Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 24

Deringan telefon di ruang tamu mengejutkan Aliya yang sedang melayan perasaan. Terkejar-kejar dia menuju ke arah telefon tersebut. Panggilan daripada Zainal pantas menerpa ke telinga.

“Assalammualaikum. Aliya, ni Zainal kawan sekerja Taufik. Boleh tak Aliya tolong datang ofis sekarang. Ada hal penting yang saya nak dibincangkan.” ucapnya serius.

“Atas urusan apa ya?” soal Aliya inginkan kepastian.

“Aliya sampai nanti kita bincang. Tapi kalau boleh datang naik teksi ya.” tambahnya lagi.

“Kenapa?” soal Aliya sangsi. Belum sempat dia mendengar penjelasan Zainal, talian telah dimatikan.

 

Pintu pejabat Taufik ditolak berhati-hati. Ruang pejabat kelihatan kosong tak berpenghuni. Aliya memandang jam di tangan yang telah menghampiri angka 6.30 petang. Pasti staf-staf ofis semuanya telah meninggalkan pejabat, getus hati kecilnya. Ketibaan Aliya disambut Zainal yang tiba-tiba muncul dari arah belakangnya. Dia mula jadi serba salah berdua-duaan begitu, rasa kekok dan tak selesa. Hatinya mula jadi tak tenang.

“Tadi awak kata ada hal nak bincang. Apa halnya ya. Semua staff dah balik ke? Kita bincang kat tempat lain la. Tak elok kita duduk berdua macam ni. Nanti timbulkan fitnah pula.” ujar Aliya sebelum berpaling dan melangkah keluar dari ruang pejabat semula.

“Aliya tunggu dulu. Kejap,kejap. Jangan fikir yang bukan-bukan. Saya tahu apa yang Aliya sedang fikirkan. Aliya tak perlu takut. Kita bukan berdua je kat sini tapi bertiga.” balasnya sambil mengangkat kedua-dua belah tangan.

Dia mahu segera membuang sangkaan buruk Aliya itu. Dalam diam dia mengagumi keperibadian Aliya yang tahu menjaga batasan dalam pergaulan dan dia pandai menjaga maruah Taufik selayaknya. Aliya mengerutkan kening. Dia seperti tak percaya kerana tiada sesiapa yang menyapa di mata.

“Ikut saya. Taufik ada kat dalam. Dia accident sikit. Kena langgar dengan motor kat bawah masa baru balik jumpa client. Tapi saya dah hantar dia buat check-up. Tadi saya offer nak hantar balik, dia tak nak. Itulah sebabnya saya suruh Aliya datang naik teksi je tadi. Aliya drive dia balik ya.” terang Zainal menjelaskan keadaan yang berlaku.

Aliya mula cemas. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada Taufik. Serentak pintu bilik dibuka. Dia nampak Taufik sedang terlena di kerusi dengan tangan kanan yang berbalut daripada pangkal siku sampailah ke hujung jari.

“Aliya tolong uruskan dia ya. Saya kena ke PJ, urgent. Ada client nak tengok rumah. Kalau lambat nanti takut tak sempat pulak.” tuturnya sebelum membuka langkah. Aliya mengangguk faham.

“Terima kasih.” balasnya sebelum menarik perlahan kerusi yang ada di situ.

Aliya duduk bertentangan dengan Taufik yang masih setia melayan mata. Dia tidak mahu mengganggu mimpi suaminya itu. Wajah Taufik ditatap penuh rindu kerana sudah agak lama mereka tidak berada dalam situasi begitu. Melihat Taufik yang betul-betul dihadapannya membuatkan Aliya tersenyum sendiri. Taufik begitu hampir namun dia dapat merasakan yang suaminya itu jauh, malah semakin jauh meninggalkannya sendiri.

Kesunyian ruang pejabat terasa menenangkan hati. Kalau boleh dia ingin masa terhenti supaya dia dapat berlama-lama dengan Taufik di situ. Dia sudah cukup bahagia andai diberi kesempatan untuk menatap wajah suaminya itu. Wajah Taufik yang mula kelihatan tak terurus turut mengusik hatinya. Dia tahu dia yang menyumbang kepada perubahan Taufik kerana sekali lagi hati suaminya itu telah dikecewakannya.  

Sejak kebelakangan ini, Taufik lebih gemar menjauhkan diri. Tidak mahu bercakap, malah memandangnya pun tak rela. Aliya tak tahu apa lagi yang mahu diusahakan untuk memujuk rajuk Taufik. Setiap kali dia cuba menghampiri pasti Taufik segera menjarakkan diri, samada di meja makan mahupun ketika bermain-main bersama dengan Zaim. Dia mula rasa berjauh hati.

Sampai bila kekeruhan hubungan mereka akan berlarutan? Adakah masih ada sinar bahagia yang akan menerangi di hujung perjalanan? Ataupun sudah tersurat yang hubungan mereka akan berakhir sampai di sini? Aliya sendiri mula sangsi. Keyakinannya pada diri sendiri sudah beransur pudar. Tapi yang pasti selagi dia diperlukan dia akan melakukan yang terbaik, dengan sehabis daya.

Aliya menggeleng-gelengkan kepala tadkala melihat meja Taufik yang berselerakan. Terdapat fail-fail kes yang bertaburan isi perutnya. Dia memasukkan dokumen tersebut ke dalam fail yang tersedia sebelum menyusunnya semula dengan berhati-hati. Takut kalau-kalau Taufik terjaga nanti.

Sedang dia sibuk menguruskan fail tersebut Taufik membuka mata. Aliya terkejut. Begitu juga dengan Taufik. Mereka terpaku buat seketika sebelum Taufik mula buat muka tak selesa. Dia mendengus kasar. Aliya tahu yang kehadirannya tak diundang, tapi dia tak kisah. Apa yang penting, dia dapat melakukan sesuatu untuk Taufik, itu sudah cukup untuk membuatkan dia bahagia.

“Abang, Liya datang nak ambil abang. Kenapa tak call Liya yang abang accident? Nasib baik ada Zainal. Dia suruh Liya datang jemput abang. Abang tak boleh drive kan? Takpe, hari ni biar Liya yang bawak abang.” ujarnya sebelum menuju ke sebelah Taufik. Taufik bangun dalam kepayahan. Pinggangnya malah bahunya mula terasa sakit-sakit. Aliya pantas membantu Taufik untuk bangun.

“Tak payah!” ucap Taufik tegas. Namun Aliya tetap menghulurkan bantuan. Arahan Taufik tak diendahkan sebaliknya lengan Taufik ditarik merapatinya.

“Kau ni memang tak faham bahasa kan? Aku kata tak payah, maksudnya tak payahlah.” serentak tubuhnya terjatuh ke lantai. Aliya benar-benar melepaskannya kali ini. Dikerling Aliya yang turut memandangnya ke arahnya.

“Boleh tak Liya mintak, kali ni je. Tolonglah dengar cakap Liya. Kita dah lambat ni. Dah nak masuk Maghrib. Liya tak nak kita sama-sama tanggung dosa. Please.” rayunya sambil meraih lengan Taufik kembali. Taufik hanya menurut kali ini. Tanpa protes mereka bergerak menuju ke kereta.

Suasana dalam kereta sunyi sepi. Aliya sedang fokus dalam pemanduannya manakala Taufik duduk membatu sendiri. Bila berpeluang, sempat juga Aliya mengerling ke arah Taufik dengan ekor mata. Sesekali Taufik dilihat mengetap bibir menahan kesakitan. Aliya sedih memikirkan perkara yang menimpa suaminya itu.

Pagi tadi sebelum ke pejabat, Taufik baik-baik saja. Siapa yang boleh menjangka perkara seperti itu akan berlaku. Tapi setidak-tidaknya dia tetap bersyukur kerana kecederaan Taufik tidak begitu parah. Sebuah senyuman terukir di wajahnya tanda kelegaan. Tadkala terpandangkan senyuman Aliya, Taufik jadi panas hati semula.

“Kau suka lah kan aku jadi macam ni?” soalnya marah. Suara Taufik keras memecah kesunyian senja. Aliya mengerutkan keningnya kehairanan.

“Kenapa abang boleh cakap macam tu? Liya kan isteri abang. Tak pernah terdetik dalam hati Liya untuk tengok abang sengsara. Sampai hati abang tuduh Liya macam ni. Liya tahu Liya bukan isteri yang sempurna buat abang tapi Liya juga tak rela jadi isteri yang derhaka.” Taufik dipandang sekilas sebelum dia memecut kereta laju. Aliya terkilan dengan tuduhan Taufik yang tak berkesudahan. Taufik mencebik geram kerana dia sukar untuk mempercayainya.

Setibanya di rumah, ketibaan Taufik dan Aliya disambut Zaim yang memang sedang menanti kepulangan mereka sejak tadi. Zaim berlari untuk mendapatkan mamanya. Langkahnya terhenti bila terpandangkan lengan papanya yang berbalut, serentak keningnya berkerut, takut.

“Kenapa tangan papa jadi macam tu?” soalnya sebelum laju ke dakapan Aliya. Taufik tidak menjawab sebaliknya menarik muka masam. Dia segera ke tingkat atas dalam keadaan terhincut-hincut. Aliya cuba untuk membantu, namun jelingan tajam Taufik membuatkan dia mematikan niatnya itu.

“Mama, kenapa dengan papa? Tadi pagi kan elok je masa hantar Im ke sekolah?” soal Zaim ingin tahu. Aliya menghampiri Zaim yang masih sarat dengan tanda tanya. Dia kesal dengan tindakan Taufik yang tidak mengendahkan anaknya itu.

“Kot iya pun sakit takkan lah sampai tak boleh menjawap.” desisnya dalam hati, menghantar pergi kelibat Taufik yang sudah sampai ke hujung tangga.

“Papa luka sikit sayang. Nanti papa sembuh la tu.” balas Aliya merungkai kesangsian Zaim. Wajah anak kesayangannya itu diusap lembut.

“Sayang mama ni dah mandi ke belum?” soal Aliya ingin mengubah topik, tak mahu anaknya itu terlalu memikirkan tentang keadaan Taufik. Zaim tersengih. Dia mengangguk kemudian menggelengkan kepalanya. Aliya mengangkat kening.

“Belum? Patutla ada bau. Im la ni ya. Tak mandi lagi rupanya sayang mama ni.” gurau Aliya.

“Dah la. Mama ni, Im dah mandi tadi.” balasnya membela diri. Aliya mengucup pipi Zaim lembut.

“Mama tahu. Mama saja je gurau. Nak gurau pun tak boleh ke? Im tunggu kejap, mama nak solat dulu. Nanti mama turun balik. Ok?” ucapnya.

“Ok.” balas Zaim ceria.

“Mama lupa nak tanya, Nek Jah mana? Dari tadi mama tak nampak dia.” soal Aliya.

“Tadi Nek Jah kata dia nak pergi solat.” balas Zaim. Aliya mengangguk sebelum melangkah ke bilik manakala Zaim berlari menuju ke ruang tamu meneruskan tontonan rancangan di kaca telivisyen.

Pintu bilik terkuak luas. Taufik yang sedang cuba memakai kain pelikat terkejut beruk. Kain nyaris terlucut daripada pegangannya. Aliya turut terkedu dengan situasi yang tak diduga itu. Segan kerana dirasakan seperti telah melakukan kesalahan.

Perasaan malu menebal dalam diri. Setelah berfikir sejenak, dia berjalan menuju ke arah Taufik yang masih berusaha untuk mengenakan kain pelikat di badan.

“Biar Aliya tolong pakaikan.” tuturnya ingin menghulur bantuan.

“Tak payah. Aku boleh pakai sendiri. Kau jangan nak memandai- mandai.” bentak Taufik kasar sambil tangan kirinya berusaha menggulungkan kain pelikat di pinggang. Keadaan tangan yang berbalut menyukarkannya. Aliya mencapai tuala sebelum menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Dia tahu Taufik takkan mahu menerima bantuan yang dihulurkan.

Selesai mengambil wuduk, dia dapat melihat Taufik yang masih terkial-kial dengan tugasnya. Jam di dinding dipandang sekilas, lantas kakinya diatur menuju ke arah Taufik. Tanpa sepatah kata kain direntap daripada genggaman suaminya itu. Taufik berdecik geram, namun dia tak dapat berbuat apa-apa.

Seketika kemudian kain pelikat sedia tersarung kemas di pinggang. Taufik buat muka selamba sebelum melangkah ke tikar sejadah. Aliya mengukir senyum, gembira kerana dapat berbakti pada suami yang tercinta. Itu sudah cukup bermakna baginya, walaupun dia tahu yang Taufik tak sudi menerima.

 

Bunga mawar merah yang sedang mekar mengundang keceriaan di hati. Bau harum bunga mawar memenuhi segenap ruang taman berkenaan, menemani dirinya yang duduk berseorangan. Amanat terakhir mak yang mengamanahkan taman itu kepadanya untuk diuruskan, masih kuat dipegang dan tetap akan dijalankan selagi dia berkemampuan.

Tanaman-tanaman yang diusahakan oleh arwah selama ini tetap tumbuh subur di dalam rumah hijau yang dijaga rapi olehnya. Aliya baru saja selesai menghantar Zaim ke tadika. Sudah beberapa hari sejak Taufik mula ditimpa kemalangan dan sepanjang tempoh itu tugas menghantar dan menjemput Zaim dari sekolah diuruskannya. Aliya bahagia. Tugasnya sebagai ibu terasa lengkap sepenuhnya.  

Tiba-tiba senyuman di bibirnya mati. Serentak dia teringatkan permasalahannya dengan Taufik. Dia tidak pasti selama mana lagi dia diperlukan di rumah itu. Dapatkah dia bertahan? Sampai bila konflik antara mereka akan berterusan? Setahun? Sedekat? Atau selama-lamanya. Sikap Taufik langsung tidak berubah. Layanannya tetap dingin seperti selalu, tiada sapaan mesra seperti dahulu.

Adakah kehadirannya begitu menyesakkan fikiran? Perlukah dia menjauhkan diri buat sementara, atau selama-lamanya? Aliya mahu Taufik bahagia, bukan merana seperti sekarang. Dia perlu segera mencari jawapan. Pertikaian tersebut harus segera dinoktahkan dan dia akan menerima segala keputusan Taufik dengan berlapang dada walaupun dia tahu hatinya bakal tersiksa.

 

Taufik masih bermalas-malas di atas katil. Sudah beberapa hari dia tidak ke pejabat. Dia mula bosan terperuk di rumah. Sehari rasa macam setahun. Waktu terasa terlalu lambat berputar. Lebih-lebih lagi terpaksa mengadap Aliya sepanjang masa. Dia jadi rimas dan lemas. Aliya pula tak mahu berenggang dengannya, walaupun ditegah isterinya itu tetap buat tak kisah. Hatinya rasa sakit kerana tegahannya tak pernah diendah.  

Dia masih tidak dapat mencari titik permulaan untuk memaafkan Aliya. Setiap kali terpandangkan Aliya pasti dia akan teringatkan arwah ibunya semula, dan setiap kali itu terjadi dia kecewa dan mula menyalahkan diri sendiri. Dia kecewa kerana telah mengabaikan kebajikan ibunya yang tersayang dan dia masih perlukan masa untuk mengubat duka. Tanpa dia sedari, tindakannya itu turut melukai hati insan lain yang turut menyayanginya.

“Hang macam mana? Dah okey ke?” ucap Zainal di hujung talian.

“Alhamdulillah. Lebih baik dari semalam. Kenapa?” soalnya, kerana pasti ada sesuatu perkara yang terjadi di pejabat. Zainal takkan menghubunginya kalau tak ada hal-hal yang penting.

“Aku nak bagitau hang ni. Tadi pegawai PBT ada call, minta setting meeting tengah hari ni. Mereka nak tengok progress projek rating tu. Aku tak tahu sangat, kan hang yang handle selama ni. Aku dah inform yang hang accident, minta tangguh ke minggu depan. Tapi masalahnya pengarah dia yang nak jumpa dan dia free hari ni je. Itu yang aku terpaksa call nak tanya hang dulu. Habis tu macam mana?” soal Zainal minta pendapat.

“Pukul berapa diorang nak datang?” soalnya lagi.

“Tengahhari ni la, dalam pukul 11.00 macam tu. Macam mana? Hang boleh ke.” soal Zainal kembali.

“Boleh la kalau macam tu. Call pihak sana balik, setting meeting dulu. Sebelum tu aku nak tanya, tengah buat apa tu? Sibuk ke?”

“Tak jugak. Kenapa?”

“Datang ambil aku boleh. Aku tak boleh nak drive lagi ni. Boleh ke tak?” soalnya semula.

“Driver kau mana?” soal Zainal mengusik.

“Driver?” balas Taufik kehairanan.

“Liya la maksud aku.” tuturnya sambil ketawa.

“Ni satu perkara yang aku tak puas hati. Macam mana kau boleh terfikir nak call dia ambil aku petang tu. Aku belum bersedia untuk terima dia semula dalam hidup aku. Kau bukannya tak tahu. Kalaupun dah tak ada orang lain yang aku boleh harapkan, aku tetap tak akan minta pertolongan dia. Aku tak rela.” Tutur Taufik geram. Kata-kata Zainal hanya menambah derita di hati.

“Kenapa kau layan dia macam tu. Dia tak bersalah. Mungkin dia ada alasan dia sendiri. Siapa tahu kan? Hang tu pun bawak-bawaklah bertenang. Daripada dulu lagi aku kata bawak berbincang, hang tak nak. Saja nak menangguh-nangguh. Nanti dia pergi tinggalkan hang lagi baru hang merana. Jangan datang mengadu, meratap kat aku sudah la ya. Kalau jadi nanti aku buat bodo je. Bukannya aku tak pesan, kau yang tak dengar arahan.” nasihat Zainal dalam usaha menjernihkan kekeruhan rumahtangga rakannya itu.

“Siapa kata dia tak bersalah? Dia bersalah Nal. Dia bersalah sebab membelakangkan aku. Dia bersalah kerana sembunyikan kebenaran daripada aku. Dia bersalah kerana tak pernah nak hormatkan aku sebagai suami. Isteri apa namanya macam tu, tak pernah sekali pun dia ambil berat perasaan aku. Perangai dia memang takkan pernah berubah. Aku yakin sangat.” tutur Taufik penuh keyakinan.

“Kali ni, kalau dia nak pergi lagi pun aku dah tak kisah dah. Hidup aku lebih baik masa dia tak ada dulu. Dah la, malas aku nak cerita fasal dia. Buat sakit hati je. Kau jangan lupa ambil aku nanti. Kalau dah gerak bagitahu, boleh aku bersiap.” arah Taufik mematikan perbualan.

Dia tidak mahu bercerita tentang Aliya. Marahnya menjadi-jadi bila nama Aliya disebut. Dia sendiri benci pada diri sendiri setiap kali perkara itu berlaku. Bukan dia tidak berusaha untuk memaafkan Aliya. Cuma hatinya yang tak mahu menerima. Kehadiran Aliya hanya mengundang kepedihan di hati.

“Mak…maafkan Fik. Fik yang bersalah.” sayu suara hatinya merintih. Dia rindukan arwah ibunya saat ini. Pengorbanan maknya tak sempat untuk dibalas. Mak sangat bermakna baginya, kebahagiaannya di dunia dan di akhirat juga.

Aliya masih berdiri kaku di luar pintu. Keadan pintu yang tidak tertutup rapat membolehkan dia mendengar setiap kata-kata Taufik sebentar tadi. Segala isi perbualan Taufik dengan Zainal masih berlegar-legar di kotak fikirannya. Dulang yang ditatang di pegang kuat, takut terlepas dari tangan. Aliya sedar yang dia sudah tak diperlukan lagi.

Dia sangat pasti tentang hal itu kerana kedua-dua belah telinganya takkan pernah menipu. Hatinya berdarah mendengar pengakuan daripada Taufik. Setitik air matanya jatuh lagi. Cepat-cepat dia mengawal diri sebelum melangkah ke arah Taufik. Dia duduk di birai katil dengan wajah yang dipaksa untuk ceria dan Taufik membalas dengan muka selamba seperti biasa.

“Abang makan dulu ya. Nanti Liya kemaskan kemudian. Liya nak ke bawah. Ada kerja sikit. Ke abang nak Liya tolong suapkan.” pantas tangannya menyuapkan sesudu nasi goreng ke mulut Taufik. Taufik segera mengelak. Tak mahu bermesra-mesra dengan Aliya. Dia rimas.

“Kan aku dah kata. Jangan nak memandai-mandai, faham tak? Satu lagi, ada aku tanya kau ke apa yang kau nak buat? Selama ni pun ada kau kisah nak minta kebenaran aku sebelum buat apa-apa. Tak ada kan? So tak payah susah-susah nak bagitahu aku apa yang kau nak buat. Aku tak nak ambil tahu.” balas Taufik mencarik-carik tangkai hati Aliya. Wajah cerianya sebentar tadi lenyap sekelip mata, diganti mendung yang mencerminkan derita.

Sengaja dia menyakiti hati isterinya itu. Dia benci melihat Aliya yang masih dapat tersenyum ceria meskipun setelah segala yang berlaku. Aliya berlalu pergi meninggalkan Taufik sendiri dengan tangisan yang tak dapat disembunyikan lagi. Dia kecewa kerana Taufik betul-betul sudah keras hati.

Taufik menghantar pergi langkah Aliya dengan api kemarahan yang tak pernah padam. Dia semakin sakit hati. Segala tindak tanduk Aliya terasa menjengkelkan. Aliya sudah mula dilayan seperti musuh, sentiasa disakiti dan dibenci. Dia tidak dapat untuk menerima Aliya dalam hidupnya lagi. Dia sudah berusaha untuk memaafkan Aliya, tapi tetap tidak berhasil. Entah apalah yang telah merasuk dirinya.

Perlukah dia mengakhiri hubungan mereka seperti yang diinginkan Aliya dulu? Patutkah dia menodai janji yang terpatri antara dia dan arwah mak untuk membahagiakan Aliya selamanya? Dia tak pasti. Bisikan-bisikan jahat mula terdetik di hati.

 

Aliya membenamkan wajahnya di atas katil milik arwah Pn.Hayati. Dia ingin menangis sepuas-puasnya di situ kali ini. Aliya sedih memikirkan nasibnya kini. Dia sedar yang dia bakal disisihkan selamanya. Dugaan yang datang melanda menyesakkan dada, berat dan padat sampai susah mahu menghela nafas. Dia tiada tempat untuk mengadu. Untuk bercerita hal rumahtangganya kepada Laili mahupun Azie dia rasa tak wajar. Dia malu untuk membuka aib sendiri. Akhirnya segala bebanan yang ditanggung hanya disimpan di dalam hati.

Bersemuka dengan Taufik? Itu membuatkan dia jadi lebih takut. Dia takut untuk memulakan bicara kerana dia pasti hari dia mengutarakan permasalahan mereka, pasti akan menjadi hari terakhir dia di situ. Dia telah mendengar pendirian Taufik tadi. Tiada apa lagi yang ada diantara mereka, tiada kasih mahupun cinta, yang ada hanya secebis janji yang diungkap antara Taufik dan arwah ibu mertuanya dulu sebelum arwah memejamkan mata. Aliya tak dapat mengawal kesedihan yang meraja di hati.

“Mak.” tuturnya sayu. Dia mahu melepaskan beban rindu. Hanya linangan air mata yang mampu menemaninya di situ. Serentak wajah arwah ibu mertuanya terbayang di mata sebelum tangisannya semakin menggila.

Dia teresak-esak menangisi nasib diri yang bakal kehilangan kasih abadinya di dunia, Taufik dan Zaim yang sangat dicintai sepenuh hati. Ketulusan cintanya itu tak dihargai akibat perbuatan diri sendiri. Aliya tahu dia perlu menguatkan diri untuk menghadapi segala apa yang bakal terjadi tapi dia tetap tewas. Kesedihan itu tak dapat dibendung lagi.

Perpisahan untuk yang terakhir kali dan andai itu takdirnya dia rela dengan segala ketentuan Illahi kerana DIA lebih mengetahui segala yang bakal terjadi. Aliya tahu yang dia harus kuat kerana hatinya perlu segera dipujuk untuk mengembalikan semula semangatnya yang telah diragut Taufik.

“Ya-ALLAH, pandulah hambaMu ini.” ucapnya terketar-ketar dalam sendu yang tak tentu sudahnya.

 

Aliya memerhatikan wajahnya di cermin. Matanya masih merah kesan tangisan yang berpanjangan. Langkah diatur ke bilik air untuk membasuh muka, diharap dapat mengurangkan sedikit kesan tangisan yang ketara di mata. Seketika kemudian dia menuju semula ke bilik Taufik untuk mengemas bekas makan suaminya tadi. Sesampainya di situ Aliya nampak Taufik sedang bersiap-siap untuk ke pejabat, seperti yang telah dijanjikan dengan Zainal awalnya.

Sarapan yang dihantarnya tadi langsung tidak diusik. Aliya mengumpulkan kekuatan diri, kalau diikutkan hati mahu saja dia menegur sikap Taufik yang tidak menghargai pertolongan orang lain. Hasratnya tulus, dia sekadar ingin membantu tapi Taufik yang tidak rela dibantu. Hati suaminya itu sudah menjadi keras seperti batu. Aliya menahan perasaan amarah yang mula terbit dek kerana perbuatan Taufik. Dadanya berombak kencang. Nafasnya di hela dalam-dalam, tak mahu kalah pada sikap keji yang bakal menghancurkan sebuah kedamaian.

“Sabarlah hati. Sabar. Tolonglah sabar.” bisiknya perlahan memujuk diri sendiri, sambil beristigfar berkali-kali.

Pandangannya dialihkan kepada Taufik yang tetap tidak memberi sebarang reaksi. Taufik dilihat leka mengenakan butang-butang baju kemejanya tanpa mengendahkan Aliya yang jelas kecewa dengan tindakannya itu. Bakti yang ingin diberi tak pernah nak dihargai. Aliya memerhati sahaja kelakuan Taufik, sejak tadi tiada satu pun butang baju yang dapat dipasang sebelum dia menghela nafas panjang. Kepalanya digelengkan tanda geram dan tanpa berlengah-lengah lagi, suaminya itu dihampiri.

“Biar Liya tolong.” ucapnya. Tiada balasan dari Taufik. Dia tetap tidak rela menerima pertolongan daripada isterinya itu.

“Kau tak payah susah-susah. Aku boleh buat sendiri!” bentak Taufik. Tak rela dibantu. Aliya mula hilang sabar. Dia beralih ke hadapan Taufik. Satu demi satu butang baju dikancingkan tanpa mendengar persetujuan daripada suaminya itu terlebih dahulu.

“Kau ni memang tak faham bahasa kan. Kan aku dah kata tak payah, tak payahlah. Aku tak nak…” kata-katanya mati di situ tadkala matanya bertentang dengan mata Aliya yang berkaca. Kelopak mata yang bengkak menceritakan kesedihan yang ditanggung si isteri. Kepiluan jelas terpancar di situ. Aliya cepat-cepat mengalihkan pandangan. Setiap butang dikancing penuh berhati-hati kerana itu mungkin menjadi antara baktinya yang terakhir kali sebelum mereka benar-benar membawa haluan sendiri.

Selesai tugasnya itu dia melangkah meninggalkan Taufik dengan rasa berat hati. Taufik hanya memandang Aliya dengan ekor mata. Dia tahu telah banyak isterinya terluka akibat tindakannya yang tak tentu hala. Mata Aliya telah mencerminkan hatinya. Dia mula dihambat rasa bersalah. Dia bersalah kerana tidak berpegang pada janji serentak dadanya ditepuk berkali-kali, menyesali perbuatan diri sendiri.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati