Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 14

Seperti selalu Zaim berlari-lari mencari Aliya sesampainya di rumah selesai pulang dari tadika.

“Mama.” panggilnya. Tiada sahutan sambil langkah diatur menuju ke dapur. Dia tersenyum sebaik saja terpandangkan Aliya yang sedang mencuci pinggan mangkuk di situ. Dia berlari mendapatkan Aliya dengan penuh kegirangan.

“Mama, Im dah balik.” ucapnya sambil memeluk Aliya daripada belakang. Tangan Aliya diraih dan dikucup. Aliya membalas dengan pelukan yang sama.

“Im dah balik ya sayang. Seronok sekolah hari ni? Im belajar apa tadi?” soal Aliya memulakan bicara. Wajah Zaim di hadapannya di usap lembut.

“Hari ni cikgu ajar Im membaca, seronok. Malam nanti biar Im je yang baca buku, mama tolong dengar ok?” ujarnya dengan wajah yakin.

“Ok. Tapi sebelum tu mama nak tanya Im ni. Ada tak apa-apa yang mama boleh buat untuk Im? Ataupun ada tak apa-apa yang Im teringin nak buat?” pantas dia menggangguk setelah mendengar kata-kata Aliya itu, matanya bercahaya. Aliya tersenyum bahagia.

“Im nak mama buat apa?” soal Aliya. Dia mahu membahagiakan Zaim dalam tempoh yang berbaki.

“Im tak pernah sambut birthday Im dengan mama. Lagipun birthday Im tahun ni baru je lepas. Kalau nak tunggu tahun depan lama lagi. Nak tak mama sambut birthday Im lagi tahun ni? Kita berdua je.” ucapnya sedikit merayu.

“Ok, permohonan diterima, ada apa-apa permintaan lagi tak?” soal Aliya kepada Zaim yang nyata teruja dengan jawapan mamanya itu. Zaim mengangguk, senyumannya sampai ke telinga. Aliya mengangkat kening hairan.

“Im nak gendong boleh?” ucapnya malu-malu. Jari kakinya digaru-garu ke lantai. Dia tahu permintaannya itu agak tidak sesuai kerana usianya sudah melebihi had. Lagipun badannya sudah agak bersemangat. Aliya mencubit pipi montok Zaim perlahan sebelum tubuh anaknya itu digendong mengelilingi rumah. Zaim berasa sangat bahagia berada dalam dukungan mamanya. Setelah sekian lama akhirnya hajatnya itu tertunai. Dakapan ke tengkuk mamanya dikemaskan.

Taufik mundar-mandir di ruangan pejabat. Otaknya ligat memikirkan cara untuk memberitahu Zaim tentang Aliya. Dia menyesal kerana telah membohongi anaknya itu selama ini. Mana taknya setiap kali ditanyakan tentang mamanya itu, dia sentiasa berbohong dengan menyatakan yang mamanya itu sudah tiada di dunia ini lagi. Tujuannya semata-mata untuk melindungi Zaim. Tak rela rasanya dia melihat kesedihan anaknya itu apabila mengetahui kebenaran tentang mamanya nanti. Taufik tak mahu Zaim mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Cukuplah dia saja yang menanggung seksa penantian, tidak Zaim. Taufik mengeluh sebelum terduduk di sofa.

Lima batang lilin yang baru diletakkan di atas kek coklat kegemaran anaknya itu dihidupkan. Zaim tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Aliya gembira kerana dapat memenuhi permintaan Zaim. Dengan menunaikan hasrat-hasrat Zaim setidak-tidaknya dapatlah mengurangkan sedikit rasa bersalah terhadap apa yang akan dilakukannya nanti. Dia hanya boleh berharap pada satu masa, apabila Zaim sudah dewasa dia akan memahami situasi yang ditangguangnya itu. Tapi Aliya tidak pasti akan adakah kemaafan untuknya lagi nanti.

“Im tiup ya.” pinta Zaim selesai Aliya menghidupkan lilin di hadapannya. Aliya mengangguk. Zaim sudah bersedia untuk meniup lilin tersebut. Tiba-tiba dia terhenti.

“Jap, Im lupa nak doa.” tuturnya. Pantas dia menadah kedua-dua belah tangan. Mulutnya bergerak-gerak sebelum telapak tangannya diraup ke muka. Aliya bangga melihat kelakuan anaknya itu.

“Im sayang mama doa apa?” soal Aliya sekadar ingin menduga. Zaim mengerutkan keningnya tak mahu kongsi cerita.

“Mana boleh bagitau, papa kata kalau bagitahu, nanti doa tak jadi.” ucapnya kecewa.

“Takkan dengan mama pun tak boleh bagitahu? Im kata Im sayang mama. Kalau sayang mana boleh rahsia.” tuturnya sengaja mahu melihat akal anak kesayangannya itu. Aliya saja buat muka masam, buat-buat merajuk. Zaim serba-salah. Dia tak sanggup buat mamanya sedih. Akhirnya dia terpaksa menurut.

“Im doa mama selalu akan ada dengan Im macam sekarang. Im tak nak mama pergi tinggalkan Im lagi macam dulu.” ucapnya sayu.

“Im juga harap yang tahun depan Im tak perlulah sambut birthday sampai dua kali.” emosinya kembali ceria. Aliya tumpang sama.

 

Kepulangan Mak Jah petang itu disambut oleh Aliya dan Zaim dengan senyuman yang sukar untuk Mak Jah gambarkan. Mak Jah hairan dengan kelakuan dua beranak itu. Sepotong kek diletakkan di hadapan Mak Jah yang sedang melepaskan lelah di sofa. Mak Jah semakin hairan.

“Untuk nek Jah.” ujar Zaim sebelum dia berlari mendapatkan Aliya yang sedang membuat air di dapur. Tidak lama kemudian Aliya muncul dengan membawa segelas jus oren yang disediakan khas untuk Mak Jah. Zaim berlari-lari kecil sambil membuntuti Aliya. Hidupnya penuh dengan keceriaan sejak kepulangan mamanya itu, lengkap dan bahagia.

“Liya kenapa la susah-susah buat air untuk Mak Jah pulak ni. Liya buat Mak Jah rasa bersalah je. Dahlah selama Mak Jah tak ada semua kerja Mak Jah, Liya yang tolong selesaikan sekarang Liya layan Mak Jah macam ni pulak. Mak Jah minta maaf sebab dah susahkan Liya.” ucapnya bersungguh. Aliya hanya tersenyum mendengar kata-kata Mak Jah yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri itu.

“Apa pulak susahnya Mak Jah. Lagipun selama ni Liya dah banyak sangat terhutang budi dengan Mak Jah, Liya tak tahu macam mana nak balas budi yang Mak Jah lagi.” sayu kedengaran suara Aliya di telinga Mak Jah. Zaim yang sedang leka menonton telivisyen dipandang sekilas.

“Betul ke Liya dah buat keputusan untuk pergi? Liya tak nak tunggu sampai puan balik ke? Manalah tahu puan dah ubah pendirian dia. Lagipun Mak Jah tengok puan dah lain sekarang. Liya tak nak cuba bincang dengan puan dulu?” soal Mak Jah. Aliya mengelengkan kepalanya lemah.

“Macam mana kalau puan tak pernah berubah dan masih bencikan Liya? Macam mana kalau dia masih tak boleh terima Liya sama macam dulu? Liya sendiri tak tahu apa yang dia akan buat bila dapat tahu yang Liya masuk ke rumah ni lagi. Liya tak nak Mak Jah terlibat sama. Liya dah tak sanggup berada dalam situasi tu lagi Mak Jah. Liya tak cukup kuat untuk menghadapinya lagi.” suara Aliya mula terketar-ketar menahan sebak. Tangan Aliya di hadapannya diraih dan diusap-usap lembut. Mak Jah hilang kata-kata. Dia sendiri pening kepala memikirkan masalah Aliya yang tak kunjung habis.

“Liya buatlah keputusan yang terbaik. Mak Jah doakan segalanya dipermudahkan untuk Liya. Liya tabah ya.” katanya memberi galakan.

“Tapi sebelum tu Mak Jah nak tanya, kek apa ni?” soalnya.

 “Kek birthday Im, yang kedua kali tahun ni.” jawap Aliya dengan senyuman. Mak Jah ketawa geli hati.

“Malam ni Im nak mama tidur dengan Im boleh?” pinta Zaim kepada Aliya. Aliya membalas dengan anggukan dan senyuman tanda rela. Zaim keriangan sebelum menyembamkan mukanya di dada Aliya. Tubuh Zaim yang berada dalam dakapan diusap lembut. Seluruh kasih dan sayangnya tumpah pada permata hatinya itu. Bergenang air mata apabila memikirkan perpisahan yang bakal berulang. Perasaan sesal mula menyelubungi jiwa.

Aliya mula menyesali perbuatannya yang mementingkan diri sendiri. Hakikatnya, pertemuan seketika ini hanya akan memberikan kedukaan yang lebih parah di hati Zaim nanti. Dulu Zaim masih belum mengerti apa-apa tapi sekarang anaknya itu sudah mengenalinya malah sangat menyayanginya.

Dia juga menyesal kerana rancangan penyamarannya gagal sampai ke penghujung. Tujuannya hanya untuk melepaskan rindu di hati. Dia rela walaupun hanya dapat menyayangi anaknya itu secara senyap-senyap tanpa pengetahuannya. Tapi manusia hanya mampu merancang, hanya  Allah yang berhak menentukan. Dia tak dapat untuk menghalang aturan yang telah ditetapkanNYA itu. Dia yakin dan pasti akhirnya nanti jiwa kecil anaknya itu akan terluka. Keputusan harus segera dibuat segera kerana esok ibu mertuanya itu akan pulang dari percutiannya yang panjang. Aliya semakin buntu.

Tubuh Zaim yang terdedah diselimutkan. Dada anaknya itu ditepuk-tepuk lembut sebelum ubun-ubunnya dikucup penuh syahdu. Air mata Aliya menitis di pipi. Dirangkul tubuh Zaim rapat ke dadanya. Hujan di jiwanya semakin menggila. Sedunya semakin menjadi, menangisi perpisahan yang semakin menghampiri. Akhirnya Aliya terlena bertemankan kekesalan yang tak berkesudahan.

Taufik menghampiri Aliya yang sedang terlena di sebelah Zaim. Wajah isterinya itu diusap. Dia mengagumi penciptaan Allah di hadapannya itu. Baginya Aliya lah wanita yang terbaik diciptakan untuknya. Syurganya di dunia bahkan Insya-ALLAH di akhirat kelak. Dia sentiasa berdoa agar jodoh itu berpanjangan selamanya. Terukir senyuman bahagia di wajah. Satu ciuman hinggap di dahi Aliya yang sedang dibuai mimpi.

“Sayang mimpikan abang tau.” bisiknya sebelum mengucup Zaim yang berada dalam pelukan Aliya.

Bunyi jam penggera mengejutkan Aliya daripada lena. Wajah Zaim di sisi dikucup sepuas hati. Kelopak matanya sudah mula basah menangisi perpisahan yang bakal terjadi sebentar nanti. Hanya kenangan manis antara mereka berdua yang akan dibawa pergi. Kenangan yang akan menemani hari-hari mendatangnya nanti. Digagahkan juga kakinya untuk melangkah, meninggalkan kenangan terindahnya itu.

“Mama doakan kesejahteraan Im di dunia dan di akhirat. Sayang, andai ini kali terakhir kita bertemu mama harap Im tahu yang mama lakukan semua ni untuk kebaikan kita semua, tolong jangan bencikan mama ya sayang.” ucapnya dalam tangisan sebelum mencium wajah anak kesayangannya itu buat kali yang penghabisan sambil langkah diatur meninggalkan Zaim sendiri.

Pintu kamar Taufik dibuka berhati-hati. Sewaktu keluar dari bilik Zaim tadi hatinya terpanggil untuk melihat suaminya itu. Taufik jelas masih nyenyak tidur. Perlahan-lahan dia mendekati Taufik, takut kalau-kalau suaminya itu tersedar. Dengkuran halus Taufik terasa mendamaikan jiwanya. Buat seketika tangan mereka bersatu sebelum satu ciumam hinggap di situ.

“Maafkan Liya bang.” tuturnya. Airmata yang membasahi pipi diseka dengan belakang tangan sebelum pipi Taufik dikucup lembut.

“Abang halalkan makan minum Liya ya. Maafkan Liya sebab mungkir janji. Liya tak layak untuk lelaki sebaik abang.” ujarnya sebelum berlalu pergi, meninggalkan rumah yang penuh bersejarah baginya itu. Rumah yang menjadi saksi pengorbanannya untuk keluarga yang tersayang.

 

Bunyi loceng rumah yang bertalu-talu mengejutkan Azie dari tidurnya. Bergerutu juga rasa hati dek kerana lena yang diganggu.

“Siapa pulak yang datang malam-malam buta ni?” ucapnya tak puas hati. Kepalanya digaru berkali-kali. Lampu ruang tamu dibuka untuk memudahkan kaki. Jam di dinding sempat dikerling, menunjukkan pukul 3 pagi.

“Siapa?” soal Azie, tiada sahutan. Pintu rumah dibuka berhati-hati. Takut kalau-kalau tetamu yang tak diundang pula nanti. Wajah sugul Aliya dengan jinjingan beg pakaian di tangan menerpa ruang matanya.

“Aliya, kau?” soalnya. Aliya mengangguk perlahan. Tangisanya kembali lantas didakapnya Azie.

“Shh…sabar k, aku tahu perasaan kau. Nangis la puas-puas untuk hari ni. Aku sentiasa ada untuk kau. Sabar Liya. ” ucapnya memujuk Aliya. Azie tahu perasaan yang dialami Aliya kerana dia juga pernah mengalaminya satu ketika dulu. Kesedihan akibat perpisahan tanpa kerelaan hati. Perpisahan yang membawa mimpi ngeri sepanjang kehidupannya kini sehinggakan dia sukar untuk mempercayai orang lain selain dirinya sendiri.

“Tido dulu, rehatkan fikiran kau tu. Esok bila dah tenang kau story. Aku sedia mendengar. Tak payah fikir banyak sangat. Buat masa ni rehat. Aku tahu kau perlukannya.” kata Azie sambil memimpin Aliya yang kelesuan menuju ke bilik.

“Mama jangan tinggalkan Im!” jerit Zaim sambil menghulurkan tangannya kepada Aliya yang berlalu pergi. Jeritan Zaim didengari Taufik yang baru selesai menunaikan solat. Jam baru menunjukkan angka 5.30 pagi, lantas dia bingkas bangun melipat sejadah untuk melihat keadaan anaknya itu.

“Im, kenapa?” soalnya cemas. Lampu bilik tidur dipasang. Taufik bergegas mendapatkan Zaim. Anaknya itu dilihat berpeluh-peluh seluruh badan dan sedang teresak-esak menahan tangis. Taufik tercari-cari Aliya. Dia kebingungan. Aliya sudah tiada. Seingatnya semalam isterinya itu menemankan Zaim tapi kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi di situ. Hatinya mula bertanda tanya.

“Papa, mama pa…untie Laila. Mana Untie Laila.” Zaim seakan meracau. Taufik bertambah hairan, kenapa mesti isu mamanya disebut.

“Sayang, papa ada kat sini. Jangan nangis. Untie ada kat bawah tu. Nanti dia datanglah.” ujar Taufik. Tangannya menepuk-nepuk bahu Zaim lembut. Tidak berapa lama kemudian keadaan Zaim kembali tenang.

“Papa, Im tak nak mama tinggalkan Im lagi. Im sayang sangat kat mama, papa tolong jangan bagi mama pergi tinggalkan Im lagi.” rayu Zaim seketika kemudian.

Bulat mata Taufik mendengar permintaan Zaim itu. Tapi dalam hati Taufik hairan bagaimana Zaim boleh mengetahui kebenaran tentang Laila, mamanya itu. Seingatnya dia masih belum sempat menjelaskan tentang hubungan antara mereka berdua. Semalam ketika dia ingin berbicara tentang hal Aliya kepada Zaim anaknya itu telah nyenyak tidur. Dia masih menunggu masa yang sesuai untuk menerangkan segalanya. Wajah Zaim ditenung lama.

“Dah lama Im tahu yang Untie Laila tu mama Im, tapi mama pesan jangan bagitau siapa-siapa, itu rahsia. Kalau tak mama cakap dia terpaksa tinggalkan Im lagi macam dulu.” katanya lagi.

“Tinggalkan Im macam dulu? Maksud Im?” soal Taufik. Zaim menggeleng tanda dia juga tidak memahami maksud kata-kata mamanya itu.

Pintu bilik Aliya diketuk bertalu namun tiada sahutan. Serentak pintu bilik dikuak luas.

“Liya.” panggil Taufik, masih tiada sahutan. Taufik mula cemas. Matanya meliar mencari kewujudan Aliya. Pintu almari pakaian Aliya dibuka, kosong. Taufik terkesima lalu terduduk si sisi katil. Dia semakin hilang punca.

“Ya-ALLAH. Liya…kenapa Liya tinggalkan abang lagi.” sebelum meraub muka dengan kedua-dua tapak tangannya. Taufik mati akal. Dia tidak dapat menerima kenyataan yang dia sekali lagi ditinggalkan oleh Aliya. Dia betul-betul kecewa. Aliya sentiasa membuat keputusan sendiri.

Seingatnya sebelum ini mereka baik-baik saja. Bahkan Aliya sudah berjanji untuk setia bersama selamanya. Hatinya sakit bagai dihiris sembilu. Perasaan amarahnya pada Aliya mula bercambah kembali lebih kuat daripada dulu. Sebelum dia meninggalkan bilik, matanya tertancap pada sekeping kertas yang ditinggalkan di atas meja bersama-sama dengan sebentuk cincin yang amat dikenalinya. Nota tersebut dicapai dan diamati.

 

‘Maafkan Liya. Liya tahu yang Liya tak layak untuk hidup bersama lelaki sebaik abang. Abang syurga dunia Liya. Cinta yang abang semai akan Liya simpan sampai ke akhir hayat. Tapi kita tak seharusnya bersatu. Andai ini takdirnya Liya reda. Terima kasih kerana sudi menjadi pengantin pengganti untuk Liya dulu. Demi maruah Liya abang sanggup berkorban atas dasar persahabatan.

Budi dan jasa abang akan Liya kenang selamanya. Walaupun sukar, namun jauh di sudut hati, Liya berharap abang dapat maafkan segala kesalahan yang telah Liya lakukan selama ini. Ketahuilah yang kita tidak mampu untuk melawan takdir. Demi Zaim, Liya harap yang pengorbanan ini berbaloi untuk dilakukan.’

 

Taufik mengeluh setelah membaca isi kandungan nota yang dititipkan oleh Aliya. Tangannya mencapai surat yang sudah kelihatan agak lusuh itu. Alangkah terkejutnya Taufik melihat isi kandungan surat berkenaan. Surat Izham padanya dulu yang sudah lama hilang dari simpanan. Taufik terduduk menyesali tindakannya yang tidak berterus terang selama ini.

“Liya…” tuturnya dalam kekesalan. Serentak satu keluhan dilepaskan.

 

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati