Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 27

Laili bergegas mendapatkan Aliya. Tadi ketika dia sibuk menghidang dia terdengarkan jeritan Aliya dari tingkat atas. Cepat-cepat dia mendapatkan Aliya takut sesuatu yang tak baik terjadi pada sahabatnya itu.

“Ya-ALLAH Liya. Kau ni dah kenapa? Sampai bawah aku dengar suara kau jerit. Tercampak semangat aku tau tak.” tuturnya terkejut. Ingatkan kenapa, rupa-rupanya Aliya mengigau, hampeh, bisiknya di dalam hati sebelum wajah mamai Aliya ditenung penuh simpati.

Aliya dilihat sudah sedikit berisi, mungkin kerana senang hati. Biasalah orang ada keluarga sendiri. Tak sepertinya yang masih mencari kekuatan diri. Dia pasti sahabatnya itu gembira dengan kehidupan barunya kini. Pasti lengkap hidupnya dengan kehadiran Zaim dan suami yang sangat disayangi. Mungkin itu yang menjadi faktor perubahan diri Aliya.

“Kau tengoklah jam tu dah pukul berapa?” soal Laili kepada Aliya yang masih menggosok-gosok mata dengan belakang tangan. Aliya menjeling jam yang tergantung di dinding. Serentak matanya membulat.

“Liya, kau dah solat ke belum? Dah nak masuk Maghrib dah ni.” ucap Laili sebelum mencuit pinggang ramping Aliya. Aliya terlompat diperlakukan begitu. Laili memang takkan pernah berubah gerutu hatinya.

Laili membalas dengan senyuman yang sampai ke telinga. Sudah lama dia tidak segembira itu. Tidurnya berteman hari ini, tak seperti hari-hari ketika ketiadaan Aliya, bosan kerana tiada teman untuk diajak bicara.

“Cepatlah mandi. Lepastu solat. Aku tunggu kat bawah tau. Kita makan sama-sama. Aku dah masak.” ucapnya sebelum berlalu pergi. Aliya masih termanggu di atas katil kerana fikirannya masih tonggang-langgang.

“Cepat!” arah Laili yang menjenguk Aliya semula dari muka pintu. Aliya betul-betul tersedar kali ini. Dia bergegas bangun untuk menunaikan tuntutan Illahi. Dalam usahanya itu, dia nyaris terjatuh akibat kekalutan yang dihadapi. Laili mengeleng-gelengkan kepala melihatnya.

“Tu la orang tua-tua kata jangan tidur lepas Asar, nanti gila. Orang cakap tak percaya!” bebel Laili sebelum melangkah pergi. Aliya mencebik kemudian tersenyum nipis. Laili memang penuh dengan nasihat dan dia senang sentiasa diingatkan begitu.

“Kau ni pun satu. Nak balik bukan reti nak bagitau dulu. Terkejut aku petang tadi. Sampai je rumah aku nampak gate terbukak. Ingatkan ada perompak pecah masuk rumah kita. Nyaris lagi aku nak call polis tau tak. Tub-tub aku nampak kereta kau cantik… je, kaw-kaw landing kat dalam.” bebelan Laili berterusan. Aliya terhibur dengan kebecokan temannya yang seorang ni. Mulutnya macam bertih jagung di bakar. Pedepup..pedepap, tak tahulah bilanya nak berhenti. Layan je la selagi mampu. Kang kalau tak dilayan merajuk pulak. Bisiknya pada diri sendiri.

Selebihnya Aliya rasa bersalah kerana meninggalkan temannya itu keseorangan berbulan-bulan lamanya. Mungkin itulah kesan sampingan akibat ditinggalkan sendirian tak berteman. Daripada hal rumah, kemudian kilang, semua diceritakannya. Macam dah tak ada hari esok. Aliya dah tak tahu nak simpan di mana. Akhirnya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tiada satupun yang melekat di benak. Otaknya sudah tepu, tepu memikirkan masalahnya sendiri. Wajah hiba Zaim terbayang lagi di minda. Dia hanyut dalam dunianya sendiri.

“Liya, kau dengar tak apa yang aku cakap ni. Buat penat je aku cite.” Laili tarik muka bila tahu penerangannya tadi hanya sia-sia. Aliya dilihat tidak menumpukan perhatian. Fikirannya melayang entah ke mana. Laili tahu yang Aliya pasti sudah mula merindukan Zaim kembali.

“Aku dengar la. Siapa kata aku tak dengar?” balas Aliya ingin membela diri.

“Iyalah tu. Kalau kau dengar, apa yang aku cite tadi?” soal Laili kembali. Segera dia ingin menguji.

“La…kan kau cite pasal projek baru untuk hari raya nanti. Dah tu macam mana progess?” percubaan Aliya untuk mempertahankan diri akhirnya berhasil.

Nasib baiklah dia dapat menangkap topik itu tadi. Kalau tak pasti masak dia bersoal jawab dengan Laili. Tentu kecoh jadinya bila Laili tahu kebenaran tentang dia dan Taufik. Dia belum bersedia untuk berbincang secara terbuka tentang isu rumahtangganya dengan siapa-siapa buat masa ini. Dia lebih rela memendamkannya sendiri. Laili tersenyum mendengarnya kerana menyesali tuduhan tak berasasnya tadi.

“Design baru untuk promosi hari raya tu aku masih usahakan. Aku rasa pilihan tema kita tahun ni memang gempak habis. Aku dah cuba cari, dan aku dah dapat beberapa sample yang aku sendiri puas hati. Tapi aku nak kau tengok dulu. Esok kita discuss kat ofis.” Laili meneruskan bebelannya. Mulutnya tak henti-henti menceritakan itu dan ini sehinggakan topik Sulaiman pun dibicarakan sekali. Aliya mula rasa kepalanya berdenyut-denyut dek kerana ngomelan Laili yang masih tiada tanda-tanda untuk berakhir itu.

“Laili, kalau cakap tu break la sikit. Aku dah mula nak rasa pening dah ni.” ucap Aliya sambil memicit-micit kepala.

“Tapi aku ada banyak lagi nak cerita.” balas Laili sambil memuncungkan bibirnya, tanda tak puas hati.

“Kita ada banyak masa lagi lah. Aku bukannya nak balik esok. Tadi kata lapar? Kita makan dulu, nanti sambung story lagi. Boleh?” cadangnya.

“Eee… sorry. Tu la kau lama sangat tinggalkan aku sorang-sorang kat sini. Dah banyak sangat cerita yang aku paking sejak kau tak da. Bila call pun, bukan boleh story lebih-lebih.” tutur Laili merajuk.

“Bila aku nak cite je, kau kata nak cepatla, ada hal la. Ade je alasan. Bosan la aku macam ni.” sambungnya lagi.

“Sorry…sorry…aku minta maaf.” sambil meletakkan seketul peha ayam masak merah ke dalam pinggan Laili. Laili masih tak berubah. Kemudian seketul lagi paha ayam diletakkan ke dalam pinggan sahabatnya itu. Laili mengerutkan keningnya.

“Kegemaran kau.” ucap Aliya kepada Laili.

“Macam tu la kawan.” balasnya sengan senyuman.

 

Pintu bilik dibuka sebelum Laili meluru masuk dengan mengepit bantal di ketiaknya. Tanpa sepatah kata dia terus menghampiri Aliya.

“Aku nak tidur kat sini malam ni.” katanya sebelum melompat ke atas katil. Aliya yang baru bersiap-siap untuk tidur terpaku. Laili memang suka buat benda ikut kepala sendiri, tak pernah nak bertanya dulu.

“Jom tidur. Aku dah ngantuk ni.” sambil tangannya menepuk-nepuk bantal Aliya di sebelahnya, mengarahkan Aliya turut serta. Aliya mengerutkan kening, buat-buat marah, tapi Laili saja buat-buat tak faham. Tangannya masih lagi menepuk-nepuk bantal di sebelahnya itu. Aliya akur kerana dia tahu Laili memang jenis yang tak makan saman.

“Kau tahu tak Liya, sejak kau tak ada, baru aku tahu apa maknanya sunyi tu. Makan tak lalu, tidur pun tak lena. Mandi pulak tak basah-basah. Rupa-rupanya baru aku perasan…” kata-katanya sengaja dibiarkan tergantung di situ. Dia menoleh ke arah Aliya yang berada di sisi. Aliya menanti kata-kata Laili yang seterusnya.

“Rupa-rupanya…aku mimpi je, patutla tak basah-basah. Kalau basah tak ke haru jadinya. Tak fasal-fasal kena basuh selimut.” guraunya, diakhiri dengan ketawa panjang. Seronok rasanya dapat mengusik Aliya semula. Sudah lama dia tidak segembira itu. Aliya mencebik geram. Satu cubitan lekat di pipi Laili yang sedang ketawa sakan. Laili pantas menggaru-garu pipi yang terasa perit.

“Rasakan. Cubalah serius sikit, boleh tak?” ucap Aliya. Laili masih ketawa riang.

“Betul la apa aku cakap. Kalau tidur basah nanti kena basuh selimut. Kau tu yang emosi tak agak-agak. Aku pulak yang kena.” balas Laili dengan ketawa yang masih bersisa sambil tangannya masih menggosok-gosok muka. Aliya tersenyum. Dia rasa terhibur. Sedikit sebanyak sifat periang Laili itu mengingatkan dia pada Zaim.

Pasti anaknya itu sudah nyenyak tidur. Tadi Aliya telah memaklumkan Mak Jah yang dia sudah sampai di Kuantan. Sempat dia bercakap dengan Zaim yang kebetulan berada berdekatan. Becok mulut itu minta diberikan telefon, tak sabar-sabar mahu bercakap dengannya.

“Liya, sunyi la tinggal sorang-sorang. Dah 5 tahun kita tinggal sama kat rumah ni. Tiba-tiba aku kena tinggal pulak. Bosan tau tak.” ujar Laili mencurahkan perasaan.

“Hari-hari aku cakap dengan dinding. Toleh kanan dinding, pandang kiri dinding jugak. Bosan gila. Nasib baiklah kerja kat kilang banyak, terisi juga masa, tak ada la aku mati kutu sorang-sorang.” tambahnya lagi sambil menggentel-gentel rambut ikal Aliya yang panjang mengurai di jari. Aliya hanya membiarkannya. Dia tahu tabiat Laili yang satu ni. Macam budak-budak.

“Ok lah tu nampak dinding, kalau nampak benda lain camna?” soalnya, sengaja mahu menakut-nakutkan Laili.

“Ish kau ni…tak nak lah cakap macam tu malam-malam macam ni.” marah Laili, dia memang tak sukakan gurauan seperti itu. Segera tubuhnya dirapatkan ke arah Aliya. Aliya ketawa dibuatnya. Gembiranya rasa hati kerana dapat mengenakan Laili.

“Dah tu carilah orang temankan. Tak ada la kau kena hidup sorang-sorang lagi. Boleh jadi macam aku dah berteman. Ada suami, ada anak. Tak la bosan lagi nanti.” balas Aliya serentak Laili membalas dengan sikuan sebelum mereka sama-sama ketawa. Aliya tahu yang kehidupannya tidaklah gah seperti yang digambarkan.

Berteman tapi tetap kesorangan tanpa cinta dan belaian. Hanya Zaim yang menjadi sumber kekuatan dalam meneruskan kehidupan. Dia menghela nafas panjang. Semuanya serba tak menjadi, ada saja halangannya. Adakah itu tanda dari IIlahi yang perjalanannya bersama Taufik bakal terhenti? Dia sendiri belum pasti kerana hidup sememangnya tak pernah ada kepastian dan keraguan akan sentiasa menghantui di sepanjang perjalanan. Tapi yang pasti dia malu untuk menagih cinta itu kembali, setelah ucapan cinta yang diberi seikhlas hati ditolak ketepi.

“Kau tu, ada orang nak, jual mahal pulak.” sindir Aliya.

“Siapa yang nak kat aku? Bilanya aku jual mahal?” soal Laili tak mengerti.

“Tu, mamat yang dok usya kau tiap-tiap hari kat kilang, Leman. Bila ada yang nak kau tak layan. Siap bawakkan kepok lagi, hari-hari pulak tu. Kepok kau ambik tapi hati dia kau tolak, macam tu?” balas Aliya. Wajah Sulaiman pantas menerpa di benaknya.  

“Leman, si mat ketot tu yang kau maksudkan? Dah tak de orang lain ke yang kau boleh recomment?”

“Tak baik cakap macam tu, kau ni. Aku tau la dia agak ketot, tapi tak la sangat, average. Rupa pun ada, tak la teruk sampai ada rupa orang pecah rumah. Cuma rambut dia tu je yang nampak pelik sikit, yang lain kira okey la tu. Kau pun bukannya galah sangat pun. Orang cakap kalau dapat husband rendah nanti hidup bahagia. Orang cakap la.” Aliya cuba mempertahankan Sulaiman yang juga turut dikenalinya agak rapat. Dia nampak keihlasan Sulaiman untuk mendampingi Laili sejak lama dulu. Cuma Laili yang sentiasa dilihat bermain tarik-tali dengannya.

“Aku ni bukannya apa Liya. Harta, paras rupa tu semua aku tolak tepi. Bukannya boleh jamin bahagia pun. Tapi aku memang tak boleh gi dengan si Leman tu, nak buat macam mana kan? Lagipun dia tu masih budak lagi.” balas Laili.

“Orang muda, bukannya tahu tanggungjawap. Mula-mula memangla. Berjanji itu, ini. Masa belum dapat. Tapi bila dah lama-lama nanti mulalah bosan. Aku ni padan jadi kakak dia je. Ramai lagi perempuan sebaya dia kat luar tu yang sedia dingorat. Kenapa lah aku juga yang dia kejar. Dah macam-macam aku buat supaya dia putus asa. Tapi dia buat don’t know je. Stress tau tak. Pening jugak kepala aku dibuatnya.” tambahnya lagi. Rambut Aliya dipintal agak kuat kali ini. Serentak Aliya menepuk tangan Laili. Terasa perik kulit kepalanya diperlakukan begitu sambil berdecik geram.

“Opps…sorry. Tak perasan. Sakit ke?” soalnya buat-buat bodoh sambil tersenyum.

“Kenapa? Nak rasa? Biar aku try kat kau nak?” sambil tangannya pantas mengapai rambut Laili yang dipotong agak pendek. Sepantas kilat Laili mengelakkan diri dan dia hampir jatuh tergolek ke lantai.

Laili angkat tangan dalam ketawa. Dia tahu Aliya hanya mengertaknya. Tabiatnya itu yang susah untuk diubah. Dia suka bermain-main dengan rambut ikal Aliya yang hitam berkilat itu. Terasa lembut dan licin di tangan. Aliya lebih suka menyimpan rambut panjang, tak sepertinya. Rimas bila terasa banyak sangat rambut di kepala.

“Tahu takut.” ucap Aliya sebelum kembali merebahkan diri ke tilam.

Wajah Sulaiman tokey keropok lekor terbayang di fikiran Aliya. Sulaiman menguruskan perniagaan kilang keropok milik arwah ayahnya bersama ibu yang mereka panggil Mak Lang. Kilang Sulaiman terletak tidak berapa jauh dari kilang batik mereka. Orangnya baik, ramah malah penyabar, package lengkap untuk dijadikan calon suami. Walaupun sering kali ditolak, masih tetap setia menagih kasih dari Laili yang keras hati. Setiap petang Sulaiman pasti datang ke kilang dengan keropok-keropok lekor keluarannya dan Laili takkan pernah menolak kerana dia memang hantu keropok. Keropoknya diambil tapi pelawaan lelaki itu pasti ditolak.

“Kau buat alasan je sebenarnya kan? Beza 3 tahu je, bukannya jauh sangat pun. Lagipun dia dah suka. Bukannya kau paksa. Ke kau dah ada calon yang lain ni.” Gurau Aliya. Pandangannya di tumpukan ke arah Laili sambil mengangkat keringnya berulang kali.

“Kalau aku dah tersangkut pada mana-mana kumbang, pasti kaulah orang pertama yang akan aku bagitahu, kemudian baru Azie. Selama ni ada ke aku cerita hal mana-mana leleki kat kau? Tak ada kan. Jadi maksudnya takda la lagi.” balasnya. Dia masih belum bersedia kerana kenangan lama tak mudah untuk dilupakan.

“Ada.” jawap Aliya sepatah. Laili mengerutkan keningnya tak percaya.

“Siapa?” soalnya kembali.

“Leman. Bukan ke kau dok asyik mengomel pasal mamat tu kat aku. Tengok sekarang ni pun kita cerita pasal dia jugak. Tadi masa makan pun kau cerita tentang dia jugak. Ke sebenarnya kau dah syok dengan dia ni ha? ” kata-kata Aliya dibalas dengan totokan di pinggang. Mujur dia telah bersedia kali ini. Tangan Laili sempat diraih terlebih dahulu.

“Sejak bila kau pandai fikir benda-benda mengarut ni. Opss sorry, aku lupa. Perangai mak-mak memang macam ni ke?” soal Laili sengaja mengusik Aliya. Aliya menjenggilkan matanya.

“Apa kau cakap?” Serentak mereka ketawa gembira. Aliya bahagia. Sudah lama dia tidak ketawa sebegitu. Laili betul-betul dapat membantunya mengurangkan tekanan yang sarat membelenggu di fikiran.

“Kau ingat tak yang aku pernah cerita tentang mak dengan ayah aku masa kita mula-mula jumpa kat rumah anak yatim dulu.” ucap Laili seketika kemudian, Aliya mengangguk membenarkannya.

“Mestilah aku ingat. Aku takkan dapat lupa pada budak mata bulat yang becok tak ingat. Sampai sekarang pun masih sama, tak pernah berubah.” balas Aliya dengan senyuman.

“Jahat lah kau ni. Itu bukan becok, tapi ramah namanya. Kau dengan Azie tu yang skema sangat. Tak salah lah aku jadi hyper sikit kan.” tutur Laili sebelum melepaskan keluhan. Aliya tahu makna keluhan sahabatnya itu. Sejarah lamanya penuh dengan kepiluan.

“Aku takut Liya. Aku takut sebenarnya untuk memulakan satu perhubungan, sebab satu hubungan tu mengarah ke satu hubungan yang lain iaitu perkahwinan. Aku takut kalau perkara yang sama berulang. Kita hanya mampu merancang. Bila yang dirancang tak menjadi, mulalah melatah, yang menjadi mangsa anak-anak. Mereka tak berdosa pun tapi mereka yang lebih teruk terima akibatnya.” ucapnya sambil menggenggam erat tangan Aliya.

“Sengsaranya hanya Allah yang tahu. Menagih kasih pada yang tak sudi, bagaikan melukut di tepi gantang, tak langsung dipandang orang. Ada ke tak ade ke tak ada siapa pun yang nak peduli. Dilayan macam sampah yang patut dilenyapkan daripada pandangan. Sedih Liya. Aku mengaku aku memang pengecut. Tapi aku rasa itu yang terbaik. Lebih baik mencegah dari mengubati kan.” tuturnya sayu. Wajah ceria Laili berubah mendung. Kenangan pahit 15 tahun dulu menerjah di ruang fikiran.

Ibunya meninggal dunia ketika melahirkannya dan ayahnya tak dapat menerima kenyataan. Akhirnya dia membuat keputusan untuk membawa diri dengan berhijrah ke luar negara. Laili diamanahkan pada Pak Ngah adik ayahnya yang tidak mempunyai anak pada ketika itu. Pada awalnya dia dilayan seperti anak sendiri. Semuanya berubah bila isteri Pak Ngah disahkan mengandung. Seingatnya ketika itu dia baru berusia 7 tahun. Layanan mereka berubah sepenuhnya. Dia mula diabaikan. Makan pakainya tak terjaga lagi kerana mereka hanya memberi sepenuh perhatian pada anak yang bakal dilahirkan.

Bila anak itu lahir keadan menjadi lebih parah. Dia sentiasa dipersalahkan. Pernah satu hari ketika dia sedang bermain-main dengan Jiji, adik sepupunya itu terjatuh, lututnya terluka. Banyak darah yang keluar. Tanpa sebarang pertanyaan, dia dipersalahkan semahunya. Mak cik menuduh dia sengaja berbuat begitu kerana cemburukan Jiji. Pak ciknya hanya diam, langsung tidak membela nasibnya. Setidak-tidaknya tanyalah dulu minta penjelasan. Ni tak tanpa sebarang kata dia dipersalahkan.

Sejak dari itu, setiap kali ada masalah dia menjadi tempat melepaskan kemarahan. Mak ciknya menjadi semakin berani, Laili dicubit, ditampar malah disepak sesuka hati. Seperti biasa, setiap kali itu berlaku Pak Ngah pasti akan menyebelahi isterinya ataupun hanya tercegat memerhati tanpa buat apa-apa. Laili hilang tempat mengadu. Kenapa manusia boleh berubah sekejam itu? Tidak ikhlas dalam mencurah kasih sayang. Kasih mereka bertempat dan bersyarat.

Dia betul-betul sedih. Usianya hanya 8 tahun. Bila kesakitan, dia sentiasa berharap yang ayah datang menyelamatkannya. Sepasang tangan itu sentiasa dinanti untuk membawanya pergi dari kesengsaraan yang tak berpenghujung. Tapi dia tetap hampa. Ayahnya tak pernah muncul, malah bayangnya pun tak pernah menjengah. Dia mula bencikan ayah, benci sampai dah tak rela berjumpa lagi.

Badannya penuh dengan kesan-kesan lebam akibat tindakan mak ciknya yang tak berperikemanusiaan. Pernah satu hari dia ke sekolah dengan kesan luka di bahagian dahi dan mulut. Guru kelasnya memanggil dia ke bilik guru dan bertanya tentang perkara tersebut. Dia tidak menceritakan perkara yang sebenar, dia takut jika diketahui oleh mak ngah pasti dia akan dihukum dengan lebih berat lagi.

Dia pendamkan semuanya. Tapi Cikgu Latifah lebih bijak. Dia seperti tidak mempercayai apa yang diceritakan. Akhirnya dia dirujuk pada guru kaunseling. Disitulah segala kebenaran terbongkar. Mereka mengucap panjang ketika melihat kesan-kesan luka di seluruh bahagian tubuh kecil itu, lantas laporan polis segara dibuat. Akhirnya pak cik dan makciknya ditangkap polis. Dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka selepas itu.

Dia kemudiannya dihantar ke Rumah Anak Yatim Al-Hidayah. Di situ, semua keperluannya terjaga dan dia selesa begitu. Impian untuk bersatu dengan ayah yang dia langsung tak kenal wajahnya terkubur sama sekali. Dia tidak perlukan ayah yang tidak beranggungjawap seperti itu dan dia berjanji tidak akan menunggu ayah lagi, buat selama-selamanya.

Air matanya mula bergenang. Benarlah kata cerdik pandai, luka walaupun dah sembuh tapi parutnya masih ada. Sukar untuk dia melupakan semuanya. Setiap kali kenangan pahit itu diungkit, terasa seperti baru semalam ianya berlaku. Sakitnya masih terasa.

“Laili, kau ok ke?” soal Aliya pada Laili yang masih diam membisu.

“Aku ok. Dan sentiasanya akan begitu, insyaAllah.” balasnya perlahan. Hilang segala keceriaan yang menghiasi wajah itu sebentar tadi. Aliya membalas genggaman tangan sahabatnya itu, untuk mententeramkannya. Hidup penuh dengan cabaran dan setiap insan mempunyai kisahnya. Sama seperti dia, Laili juga menghadapi kesukarannya yang tersendiri.

“Perkahwinan satu ikatan yang suci. Tapi kita yang mencemarkannya. Sesetengahnya hati kering, tak berperasaan. Aku serik Liya. Aku tak lah sampai menidakkan perkahwinan tu, sebab aku tahu itu melanggar sunnahnya dan ia berdosa. Aku cuma tak yakin dengan individu yang menghidupkan ikatan itu. Pendirian sesetengah manusia macam lalang, mudah goyah dipukul badai. Susah nak cari yang bertanggungjawab. Mula-mula okey lah, lepastu tak pulak. Natijahnya nanti, pasti akan ada hati-hati yang kecewa dan merana. Contohnya macam aku, anak yang tak diperlukan, ditinggalkan tanpa belas ihsan. Cuma aku boleh berharap Allah memberi yang terbaik kerana DIA lebih mengetahui segala rahsia yang tersembunyi.” ucapnya meyakinkan diri. Dia berjanji tidak akan menitiskan air mata lagi. Dia mahu melupakan segalanya, malah dia sentiasa berusaha ke arah itu.

“Tapi kau bahagia kan? Sebab tulah aku cakap bukan semua tapi sebahagiannya. Aku doakan kau sentiasa bahagia. Sampai ke Jannah, dan moga-moga kita dapat jadi best friend lagi kat sana nanti, dengan Azie sekali. Tak nak lah kat sini je. Nanti aku bosan kalau kau tak ada…” intonasinya berubah ceria kembali. Tak rela berlama-lama mengenang sengsara, biar hati rasa bahagia dan ceria. Senyumannya mekar kembali di bibir sedar yang kehidupan mesti diteruskan. Biarkan pergi kenangan yang membebankan, buat menyesakkan kepala dan fikiran. Tak berbaloi.

“Kau kan kalau bercakap macam penceramah jemputan. Jenis yang tak boleh beri pegang mic. Bila bercakap panjang berjela, tak tahulah bila nak habisnya.” gurau Aliya dengan senyuman. Jujur, dia rasa lebih terdidik. Pengalaman Laili mengajarnya erti hidup. Walau sesukar manapun, hidup mesti diteruskan. Dugaan yang dilaluinya taklah sekuat mana. Paling tidak dia sempat merasa kasih sayang daripada kedua orang tuanya, Mak Su tak lupa ibu mertuanya, Puan Hayati. Malah dia juga pernah merasai bahagia sebagai seorang isteri pada seorang lelaki yang bergelar suami biarpun tempoh masanya tak panjang. Kehadiran Zaim menjadi pendorongnya untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Dia tak rela anaknya itu menerima nasib yang sama seperti Laili, sahabat baiknya itu.

“Akupun doakan yang terbaik buat kau, disini dan di sana. Best friend selamanya. Kalau Azie ada sama mesti lagi seronok kan. Lama juga kita tak kumpul sama-sama. Kau ada call dia tak?” soal Aliya kembali.

“Ada minggu lepas. Sibuk memanjang je kerjanya. Aku tanya bila nak balik, dia tak confirm lagi. Dia dah mula kerja kat set drama katanya. Seronok la dapat jumpa artis. Usik muka artis bagai. Mana nak lawan dengan kita yang tak glamor ni kan.” ucap Laili geram. Aliya ketawa mendengarnya. Gelagat Laili betul-betul mampu membuatkannya ceria.

“Kita call dia nak. Mesti dia terkejut bila tahu aku ada kat sini.” balas Aliya. Kesedihan yang ditanggung sedikit sebanyak dibawa pergi. Sahabat sejati ibarat tonik yang mampu mengubati penyakit hati. Mereka sentiasa dekat di hati tak kira di mana kita pergi, malah ada kalanya lebih akrab dari darah daging sendiri. Sama seperti mereka bertiga. Best friend forever, Insya-ALLAH. Amin, bisiknya dalam hati.

Telefon bimbitnya dicapai. Wajah Azie di skrin telefon menceriakan hari. Mereka sentiasa gembira bila bersama, berkongsi masa dan cerita. Hidup sentiasa dipenuhi dengan gelak ketawa, sama seperti waktu dulu-dulu, zaman muda remaja.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati