dia dah dapat teman baru, kau yang tak percaya. Tulah sebabnya dia off dengan kau sebab dia dah on dengan yang lain. Biar je lah dia macam tu. Dia dah bosan sangat menunggu kot, ke dia merajuk dengan kau, sebab kau tak pernah nak layan dia selama ni?” tutur Aliya dengan senyuman. Sedar rancangan untuk menyatukan keduanya sudah mula membuahkan hasil.

“Kot ye pun dah ada teman pengganti, takkanlah sampai putus kawan. Merajuk? Mengarutlah. Kenapa pulak nak merajuk. Bukannya aku ada buat apa-apa kat dia. Lelaki merajuk? Bosanlah, macam perempuan. Tulah sebabnya aku tak nak rapat sangat. Sama je semuanya, susah nak jumpa yang setia.” balas Laili sambil mengusap lembut perut Aliya yang berada di sisi. Tanpa sedar dia turut teringin mempunyai cahaya mata sendiri.

“Tak setia kau cakap? Seingat aku, dah bertahun dia mengulang ke kilang nak ngorat kau, itupun kau kata dia tak setia lagi? Hari-hari dia datang merayu cinta, tapi kau buat tak tahu je. Bila dia bagi hadiah kau tolak. Dia ajak keluar kau tak nak. Agaknya itulah sebabnya dia dah surrender, dah tu sekarang ni baru nak menyesal, baru nak rindu? Kau dah suka kat dia sebenarnya ni kan?” soal Aliya lagi. Dia pasti Laili juga menaruh perasaan pada Leman, cuma dia perlukan sedikit galakan. Keperitan yang pernah dilalui dulu menjadi penghalang untuknya membuka hati pada seorang insan yang bernama lelaki.

“Tak kuasa aku nak rindu-rindu kat dia. Kalau orang dah tak suka nak kawan dengan kita, buat apa nak buang masa kan?” jawap Laili cuba menyembunyikan kekesalan. Aliya hanya membalas dengan senyuman sumbing serentak Laili mencebik geram.

“Laili, kau dah suka kat dia kan?” tutur Aliya lagi sambil memainkan tangannya di hadapan wajah temannya itu dengan ketawa yang sudah tak dapat ditahan.

“Apa kau ni Liya, tak habis-habis mengarut. Dah la, malas aku nak layan. Kau ni kan, tak membantu langsung. Aku dah tak larat dah ni. Mata dah nak sampai ke lantai, aku nak zesss dulu. Selamat malam baby boyot, selamat malam mama boyot.” ujarnya sebelum sekali lagi mengusap perut Aliya yang sudah semakin membesar itu. Serentak langkah diatur menuju ke biliknya.

Aliya tersenyum gembira. Dia pasti kini yang Laili juga menyayangi Sulaiman, serentak telifon bimbitnya dicapai.

 

Sulaiman tersenyum riang kerana rancangan mereka hampir berjaya dan Laili sudah mula merindukannya. Dia bersyukur, akhirnya Laili menunjukkan tanda-tanda positif. Tanpa disangka Laili juga turut menyukainya selama ini. Penolakan Laili hanya semata-mata kerana sejarah silamnya itu. Melalui Kak Aliya baru dia tahu perkara yang sebenar. Rupa-rupanya Laili pernah kecewa. Dia berjanji untuk membuatkan Laili bahagia. Dia mahu melenyapkan kenangan pahit yang menghantui kekasihnya itu selama ini dengan kenangan-kenangan baru yang lebih manis dan bermakna. Dia berjanji, Insya-Allah dengan izinNya.

 

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati