Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 9

TERPERANGKAP DALAM RUNTUHAN

"Abang Zaqwan!" panggil satu suara secara tiba-tiba. Sayup-sayup sahaja kedengaran dari dalam minda Zaqwan.

"Abang Zaqwan!" Bergema suara yang lain pula memanggil namanya. Jika tadi suara lelaki yang memanggil namanya, kali ini suara perempuan pula.

Zaqwan amat mengenali kedua-dua suara itu. Mata dibukanya perlahan-lahan. Dia tersedar dek panggilan daripada dua suara itu.

"Ah, Zafran! Zalfa! Kamu berdua tak apa-apa ke?" Mata Zaqwan melilau memerhatikan persekitarannya.

Gelap. Hanya itu yang dilihatnya kini. Langsung dia tidak lihat sebarang cahaya bagi membantunya menafsir di mana dia berada sekarang. Kepalanya berasa amat sakit. Sejenis cecair dirasakan mengalir keluar di dahinya. Kesakitan menjalar di seluruh tubuhnya.

"Apa yang telah berlaku ni?" Zaqwan menyoal sendiri di dalam hati, cuba menafsir persekitarannya.

Otaknya ligat berputar, cuba mengingati apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan dia boleh berada dalam keadaan sebegitu. Kaki dan tangannya cuba digerakkan, agar dia mampu keluar dari tempat gelap itu secepat yang mungkin. Dia tidak boleh lama-lama di situ. Firasatnya kuat mengatakan perkara lebih buruk akan menimpa jika dia terus lama-lama berada di tempat itu.

Akan tetapi, Zaqwan tidak boleh menggerakkan kaki dan tangannya walau seinci pun. Kakinya dirasakan seperti dihempap sesuatu yang berat. Seluruh tubuhnya pula seperti tersepit. Zaqwan cuba mengumpul kekuatan untuk menggerakkan tubuhnya. Walau bagaimanapun, dia tidak berdaya. Dia sudah kehabisan tenaga untuk menggerakkan walau seinci tubuhnya.

"Apa dah berlaku sebenarnya?" Sekali lagi soalan itu diajukan Zaqwan walaupun dia tahu tiada siapa yang berada di situ untuk menjawab soalannya.

Zaqwan sudah berputus asa. Dia berharap bantuan akan tiba untuk membawa dia keluar dari terus terperangkap dalam tempat ini. Dia mengambil keputusan untuk terus menunggu di ruangan serba gelap itu sambil ditemani kesunyian yang melanda.

Setelah beberapa ketika, Zaqwan seperti terdengar bunyi seperti seseorang memunggah sisa runtuhan. Dia fikir, itu mungkin bantuan yang dinantikannya. Kesabaran Zaqwan akhirnya berbayar jua. Zaqwan hampir sahaja berputus asa.

Perlahan-lahan sebuah bukaan muncul di hadapannya membenarkan cahaya masuk untuk menyinari seluruh ruang serba gelap itu. Anak mata Zaqwan mengecil secara mendadak tatkala cahaya itu menerjah masuk ke dalam matanya. Matanya berasa pedih seketika. Terkejut kerana dia sudah terlalu lama berada di ruang gelap itu. Matanya tertutup secara refleks kerana silau.

Bukaan di hadapannya sedikit demi sedikit membesar sehingga mampu membenarkan saiz seorang dewasa untuk melaluinya. Cahaya matahari berlumba-lumba menerobos masuk, menerangi seluruh ruangan serba gelap itu. Tatkala mata Zaqwan sudah membiasakan diri dengan cahaya yang masuk ke dalam anak matanya, suatu susuk tubuh perlahan-lahan menjelma di pandangan matanya di hadapan Zaqwan. Dia kelihatan sebaya dengan Zaqwan.

"Kau tak apa-apa?" soal lelaki itu lalu menghulurkan tangan.

Zaqwan mengambil huluran tangan itu teragak-agak. Dia tidak kenal dengan lelaki yang berada di hadapannya kini. Dia mahu bertanya siapakah gerangannya lelaki itu, tetapi dia ketepikan dahulu soal itu. Soal keselamatannya lebih penting kini.

"Kau boleh gerak tak?" soal lelaki itu lagi setelah mendapati Zaqwan tidak menjawab soalannya.

"Tak. Aku rasa kaki aku tersepit," balas Zaqwan menerangkan situasinya.

"Takpa, biar aku tolong kau."

Tanpa banyak soal, lelaki itu terus cuba memunggah sisa runtuhan yang menghempap sebahagian tubuhnya. Dia melakukannya dengan mudah sekali. Sisa runtuhan yang sebesar tubuhnya boleh diangkat lelaki itu dengan mudah, seperti sedang mengangkat kapas. Zaqwan pun hairan bagaimana lelaki itu mampu untuk melakukannya sedangkan dirinya langsung tidak mampu menggerakkan walau seinci pun sebelum ini.

Lelaki itu memapah Zaqwan untuk keluar dari tempat itu. Di sekelilingnya, Zaqwan dapat lihat runtuhan bangunan menghampari persekitaran. Suasana di sekelilingnya kelihatan seperti baru selepas berlaku pengeboman. Habis bangunan di sekitar universiti itu ranap akibat dibom. Apa yang tinggal hanyalah sisa-sisa runtuhan bangunan

"Apa dah berlaku sebenarnya ni?" soal Zaqwan ingin tahu akan situasi yang dihadapi mereka.

"Tadi berlaku pengeboman di kawasan universiti ni. Tapi tak tahu siapa yang bertanggungjawab," jelas lelaki itu selamba, seolah-olah itu adalah perkara yang normal.

Zaqwan membeliakkan matanya kerana terkejut. Walaupun dia sudah biasa menghadapi semua itu, tetapi dia amat tidak menyangka yang universiti ini akan menjadi sasaran pengeboman.

Kaki Zaqwan melangkah perlahan-lahan di celah-celah runtuhan di sekelilingnya. Mereka berdua berasa agak sukar kerana sisa-sisa runtuhan mengganggu perjalanan mereka.

"Macam mana kau tahu aku ada kat dalam runtuhan tadi?" Soalan yang seterusnya diajukan Zaqwan.

"Tadi, aku macam terdengar satu suara dari dalam runtuhan," jelas lelaki itu.

"Suara? Suara siapa? Tadi aku cakap perlahan je tadi, kan?" soal Zaqwan di dalam hatinya mula hairan.

"Bukannya kau faham pun kalau aku terangkan. Oh ya, nama aku Syahmi, Fayyadh Syahmi."

"Ah... Za... Zaqwan, Zaqwan Danial. Kau boleh panggil aku Zaqwan," balas Zaqwan turut memperkenalkan dirinya. Dia sedikit terkejut kerana lelaki yang bernama Syahmi ini seperti boleh membaca fikirannya pula.

"Kau cedera nampaknya. Kita kena dapatkan bantuan untuk rawat kecederaan kau," ujar Syahmi.

"Oh. Jadi kita nak ke mana sekarang ni? Hospital ke?" soal Zaqwan naif.

"Hospital? Aku tak fikir itu tempat yang selamat untuk orang yang ada ability macam kita ni."

"Ha?" Zaqwan tidak faham apa yang cuba disampaikan rakan barunya ini. Dia mula berasa pelik dengan tingkahnya. Bukan curiga, cuma ingin tahu sahaja.

***

Di luar pagar kawasan universiti tersebut, telah dipasang pagar kawat duri. Beberapa orang askar Eurasia sedang berkawal di luar kawasan universiti yang telah ranap hampir keseluruhannya. Askar-askar yang lain pula dikerah untuk mencari orang-orang awam yang masih terperangkap dalam runtuhan. Di tangan masing-masing ada sebuah alat peranti untuk mengesan medan elektromagnet yang dipancarkan.

Beberapa orang awam yang berjaya ditemui dikumpulkan di suatu tempat. Sebahagian daripada mereka mengalami cedera ringan. Sebahagian lagi mengalami kecederaan parah, sehingga tidak mampu menggerakkan lagi tubuh mereka. Beberapa orang askar berkawal di sekitar tempat berkumpul mereka. Kononnya kehadiran orang awam itu akan membahayakan mereka. Tujuan mereka bukanlah untuk menyelamatkan orang awam itu. Hakikatnya, mereka tidak peduli pun apa nasib yang menimpa orang awam.

***

Syahmi tiba-tiba sahaja menarik tubuh Zaqwan untuk bersembunyi di sebuah kawasan runtuhan bangunan yang masih ada di situ. Dari balik runtuhan itu, mata Syahmi mengintai seperti memerhatikan sesuatu. Dia kelihatan berwaspada sekali, persis pemangsa sedang mencari mangsanya. Zaqwan yang berdiri di sebelah pula terpinga-pinga memerhatikan tingkah rakannya itu.

"Ap...." Zaqwan baru ingin bertanya tetapi telah dihalang Syahmi dengan menutup mulutnya.

Syahmi meletakkan jari telunjuk di bibirnya sebagai isyarat senyap. Zaqwan hanya mengangguk faham walaupun dia masih kurang faham dengan tingkah rakannya. Syahmi mengintai semula dari balik runtuhan. Akibat rasa ingin tahu, Zaqwan turut melakukan perkara yang sama.

Tidak berapa lama kemudian, kelihatan beberapa orang askar Eurasia melalui kawasan itu. Masing-masing membawa alat peranti di tangan. Pada alat peranti tersebut terdapat sebuah skrin yang memaparkan peta kawasan universiti tersebut. Pada peta tersebut terdapat dua titik merah yang menunjukkan lokasi Zaqwan dan Syahmi bersembunyi.

Zaqwan membeliakkan matanya kerana terkejut dengan kehadiran mereka.

"Askar Eurasia? Apa mereka buat kat sini? Mereka ke yang lakukan serangan tadi?" soal Zaqwan di dalam hatinya.

"Mereka mungkin sedang memburu kita," balas satu suara yang tiba-tiba terbit dalam ruang minda Zaqwan.

"Eh?" soal Zaqwan semula di dalam hatinya dek terkejut dengan suara itu. Suara itu kedengaran asing, bukan monolog yang dihasilkan mindanya.

Salah seorang daripada askar tersenyum sinis sambil melihat apa yang dipaparkan di skrin. Berpandukan dua titik merah itu, dia berjalan perlahan-lahan ke arah lokasi Zaqwan dan Syahmi menyembunyikan diri. Langkah askar itu turut diikuti para askar yang lain.

Zaqwan yang mula menyedari kedudukan mereka telah dikesan mula panik. Dadanya berdegup kencang. Peluh merinik di dahinya. Syahmi pula masih lagi kelihatan tenang.

Tiba-tiba sahaja askar itu menghentikan langkahnya. Dia kemudian mengarahkan sesuatu kepada askar-askar yang lain. Askar itu berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diarahkan pergi ke suatu tempat, manakala satu kumpulan lagi hanya menunggu di situ.

Mata Syahmi masih tidak lekang daripada memerhatikan mereka dari balik runtuhan.

"Macam mana ni, Syahmi?" soal Zaqwan separa berbisik. Dahinya berkerut seribu menandakan ketegangan emosi yang dialaminya sekarang.

Syahmi tidak memberi respons sebaliknya dia terus memerhatikan.

"Keluarlah, kamu berdua ingat kamu berdua boleh menyorok dari kami ke?" ujar salah seorang askar yang berdiri di situ secara tiba-tiba ingin berunding.

Mendengarkan itu, Zaqwan bertambah panik. Syahmi pula menoleh ke belakang untuk memberitahu sesuatu dalam nada berbisik, "Kau tunggu je kat sini. Biar aku uruskan mereka."

"Tapi kau?" bantah Zaqwan tidak bersetuju. Terkejut dengan keputusan Syahmi secara tiba-tiba itu.

"Takpa. Biar aku uruskan," balas Syahmi cuba meyakinkan. Sekalipun Zaqwan tidak bersetuju, dia terpaksa akur dengan cadangan itu. Dia sendiri tidak mampu melakukan apa-apa dengan keadaan tubuhnya sebegitu.

Dengan langkah bersahaja, Syahmi berjalan keluar dari tempat persembunyian. Zaqwan pula hanya mampu membiarkan rakannya pergi dengan hati penuh debaran. Semua askar terus mengacukan senapang ke arah Syahmi. Zaqwan yang mengintai dari balik tempat persembunyiannya mula panik.

Tanpa Zaqwan sedari, beberapa orang askar sudah pun berada di belakangnya. Dengan senyap, mereka menghampiri Zaqwan untuk menangkapnya.

"Oh, Subjek 261. Dah lama tak jumpa. Kau apa khabar?" ucap askar itu. Bukan berbasa-basi tetapi sengaja memprovokasi.

"Oh, semakin sihat, dan aku bersedia nak belasah korang semua," ujar Syahmi, membalas provokasi.

"Mana lagi seorang kawan kau?" soal askar itu walaupun dia sudah tahu jawapannya.

"Aku tak faham apa yang kau cakap ni," jawab Syahmi cuba menyorokkan rakannya.

"Okey, takpa kalau kau taknak beri kerjasama. Nampaknya terpaksalah kami guna cara kekerasan." Askar itu memberi isyarat kepada askar yang lain untuk melepaskan tembakan.

Kesemua askar yang menyasarkan ke arah Syahmi terus melepaskan tembakan serentak.

"Syahmi!" teriak Zaqwan tanpa sengaja menguatkan suaranya.

Sementara itu, Syahmi pula masih lagi berdiri tenang di tempatnya. Sedikitpun dia tidak mahu mengelakkan dirinya daripada terkena tembakan itu. Das demi das tembakan dilepaskan namun ia langsung tidak mengapa-apakan Syahmi. Setiap butir peluru yang menyinggah di tubuhnya hanya melantun-lantun sahaja sebelum jatuh ke atas tanah. Syahmi pula hanya berdiri tenang di tempatnya sambil mengukirkan senyuman sinis.

Zaqwan melopong, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Semakin lama rakannya ini diperhatikan, semakin pelik dia dibuatnya.

"Itu je ke yang kamu semua ada? Takda improvement pun sejak dari hari tu," ucap Syahmi sengaja mahu memprovokasi askar yang berada di hadapannya sekarang.

"Well, mungkin kau boleh bantu R&D Team untuk improve persenjataan kami dengan beri kerjasama pada Kerajaan Eurasia," balas askar itu berkias.

"Jangan harap!" protes Syahmi.

"Mungkin kau akan ubah fikiran kau kalau kau tengok belakang kau sekarang."

Syahmi terus berpaling ke belakang. Alangkah terkejutnya Syahmi tatkala mendapati sahabatnya sudah berada di dalam tangan askar Eurasia, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Zaqwan!" Syahmi membeliakkan matanya.

Tanpa berfikir panjang, dia terus menerpa ke arah sekumpulan askar tersebut untuk menyelamatkan Zaqwan. Dia tidak sempat merangka strateginya. Dia terus meluru sahaja dalam keadaan tubuhnya membelakangi askar yang sedang bercakap dengannya tadi. Keadaan ini mendedahkan dia kepada bahaya. Akibatnya, tubuh Syahmi ditangkap dari arah belakang. Tubuhnya sekarang dipegang dua orang askar Eurasia.

Syahmi cuba untuk melepaskan dirinya. Dengan segala kekuatan yang ada, dia cuba melepaskan dirinya. Askar yang berunding dengannya sebelum ini datang menghampiri Syahmi yang masih lagi meronta-ronta. Askar itu mengeluarkan perenjat elektrik untuk memengsankan Syahmi.

"Ini kelemahan kau, kan? Dengan peluru dan senjata tajam lain tak lut pada tubuh kau, tapi bukan dengan ni," ujar askar itu sambil cuba mendekatkan perenjat elektrik itu ke leher Syahmi.

Dengan segala kudrat yang ada, Syahmi menendang tangan askar yang cuba mendekatkan perenjat elektrik itu ke arah Syahmi. Perenjat elektrik itu terus terpelanting jauh. Askar itu terkejut dengan tindakan Syahmi. Dia menyapu perlahan tangannya yang sakit. Syahmi mengambil peluang itu dengan menghadiahkan satu lagi sepakan tepat mengenai perutnya. Askar itu terus jatuh lalu berguling di atas tanah menahan kesakitan.

"Pegang dia kuat lagi!" arah askar itu mula berang dengan tindakan Syahmi.

Syahmi pula tidak melepaskan peluang itu. Dia terus menyiku kedua-dua askar yang memegang tubuhnya dengan segala kudrat yang ada. Senak perut kedua-dua askar itu dibuatnya menyebabkan pegangan masing-masing terlerai. Syahmi menolak kedua-dua askar itu ke tepi. Dia kemudian terus menerpa ke arah Zaqwan yang masih tidak sedarkan dirinya. Akan tetapi, dia cuba ditangkap beberapa orang lagi askar yang sedang menuju ke arahnya. Dia sekarang sudah dikepung.

Mata Syahmi tajam memerhatikan askar yang berada di sekelilingnya. Lagaknya seperti burung helang memerhatikan mangsanya. Kali ini dia tidak boleh cuai sedikitpun seperti tadi. Dengan segala ilmu pertahanan diri yang dipelajarinya secara turun-temurun, Syahmi melancarkan serangan ke arah setiap askar yang menuju ke arahnya.

Seorang demi seorang askar Eurasia tumpas di tangan Syahmi. Syahmi melepaskan tumbukan dan tendangan bertubi-tubi ke arah mereka. Tumbukan dan tendangan Syahmi begitu kuat sehingga mampu menumpaskan askar-askar Eurasia yang berbadan tegap dengan sekali serangan sahaja.

***

Dari pusat kawalan, beberapa orang pegawai sedang memerhatikan perlawanan Syahmi dengan askar-askar Eurasia. Dalam bilik itu, terdapat sebuah skrin besar yang memaparkan pertarungan mereka. Terdapat sebuah tetingkap yang memaparkan perubahan aktiviti gelombang elektromagnetik di kawasan itu.

"Hantar satu lagi pasukan ke koordinat 3310. Mereka perlukan bantuan. Subjek 261 masih tak dapat dineutralkan," arah salah seorang pegawai yang berada di bilik kawalan melalui alat telekomunikasi yang dipasang di telinganya.

***

Syahmi mencungap perlahan mencari nafas. Peluh yang merinik di dahinya diseka. Kesemua askar Eurasia telah berjaya ditumpaskannya. Tubuh mereka yang tidak sedarkan diri bergelimpangan di sekelilingnya.

"Fuh, habis juga akhirnya!" luah Syahmi kepenatan.

Syahmi berjalan ke arah Zaqwan yang masih lagi tidak sedarkan dirinya. Dia memeriksa sekejap tubuh rakannya itu. Tangan Zaqwan diletakkan di atas bahu lalu dipapahnya untuk meninggalkan tempat itu.

Baru sahaja Syahmi hendak melangkah pergi, tiba-tiba dia merasakan kehadiran sesuatu. Langkahnya dimatikan serta-merta. Tubuh Zaqwan diletakkan semula di sisi. Matanya melilau memerhatikan kawasan persekitaran.

"Ada lagi rupanya!" rungut Syahmi di dalam hatinya.

Dari balik runtuhan di sekelilingnya, bersembunyi beberapa orang askar Eurasia sedang memerhatikan sasaran mereka. Salah seorang daripada mereka menggalas senjata NNEMP. Mereka semua akan melancarkan serangan tatkala isyarat dilepaskan.

Askar yang membawa senjata NNEMP tersebut melepaskan tembakan. Tembakan itu tidak disasarkan ke arah Syahmi, sebaliknya hanya menyasarkan kawasan persekitaran, melepaskan letusan medan elektromagnet yang cukup kuat.

Sekali lagi Syahmi merasakan kesakitan yang amat sangat di kepalanya. Pandangannya perlahan-lahan menjadi kabur sebelum semuanya menjadi gelap. Tubuh Syahmi rebah di atas tanah, di sisi rakannya. Beberapa orang askar Eurasia yang bersembunyi, keluar dari balik runtuhan lalu menghampiri kedua-dua pemuda itu.

"Subjek 261 dan Subjek 147 berjaya dineutralkan." Salah seorang askar memberi laporan melalui alat telekomunikasi yang dipasang di telinganya.


Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.